Renungan Sejenak

Khamis, 30 Jun 2011

BERSIH 2.0 : Perhimpunan Aman Rakyat

23 Jun merupakan tarikh perginya seorang pejuang rakyat, tokoh dakwah dan siyasah yang hebat. Jadi, saya akan menukilkan lagi sedikit cerita dan sejarah perjuangan beliau, kesinambungan dari artikel-artikel saya sebelum ini. Beliau yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor atau lebih sinonim dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor.

Mengimbau Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan pada 5 November 2000 adalah satu perhimpunan aman anjuran aktivis yang menyokong Barisan Alternatif (BA) yang terbentuk dari PAS, KeADILan, DAP dan memberikan BA kemenangan memberangsangkan dalam PRU pada tahun 1999.

Perhimpunan aman ini mendapat sokongan padu daripada parti- parti politik, NGO dan pertubuhan Reformasi. PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor telah memberi sokongan dan komitmen seratus peratus untuk menjayakan perhimpunan aman ini.

Ustaz Fadzil Noor dilihat bijak membuat keputusan dan merencana strategi untuk menjayakan perhimpunan 100,000 rakyat tersebut. Ketika itu membenarkan setiausaha politiknya, Dr. Mohd Hatta Ramli, untuk terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Ustaz Fadzil Noor juga telah membuat tindakan segera dengan meminta Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Md Isa untuk mengeluarkan surat kepada setiap PAS Negeri untuk mengerahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk turun bagi menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Kesungguhan yang ditunjukkan serta komitmen Ustaz Fadzil Noor sendiri untuk hadir ke perhimpunan tersebut telah mengobarkan semangat pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik bersetuju untuk sama-sama menyertainya. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti KeADILan Nasional, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM turun bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Pada hari perhimpunan tersebut, laluan untuk ke tempat perhimpunan disekat oleh polis, maka keempat-empat pemimpin utama parti-parti politik Barisan Alternatif itu turun daripada kenderaan masing-masing dan berjalan bersama-sama puluhan ribu rakyat di atas Lebuhraya KESAS.

Keikhlasan dan semangat yang ditunjukkan oleh keempat-empat pemimpin BA itu berjalan di barisan hadapan perarakan, benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat tentang betapa mantapnya gandingan dan kerjasama BA.

Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor dan para pemimpin BA menunjukkan contoh semangat dan keyakinan yang tinggi apabila mereka berjalan sejauh hampir lima kilometer di atas lebuhraya yang sudah pasti tidak ada sebuah pun kenderaan boleh melaluinya. Mereka bukan sahaja diiringi ribuan malah puluhan ribu rakyat yang menyokong penuh perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sekatan polis dibuat menyebabkan akhirnya perarakan itu berhenti setelah laluan itu sudah tidak boleh dilalui lagi. Semua pemimpin diberi peluang untuk menyampaikan ucapan. Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor berucap di atas tembok pemisah lebuhraya dengan dikelilingi oleh kira-kira 100,000 rakyat. Dalam ucapannya yang penuh semangat itu, Ustaz Fadzil Noor menyeru agar semua rakyat bersatu untuk berjuang mengembalikan hak mereka yang sudah dicabul dan dirampas oleh Dr. Mahathir dan kerajaan UMNO-BN.

Apabila lebih seratus orang ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan aman tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah mengarahkan Dr. Mohd Hatta Ramli untuk mengendalikan urusan ikat jamin dan pembebasan mereka daripada lokap. Sokongan terhadap perhimpunan aman di Lebuhraya KESAS ini diteruskan oleh Ustaz Fadzil Noor dengan merintis penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

GMI ditubuhkan apabila pengerusi dan ahli-ahli serta penggerak utama Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat ditahan di bawah ISA pada 10 April 2001.

Demonstrasi aman seperti ini adalah suatu yang tidak asing bagi Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana masa mudanya lagi, iaitu pada tahun 1974, beliau telah pun terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling. Bahkan, pada akhir-akhir hayatnya pun beliau masih menggagahkan diri untuk hadir bersama rakyat dalam perhimpunan-perhimpunan aman.

Sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, PAS mengalami kejayaan paling besar pada pilihanraya tahun 1999, di mana PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN. Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut.

Menyingkap tabir sejarah, peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, dan Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang pada ketika itu. Kemudiannya pula Ustaz Fadzil Noor.

Manakala di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA). Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA.

Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Fadzil Noor telah hadir dalam perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur membantah tindakan Amerika mahu menyerang Iraq. Dalam perhimpunan aman tersebut, pihak polis FRU telah mengganas menyerang orang ramai membuta tuli dengan menembak gas pemedih mata dan menyembur air berkimia.

Ustaz Fadzil Noor terkena gas pemedih mata dengan teruk sekali. Sejak itu kesihatan beliau sangat terganggu. Menurut setiausaha politik dan doktor peribadinya, Dr. Mohd Hatta Ramli, sejak itu kesihatan beliau semakin merosot hinggalah beliau memerlukan pembedahan dan dengan takdir Allah, selepas itu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Itulah sebuah kisah, rentetan jalan perjuangan sebenar seorang pejuang rakyat, sehingga ke akhir hayatnya masih bersama-sama rakyat untuk menegakkan kebenaran dan menolak kezaliman. Dari siri-siri perhimpunan yang dihadiri atau dipimpin beliau sendiri, jelas perhimpunan aman seumpama ini adalah milik rakyat, seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara kita sendiri.

