Renungan Sejenak

Jumaat, 4 Mac 2011

PRK Merlimau dan Kerdau : Lesunya Kempen PR

MUNGKIN tumpuan jentera Pakatan beralih pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam waktu terdekat,atas sebab itu gabungan tiga parti itu kelihatan tidak bermaya selepas siri pilihan raya kecil mula menghitung sumbernya ketika berhadapan dengan saingan di Kerdau dan Merlimau sekarang.

'Gagasan' ini nampak keberatan untuk menghabiskan sumber mereka dalam pilihan raya kecil serentak di Kerdau dan Merlimau, sebaliknya mahu memantapkan tapak pada pilihan raya negeri Sarawak, sekali gus memaksimumkan momentum menjelang pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan dalam tahun ini.

“Pilihan raya negeri Sarawak dan umum tidak lama lagi dan kami perlu menyediakan kami untuk pilihan raya yang lebih besar,” akui ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

PAS yang meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi itu, mewakili Pakatan Rakyat, dilihat merasai kekangan kewangan dan juga elemen kepenatan di kalangan pemimpin dan jenteranya sendiri.

Ramai pemimpin kanan mereka tidak muncul di kedua-dua kerusi itu sejak kempen rasmi bermula Sabtu lalu.

Di Kerdau, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik kira-kira 400 orang pada ceramah yang diadakan pada hari penamaan calon manakala seorang lagi ahli jawatankuasa kerja pusat parti itu, Mohamed Sabu hanya menawan kira-kira satu per sepuluh daripada jumlah tersebut.

Lebih mengejutkan bagi Pakatan Rakyat, pada kedua-dua ceramah itu, yang hadir hanyalah mereka daripada kalangan ahli parti dan pekerja-pekerja jentera parti.

Pemimpin kanan Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul pada satu ceramah di Merlimau malam tadi.

Ketua DAP Pahang Leong Ngah Ngah dibenarkan untuk pergi ke Chiang Mai, Thailand dan tidak mengetuai partinya di Kerdau.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata Pakatan Rakyat kelihatan “terjejas dari segi moral” selepas siri kekalahan dalam pilihan raya kecil dan lebih bersedia untuk menghimpunkan sumber mereka daripada bertarung habis-habisan di kerusi yang sudah pun dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional, yang mencapai kejayaan selesa perikatan itu pada pilihan raya umum 2008.

“Mereka sudah pun meletakkan satu mata di Sarawak dan mereka akan membawa impak lebih besar jika memantapkan keduudkan mereka di Sarawak daripada menang satu atau dua pilihan raya kecil,” kata beliau sambil menambah, Pakatan Rakyat bertanding di Kerdau dan Merlimau kerana mahu meneruskan semangat mereka sebagai parti politik.

Pemimpin-pemimpin PAS kelihatan mula memberi pertimbangan untuk “memilih pertarungan yang sewajarnya” tetapi Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berpandangan, jika mereka menjauhkan diri, keadaan akan semakin buruk meskipun 16 pilihan raya kecil telah mengecilkan ‘sumber mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memberikan tumpuan ke atas kedua-dua pilihan raya kecil itu dengan melawat Kerdau dan Merlimau sejak Sabtu lalu.

Seperti lazimnya BN menghimpunkan jenteranya di kedua-dua kawasan itu dalam usaha mengekalkannya kubu kuat mereka.

Berbanding pilihan raya kecil sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri turun awal dengan menjanjikan ganjaran kepada peneroka-peneroka Felda.

Misalnya, Najib mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada Ahad lalu. Projek berkenaan ialah menaik taraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Perdana Menteri menegaskan bahawa kesemua projek berkenaan bukan untuk memancing undi, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

Malah beliau mengumumkan yag pengurusan Felda akan memberikan pertimbangan khas kepada 7,800 peneroka yang melibatkan 28 Felda di seluruh negara berhubung “bayaran CESS” dan bayaran balik tanaman semula dari getah kepada kelapa sawit.

PAS juga menurunkan artis Bob Lokman, yang menyertai parti itu baru-baru ini, tetapi kelihatan tidak berjaya dalam menarik pengundi-pengundi muda ke ceramahnya.

Selain Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Anwar merupakan pemimpin tertinggi pertama Pakatan Rakyat mengadakan kunjungan ke Melaka tetapi tidak disertai pemimpin kanan lain sama ada Hj. Hadi ataupun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari mengakui bahawa pihaknya perlu menyusun semula strategi dengan memfokus pendekatan kunjungan dari rumah ke rumah dalam usaha mendapatkan sokongan.

BN telah menang di empat daripada lima pilihan raya kecil, sekali gus ada pihak melihat Najib selaku Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya kecil tergempar meskipun mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...