Renungan Sejenak

Jumaat, 27 Mei 2011

Harga Minyak Naik, Rakyat Akan Naik Minyak

24 Jamadilakhir 1432H -

Saya menilai pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan BN tidak akan menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada ketika ini adalah satu dasar yang sangat janggal yang masih menampakkan tidak ikhlasnya kerajaan membela rakyat.

Lucunya dasar tidak menaikkan harga barang seperti diumumkan menjadi kebanggaan dan siulan pemimpin BN yang menggelarkan mereka prihatin dalam keadaan sudah berulang kali harga barang telah dinaikkan sejak mandat PRU ke 12 lepas.

Oleh itu saya mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berwaspada dengan permainan licik pemimpin BN untuk terus menipu rakyat dan jangan mudah lupa dosa BN yang telah berulang kali menaikkan harga barang sebelum dari ini.

PM Najib dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan amat prihatin terhadap beban yang ditanggung rakyat, walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang besar berikutan peningkatan jumlah subsidi.

Perdana Menteri mendedahkan kenaikan harga minyak global, kerajaan terpaksa menanggung subsidi langsung hampir RM20 bilion tahun ini, sedangkan peruntukan sebenar hanya RM11 bilion.

Namun tidak pula dia bercakap berapakah keuntungan berganda yang Petronas perolehi selepas berlaku kenaikan harga minyak yang boleh menampung kenaikan beban itu.

Keadaan ini ditambah pula dengan tidak adanya jaminan sehingga bila harga barangan tersebut tidak akan dinaikkan. Sehingga menjadi satu alasan kepada banyak pihak bahawa dasar tersebut adalah untuk menyelamatkan BN dari terus ditolak oleh rakyat.

Realitinya kerajaan takut untuk "naikkan harga minyak kerana rakyat akan naik minyak" dan menghukum BN dalam PRU akan datang.

Paling kurang saya melihat mereka sedang memikirkan apakah alasan yang paling munasabah untuk mengumumkan kenaikan harga barangan tersebut.. Tidakkah Najib sudah umumkan kerajaan terbeban dengan subsidi 20 billion sedangkan sepatutnya hanya 11 billion pada tahun ini. Kenapa masih tidak berani menaikkan harga barang kalau itu alasannya ?

Sesungguhnya rakyat Malaysia mendapat isyarat yang jelas bahawa mereka akan menghadapi masalah besar apabila terus menyokong BN dalam PRU ke 13 kerana BN akan terus menghimpit rakyat dengan isu kenaikan harga barang.

Dalam bahasa yang lebih canggih BN mengatakan berlaku penyelarasan subsidi sedangkan dalam bahasa lain sebenarnya kerajaan telah menarik hak wang rakyatnya sendirinya kepada unsur lain yang tidak diumumkan.

Saya hairan bagaimana BN sanggup menjadi penghisap darah dan penindas kepada rakyatnya yang menyumbang kepada hasil negara dalam bentuk cukai barangan perkhidmatan, bayaran lesen, cukai pendapatan dan sebagainya. Apalah salah hanya beberapa sen wang tersebut dikembalikan dalam bentuk subsidi dan mendatangkan manafaat secara merata kepada seluruh warga Malaysia.

Pemimpin BN secara berterusan mengungkitkan bebanan memberi subsidi dan menggambarkan bahawa wang itu milik BN sedangkan sebenarnya subsidi itu datang dari wang rakyat Malaysia keseluruhannya. BN cuma diamanahkan menjaganya.

Jika subsidi ditarik, yang rugi adalah rakyat dan lebih rugi sekiranya kenaikan barangan tertentu menyebabkan kenaikan berganda kepada barangan lain khsusnya bila harga minyak naik.

Sedangkan banyak lagi langkah dan usaha yang munasabah bagi memastikan kerajaan mempunyai wang yang lebih dengan antaranya melaksanakan dasar jimat cermat dalam berbelanja dan membenteras bil berganda dan rasuah seperti yang diumumkan oleh Ketua Audit Negara.

Bukti yang sangat jelas mampu dilakukan oleh Pulau Pinang walaupun baru setahun jagung telah mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak 88 juta pada tahun 2008 dan sebanyak 77 juta pada tahun kewangan 2009.

Kerana itu berwaspadalah rakyat Malaysia dengan lakonan terkini pemimpin BN ini.


Kenyataan Media

Drs. Khalil Idham Lim
Ketua Penerangan PAS Perak
Parit Buntar, 27 Mei 2011.


Artikel lain berkaitan isu ini :

Harakahdaily : BN Masih Minat Naikkan Harga Minyak



p/s : Perbandingan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia yang lain, yang mana Malaysia negara ke 27 sebagai negara pengeluar minyak dunia, dan harga minyak kita ialah RM2.90 seliter.

Kita lihat negara pengeluar minyak dunia ke 28 dan 29 Oman dan Mesir, harga di Oman dan Mesir adalah lebih rendah.

Di Mesir, harga minyak ialah RM1.06 sen seliter dan Oman RM1 seliter. Malaysia RM2.90!!

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram

Petronas yang sepatutnya untung hasil kenaikan harga minyak dunia bagaimana pula?? Adakah rakyat didahulukan???



Rabu, 25 Mei 2011

Nik Aziz Dakwa Umno-BN ‘cipta’ Label Ulama, Profesional Dalam PAS!!