Perlembagaan tidak menghalang perhimpunan aman seperti ini. Malah ketika Malayan Union mahu ditubuhkan, para pejuang kemerdekaan dan rakyat membuat demonstrasi membantah penubuhan Malayan Union, sehingga ianya dibatalkan. Adakah kita buta sejarah?? Tidak! Tidak sama sekali. Jadi, ayuh kita semua menuju BERSIH 2.0 untuk kepentingan rakyat agar tidak dicabuli sewenang-wenangnya oleh pihak berkepentingan!!


Selasa, 28 Jun 2011

Subsidi RM74 bilion : Kerajaan Perdaya Rakyat, Kata Pakar

Kerajaan Persekutuan pimpinan BN telah “memperdayakan” rakyat apabila Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) menyatakan bahawa kerajaan menanggung bil subsidi berjumlah RM74 bilion pada 2010, kata seorang pakar ekonomi hari ini.

azlanBercakap pada dialog belanjawan Selangor 2012 di Subang Jaya, profesor pelawat Universiti Nottingham, Subramaniam Pillay berkata 54 peratus daripada bil itu adalah untuk pendidikan dan kesihatan yang sebenarnya adalah tanggungjawab kerajaan.

"Semua kerajaan di dunia beri subsidi untuk barangan berlainan untuk golongan rakyat yang berbeza. Tetapi bagi pendidikan dan kesihatan, yang dinamakan oleh pakar ekonomi sebagai 'public goods' dan ini adalah tanggungjawab kerajaan,” kata Subramaniam yang bersara daripada jawatan Ketua Sekolah Perniagaan Universiti Nottingham tahun lalu.

"Semua negara maju di seluruh dunia beri subsidi dalam jumlah yang besar untuk kesihatan, kecuali di Amerika Syarikat tetapi (Presiden Barack) Obama baru-baru ini membentangkan Rang Undang-undang Kesihatan.”

Jika dua barangan itu dikeluarkan, bil subsidi hanya berjumlah RM31.1 bilion dan daripada jumlah berkenaan, subsidi makanan yang secara langsung sampai kepada rakyat hanya bernilai RM3 bilion atau lebih kurang 2 peratus daripada bajet kerajaan persekutuan.

NONEKatanya, sebahagian besar subsidi RM23.7 bilion untuk bahan api dan tenaga yang dibayar pada 2010 disalurkan kepada subsidi gas yang kemudiannya diberikan kepada pengeluar tenaga bebas.

"Bagi infrastruktur, semua subsidi disalurkan kepada (konsensi lebuhraya) bukan kerana mereka memerlukannya tetapi kerana mereka menandatangani perjanjian (dengan kerajaan) yang bodoh. Ini bukan subsidi untuk rakyat,” katanya.

Perangkaan RM74 bilion yang dikeluarkan oleh PEMANDU seringkali digunakan oleh BN sebagai alasan bahawa pengurangan subsisidi petrol, gas asli, diesel dan barangan makanan yang lain adalah berpatutan kerana kerajaan menanggung bebanan yang berat.

Rabu, 22 Jun 2011

Semua Jangan Cakap Banyak Lagi, 99% Sokong Himpunan BERSIH Diteruskan!


Reaksi positif yang diberikan rakyat Malaysia berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai depan jelas menunjukkan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) kini semakin didesak untuk mengkaji semula sistem pilihan raya di negara ini, kata pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah menurut ahli parlimen Kubang Kerian, bancian portal dalam talian The Star Online mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

"Saya yakin dan percaya ia sememangnya hasrat rakyat Malaysia untuk melihat wujudnya satu sistem pilihan raya adil dan bersih dan ia telah mencapai satu tahap yang begitu kritikal. Ini bermakna perjuangan BERSIH telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan ia telah melampaui batas-batas agama, kaum dan bangsa, " tegasnya ketika ditemui di sidang Parlimen semalam.

Tegasnya lagi, himpunan besar-besaran pada 9 Julai itu akan berlangsung secara aman tanpa sebarang kekecohan mahupun ketegangan dan ia merupakan janji penganjur BERSIH 2.0 kepada kerajaan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Bancian portal dalam talian The Star Online semalam mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

Bagaimanapun, bilangan responden sebenar tidak dapat disahkan kerana tinjauan itu dihentikan sejak tengahari semalam.


Berdasarkan paparan skrin yang disiar pengguna Facebook, bilangan responden mencecah 1.3 juta pada 12.25 tengahari, daripada 527,330 yang direkodkan pada 6.11 pagi semalam, yang dirakam dari google cache.

Berdasarkan pertanyaan ‘Apakah pandangan anda tentang cadangan perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini’, seramai 1,312,917 responden menjawab ‘Ia patut dibenar diteruskan’.

Manakala seramai 14,222 responden pula memilih untuk menyatakan “Ia patut dibatalkan’.

Tinjauan itu dibincang secara hangat oleh laman kumpulan Facebook ‘Curi-Curi Malaysia’ yang diwujudkan untuk protes perbelanjaan Kementerian Pelancongan sebanyak RM1.8 juta untuk kempen dalam laman sosial berkenaan.

Bagaimanapun mereka kecewa kerana tinjauan itu ditarik balik portal The Star.

Dalam pada itu ahli parlimen Batu, Tian Chua yang ditemui di luar sidang parlimen memberitahu sungguhpun bancian seperti itu tidak dilakukan, beliau yakin bahawa rakyat tetap akan turun ke jalan biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman.

Katanya, ini kerana rakyat Malaysia kini sudah sedar dan matang dalam memahami prinsip demokrasi yang menjadi tuntutan setiap masyarakat di negara ini.

"Perhimpunan BERSIH 2.0 disokong oleh orang ramai sungguh pun ada pihak mengatakan ia tidak berapa tepat (ini online sahaja dan bukan pungutan suara saintifik) tapi secara amnya ia menunjukkan bahawa rakyat rasa BERSIH adalah satu perhimpunan yang aman dan perlu diteruskan."

