Renungan Sejenak

Memaparkan catatan dengan label isu global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu global. Papar semua catatan

Isnin, 22 Ogos 2011

Tumbangnya Regim Gaddafi Di Libya, Najib Perlu Buka Mata Seluas-luasnya

Trippoli, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Selasa, 3 Mei 2011

Kenyataan Najib tentang kematian Osama kurang tepat- PUM


KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama Ben Laden akan menjadikan dunia ini lebih selamat dan aman, sebagai kurang tepat.

Yang Dipertua PUM, Dato Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (gambar) berkata, ini kerana Amerika Syarikat sendiri dianggap sebuah negara Imperialis yang sentiasa berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka ke seluruh dunia, khususnya negara Islam dengan menaja keganasan.

“Kenyataan Najib itu mungkin kurang tepat kerana sebenarnya kuasa Amerika sendiri tetap akan meluaskan pengaruh imperialisme mereka ke seluruh dunia yang sebenarnya menggalakkan keganasan itu sendiri,” kata Sheikh Abdul Halim.

Beliau juga percaya bahawa keamanan dunia tidak hanya bergantung dengan kematian seorang Muslim yang sering dilabel pengganas seperti Osama.

“Keamanan ini asasnya adalah keadilan sebagai sebuah idea yang akan menghapuskan penindasan. ”

“Untuk memastikan keadilan ini mengambil tempat, ia memerlukan usaha bersama. Seorang individu sahaja tidak akan mampu untuk mewujudkan keadilan atau pun mencetuskan keganasan,” kata Sheikh Abdul Halim.

Menurut Sheikh Abdul Halim lagi, publisiti kematian Osama sebenarnya meningkatkan rasa ketakutan orang lain terhadap umat Islam yang sering diberikan gambaran salah oleh golongan yang tidak senang dengan gerakan Islam.

Jumaat, 18 Mac 2011

Jangan Gadai Nyawa Untuk Loji Nuklear

Gempa bumi dengan ukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 bukan sahaja mencetuskan tsunami, malah letupan reaktor loji nuklear di Fukushima Daiichi - krisis nuklear yang menyelubungi masyarakat global dengan kebimbangan. Ribuan mangsa disahkan mati, puluhan ribu orang pula kehilangan berikutan bencana alam tersebut. Seandainya keadaan letupan loji nuklear Fukushima Daiichi semakin kritikal, maka kemudaratannya mungkin lebih ketara daripada malapetaka bencana alam. Impaknya bukan sahaja dirasai populasi Jepun, tetapi rantau ini.

Krisis nuklear di Jepun ini merupakan satu amaran kepada Malaysia, yang berkobar-kobar semangatnya untuk membina loji nuklear.

Tragedi letupan loji nuklear Chernobyl pada 26 April 1986 masih dalam ingatan. Letupan ini telah menyebabkan pencemaran radioaktif, yang mana parasnya bersamaan dengan 200 kali ganda ketika bom atom digugurkan di Hiroshima and Nagasaki.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, International Atomic Energy Agency, WHO, UNDP, Ukraine, kerajaan Belarus dan pertubuhan lain PBB telah melengkapkan satu laporan pada September 2006, bahawa tragedi Chernobyl mengakibatkan kematian 4,000 orang, termasuk 47 orang penyelamat daripada WHO, dan sembilan orang kanak-kanak yang dijangkiti kanser tiroid (Thyroid cancer). Laporan penyiasatan WHO yang diumumkan pada April 2006 pula menunjukkan, mungkin 5,000 orang lagi yang mati di kawasan pencemaran radioaktif (termasuk Ukraine, Belarus, Russia dsb). Dengan kata lain, jumlah kematian manusia mungkin melebihi 9,000 orang.

Pada tahun lalu, media asing melaporkan bahawa Tenaga Nasional Bhd berniat untuk membina sebuah loji nuklear pada tahun 2021. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui mengesahkan bahawa kabinet telah meluluskan rancangan untuk membina sebuah loji yang boleh menghasilkan 1,000 megawatt kuasa nuklear, dengan anggaran kos antara RM 6.6 bilion hingga RM13.34 bilion.