Umno-APCO Buat Hal Lagi!! Jangan Mudah Percaya, Semua ini Hanyalah Agenda Pihak Musuh!!



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak wujud dua kumpulan — ulama dan profesional, yang didakwa bersaing mahu menguasai barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.

Sebaliknya kata beliau, istilah golongan ulama dan profesional itu yang seringkali timbul ketika pemilihan parti, sebenarnya “dihidupkan” oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Nik Aziz (gambar) berkata demikian menjelang pemilihan kepimpinan PAS pusat awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.

Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan sengit.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa cabaran.

Mereka yang mahu bertanding jawatan tertinggi PAS harus mengesahkan pencalonan mereka sebelum pukul 5 petang ini.

“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh Umno-BN.

“Jika pun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook malam tadi.

Oleh itu kata Menteri Besar Kelantan itu, barisan kepimpinan PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.

Justeru, tegas Nik Aziz, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.

“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.

“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai.

“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama dalam PAS itulah profesional.

“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular.

Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai.

Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.

Tambah Nik Aziz, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan PAS.

“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.

“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,” katanya.



p/s : Jangan mudah menghukum sesuatu perkara sebelum diselidik berita atau perkara tersebut terlebih dahulu, lupakah akan 'inzar' dan peringatan keras dari Allah dalam Al-Quran?? Oleh itu, bertaubatlah kita semua terutama bagi mereka yang menyebarkan berita palsu dari golongan tertentu, apatah lagi golongan fasik!!

Rujuklah ayat ke-6 dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman!! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu golongan kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.."



Lihat dan FAHAMI juga kenyataan media oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang saya sengaja sertakan dari facebook beliau sendiri, supaya semua dapat membaca realiti semasa di sini.. Jangan pecahbelahkan PAS dek kerana kita tidak memahami siyasah syar'iyyah dan situasi sebenar di medan perjuangan kini!!


Kenyataan media mengenai ulasan lengkap beliau di sini :

Kenyataan Media - PAS : Benteng Ombak Penyelamat Ummah



Artikel berkaitan boleh rujuk :

Konsep Kepimpinan Dalam PAS


Skandal Cetak Mata Wang, Sebabkan Inflasi!! Fikirlah rakyat juga!!

Cara Umno-APCO "Gandakan" Dana Pilihanraya!!



Kerajaan diminta mengumumkan siasatan mengenai skandal mencetak mata wang berganda yang pernah ditimbulkan sejak beberapa tahun lalu.

Ia berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia untuk mengeluarkan siri baru wang kertas dan syiling Malaysia yang dikatakan akan diedarkan di pasaran pada awal 2012.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, isu percetakan mata wang berganda itu telah beberapa kali dibangkitkan di parlimen, namun sehingga kini kerajaan dan agensi undang-undang yang terlibat gagal mengumumkan sebarang hasil keputusan mengenainya.

“Sehingga kini siasatan ini didiamkan.

Dulu dikatakan kerajaan akan dedahkan hasil siasatan di parlimen, tapi sehingga kini tidak ada langsung penemuan dan hasil siasatan yang diberikan kepada kita,” kata Azan ketika dihubungi keadilandaily.com.

Azan merujuk skandal komisyen bernilai RM11.4 juta yang diterima individu tempatan daripada syarikat membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas, Securency International dan Note Printing Australia.

Dua anak syarikat Reserve Bank Australia itu didakwa merasuah pegawai tinggi kerajaan selaku orang tengah bagi mendapat kontrak mencetak dan membekalkan mata wang negara antara 1990 hingga 2005.

Individu yang juga dikatakan ahli perniagaan itu dikatakan rapat dengan Umno dan kerajaan.

Skandal itu turut menggemparkan masyarakat antarabangsa apabila syarikat Australia tersebut dikatakan turut merasuah Timbalan Gabenor Bank Pusat di sebuah negara Asia dengan menawarkan khidmat pelacur Asia. Antara nama negara yang disebut termasuk Malaysia, Nigeria dan Vietnam.

Menurut Azan, mata wang berganda yang memiliki nombor siri yang sama itu dipercayai digunakan Umno-BN untuk merasuah pengundi setiap kali pilihan raya umum dan negeri, seperti mana dikesan berlaku di Sabah.

Azan menyifatkan aktiviti percetakan mata wang berganda itu sebagai pengkhianatan kepada institusi kewangan negara dan lebih teruk berbanding spekulasi nilai mata wang.

Ini kerana lambakan mata wang berganda itu juga akan menyebabkan nilai mata wang jatuh dan mengheret negara ke arah inflasi.

“Apabila ini berlaku, nilai mata wang Malaysia akan jatuh dan tak boleh diperdagangkan di peringkat antarabangasa.

Ia hanya laku dalam negara menyebabkan kejatuhan nilai.

Ia menyebabkan inflasi dan juga terdedah kepada spekulasi.

“Di sesetengah negara, mereka yang didapati bersalah melakukan perkara ini akan dihukum mati,” tambah beliau.

“Sebab itu, jika menyentuh soal mata wang berganda ini, saya merasa curiga kerana isu yang ditimbulkan sejak 2009 iaitu selepas pilihan raya pada Mac 2008 masih belum berjawab,” katanya lagi.