Manakala menurut ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula, himpunan BERSIH 2.0 kali ini merupakan maklum balas rakyat kepada kerajaan dan pihak polis supaya memberikan kerjasama dan kelulusan kepada pihak penganjur agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman.

Tambah Dr Hatta, rakyat tidak perlu gentar dengan ugutan-ugutan yang dilemparkan kerana apa yang lebih penting adalah hasil daripada himpunan itu nanti.

"Saya melihat ini merupakan satu maklum balas ataupun signal daripada rakyat yang mahu melihat satu sistem yang adil, bebas dan bersih dalam negara kita. Dan kerajaan perlu menghormati kehendak rakyat serta memberi kerjasama untuk memberikan ruang mereka berhimpun dalam menyatakan pandangan mereka tentang kempen Bersih ini," katanya Anthony Loke kepada TvSelangor.

"Rakyat sudah determine untuk turun, jadi kerajaan tidak perlu menimbulkan suasana kurang baik dengan menimbulkan kekecohan. Saya harap kerajaan dapat menghormati keputusan bancian yang dilakukan," tegas Dr Hatta. -tvsnews

Pandangan Bekas Mufti Perlis Mengenai BERSIH 2.0

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhT94fQqZJVDGorcefTKppZoqBFvSF6_AtDxHdrg82ni_uLan6r5W-Wj-_xNPqanDn2nJbm3AVi8iTyCFJwbeJdNjZqRxQBtkH88IEHvqS5APD_mArLh_bcdUEra4XD8L0vHU9Z6lnXzaiw/s400/asri-11.jpgBanyak pihak bertanya pendirian saya tentang kempen NGO 'BERSIH' menuntut Pilihanraya yang adil bagi negara ini. berikut adalah pendirian dan pandangan saya;

Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik.

Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.

Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan.

NONEJika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya.

Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.
Perkara haram

Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk.

Nabi Mohammad SAW dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

bersih rally 271207 05Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan.

Hak rakyat

Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

bersih rally 271207 01Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.

Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan.

Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

NONEPara peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan.

Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan.

Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai BERSIH merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan BERSIH itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.

Selasa, 21 Jun 2011

PAS Perlu Kempen Besar-Besaran Daftar Pengundi dan Ahli

Mengingati tarikh 23 Jun, tarikh pemergian Almarhum TG Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS sebelum ini, yang diakui antara seorang tokoh mujadid ulung dalam sejarah perjuangan PAS, melihat PAS dalam fasa pra PRU 13, pada pandangan saya perlu menyorot kembali sejarah perjuangan untuk memperkukuhkan jamaah dan parti.

Dato' Hj Fadzil Noor, selain beliau dan rakan-rakan berhujah di dalam Dewan Rakyat, menggunakan jalan demonstrasi dan memobilasi perhimpunan-perhimpunan aman, namun dalam masa yang sama, beliau bertindak bijak dengan pernah mengarahkan setiap peringkat dalam PAS menggempur ahli baru secara optimum, untuk memenangkan Islam di Malaysia khususnya.

Ini penting, kerana tanpa ahli yang ramai dan kompeten, bagaimana PAS mahu bergerak dan menyampaikan dakwah di semua kawasan tidak kira di bandar mahupun di kampung-kampung dan taman-taman perumahan. Sasaran dakwah perlu didekati secara berhemah dan berhikmah.

Dengan media utama menjadi kuda tunggangan satu pihak sahaja, PAS dan Pakatan Rakyat perlu ‘berkempen’ melalui ahli-ahlinya, yang mana ‘sentuhan peribadi’ atau personal touch selalunya lebih membekas di hati pengundi atas pagar misalnya.

Mengambil ibrah (pengajaran) dari tokoh gerakan hebat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau seorang pemimpin yang sangat menyantuni ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan juga masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka. Beramah mesra dan berdakwah di kedai kopi dan di ceruk-ceruk kampung adalah perkara biasa bagi beliau walaupun beliau seorang pemimpin gerakan terkenal sewaktu itu.

Jika kita betul-betul menyusuri sejarah, betapa ramai tokoh-tokoh hebat yang dicipta Ikhwan Muslimin di Mesir, yang mereka ini asalnya seseorang yang bukannya dari latar belakang agama, namun setelah menyertai Ikhwan, mereka mampu memahami agama dan membahaskannya dalam masyarakat, mendalami isu-isu semasa malah membincangkan isu-isu ekonomi, hasil terpikat dengan peribadi dan karektor yang ada pada diri Imam Hassan Al-Banna pada mulanya.

Betapa luasnya ruang lingkup dakwah dan hasil ledakan tarbiyyah yang melangkaui batas politik dan latar belakang sasaran dakwahnya, mampu membawa kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat dan masyarakat umumnya. Akhirnya di Mesir ketika itu, ahli-ahli Ikhwan yang ramai inilah yang menjadi agen-agen pendakwah di dalam masyarakat dan di ceruk-ceruk kampung sehingga Ikhwan berjaya menang dalam pilihanraya Mesir beberapa ketika selepas itu.


PAS Pernah Melalui Kempen Menambah 500,000 Ahli

Diungkap dari sejarah, setelah menjadi Presiden PAS, TG Dato’ Hj Fadzil Noor atau lebih mesra di kalangan rakyat Kedah dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor, menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, Ustaz Fadzil Noor melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum pilihanraya tahun 1995.