Rancangan pembinaan loji nuklear bukan sahaja mengundang kritikan NGO yang berprihatin terhadap isu alam sekitar, malah pakar turut menganggap loji nuklear bukan pilihan Malaysia untuk menyelesaikan masalah bekalan tenaga. Ketua Pegawai Eksekutif The Red Solar Sdn Bhd, Rais Hussin pernah menulis dalam The Edge, memberi amaran bahawa dalam keadaan di mana persediaan yang tidak mencukupi, terutamanya dari segi sumber manusia, keterlibatan Malaysia untuk membina logi nuklear bakal mengundang kesan yang dahsyat.

Selepas krisis nuklear lantaran gempa bumi di Jepun, Presiden City University of Hong Kong, Guo Wei yang juga seorang pakar tenaga nuklear berkata, loji nuklear melibatkan pengurusan kejuruteraan, dan bukan soal fizik. Jadi, unsur "manusia" adalah paling penting. Sistem penyejukan, latihan manusia untuk berdepan dengan pelbagai keadaan, adalah penting dalam soal loji nuklear.

Pandangan kedua-dua pakar ini memperingatkan kita bahawa, seandainya loji nuklear dibina, maka kemampuan untuk menjaga keselamatan loji nuklear adalah perkara yang terpenting.

Sesungguhnya, jikalau lampu hijau diberikan kerajaan, malah Tenaga Nasional sanggup membelanjakan wang, maka secara semulajadinya akan ada kumpulan syarikat yang sudi melabur dalam pembinaan loji nuklear. Lebih-lebih lagi, laporan Kajian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) hanyalah rubber stamp untuk meluluskan projek mega. Justeru itu, pembinaan loji nuklear hanyalah soal masa.

Namun demikian, apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah, sejauh manakah kemampuan negara kita untuk mengekalkan keselamatan selepas loji nuklear dibina dan mula beroperasi? Ia bukan hanya melibatkan kepakaran yang boleh dikerah Tenaga Nasional, tetapi juga sama ada kerajaan mampu menyediakan persediaan, sumber dan kecekalan yang mencukupi, untuk memantau penjagaan keselamatan loji nuklear?

Mereka yang tinggal di Malaysia sememangnya mengeluh dengan keberkesanan perkhidmatan kerajaan. Misalnya, hampir setiap tahun kita akan berdepan dengan tragedi kemalangan bas yang meragut puluhan nyawa, dan tragedi ini berkait rapat dengan penguatkuasaan unit pengangkutan awam yang tidak ketat, pemantauan yang tidak berkesan dan sebagainya. Malah, walaupun diswastakan seperti Tenaga Nasional, POS dan Telekom, keberkesanan perkhidmatannya juga tidak begitu memuaskan.

Dalam keadaan sedemikian, kekhuatiran terhadap keselamatan diri kita selepas loji dibina adalah berasas. Adalah menjadi tanda soal sama ada negara kita mampu dari segi kemahirannya untuk menguruskan krisis, seandainya kemalangan berlaku dalam loji nuklear?

Selepas "dasar penswastaan" dilaksanakan Perdana Menteri keempat Mahathir Mohamad sejak tahun 1980-an, tujuan asal penswastaan telah berubah menjadi "perniagaan", iaitu keuntungan dan longgakan kapital didahulukan, sebaliknya perkhidmatan awam dikemudiankan. Dengan kata lain, keuntungan diutamakan dengan menggadaikan kepentingan awam. Misalnya, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Sungai Selangor - semuanya mencapai matlamat dengan mengorbankan hak kaum asal.

Seandainya kerajaan Barisan Nasional berpandangan jauh, atau masih berhati-perut (walaupun sukar ditemui) - mereka seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya projek pembinaan loji nuklear, jangan sehingga rakyat Malaysia dan negara jiran terkorban di bawah kapitalisme. Biar betapa bodohnya politikus sekalipun, mereka akan dapat memikirkan kesan pencemaran nuklear yang bakal memberi impak kepada generasi anak mereka, walaupun mereka mungkin telah terbaring di bawah natu nisan pada ketika itu.

*Artikel ini disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 16 Mac 2011. Gambar dari Reuters.

Isnin, 28 Februari 2011

Ada Kebenaran Najib Burukkan Ikhwan Muslimin dan Al-Qaradhawi?


Oleh : Mohd Sayuti Omar

NAJIB Razak menjawab dan menjelaskan tohmahan dan dakwaan kononnya beliau telah melemparkan kata-kata kurang cerdik ke atas Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwan Muslimin di Mesir dengan mengatakan Ikhwan Muslimin dan Al-Qaradhawi membantu keganasan. Najib menafikan yang beliau ada mengadakan Ikhwan Muslimin sebagai gerakan militan dan ekstremis.