Malah katanya, sekiranya keadaan itu berterusan di tambah rasuah dan kebocoran perbelanjaan awam, negara mungkin berhadapan risiko bankrap sepertimana yang terjadi di Greece dan kini berjangkit ke Sepanyol.

Dalam masa yang sama Azan turut mempersoalkan mengapa kontrak percetakan mata wang negara perlu dilakukan melalui pihak ketiga.

“Seingat saya tiga kali perkara ini diberi perhatian di parlimen termasuk dalam belanjawan negara.

Tetapi tidak ada jawapan munasabah mengapakah kita melantik agen sedangkan banyak negara seperti Thailand mengendalikan percetakan mata wang sendiri supaya mudah untuk diawasi,” katanya.

Untung Luar Biasa Bagi Saham Petronas Dagangan, Jangan Ada Yang Salahguna..!!!

Petronas Dagangan Bhd (PDB), yang mempunyai tunai bersih RM1 bilion sehingga akhir Mac 2011, dijangka terus bermurah hati memberikan pembayaran dividen bagi tahun kewangan akan datang.

HwangDBS Vickers Research berkata ia menganggarkan bayaran dividen itu kira-kira 70 peratus yang diterjemahkan kepada 61.5 sen dividen bersih sesaham (DPS).

klcc petronas towerSemalam, PDB mengisytiharkan DPS khas dan kasar terakhir 60 sen, yang merupakan lebih tinggi daripada jangkaan, kata syarikat penyelidikan itu di dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2011, keuntungan pracukai syarikat itu melonjak RM1.21 bilion berbanding dengan RM1.05 bilion yang dicatatkan pada 2010.

Perolehan meningkat kepada RM23.27 bilion daripada RM20.69 bilion sebelum ini.

Dalam satu makluman kepada Bursa, PDB berkata ia menjangka keuntungann bagi tempoh kewangan semasa dicatatkan lebih rendah.

Ini adalah berikutan tempoh kewangan selama sembilan bulan, yang timbul dari perubahan tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac sebelum ini hingga 31 Disember, mulai 2011.

Bagaimana pun, HwangDBS memberitahu Bernama bahawa 70 peratus pembayaran dividen masih berdasarkan tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Sehingga ini, HwangDBS menyarankan "pegang" bagi saham PDB dengan harga sasaran RM12.75.

Sehingga jam 11.33 pagi, harga saham PDB dicatatkan meningkat 40 sen kepada RM15.70.

- Bernama


p/s : PETRONAS dah untung luar biasa, tetapi harga minyak petrol masih mahal di kalangan negara-negara pengeluar minyak di dunia!!



Kepimpinan Nik Aziz Patut Dicontohi Semua Kaum

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diakui terbaik oleh kaum India dan patut dicontohi oleh semua kaum di negara ini.

Kepimpinan beliau ternyata penuh amanah, prihatin dan berpihak kepada rakyat sehingga menyebabkan semua rakyat Kelantan terutama yang miskin dan memerlukan pembelaan terbela tanpa mengira kaum.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam mengakui, kaum India ternyata amat senang berada di bawah kepimpinan Nik Aziz kerana beliau sentiasa turun padang untuk meninjau segala permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

Menurut beliau, selain itu, cara Nik Aziz yang penuh kesederhanaan amat disenangi oleh kaum India dan kaum-kaum lain sehingga menyebabkan beliau amat mudah ditemui dan didekati.

Katanya, kepimpinan Nik Aziz juga ternyata amat berhemah dalam membelanjakan wang kerajaan, sehingga terelak dengan pembaziran, sebaliknya benar-benar untuk kepentingan rakyat.

"Kepimpinan Nik Aziz sejauh yang dilihat oleh kaum India sendiri ternyata amat baik dan amat jauh berbeza berbanding kepimpinan para pemimpin Umno atau BN," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA), di sini, hari ini.

Pada sidang media di ibu pejabat MISA itu, beliau turut hadir untuk bersama para kepimpinan persatuan itu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh pihak Kerajaan BN mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya terhadap kaum India dan kaum-kaum lain di negara ini.

Menurut Raja Retinam, selain itu, Nik Aziz turut diakui oleh kaum India di Kelantan sebagai pemimpin yang mudah untuk dijumpai kerana tidak banyak protokol yang perlu dilalui untuk menemuinya.

"Malah saya sendiri juga turut mempunyai pengalaman tersendiri dalam hal ini. Untuk berjumpa Tuan Guru Nik Aziz, saya hanya perlu menulis surat dan selepas itu terus dapat menemuinya.

"Amat jauh berbeza kalau nak jumpa Menteri Besar Kerajaan BN. Amat susah. Malah bukan sahaja nak jumpa MB, nak jumpa exco dari Kerajaan BN pun amat susah," katanya.

Berdasarkan pengalaman beliau, bukti kepayahan untuk berjumpa menteri besar yang berada dalam Kerajaan BN, selain terpaksa melalui protokol yang bukan-bukan, mereka juga dimestikan berjumpa dengan pihak MIC terlebih dahulu.

"Kesemua itu melambangkan betapa berbezanya kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz yang menerajui kepimpinan PAS Kelantan berbanding kepimpinan BN.

"Kepimpinan Nik Aziz sememangnya diakui oleh kaum India dan kaum-kaum lain sebagai kerajaan yang benar-benar berpaksikan rakyat," tegasnya.