Dalam satu Ucapan Dasarnya ketika muktamar, Ustaz Fadzil Noor menyarankan supaya pemimpin-pemimpin di semua peringkat hendaklah memastikan agar ada cawangan PAS di setiap kampung, di setiap taman-taman perumahan dan di setiap lorong.

Ustaz Fadzil Noor menegaskan hendaklah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS dalam setiap rumah. Ustaz Fadzil Noor membuktikan arahannya itu dilaksanakan di kawasannya sendiri di DUN Bukit Raya, Kedah. Di Bukit Raya, cawangan-cawangan PAS jauh melebihi cawangan-cawangan UMNO.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000. Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim. Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.


PRU 13 Semakin Dekat

Dengan harapan kita letakkan kepada saf kepimpinan PAS yang baru, diharapkan dengan pimpinan yang berjiwa aktivis dan bersifat massa, mereka juga perlu gunakan peluang yang ada, dengan masa yang sangat suntuk ini, untuk memperhebatkan gempur penambahan pengundi muda dan pengundi atas pagar ke dalam PAS. Daftarkan mereka kepada SPR segera sebelum kita terlambat.

Tuan Guru Dato’ Seri Hj Hadi, yang dibantu pembantu-pembantu yang hebat, perlu menekan butang kecemasan segera, untuk mengimbangi salahguna pihak musuh dalam pentas demokrasi negara kini. Tanpa gerak kerja dan kempen besar-besaran penambahan ahli ini, mungkin sahaja kita akan kalah dek penambahan besar-besaran pengundi BN sejak kebelakangan ini yang entah datang dari mana, sedangkan jelas analisis semasa dari penganalisis politik mahupun pusat kajian politik, golongan anak muda menyokong Pakatan Rakyat.

Menyingkap dari sejarah, sememangnya Ustaz Fadzil Noor pernah merintis penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang mana telah dilancarkan di Taman Melewar pada 27 September 1998 yang didokongi pelbagai parti politik dan pertubuhan NGO termasuklah PAS, PRM, DAP, PUM, ABIM, JIM, SUARAM dan lain-lain. Malah ketika dilancarkan di Markaz PAS Taman Melewar, dilaporkan puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dalam dan luar negara menghadiri pelancaran tersebut.

Beliau juga pernah memimpin bersama pimpinan Barisan Alternatif yang lain pada ketika itu menjayakan Perhimpunan 100 ribu Rakyat di Lebuhraya KESAS, menubuhkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) setelah ramai aktivis dan jawatankuasa Perhimpunan 100 ribu Rakyat ditahan ISA pada 10 April 2001, malah menyertai pelbagai lagi demonstrasi dan perhimpunan aman, namun beliau dalam masa yang sama terus menekankan aspek tarbiyyah dan kempen penambahan ahli-ahli baru.

Melihat hasil tindakan bijak TG Dato’ Hj Fadzil Noor suatu ketika dahulu, pada pandangan peribadi saya, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya menempatkan PAS sebaris dengan gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di peringkat nusantara mahupun antarabangsa.

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, suka saya menukilkan antara kata-kata bermakna beliau buat renungan semua, TG Dato’ Hj Fadzil Noor pernah menegaskan :

”PAS sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat, adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaati Islami di benua kecil India, Refah Party di Turki, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam”


Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Fadzil Noor..



Artikel ini juga boleh dirujuk di laman :

http://www.detikdaily.net/v5/



Isnin, 20 Jun 2011

KABINET BARU PERHUBUNGAN PAS KEDAH SESI 2011-2013

Mesyuarat Badan Perhubungan PAS negeri Kedah yang diadakan pada jam 3.15 petang tadi telah melantik kabinet baru bagi menerajui PAS Kedah bagi sesi 2011-2013.

Pesuruhjaya : YAB Dato’ Seri Ust. Hj Azizan bin Abd. Razak
Timbalan Pesuruhjaya 1 : YB Dato’ Ir. Hj Phahrolrazi bin Zawawi
Timbalan Pesuruhjaya 2 : YB Dr Ismail bin Salleh
Timbalan Pesuruhjaya 3 : Ust. Hj Mat Isa bin Shafie

Setiausaha : Ust. Musoddak bin Hj Ahmad
Bendahari : YB Dato’ Ir. Hj Amiruddin bin Hamzah
Ketua Penerangan : Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor
Pengarah Pilihanraya : YB Haji Muhammad Yusuf bin Husin

Penolong Setiausaha 1: Ust. Mohd Aizat bin Zakaria
Penolong Setiausaha 2 : Hj Sobri @ Mutalib bin Awang
Penolong Setiausaha 3 : Kapten (B) Zamri bin Ibrahim

Ketua Dewan Ulamak : Hj Sheikh Mohamad bin Abdullah
Ketua Dewan Pemuda : Ust Ahmad bin Yahya
Ketua Dewan Muslimat : YB Aishah binti Ghazali

Ahli Perhubungan Yang dilantik
1. Rosli bin Darus
2. Ust. Abu Kassim bin Abdullah
3. Sheikh Ismail bin Kamis
4. Tuan Haji Che Had bin Dhali
5. Tuan Haji Mat Akhir bin Talib
6. Fadzil bin Baharum
7. Dr Rohani bin Abd. Mutalib