Kata Najib apa yang berlaku ialah beliau menasihat Ikhwan Muslimin supaya membuang persepsi ganas dan militan yang dicapkan kepada gerakan tersebut dan menyertai pilihan raya demokrasi. Kata Najib persepsi itu adalah persepsi umum bukan darinya.

Semalam Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal atas kritikan Najib kepada Ikhwan Muslimin. Kritikan itu dikesani disiarkan dalam web National Review Online.

Dalam jawaban dan penjelasan di Kerdau siang tadi Najib tidak menafikan beliau ada berckap mengenai hal itu. Najib tidak kata yang laporan itu bertujuan untuk memburukkan Ikhwan Muslimin. Tetapi apa yang dijelaskan beliau tidak berkata seperti mana dilaporkan itu kemudian diulas oleh Nasharudin dan Anwar.

Baiklah... apabila Najib memperakui bahawa persepsi negatif itu persepsi umum kemudian beliau memberi nasihat berpandukan pandangan umum itu ini bermakna beliau menerima persepsi itu. Kalau Najib tidak menerima beliau tidak akan memberi nasihat kepada Ikhwan Muslimin itu seperti mana dijelaskan.

Salahnya Najib di sini secara tidak langsung beliau mengiktiraf pandangan umum. Soalnya pula pandangan itu dari pihak mana? Bukankah ianya datang dari Amerika Syarikat dan Israel yang sangat benci dan bimbang dengan kebangkitan Ikhwan Muslimin? Pandangan jahat terhadap Ikhwan Muslimim seperti itu tidak datang dari gerakan Islam dan negara Islam lain di seluruh dunia. Saya tidak tahulah kalau Umno pimpinan Najib turut mempunyai pandangan berkenaan.

Satu yang kena ingat kepada kewujudan Hizbul Muslimin sebuah parti yang bersemangatkan Islam di negara ini pernah diharamkan oleh penjajah British. Pengharaman itu disokong sepenuhnya oleh Umno yang merasakan parti pimpinan Abu Bakar Baqir itu dirasakan boleh mengugat Umno. British menggelarkan Hizbul Muslimin ini sebagai 'hubaya' dari gunung. Sikap Umno terhadap pengharaman Hizbul Muslimin itu menyebabkan Umno dianggap anti Islam atau parti sekular.

Seperkara lagi yang boleh dimusykilkan, penjelasan Najib yang konon beliau tidak beranggapan begitu kepada Ikhwan Muslimin juga akan dipertikaikan sejauh mana keikhlasan dan kebenarannya. Saya tidak pun ternampak pandangan dan ulasan Najib berhubung Ikhwan Muslimin itu disiarkan dalam mana-mana media massa negara ini. Beberapa agensi berita telah menyertai rombongan rasmi Najib ke Turki tempat di mana beliau mengeluarkan kenyataan itu tetapi tidak ada ulasan dan penyiaran ke atas kenyataan itu.

Apakah ianya sudah ditulis oleh wartawan tetapi ditapis untuk penyiarannya. Saya yakin kalau web bebas itu boleh dipengaruh kenyataan itu juga tidak akan disiarkan sebab ia memberi implikasi kepada perdana menteri Malaysia itu khasnya di negara Arab dan oleh gerakan Islam lainnya.

Kalau kenyataan dan pandangan Najib terhadap Ikhwan Muslimin itu tidak ada motif politik, atau positif kenapa ia tidak dilaporkan dalam media massa negara ini? Di sini menyebabkan saya merasakan tanggapan Anwar dan Nasharudin terhadap Najib yang menghina Ikhwan Muslimim itu semacam ada kebenarannya, atau ada asasnya.

Justeru permintaan agar Najib memohon maaf kepada Ikhwan Muslimin dan Yusuf Al Qaradhawi adalah dirasakan perlu. Bukan itu saja Najib juga perlu meminta maaf kepada umat Islam lainnya kerana penghinaan kepada Ikhwan Muslimin sebagai menghina mereka sama. Umum tahu Ikhwan Muslimin adalah gerakan Islam di Mesir yang sudah lama berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kerajaan diktator dan munkar pimpinan Mubarak yang disambung dari rejim sebelum ini.

http://msomelayu.blogspot.com

Selasa, 8 Februari 2011

Tunisia dan Mesir : Real Politik dan Masa Depan Pasca-Islamis




Ahli Akademik Perancis, Olivier Roy dalam satu tulisan mengulas revolusi di Tunisia menegaskan Islam tidak menjadi sebahagian daripada kebangkitan aman di negara Afrika Utara itu.