Disebabkan perubahan itu, beliau yakin Kerajaan PAS Kelantan akan terus bertahan, walaupun Umno BN telah melakukan pelbagai muslihat untuk merampas Kelantan dari PAS.

"Sememangnya ada tanda-tanda PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya di Kelantan, akan terus berjaya kerana perbezaan antara kepimpinan Nik Aziz dan kepimpinan BN sememangnya dapat dirasai sendiri oleh orang ramai termasuk dari kaum India," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini sedar dengan realiti itu dan menyokong PAS atau Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-13 nanti, bagi melakukan perubahan terhadap politik tanah air.

UMNO Cabar DAP Keluar PR : Kalau Berani, Ayuh Umno Keluar BN

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, merangkap Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Umno boleh keluar daripada BN jika merasakan sudah mendapat sokongan kuat dari orang Melayu.

“Kita sudah cadangkan berulang kali sekiranya Umno merasakan dia sudah mendapat sokongan kuat dari orang Melayu ayuh dengan segera keluar dari BN,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian sebagai kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar DAP supaya keluar daripada Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kalau berani berbuat demikian, barulah parti DAP boleh dikatakan sebagai 'anak jantan'," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan komputer riba '1Malaysia' kepada 2,876 pelajar sekolah menengah dalam Parlimen Bagan Datoh, semalam, sebagaimana laporan Bernama.

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengumumkan DAP akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan Dun masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

“Saya melihat Zahid sudah hilang pertimbangan akal yang waras dan sudah bercakap ‘merapu’ bila beralasan dengan bertanding atas ‘tiket sendiri’ tanpa ada apa-apa pakatan dengan PKR dan PAS, DAP dapat menguji sejauh mana kekuatan serta pengaruh DAP dalam meraih sokongan rakyat,” kata Khalil yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, Zahid yang juga Menteri Pertahanan dilihat sudah mengulas sesuatu yang lari dari tajuk dan persoalan yang sebenar dan menyebabkan dia dilihat sebagai seorang pemimpin Umno yang tidak ada pandangan yang jauh dan tidak melihat kepada realiti yang sebenarnya.

“Orang bercakap mengenai bidang kuasa menteri besar dan ketua yang ada pada kerajaan negeri yang boleh menasihati Sultan atau Yang Dipertua Negeri untuk tidak membubarkan Dun walaupun parlimen telah dibubarkan, apa lagi tidak cukup tempoh 5 tahun,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa jauh sangat Zahid mencabar DAP untuk keluar dari Pakatan dan apa pula istemewanya jadi ‘anak jantan’ kalau keluar dari Pakatan seperti yang dikatakannya.

Hakikat sebenarnya, kata beliau Umno sekian lama ‘pondan’ disebabkan tidak berani keluar dari BN.

Khalil menambah, sebenarnya sistem 2 parti iaitu Pakatan Rakyat dan BN adalah realiti yang mesti diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

Justeru, katanya jangan pula Zahid cuba menutup kelemahan Umno sendiri yang terus bergayut di dalam BN dan dalam waktu yang sama mencabar DAP keluar dari Pakatan.



Kenyataan media beliau di sini

Selasa, 24 Mei 2011

Projek Lynas: Panel IAEA Perlu Ikut Piawaian Keselamatan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengingatkan panel pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dilantik kerajaan Malaysia supaya mematuhi kod keselamatan IAEA dalam skop kerja penilaian mereka.

Beliau memaklumkan bahawa pakar tersebut akan membantu kerajaan Malaysia membuat penilaian terhadap Lynas Advanced Material Plant (LAMP) dari 29 Mei hingga Jun ini.

“Kenyataan bahawa kerajaan Malaysia mengguna khidmat IAEA untuk menilai berhubung bahan berbahaya dan penggunaan material yang mengandung aktiviti radioaktif akan menjadi isu utama.

“Namun sekali lagi persoalannya adalah apakah ia mengikut piawaian keselamatan yang akan digunakan sebagai penanda aras,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Fuziah berkata, warga Kuantan memiliki hak untuk mengetahui standard yang digunakan, iaitu sama ada menggunakan piawaian negara China, Australia atau pun piawai IAEA antarabangsa.

“Panel pakar IAEA berkemungkinan adalah mereka yang pro nuklear dalam kapasiti mereka. Namun peranan mereka adalah sebagai penilai, bukannya menjadi ‘promoter’ untuk ‘tugas tertentu’ di Kuantan,” kata Fuziah.

Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN turut mengingatkan bahawa operasi di LAMP jauh lebih rumit dibandingkan dengan Loji Lynas di Mount Weld, Australia.

“Apa yang menarik perhatian ialah, AELB (Lembaga Pelesenan Tenaga Atom) masih belum melakukan kritikan PEIA (Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar) terhadap LAMP.

“PEIA terhadap LAMP diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Pahang pada 20 Januari 2008 dan diluluskan 3 minggu kemudian, iaitu pada 15 Februari 2008. Saya hairan mengapa terlalu mudah bagi JAS Pahang untuk meluluskan projek berisiko tinggi seperti ini?

“Ini mengukuhkan pandangan saya bahawa kerajaan Malaysia tidak berupaya untuk memantau atau menguatkuasakan undang-undang keselamatan untuk industri seperti LAMP,” kata Fuziah.

Dalam pada itu, katanya, Lynas pernah menggunakan piawaian negara China dalam permohonan terdahulu kepada kerajaan Terengganu pada 2007, untuk pembinaan projek itu.