YDP dan Setiausaha PAS Kawasan-Kawasan

Langkawi

YDP : Zubir bin Ahmad
Setiausaha : Yusuf bin Abdullah

Jerlun

YDP : YB Ust Hj Abd Ghani bin Ahmad
Setiausaha: Azhar bin Ibrahim

Kubang Pasu

YDP : YB Dato’ Dr. Hj Abd Isa bin Ismail
Setiausaha: Ust Mohd Yusuf bin Ahmad

Padang Terap

YDP : Ust Hj Zawawi bin Ahmad
Setiausaha: Ust. Mohd Azam bin Abd Aziz

Pokok Sena

YDP : YB Dato’ Hj Mahfuz bin Omar
Setiausaha: Zuhairi bin Zubit

Alor Setar

YDP : YB Dr Ismail bin Salleh
Setiausaha: Hj Adnan bin Saad

Kuala Kedah

YDP : YB Dato’ Ir. Hj Phahrolrazi bin Zawawi
Setiausaha: Hj Aris bin Awang

Pendang

YDP : YB Dato’ Hj Taulan bin Mat Rasul
Setiausaha: Ust. Fadhil Mohd Noor bin Sahani

Jerai

YDP :YAB Dato’ Seri Ust Hj Azizan bin Abd Razak
Setiausaha: Muzaini bin Azizan

Merbok

YDP : YB Dato’ Dr. Hamdan bin Mohamed Khalib
Setiausaha: Hj Halim bin Abdullah

Sungai Petani

YDP : YB Hj. Abdullah bin Jusoh
Setiausaha: Khairun Nizar bin Hj Ismail

Sik

YDP : YB Che Uda bin Che Nik
Setiausaha: Anuar bin Che Omar

Baling

YDP : Tuan Guru Hj Abd Wahab bin Hasan
Setiausaha: Ust Hassan bin Saad

Padang Serai

YDP : Hj Fauzi bin Tahir
Setiausaha: Badrol Hisyam bin Yusuf

Kulim/Bandar Baharu

YDP : Ust Hj Hassan bin Abd Razak
Setiausaha: Arshad

Jumaat, 17 Jun 2011

Perlu Belajar Dari AKP Turki Untuk Menang PRU-13


Oleh : Zulkifli Sulong, Istanbul

ISTANBUL, 15 Jun: Selepas tiga hari berada di Turki untuk melihat dari dekat perjalanan dan strategi kempen parti AK di Turki, rombongan hari ini berkemas-kemas untuk pulang.

Lima delegasi telah berlepas pulang 13 Jun, sehari selepas pilihan raya, manakala hari ini lima lagi anggota akan berlepas pulang ke Malaysia.

Banyak yang dapat dipelajari dari AK parti untuk membolehkan PAS, PKR dan DAP juga menempah kemenangan yang sama di Malaysia.

"Bagi saya, terlalu banyak perkara yang kita boleh pelajari dalam pilihan raya ini dan perlu kita laksanakan. Sebaik saja pulang ke Malaysia, saya akan pastikan perkara ini sampai kepada pimpinan PKR untuk dilaksanakan," kata YB Saifudin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR sebelum berlepas pulang 13 Jun.

Turut pulang bersama beliau adalah YB Dr Siti Mariah Mahmud, YB Nasir Mustafa, YB Datuk Johari Abdul dan juga YB Nurul Izzah Anwar.

"Saya akan membuat beberapa cadangan kepada PAS untuk dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang," kata Dr Mariah Mahmud. Sesi lepas, Dr Mariah adalah timbalan pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Selepas melihat dari dekat strategi dan pendekatan kempen AKP, ada beberapa perkara pokok yang perlu dipertimbangkan dan wajar dilaksanakan oleh PAS khasnya untuk memenangi hati rakyat Malaysia menjelang pilihan raya ke 13 nanti.

Pertama, kempen ini mesti inklusif atau memasukkan semua orang dalam sasaran. Benar PAS parti Islam tetapi Islam hendaklah dijelmakan untuk memimpin semua pihak, Islam dan bukan Islam. Di Turki, AK disenangi semua pihak. Yang mahukan Islam menyokong AKP, yang sudah jauh dari Islam juga menyokong AKP.

Kami berjumpa dengan seorang pemain bola sepak semi pro Turki ketika membeli CD lagu Turki untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kebetulan dikedai itu, dia yang boleh berbahasa Inggeris. Apabila diberitahu kami mencari lagu tema kempen AK yang dicipta khas untuk pilihan raya ini, beliau sibuk sekali cuba mendapatkannya. Perkenalan itu menjadi sangat mesra kerana mengetahui kami menyokong AKP.

Seorang penyokong Saadet, Hassan, juga menjangkakan AKP akan menang besar dalam pilihan raya ini. Ini kerana, beliau akui orang ramai suka dengan cara AK. Yang kuat Islamnya suka kerana AK sangat tegas mempertahankan nilai-nilai Islam manakala yang sudah terungkai Islamnya dek lamanya Turki dibawah sekular, senang dengan pendekatan terbuka AKP.

Yang kuat Islam sangat terpaku dengan ketegasan Raccip Toyyib Erdogan memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana isteri beliau hatta di universiti dan majlis rasmi kerajaan yang selama ini dihalang oleh undang-undang Turki.

Mereka juga terkesima dengan cara Erdogan melayan Presiden Israel, Shimon Peres, dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos beberapa tahun lalu. Gambar Erdogan menuding jari kepada Peres dan video peristiwa itu menjadi bahan kempen utama AKP dalam pilihan raya ini.

Yang sudah jauh dari Islam juga menerima AKP. Ketika AKP memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai tudung, parti itu juga memberikan peluang kepada wanita yang tidak bertudung untuk menjadi calon mereka. Mungkin PAS tidak perlu melakukan hal ini di Malaysia namun keterbukaan mereka memberikan makna besar kepada rakyat Turki.

Cara kempen Turki juga berjaya membawa golongan muda dan seluruh keluarga untuk bersama mereka. Lebih 80 peratus pihak yang meraikan kemenangan AKP 12 Jun lalu adalah golongan muda yang datang bersama keluarga mereka.