Menurutnya, siri demonstrasi yang akhirnya menjatuhkan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali itu tidak menampakkan sebarang ciri Islam, tidak ada seruan untuk menubuhkan negara Islam, dan tidak kedengaran jeritan menolak “imperialisme Amerika.”

Rejim memerintah Tunisia itu, menurut Roy, dilihat sebagai lahir dari politik setempat, dan bukan boneka Perancis atau penjajahan baru Amerika Syarikat.

Roy, melalui bukunya The Failure of Political Islam melahirkan wacana yang kini dikenali sebagai pasca-Islamisme, yang antara kandungan utamanya ialah gerakan Islam yang semakin menyesuaikan diri dengan ruang demokrasi dan bahasa semasa sehingga tidak lagi menjadi gerakan Islam seperti yang dikenali sebelumnya.

Secara mudahnya, pasca-Islamisme ditakrif sebagai satu kondisi gerakan Islam bercakap dalam bahasa semasa dan menangani hal-hal semasa yang bukan menurut istilah yang biasa dengan gerakan Islam.

Tetapi pasca-Islamisme pergi lebih jauh lagi, dan ditakrif juga sebagai satu bentuk baru gerakan Islam yang mengambil sepenuhnya wacana baru dan bersifat sebagai demokrat dan menjadi lebih liberal, menjadikan mereka pasca-Islamis.

Bagi penyokong tesis pasca-Islamisme, pasca-Islamis dilihat sebagai fasa atau lekuk seterusnya yang perlu dilalui oleh gerakan Islam, menjadikan mereka lebih inklusif dan bergerak dalam kerangka negara-bangsa masing-masing.

Tesis pasca-Islamisme kelihatan menguasai naratif sebahagian besar media dan akademik Barat dan antarabangsa dalam liputan dan analisis kebangkitan di Tunisia dan Mesir.

Satu pandangan yang hampir mendapat konsensus ialah gerakan Islam tidak berperanan dalam protes di Tunisia dan Mesir, yang dikemukakan sebagai sesuatu yang bersifat “sekular” dan digerakkan sepenuhnya oleh rakyat yang bebas daripada pengaruh politik.

Liputan protes Tunisia dan Mesir tidak mengemukakan wajah mewakili protes terbabit, dengan tumpuan diberikan pada identiti kolektif peserta demonstrasi.

Hal ini sangat berbeza dengan protes antikerajaan di Iran pada 2009, yang wajah mewakili gerakan itu menjadi tumpuan media sejak awal, dan mempunyai pemain-pemain yang jelas.

Gerakan Islam dalam kedua-dua kes dikemukakan sebagai datang selepas protes tercetus dan hanya terlibat selepas kejatuhan rejim (di Tunisia) dan ketika rejim semakin lemah (dalam kes Mesir.)

Banyak isu yang timbul sejurus revolusi Tunisia turut timbul dalam kes Mesir, iaitu peranan gerakan Islam.

Walaupun tidak dapat dinafikan dalam protes terbaru di kedua-dua negara itu gerakan Islam tidak berperanan dominan, perkembangan tersebut tidak boleh dibaca sebagai terasing daripada perjalanan sejarah politik negara terbabit dan perkembangan serantau sejak beberapa tahun lalu.

Isu ekonomi, dasar kuku besi pemerintah dan pelbagai isu lain memang menjadi antara isu yang ditangani oleh gerakan Islam di kedua-dua negara.

Sebarang tindakan politik seperti yang disaksikan itu tidak akan berlaku dalam vakum, terjadi dengan tiba-tiba dan terasing daripada konteks setempat.

Hakikat bahawa kemarahan rakyat tertumpu pada pemimpin yang telah memerintah selama beberapa dekad menunjukkan peristiwa itu tidak dapat dipisahkan daripada sejarah politik kedua-dua negara, yang memang menyaksikan peranan gerakan Islam.

Hujah ini terkait dengan pandangan dominan berhubung bentuk pemerintahan dalam politik baru negara-negara terbabit.

Pemerintah baru yang dibayangkan banyak pihak dan bakal mendapat sokongan masyarakat antarabangsa ialah kerajaan yang mewakili semua pihak (broad-based) dan liberal, dengan peranan gerakan Islam yang tidak besar.

