Renungan Sejenak

Sabtu, 8 Januari 2011

Wahabi dan Syiah : Sekadar Pandangan Umum


Baru-baru ini negara kita juga dikejutkan dengan isu syiah. Ada yang mengaitkannya dengan fahaman Wahabi. Ada yang memberi pandangan mengenai isu tersebut dari pelbagai aspek. Ada yang mengkritik dan ada yang mengharmonikan isu tersebut. Jadi, saya akan berkongsi sebahagian dari maklumat sahaja berkaitan isu ini, manakala yang bakinya, carilah maklumat tambahan tentangnya sendiri.

Wallahu’alam.


Wahabi

Perkataan Wahabi adalah perkataan yang boleh mengelirukan bahkan ia digunakan untuk menakutkan atau menghina sesuatu perkara. Perkataan ini sering digunakan bermaksud mazhab Wahabi di Arab Saudi.

Pada hakikatnya, tidak ada mazhab Wahabi dalam sejarah Islam, yang ada ialah gerakan Islam anjuran Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab (1705-1787) pada abad 18M untuk mensucikan agama Islam daripada tambahan-tambahan dan khurafat.

Pada zaman ibn Abdul Wahab, kaum Arab di Semenanjung Arab berpecah belah, selalu berperang antara satu sama lain, berpuak-puak, dan agama mereka penuh dengan khurafat dan amalan bid’ah seperti amalan tawassul iaitu menerima sesuatu hajat melalui wali-wali Allah, membina Qubbah atas kubur dan tawaf mengelilingi kubur.

Kecurian dan pembunuhan sering berlaku, daan perjalanan mereka yang ingin menunaikan Haji di Mekah juga dipenuhi dengan bahaya. Maka pemerintah Saudi mahu membersihkan agama dari khurafat dan bid’ah ini serta mahu menegakkan hukum syariat berdasarkan Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Sheikh Muhammad ketika inilah dianggap mujaddid (membetulkan yang salah dan memperbaharuinya) agama yang mana telah mendapat kejayaan untuk menegakkan negara berdasarkan syariat Ilahi dalam abad ke-19 dan ke-20 ini.

Kelemahannya sememangnya ada, tapi sekurang-kurangnya Negara itu mengiktiraf syariat Allah. Sheikh Muhammad adalah pengikut mazhab Ahmad ibn Hanbal dan Kerajaan Saudi menghukum mengikut fiqh mazhab Hanbali.

Syiah

Kita perlu meneliti sejarah silam di zaman khalifah Islam yang ketiga, ketika pergerakan menentang khalifah dan usaha-usaha menggugat perpaduan umat di setiap wilayah yang dikuasai Islam pada ketika itu, sehingga Khalifah Uthman bin ‘Affan terkorban syahid.

Dari dapatan ahli-ahli ilmu menyebut, Abdullah Ibn Saba’ yang mengepalai ajaran Syiah permulaan suatu masa dahulu, adalah seorang Yahudi yang kemudian memeluk Islam dan membela Saidina Ali a.s. Semasa beliau beragama Yahudi, beliau berpendapat Yusya’ bin Nun merupakan wasi bagi Nabi Musa a.s secara ekstrim.

Setelah dia masuk Islam (secara pura-pura), dialah yang mula-mula mengisytiharkan kewajipan melantik Ali sebagai Imam, dan menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap musuh-musuh Ali malah mengkafirkan mereka. Bermula dari sinilah orang yang menentang Syiah mengatakan sumber bagi ajaran Syiah dan Rafidah ialah agama Yahudi. Wallahu’alam.

Namun pada hari ini, mudah ceritanya, ada syiah yang ekstrim dan yang sesat, misalnya yang mengatakan mereka akan beroleh syahid bila mana mereka melukakan badan mereka pada hari peringatan Saidina Ali karramallhu wajhah atau hari asyura.

Namun ada juga Syiah Zaidiyyah, syiah yang hampir dengan ahli sunnah wal jamaah, yang mana penganut syiah ini banyak berpusat di Yaman. Dari sejarah Imam Syafie sendiri menukilkan bahawa Imam Syafie sendiri pernah belajar di Yaman, sebelum berkelana dan menuntut ilmu ilmu ke Jordan dan kemudiannya ke Mesir.

Namun buat akhirnya, saya berharap kepada pembaca yang mungkin berfahaman syiah atau sunnah, kita perlu mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Bagi yang mendokong fahaman syiah, semoga syiahnya bukan syiah yang berorientasikan kapitalis atau syiah imamiyyah yang mana tergolong dalam syiah yang sesat, tetapi moga-moga mereka tergolong dalam syiah Zaidiyyah (yang sederhana).

Sebagai ingatan, umat Islam hari ini perlu menjadikan sejarah lampau sebagai pengajaran dan iktibar, supaya sejarah hitam tidak akan berulang lagi. Umat Islam yang berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah tidak boleh terperangkap dengan jerangkap-jerangkap yang telah dipasang oleh musuh untuk memecahbelahkan Islam. Waspadalah!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...