Ketika berkempen begitu juga. Ramai sekali golongan ini bersama berarak di jalan raya (walk about) bersama calon-calon AKP. Ketika berkumpul di sebuah taman untuk mendengar ucapan, ia juga dipenuhi anak-anak muda.

Pemimpin AKP sendiri mendekati mereka bukannya diserahkan kepada pemimpin muda sahaja. Lagipun, suasana yang dihasilkan dalam kempen juga menggamit anak muda dan keluarga untuk turut bersama dalam kempen itu.

Pendekatan kempen mereka bukan pentas ceramah semata tetapi berkumpul di taman, berjalan di kawasan perumahan dengan diiringi muzik yang sesuai dan sebagainya.

Pendekatan kempen AKP juga bercorak 'lihat dan percaya'. Melalui pendekatan ini, bahan-bahan kempen AKP juga lebih bercorak gambar yang besar-besar. Gambar-gambar besar tanpa perkataan ini di pasang di merata-rata tempat khasnya di pejabat-pejabat AKP.

Jentera kempen utama AKP adalah van yang dibaluti dengan gambar bahan kempen parti mereka. Van-van ini disewa untuk tempoh kempen ini sahaja. Pendekatan ini menyebabkan AKP boleh dilihat di merata tempat. Untuk Istanbul sahaja, AKP mempunyai lebih 300 buah van. Setiap calon anggota Parlimen mereka akan mempunyai sekurang-kurangnya dua buah van semacam ini.

Van ini pula dipantau pergerakan mereka dengan GPRS. Hasilnya, pergerakan jentera mereka ini dapat dilihat dengan jelas di ibu pejabat mereka.

Selain gambar kempen membaluti van ini, ia juga dilengkapkan dengan pembesar suara yang memasangkan lagu-lagu AKP sepanjang kempen mereka.

Dalam kempen ini, AKP banyak memaparkan kejayaan yang dibuat oleh mereka sepanjang lapan tahun pentadbiran AKP bermula 2002 lalu. Mereka bandingkan setiap perkara dari pendidikan, kesihatan, pengangkutan, ekonomi dan sebagainya. Perbandingan dibuat antara 'Nereden' (dahulu) dan 'Nereye' (kini) dalam bentuk gambar, grafik dan angka yang besar, jelas dan terang.

Kami yakin, ini perkara utama yang perlu di buat oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Untuk peringkat nasional juga boleh dibuat iaitu dengan membanding Malaysia dahulu dan kini selepas 50 tahun di perintah oleh Umno dan Barisan Nasional.

Oleh kerana media di Turki adalah bebas tanpa kongkongan parti politik yang memerintah, semua parti boleh berkempen melalui media samada tv, akhbar atau dalam bentuk banner-banner besar.

Hasilnya, tidak banyak dirasai kehangatan kempen di jalan-jalan raya Turki tetapi ia sangat hangat di media. Memandangkan Malaysia tidak menikmati kebebasan sebegini, ia agak sukar dilakukan. Namun begitu, Pakatan perlu juga mengambil pendekatan ini dengan membeli ruang-ruang iklan di media yang agak bebas untuk menyampaikan mesejnya.

Pendekatan tulisan yang banyak sudah ketinggalan.
Manifesto perlu dipaparkan dalam bentuk gambaran bukan tulisan yang banyak lagi. lihat dan percaya (Seing is believing) perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam kempen era moden dan tanpa sempadan ini.

Rabu, 15 Jun 2011

Aktifkan Segera Jentera Pilihanraya PAS!!

Jika sebelum ini pihak lawan sudah mula memalu gendang perang, memberi arahan kepada jentera mereka untuk bersiap sedia dan banyak lagi, adakah pihak jentera Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS masih berada dalam zon selesa, tidak mahu menggerakkan jentera dari akar umbi dengan segera secara serius?? Saya puji ada beberapa PAS negeri yang telah melancarkan jentera PRU 13 mereka baru-baru ini.

Dengan rentetan kenyataan Najib Tun Razak yang sanggup menggunakan apa sahaja ‘senjata’ untuk merampas negeri-negeri yang dimenangi terutama negeri Selangor, adakah kita masih mahu berdiam diri? Jika tuntutan-tuntutan BERSIH 2.0 dipenuhi, mungkin kita lebih yakin untuk sedikit selesa dengan situasi rakyat yang mahukan perubahan. Jika tidak, jangan harap untuk kita berlengah, kecuali suasana getir akan berlaku oleh perancangan licik pihak musuh.

Tambahan dengan pendedahan beberapa kawasan di Selangor terdapat penambahan pengundi berdaftar secara mendadak di beberapa kawasan yang dimenangi PAS dalam PRU 12 yang lepas, adakah tiada lagi semboyan perang yang bersungguh dan serius dari PAS Pusat kepada seluruh jentera PAS peringkat kawasan dan cawangan?

Dari Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu, sewajarnya PAS Pusat terutama Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat yang baru, yang saya kira memberikan kita harapan lebih segar, mengambil iktibar dari PRN Sarawak bahawa pilihanraya ini bukanlah sesuatu yang boleh dibuat kerja berfokus hanya setelah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan.

Lihat sahaja di Sarawak, PAS hampir-hampir sahaja mencipta sejarah dengan memenangi DUN yang pertama di Sarawak, tetapi ternyata jika gerak kerja pilihanraya hanya betul-betul serius bermula setelah tarikh pembubaran dibuat, hasilnya belum cukup menyeluruh dan membekas.