“Ini memperkuatkan hujah saya bahawa Lynas menggunakan piawaian yang berbeza ketika di Australia dan Malaysia.

“Lynas juga mengambil kesempatan dari kelemahan penguatkuasaan di Malaysia untuk mengemukakan cadangan menggunakan piawaian negara China.

Menurutnya lagi, panel penilai itu perlu memikirkan kesan terhadap 700,000 penduduk di Kuantan dan Kemaman, Terengganu dalam jarak 30 kilometer dari projek itu.

“Seluruh dunia akan melihat dengan penuh teliti bahawa panel penilai akan melakukan pemantauan dengan telus dan penuh tanggungjawab.

“Mereka perlu bertanggungjawab kepada nyawa 700,000 manusia di Zon Industri Gebeng yang dibina tanpa zon penampan ini. Panel penilai perlu bertanggungjawab kepada rakyat, terlebih dahulu daripada menjawab kepada kerajaan,” kata Fuziah.

Khamis, 12 Mei 2011

Konsep Kepimpinan Dalam PAS

Pesanan dari Almarhum Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Mohd Noor , mantan Presiden PAS, yang saya petik dari kertas kerja beliau,

Konsep Kepimpinan Dalam Parti Islam Semalaysia (PAS), “Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keislaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keislaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”.

Apabila melihat parti Islam yakni PAS juga sebagai sebuah jemaah Islam, sebuah harakah Islamiyyah yang bukannya sekadar sebuah parti politik semata-mata, maka pendekatan matlamat yang menghalalkan cara, bukanlah tindakan yang sewajarnya. Apatah lagi mengamalkan budaya yang tidak dibenarkan Islam.

Biarlah pertandingan sihat berlaku, selari dengan Perlembagaan PAS yang membenarkan pertandingan untuk memilih kepimpinan. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga berkata baru-baru ini, PAS memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan kepimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu (yakni PAS).

Maka dalam pemilihan dan muktamar PAS akan datang, jadikanlah ia sebagai medan muhasabah terutama untuk menghadapi PRU 13 dan bagaimana untuk menguatkan PAS untuk mengalahkan pihak lawan. Hindarilah dari ‘meniru’ cara yang berlaku dalam parti lawan, seperti melobi dan sebagainya, sama ada melobi untuk diri sendiri atau melobi untuk orang lain, kerana ianya hanya merugikan parti.

Kepimpinan dalam Islam merupakan tanggungjawab dan amanah, bukannya suatu “tasrif” (sesuatu untuk bermegah-megah atau dibanggakan). PAS perlu membuktikan kepada semua, mereka masih lagi berpegang dengan prinsip dan perjuangan yang sebenar. Jauh sama sekali untuk turut terikut-ikut dengan unsur politik murahan seperti parti lawan.

Berbalik kepada pesanan Almarhum TG Dato’ Hj. Fadzil Noor di atas, tidak wajar sama sekali menimbulkan isu ulama’ atau tidak, kerana ini bukan dinilai pada aspek luaran semata-mata seperti pakaian lahirnya (pemakaian luaran), juga bukan kerana dia mendapat pendidikan agama sejak awal.

Malah Almarhum TG Dato’ Hj. Fadzil Noor menyebut bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keislaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.

Saya melihat TG Dato' Hj. Fadzil Noor menekankan aspek kelayakan seseorang itu dinilai untuk menjadi pimpinan bukan kerana ulama' atau ustaz, tetapi mereka yang layak itu, hendaklah memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan, malah mereka juga layak atas faktor dan bakat kepimpinan diri mereka berdasarkan keperluan realiti politik semasa juga.

Diakui dalam PAS ramai juga lulusan dari timur tengah. Apatah lagi yang mempunyai latar belakang agama. Namun jangan diketepikan golongan profesional dalam PAS. Bagi saya, tidak boleh sama sekali mengatakan sama ada ustaz atau bukan ustaz yang lebih layak menjadi pimpinan dalam PAS. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan memainkan peranan penting dalam PAS. Itu istimewanya PAS.

Kekadang bukan ustaz lebih cemerlang kepimpinannya. Apabila kita menganggap hanya ustaz yang lebih baik maka mungkin kita sudah terperangkap dalam istilah yang kita sendiri cipta. Hatta Naib Presiden PAS sekarang, YB Salahuddin Ayub dan YB Dato' Hj. Mahfuz Omar, mereka telah buktikan individu yang bukan bergelar ustaz mampu mengetuai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan baik, suatu ketika dahulu.

Malahan kini mereka berjaya membuktikan mereka mampu melaksanakan amanah sebagai Naib Presiden PAS dengan baik walaupun mereka bukanlah dari golongan ulama’. Contoh lainnya, lihat sahaja Setiausaha Agung PAS sekarang dan juga Pesuruhjaya PAS Selangor, bukanlah dari golongan ulama’ dari kaca mata pengikut di bawah, namun mereka boleh sahaja diterima sebagai pimpinan tertinggi PAS.

Jadi, tidak wajar menimbulkan isu sedemikian lagi kerana pihak musuh hanya tertawa melihat kita berbalah dek isu-isu yang ‘dicipta’ tersebut. Hakikatnya semua golongan dalam PAS sama ada ulama’, profesional, pemuda, muslimat, dan sebagainya, semua ini merupakan pakej lengkap yang memantapkan PAS ibarat kata-kata Ustaz Hj. Ahmad Awang (gambar kiri), mantan Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak sebelum ini.

