Renungan Sejenak

Isnin, 7 Mac 2011

Bakul PAS Sudah Penuh?



“Kita tidak kalah, cuma belum menang sahaja.” Kami ahli-ahli biasa PAS tidak mahu mendengar lagi ungkapan itu diulang-ulang. Entah bila ia bermula tetapi itulah ungkapannya setiap kali PAS kalah dalam pilihanraya. Ungkapan itu bukan diucapkan oleh ahli PAS biasa-biasa tetapi pimpinan PAS yang besar-besar.

Mungkin itu gurauan namun apa ertinya gurauan yang tidak membawa apa-apa manfaat. Ya, menyedapkan hati sendiri, mungkin juga. Apa pun yang pasti, gunalah ungkapan apa pun, sebenarnya PAS kalah.

Sudah lima kekalahan iaitu di Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Cuba perhatikan pula keputusannya, bukankah keputusan semua kekalahan itu, bukan sahaja kekalahan tetapi dengan peningkatan majoriti untuk BN.

Ada lagi, undi untuk PAS di saluran 3, 4 dan 5, saluran orang muda juga tidak memihak kepada PAS. Malah, dalam PRK sebelum ini pun dikatakan undi daripada bukan Melayu juga turut merosot. Maksudnya, kalau saluran 1 dan 2, saluran orang gigit mi tak putus tidak memihak kepada PAS ditambah dengan saluran 3,4 dan 5 serta bukan Melayu juga sama, bagaimana masa depan PAS dalam PRU 13?

Kita boleh menyalahkan BN, menyalahgunakan media, jentera kerajaan, ugut dan beli pengundi, provokasi dan banyak lagi, itulah namanya BN. Kalau masuk pilihanraya dengan penuh rendah diri dan tanpa taktik jahat, itu bukan BN namanya.

Kita tidak boleh hanya menjawab soalan yang bermula dengan apa, siapa dan dimana sahaja tetapi perlu berani menjawab soalan mengapa? Ya, mengapa.

Dan, seperkara lagi, adakah orang kuat PAS tahu bahawa ada penyokong PAS yang berkata begini, “Nasib baik PAS tidak menang.? Juga ada yang berkata begini, “Aku harap PAS tidak menang di ******.” Mengapa? Dia menyambung, “Memburukkan keadaan, menjatuhkan imej Islam.”

Saya boleh menjangkakan, tulisan ini akan mengundang dua persepsi. Pertama, “Hang hanya pandai komplen dalam blog, hang buat apa?” Kedua, “Tulisan hang ini mendedahkan keburukan PAS, apa untungnya PAS?”

Kalau ibarat perlawanan bolasepak, ‘bakul’ PAS sudah hampir penuh menampung hasil rembatan pasukan lawan. Dan, kalau ada lagi perlawanan selepas ini, mungkin ada orang berkata, “Siap bakullah…”

Sesuatu perlu dilakukan. Jangan harapkan keajaiban. Benar, doa adalah senjata tetapi senjata itu perlu diasah dan ditajamkan. Ia juga perlu berada di tangan orang yang bijak, bukan orang yang tidak tahu menggunakan senjata.


http://sauhdibongkar.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...