Kebimbangan yang banyak disuarakan kuasa Barat ialah potensi gerakan Islam untuk menguasai dan memonopoli kuasa dalam kerajaan baru nanti.

Kebimbangan ini tidak mempunyai asas kerana realiti politik pilihan raya di negara-negara terbabit dan kemampuan serta hasrat gerakan Islam di kedua-dua negara.

Persoalan tentang peranan Parti al-Nahdah di Tunisia dan Ikhwan al-Muslimin di Mesir selepas kebangkitan rakyat sebahagian besarnya sudah terjawab.

Penglibatan gerakan Islam di kedua-dua negara bergantung pada perubahan yang akan berlaku melibatkan proses demokratik negara terbabit.

Pertama, perubahan perlu berlaku. Ini telah berlaku di Tunisia, tetapi sehingga hari ke-13 protes, belum terlaksana di Mesir.

Kedua, proses pilihan raya dan pembentukan kerajaan perlu berjalan dengan lancar dan bebas. Ini belum lagi berlaku di kedua-dua negara.

Kedua-dua kumpulan akan mempunyai kedudukan yang lebih besar sekiranya proses demokratik yang sewajarnya terlaksana dan mereka menyertai proses itu dan bersedia mengambil tanggungjawab.

Paling jelas, di Mesir, sebagai kumpulan pembangkang yang paling besar dan tersusun, Ikhwan mesti dan akan terlibat dalam kerajaan baru nanti sekiranya proses demokratik pilihan raya berjalan dengan bebas dan adil.

Soal yang utama ialah sejauh mana Ikhwan berhasil menunaikan janji-janjinya sebagai gerakan Islam seperti yang dikemukakan kepada rakyat yang menyokongnya dalam kerajaan baru nanti.

Senario yang paling realistik sekiranya rejim sedia ada di Mesir diturunkan dan proses demokrati baru dijalankan dalam pembinaan kerajaan baru ialah gabungan pelbagai haluan dalam kerajaan.

Tidak dapat tidak, Ikhwan akan bersama dalam sebuah kerajaan menggabungkan kumpulan liberal dan berhaluan kiri.

Dalam kes ini, Ikhwan akan terpaksa bersikap realistik dalam hal melibatkan had peranan dan kuasanya dalam kerajaan.

Dalam bahasa pasca-Islamisme, usaha gerakan Islam menangani isu seperti proses demokratik dan keperluan-keperluan semasa yang lain turut dikaitkan sebagai satu keadaan pasca-Islamisme.

Pandangan ini agak terlalu mudah kerana tidak ada sebab untuk sebuah gerakan Islam mengabaikan hal tersebut dalam aktiviti politiknya.

Bagi penyokong pasca-Islamisme, pilihan paling jelas bagi Ikhwan ialah mengambil jalan pasca-Islamis, dengan menjadi lebih inklusif, lebih menyantuni hak dan pluralisme, yang secara praktiknya akan bermakna Ikhwan kehilangan sebahagian ciri Islamisnya.

Tekanan terhadap Ikhwan untuk mengambil jalan pasca-Islamis sentiasa wujud, melalui liputan-liputan media, komentar pemerhati dan sebagainya.

Satu contoh dan model pasca-Islamis ialah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, yang mengambil haluan berbeza daripada parti Islam yang disertai tokoh-tokoh AKP sebelum itu.

Dalam hal melibatkan perbandingan dengan Turki, sekiranya Ikhwan menyertai kerajaan Mesir nanti, isu besar yang akan dihadapi ialah pengiktirafan terhadap Israel.

Hal ini tidak membawa masalah kepada AKP yang memerintah Turki, kerana tidak ada perubahan dalam hubungan Israel dengan Turki.

Apapun yang menanti di penghujung episod ini, Ikhwan akan berdepan satu cabaran terbesarnya apabila terpaksa berdepan cabaran bergelut dalam politik baru Mesir yang mencabar.

Pendirian yang tegas akan memastikan identiti Ikhwan sebagai gerakan Islam terpelihara dalam usaha memposisi diri dan mengambil bahagian dalam politik baru negara yang menjadi perhatian dunia Arab dan Islam itu.

Ikhwan dan gerakan-gerakan Islam yang melalui politik baru yang lebih sofistikated dan mencabar kini mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan gerakan Islam berdepan cabaran-cabaran semasa, dan menegaskan masa depan pasca-Islamis yang cuba dipaksakan oleh pendukung gagasan itu bukan satu pilihan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...