Khalid Al-Walid pernah digugurkan sebagai panglima perang selepas jelas terbukti kepimpinannya, dengan memenangi semua peperangan di bawah kepimpinannya. Sekian lama beliau berjaya sebagai panglima perang tentera Islam, namun apabila digugurkan, beliau redha dan terima dengan hati terbuka.

Semasa Usamah bin Zaid diangkat menjadi panglima perang oleh Rasulullah, ramai sahabat terikut dengan isu yang dimainkan pihak tertentu, yang mengatakan beliau ini masih muda, baru berusia 18 tahun ketika itu, belum terbukti lagi kepimpinannya seperti Khalid Al-Walid.

Namun Rasulullah menenangkan para sahabat dengan mengatakan beliau layak untuk memimpin kerana mempunyai kekuatan yang tersendiri dan ternyata beliau berjaya membuktikan kewibawaannya memimpin, dengan merempuh hebat pihak musuh Islam dan mengalahkan tentera Rom pada waktu itu.

Jelas kepimpinan itu diangkat kerana kelayakan dan kebolehan seseorang itu melaksanakan dan melunasi amanah dan tanggungjawabnya, bukan sekadar petah berkata-kata, namun tidak mempunyai gagasan serta lemah dalam aspek pengurusan dan ilmu kepimpinan seperti yang digariskan dalam Islam.

Jika ada yang masih lagi berdegil tanpa malu mahu terus bergayut dengan jawatannya, teringat dengan kata-kata Almarhum Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Noor berkaitan hal ini, ibaratnya “macam pelepah pisang yang payah nak luruh dengan sendiri, perlu kena rentap!!”.

Pelepah pisang yang tua, memang payah luruh atau gugur ke tanah dengan sendirinya, memerlukan kepada usaha kita juga dengan menarik pelepah tua itu dan merentapnya. Pelepah pisang yang tua sudah berakhir hayatnya walaupun dahulunya pernah hijau dalam perjuangan hidup pokok pisang itu. Dalam maknanya. Hebat sekali pemikiran beliau yang lazimnya idea beliau merentasi zaman dan mendepani masa. Beliau sememangnya seorang tokoh yang disegani malah dihormati kawan dan lawan dalam perjuangan.


Kesimpulan

Untuk muktamar kali ini, pilihlah pimpinan yang layak dan sesuai dengan keperluan massa, untuk membuktikan PAS sebuah parti terbaik untuk rakyat Malaysia, dengan memperbaiki kekurangan yang ada dalam kepimpinan semasa dan kelemahan dalam parti kerana muktamar ini adalah medan muhasabah untuk memenangkan Islam!!

Kita sayang kepada pemimpin kita tapi mereka harus sedar jika cadangan dan tindakan yang mereka buat walaupun pada anggapan mereka benar tapi merosakkan perpaduan parti dan kepercayaan orang ramai terhadap PAS, yang mana rakyat melihat PAS adalah parti alternatif terbaik untuk semua rakyat ‘PAS For All’ dan terbaru slogan ‘PAS Ganti UMNO’, maka mereka harus berundur atau diundurkan secara terhormat.

Ahli PAS harus ingat jika ada yang menawarkan diri sebagai pemimpin bukanlah tidak wala' atau melawan atau tidak mengenang budi. Perlembagaan PAS sendiri menyediakan wadah dan medan untuk ahli-ahlinya memilih yang terbaik dan layak, untuk menjadi pemimpin mereka. Cuma berilah amanah kepada yang layak dan mampu menggalasnya, terutama untuk menghadapi PRU 13 akan datang, seterusnya memenanginya bersama Pakatan Rakyat.

Sebelum akhirnya, kepada semua perwakilan atau ahli Pas, lihatlah ucapan penggulungan dan mulahazoh oleh mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Hj. Ahmad Awang dalam muktamar sebelum ini, sebagai peringatan kita bersama.

Video ucapan beliau di sini..


Boleh juga merujuk :

http://www.detikdaily.net/v5/


Ahad, 8 Mei 2011

Penyegaran Dalam PAS Harus Bermula


Baru-baru ini, setelah selesai sahaja satu kenyataan akhbar, YB Dato’ Husam dikerumuni wartawan yang mahukan penjelasan YB Husam terhadap kenyataan beliau berkenaan pemerkasaan parti PAS beberapa hari sebelum itu. Beliau menjelaskan bahawa pandangannya kepada parti atas indikator pemerkasaan dalam dua aspek.

Pertama, memperkasa program media dalam PAS dan kedua, menggerakkan secara serius pimpinan pelapis. Beliau berpandangan, hari ini dua aspek itu adalah dilihat penting dalam memastikan parti akan terus bergerak ke hadapan, untuk revolusi politik berlaku di Malaysia, dengan Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat.

Media dilihat sebagai medium utama penyebaran maklumat kepada rakyat dan pemerkasaan media secara “nyata yang berpijak di tanah” akan merancakkan lagi agenda parti. Kepimpinan pelapis pula adalah agenda sepanjang zaman yang perlu diluaskan dan dijanakan demi survival parti pada masa akan datang.

