Renungan Sejenak

Rabu, 24 Ogos 2011

Pencarian Keberkatan Lailatul-Qadar Bermula, Ratusan Ribu Umat Islam Banjiri Masjidilharam

Ratusan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri Masjidilharam untuk mengerjakan ibadah umrah, menunaikan solat Tarawih dan qiamullail bagi mencari keberkatan malam Lailatulqadar.

Gambar: BEREBUT PAHALA: Ratusan ribu jemaah melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah, pada Sabtu lalu. Ditaksirkan hampir tiga juta umat Islam mengerjakan solat qiamullail secara berjemaah di masjid tersebut dan Masjid Nabawi di Madinah. -- Foto AP

Jabatan Pertahanan Awam di Makkah memberikan akhbar Arabnews peluang yang sangat jarang untuk merakamkan gambar Masjidilharam pada malam 21 Ramadan yang jatuh pada Sabtu melalui helikopter jabatan itu dengan inisiatif Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Muhammad al Harbi.

Helikopter Midel S92 yang tiba dari Jeddah dipandu juruterbang, Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Pertama Ziyad Al-Otaibi.

Jurugambar akhbar itu berjaya merakamkan imej keseluruhan Makkah dari pelbagai sudut termasuk Menara Wakaf Raja Abdul Aziz.

Helikopter juga melintasi kawasan Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya, kawasan yang sesak dengan kenderaan membawa jemaah dan orang ramai yang mahu beribadah.

Juruterbang membantu memaklumkan kepada kakitangan lapangan Jabatan Pertahanan Awam yang kesesakan berlaku di banyak tempat di bandar itu.

Kegunaan helikopter itu adalah untuk mencari, menyelamat, memadamkan kebakaran dan mengangkut pesakit. Ia boleh membawa 22 penumpang.

Sebaik saja Ramadan menghampiri fasa terakhir masjid di seluruh Arab Saudi mula menganjurkan ibadat qiamullail termasuk solat malam.

“Solat istimewa ini dilaksanakan pada malam 10 hari terakhir Ramadan mulai jam 1 pagi,” kata imam di Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah, Riyadh.

Tempoh 10 malam terakhir Ramadan lebih penting kerana al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatulqadar. Justeru, amalan baik umat Islam akan diberi ganjaran besar, kata imam itu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah mengeluarkan arahan supaya semua masjid dibuka untuk jemaah sepanjang malam pada malam 10 Ramadan terakhir.

Imam berkata masjid dibuka kepada orang ramai pada waktu malam untuk mereka membaca al-Quran dan melaksanakan solat sunat. – Agensi

Isnin, 22 Ogos 2011

Tumbangnya Regim Gaddafi Di Libya, Najib Perlu Buka Mata Seluas-luasnya

Trippoli, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Ahad, 14 Ogos 2011

Hati Rosak dan Ubatnya


Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?


Antara tanda-tanda hati yang sejahtera (qalb salim) adalah:

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.


2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.


3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.


4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.


5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.


6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.


7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.


Tanda-tanda hati yang rosak


1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.


2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.


3) Merasa seronok bergelumang dalam dosa.


4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.


5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.


6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.


7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.


8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.


9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.


10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Penyakit hati


1) Nifaq dan riya' (menunjuk-nunjuk).


2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.


3) Hasad dan dendam kesumat.


4) Sombong, bangga diri dan ego.


5) Bohong dan berputus asa.


6) Cinta mendalam kepada selain Allah.


7) Ikut hawa nafsu.


8)Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).


9) Takut kepada selain Allah.


10) Belot dan khianat.


11) Suka memaki hamun orang lain.


12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.


13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.


Kaedah rawatan penyakit hati


a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.


b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.


c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.


d) Khusyuk dalam solat.


e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.


f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.


g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.


h) Beriktikad dengan akidah yang betul.


i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.


j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.


k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.


l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.


m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.


n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.


o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.


p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.


q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.


r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.


Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...