Gelombang rakyat yang mahukan perubahan tidak cukup jika jentera pilihanraya PAS hanya bersikap tunggu dan lihat sahaja. Kita seharusnya mengambil iktibar dari PRU yang lalu, bagaimana Terengganu yang PAS berjaya menawannya tahun 1999, namun tidak dapat dikekalkan dalam PRU 11 dan tidak berjaya untuk merampasnya juga dalam PRU 12 yang lepas.

Kita tidak mahu perkara seperti itu berulang di Kedah dan Selangor yang telah kita tawan dalam PRU yang lepas. Banyak juga kerusi PAS di dua buah negeri tersebut. Kita tahu SPR dan JPN pula bukanlah dari pasukan yang akan menyebelahi kita, jadi mahukah kita sekadar berpeluk tubuh dari sekarang?

Contohilah DAP yang mana jentera mereka bergerak dengan tersusun malah menggandakan jumlah kerusi dimenangi mereka dalam PRN Sarawak yang lalu. PAS yang yakin mampu menawan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kerusi di Sarawak, namun ianya hanya tinggal harapan. Kesemuanya tewas. Di Dun Beting Maro sahaja PAS tewas dengan majoriti tipis.

Kita tidak mahu jawapan yang sama keluar dari mulut pimpinan setelah PAS kalah, seperti mana BN yang sudah menyediakan alasan-alasan yang sudah dihafal rakyat bawahan apabila mereka menang atau kalah. Begitu juga skrip yang serupa, ketika pimpinan BN memberi jawapan yang sudah dihafal oleh rakyat bila harga minyak atau barang naik.

PAS juga tidak boleh meniru cara BN. Memberi alasan serupa setiap kali tewas. Kenapa tiada usaha berkesan untuk menangani media yang hanya dikuasai BN? Tiadakah media alternatif? Kenapa isu pengundi hantu tidak diperjuangkan PAS dari sekarang?? Soal SPR telus dan penggunaan dakwat semasa pilihanraya untuk mengelakkan orang mengundi dua kali? Undi pos sudahkah PAS perjuangkan habis-habisan sebelum ini sejak PRU 2008, setelah 3 tahun berlalu?

PAS jika tidak mampu menang, PAS tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk melakukan perubahan dalam negara. Jika kalah namun masih berbangga dengan alasan tewas dengan majoriti yang semakin mengecil, adakah itu sudah cukup memuaskan hati ahli dan rakyat yang mengundi PAS?

Alasan pengundi hantu misalnya, kenapa dari sekarang tidak menggempur habis-habisan setelah terdapat pendedahan di beberapa kawasan melayu yang ditandingi PAS di Selangor dan Perak? Di Kelantan dan Kedah juga, hati-hati dengan warga ‘import’ sama ada dari Siam atau Kemboja, untuk dieksploitasi pihak musuh kita. Pendedahan YB Siti Zailah, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap ahli parlimen Rantau Panjang mengenai penyusupan masuk warga Kemboja ke Malaysia akhir-akhir ini juga amat merisaukan kita.

Kita khuatir, setelah BN telah pun selesai berkomplot dengan SPR dan JPN di seluruh kawasan sasaran mereka, barulah PAS mahu membuat bantahan tanpa bukti yang kukuh? Malah barulah mahu memperjuangkannya di mahkamah milik mereka? Menangkah kita di mahkamah mereka? Di Perak sebelum ini juga pernah dilaporkan ada penambahan pengundi berdaftar secara mendadak, namun apakah tindakan kita?

Bagi kami ahli yang tidak mempunyai ‘kuasa’ sebagai mana pimpinan yang berada di atas, kami insyaAllah akan berusaha membantu dari akar umbi dan bersikap wala’ kepada arahan pimpinan, cuma kami juga berharap pimpinan dapat mendengar cadangan dan permasalahan di peringkat bawahan jikalau ada.

Kita mahukan perubahan dan penambahbaikan itu dapat dilakukan sesegera yang mampu, untuk PAS terus mempertahankan kawasan-kawasan yang telah dimenangi dan menawan lagi kerusi tambahan untuk memastikan suara PAS lebih didengari selepas PRU 13 ini.

Kita tidak mahu PAS tewas seperti PRU 11 di mana PAS tewas banyak kerusi dan kehilangan negeri Terengganu yang dimenangi PAS sebelumnya. Jika masih bersikap sama, PAS boleh melupakan hasrat untuk menegakkan Islam di Malaysia ini.

Saya positif dengan perkembangan dalam PAS dan meletakkan keyakinan bahawa YB Dr. Hatta dapat mengemudi jentera PRU PAS dengan baik. Harapan kita, lantiklah ahli-ahli yang segar untuk berada dalam pasukan jabatan pilihanraya PAS Pusat, yang bukannya hanya memilih ahli-ahli negeri dari pantai timur semata-mata sebagai contoh, kerana situasi dan suasana pilihanraya di setiap negeri adalah agak berbeza.

Kemudian wakil-wakil pasukan jabatan pilihanraya PAS negeri dari setiap negeri juga perlu menyertai pasukan jabatan pilihanraya PAS Pusat untuk memantapkan strategi dan pendekatan yang bersesuaian untuk digunapakai oleh PAS di setiap negeri. Malah jentera negeri juga perlu dilengkapkan dengan jentera pasukan IT untuk menangkis serangan-serangan perang saraf dalam media alternatif di peringkat negeri masing-masing.

Akhir kata, cadangan dan teguran ini bukanlah untuk memburuk-burukkan sesiapa cuma ianya ikhlas dari ahli-ahli bawahan dan rakyat yang mahukan jentera pilihanraya PAS Pusat lebih terkehadapan berbanding pihak lawan. Jika kita masih terlena di saat musuh sudah bersiap sedia dengan jentera dan peluru-pelurunya, maka tunggulah saat kekalahan kita yang nyata!!