Bagi saya, kepimpinan itu diangkat kerana kelayakan dan kebolehan seseorang melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul, bukan sekadar pandai untuk bercakap, kuliah dan sebagainya namun tidak mempunyai gagasan dan lemah dalam pengurusan dan ilmu kepimpinan. Pendekatan dakwah juga perlu mengikut zaman dan keperluan semasa.

Islam sendiri menggariskan dua elemen ataupun dua asas penting untuk melayakkan seseorang itu untuk diangkat sebagai pemimpin. Al-amanah (miliki sikap amanah terhadap kepimpinannya) dan al-qawiy (mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan kepimpinannya). Ini keperluan asas. Belum lagi dibahaskan secara mendalam kriteria-kriteria yang khusus.

Saya amat bersetuju pemerkasaan aspek media ataupun penerangan, dan juga pembinaan pelapis ataupun pemerkasaan sistem perkaderan dalam Pas yang perlu diambil perhatian buat masa sekarang. Pas hebat dalam membina pengikut yang wala’ dan setia dalam perjuangan, namun harus diingat Pas juga sebuah harakah Islamiyyah yang merangkumi politik (siasah), dakwah dan juga tarbiyyah.

Oleh itu, penekanan aspek keperluan semasa juga amat-amat perlu terutamanya aspek media dan penerangan. PAS pada saya perlu memenangi kawasan majoriti Melayu dalam PRU 13 akan datang untuk menawan kerusi-kerusi ditandingi Umno terutamanya, namun adakah kawasan Melayu itu letaknya di kawasan bandar? Adakah di sana mereka sudah mendapat maklumat yang sebenarnya tentang Pas dan Pakatan Rakyat sendiri?

Sedangkan daripada analisis-analisis sebelum ini, yang kita dapati sama ada dari keputusan siri-siri PRK mahupun PRN Sarawak baru-baru ini, jelas sekali kawasan majoriti yang letaknya di luar bandar, akan memberi undi kepada BN kerana mereka tidak mendapat maklumat yang cukup. Berbanding di kawasan bandar, mereka lebih akses kepada maklumat dan media alternatif.

Mereka masih lagi bergantung kepada media cetak seperti akhbar arus perdana untuk mengetahui isu semasa dan maklumat, yang semestinya memberi berpihak kepada BN. Media elektronik seperti televisyen juga dikuasai pihak kerajaan kini, apatah RTM dan TV3 sendiri banyak memainkan isu-isu memburukkan Pakatan Rakyat.

Lihat sendiri kawasan-kawasan luar bandar di Kedah dan Selangor, adakah mereka yang kebanyakannya orang Melayu dan berada di kawasan yang sukar untuk mendapat akses internet, adakah mereka ini mengetahui tentang perubahan yang telah dilakukan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri mereka sekarang? Jangan terkejut jika ada yang akan menjawab, mereka akan kembali mengundi BN pada PRU 13 akan datang.

Hampir 75% pengundi di bandar-bandar dan sub-bandar akan mengundi PR tidak kira dari parti mana, tetapi hampir 70% pengundi akan mengundi BN di kampung-kampung dan desa. Malah undi BN hampir 80% akan dimenangi oleh UMNO. Itulah sebab utama mengapa BN masih berjaya menang undi di luar bandar. Maka PAS perlu memenangi kawasan Melayu manakala DAP dan PKR memenangi kawasan Cina atau kawasan yang bercampur, jika mahu Pakatan Rakyat menawan Malaysia.

Jadi, secara ringkasnya golongan ini, akses kepada media-media alternatif sangat kurang. Mereka masih lagi ketinggalan terutamanya generasi yang lebih berusia. Golongan muda mungkin boleh kita katakan sebahagiannya sudah mendapat akses luas terhadap media-media alternatif yang ada. Dunia facebook, twitter, blog dan sebagainya sudah berada di hujung jari.

Persoalan sekarang, apakah jentera penerangan Pas sudah dipunyai oleh setiap kawasan dan cawangan? Lajnah IT Pas setiap kawasan sudah mempunyai kelengkapan dan kepakaran untuk membantu usaha Pas menguasai medium maya ataupun media-media alternatif yang ada? Paling mudah, blog Pas kawasan sentiasa dikemaskini ataupun tidak, dengan isu-isu setempat dan negeri??

Generasi muda kini lebih ke hadapan dalam hal-hal sebegini. Mereka lebih terbuka dalam menerima sesuatu maklumat. Mereka tidak hanya menerima dari media arus perdana semata-mata. Mereka akan mendapatkan maklumat dari media-media alternatif sebelum menilai sesuatu perkara.

Jadi, aspek pembinaan pelapis ataupun pemerkasaan sistem perkaderan dalam Pas yang perlu diambil perhatian buat masa sekarang. Selain mereka diserapkan dalam Briged Amal dan Pemuda, elok kiranya serampang dua mata dalam hal ini, golongan muda inilah sepatutnya diberi kepercayaan sekurang-kurangnya untuk membantu lajnah IT dan media, sama ada Pas kawasan atau Pemuda kawasan, peringkat cawangan dan sebagainya, pada peringkat permulaan.

Rata-rata anak muda kini terutama golongan atas pagar, menilai pimpinan-pimpinan parti yang ada sekarang. Contohnya mereka melihat kepimpinan Najib Razak (UMNO), Anwar Ibrahim (PKR), TG Hj. Hadi (PAS), Lim Kit Siang (DAP), Chua Soi Lek (MCA) dan sebagainya, adakah corak kepimpinan mereka mengambil kira pandangan golongan muda seperti mereka?