Boleh juga merujuk :

http://www.detikdaily.net/v5/

Sabtu, 11 Jun 2011

PAS Perlu Terajui Kebangkitan Rakyat!!

Menyingkap sejarah Kepimpinan Ulama’ dalam PAS, dari lipatan sejarah yang telah terukir, buat tatapan generasi muda pada hari ini, ianya diasaskan semasa kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua PAS dengan Tuan Guru Dato’ Hj Fadzil Noor sebagai timbalannya.

Semasa PAS berada di bawah kepimpinan TG Dato’ Hj Fadzil Noor, beliau menekankan agar golongan ulama’ hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama’ ini mesti disokong dan didaulatkan.

Saya begitu kagum, TG Dato’ Hj Fadzil Noor seorang tokoh yang berpandangan jauh, apabila beliau pernah mengatakan bahawa kepimpinan PAS akan lebih terbuka dan lebih banyak dipikul oleh golongan intelektual pada masa hadapan, namun konsep kepimpinan ulama’ akan terus menjadi teras.

TG Fadzil Noor meletakkan fokus supaya ahli-ahli PAS memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional, melalui tamrin (latihan) dan tarbiyyah yang mendasar. Amanat beliau menggambarkan bayangan beliau akan pimpinan PAS masa hadapan adalah seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang agama yang menambah ilmu pengetahuan profesional, atau seorang profesional yang menambah ilmu pengetahuan agamanya, melalui semua liku-liku dan jalan tarbiyyah yang dibentuk PAS.

TG Yusof Rawa yang mengasaskan Kepimpinan Ulama’ dalam PAS sendiri, latar belakang beliau juga berasal dari aliran Inggeris kemudian belajar agama di Mekah. Beliau jelas menguasai bahasa Arab, bahasa Inggeris, Farsi dan Perancis. Malah beliau juga adalah ahli perniagaan dan mempunyai kedai buku sendiri.

Beliau suka membaca dan mengkaji kitab-kitab rujukan Islam, dan turut membaca pelbagai bahan dari barat dan timur, menyerlahkan kesegaran ilmu beliau, idea dan pemikiran beliau sendiri dianggap ulama’ moden, yang berbeza pemikirannya berbanding pemikiran kebanyakan ulama’ seusianya pada masa itu, yang lebih menjurus kepada pemikiran tradisional.

Malah beliau berusaha menjernihkan konsep ulama’ pada tahun 1983 dengan idea mengubah nama Dewan Ulama’ kepada Dewan Ulama’ dan Cendekiawan. TG Yusof Rawa dipetik berkata,”Perubahan Dewan Ulama’ kepada Dewan Ulama’ dan Intelektual Islam, bertujuan untuk memadukan Ulama’ dan Intelektual Islam, sekaligus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka, dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing-masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisme yang memisahkan ilmu syariat dan ilmu aqliyyah itu dihapuskan!”.

Dua tokoh pimpinan PAS tersebut, bagi saya seakan-akan sudah mengetahui hakikat perlunya ahli PAS sama ada ustaz atau ulama’, perlu bersama-sama profesional, dan profesional juga perlu menghormati golongan agama, mereka merapatkan jurang yang ada, berkongsi ilmu, idea dan pandangan masing-masing untuk menggerakkan PAS mendepani masyarakat dalam negara. Lantas taraf ulama’ kembali kepada maksud sebenar, iaitu yang tinggi taqwanya, bukan sekadar berlatar belakang agama semata-mata.

Jika kita melihat Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami juga dipimpin oleh para intelektual dan ahli profesional. Mereka kebanyakannya terdiri dari yang berlatar belakang agama atau yang telah dilatih oleh jamaah untuk menjadi berjiwa ulama’. Tarbiyyah yang jamaah susun untuk ahli-ahlinya tanpa kira latar belakang, sememangnya menjadi tunjang kekuatan sesebuah jamaah.

Pemeringkatan tertentu dalam latihan tersebut terarah untuk melahirkan ulama’ kerana dalam jamaah Islam setiap ahli akan menjadi ulama’ bergantung kepada latihan pemeringkatan yang dilalui mereka. Maka, tidak hairanlah bila pimpinan Ikhwan dipelopori dari ahli profesional bercirikan ulama’ berbanding ahli agama atau pimpinan yang memang pakar dalam bidang agama.

Secara ringkasnya, PAS juga pada pandangan saya telah mengambil sedikit sebanyak semangat kejayaan Revolusi Iran pasa tahun 1979, meletakkan kepimpinan ulama’ diinspirasikan dalam perjuangan PAS di Malaysia.

PAS sangat perlu untuk terus laju mengorak langkah mulai sekarang, memperjuangkan Islam, memperjuang kepentingan rakyat, kebenaran dan keadilan untuk semua. Dakwah kepada non-muslim juga perlu dilebarluaskan melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang semakin diterima kaum cina dan india.

PAS tidak boleh menoleh ke belakang lagi. PAS perlu menjadi alternatif terbaik kepada rakyat Malaysia selain UMNO untuk bangsa melayu dan Islam umumnya, namun PAS perlu lebih ke hadapan untuk memperlihatkan Islam bukan memisahkan politik dan agama, tetapi Nabi Muhammad s.a.w juga meletakkan Madinah sebagai pusat pemerintahan Islam pertama dalam sejarah, yang mana kaum bukan Islam dan Yahudi sendiri, hidup aman harmoni di dalamnya.


Boleh juga dirujuk di laman, suara reformasi rakyat, detikdaily :

http://www.detikdaily.net/v5/




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...