Contoh mudah, anak muda kini melihat dan membanding beza Setiausaha Agung parti-parti tersebut. Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar kiri) dari UMNO, Saifuddin Nasution (PKR), Mustaffa Ali (PAS), Lim Guan Eng (DAP) dan dalam parti-parti lain juga, mereka melihat dan menilai. Mendepani dan bertepatan dengan aspirasi anak muda atau tidak?? Umur keempat-empat nama di atas ini pun sudah cukup menceritakan serba sedikit tentang pandangan anak muda terhadap mereka.

Dari sejarah PAS sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz seusia 37 tahun (gambar kanan) sudah diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat. Semasa Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Noor menjadi Presiden Pas, banyak tenaga anak muda diketengahkan beliau. Contohnya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sendiri ketika itu menjadi Exco Dewan Pemuda, diangkat menjadi Setiausaha Agung Pas Pusat.

Kini adakah Pas mahu melangkah ke belakang lagi? Dato’ Hj. Fadzil Noor ketika itu sudah memandang berat soal kepimpinan pelapis anak muda dalam cabaran politik negara kita ini. Ironinya, survival PAS pada masa akan datang sangat penting, kepimpinan pelapislah sebagai kepimpinan pengganti kepada pimpinan sedia ada sekarang.

Jadi, jangan ditunggu bila tiba suatu masa, semua orang akan berbicara, siapakah bakal pengganti TG Nik Aziz dan TG Hj. Hadi bila mana mereka sudah tiada upaya untuk terus menerajui kepimpinan Pas nanti. Pemergian Tuan Guru Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu pun, sememangnya masih dirasai dan dirindui. Memang patah tumbuh silih berganti, namun pembinaannya harus bermula dari sekarang!!


Boleh juga merujuk :

http://www.detikdaily.net/v5/


Jumaat, 6 Mei 2011

Mengapa Permohonan Rebat Cukai Tanah UUM Ditolak Kerajaan Negeri Kedah?

BULETIN UTAMA TV3 cuba memanipulasi isu penolakan rebat cukai tanah yang dipohon UUM.

Pihak UUM sebelum ini telah merayu kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja seperti yang dinikmati pada 2006-2008, berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar. UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun lagi.

Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.

Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan? Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang ‘tidak disengajakan’ itu untuk menjelaskan cukai.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57% dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir, mereka tidak pernah menggunakan hujah ‘ala UUM’ untuk meminta rebat cukai.

Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas UUM ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00. Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.

Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakanhasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30 bagi satu meter persegi. Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan ‘precedent case’ atau kes duluan untuk dijadikan rujukan. Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31 juta setahun.

Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan pembayar cukai tanah. UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok turut meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?

Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00. Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjangkan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilangan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.

Jika pihak UUM masing ‘membuat bising’ kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.

USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi. Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia yang perlu diberi rebat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya ‘double standard’ kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN. Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat ‘gila-gila’ itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.

Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi politik.

Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka ‘eloklah’ mereka meneruskan niat busuk tersebut.

Soalan politik yang mereka ajukan kepada kerajaan negeri sekarang ialah; jika masa BN dulu mereka boleh beri rebat, mengapa sekarang tidak?
Jawapannya begini:

1) Mengapa kerajaan negeri Perlis yang diperintah BN kini tidak memberi rebat kepada UNIMEPS yang kadar cukainya jauh lebih tinggi dari UUM? (Jawapan dalam bentuk soalan)

2) Kerajaan negeri dulu hilang hasil dari RM4,933,071.00 akibat pemberian rebat, tetapi perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat banyak diambil alih oleh Pusat akibat kelemahan kerajaan negeri pada masa itu. Sekarang kerajaan perlu berdikari kerana bantuan Pusat tidak lagi melalui negeri. Sekalipun Kedah masih dibawah pemerintahan kerajaan BN Pusat namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh BN Pusat. Ramai dari senarai penerima bantuan E-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan senarai E-Sinar di bawah negeri terus menerima bantuan.

3) Di samping perlukan dana untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, kerajaan negeri kini terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu sebanyak RM2.3 Billion, di mana RM1.83 Billion darinya adalah hutang berkaitan air.

4) Kerajaan kini sangat mementingkan kebajikan rakyat, justeru akan mempastikan setiap sen duit yang menjadi hak rakyat diguna untuk kesejahteraan rakyat. Ini berbeza dengan kerajaan lalu yang lebih mementingkan 'orang kaya' (UUM) dari rakyat yang ramai masih miskin.

~wartakedah~

Selasa, 3 Mei 2011

Negara Polis Dan Kebangkitan Rakyat

“Dalam masa sehari semalam, Malaysia telah bertukar kepada sebuah negara polis”, itulah kata-kata yang diungkapkan Tunku Abdul Rahman berikutan Operasi Lalang yang berlaku pada tahun 1987 yang yang menyaksikan penangkapan pemimpin-pemmpin barisan pembangkang dan aktivis-aktivis yang lantang bersuara dalam mengkritik dasar pemerintahan Barisan Nasional.


Operasi Lalang 1987 yang didalangi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dengan menggunakan kuasa polis di bawah undang-undang tahan tanpa bicara, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaksikan sebuah kematian demokrasi, pencabulan hak asasi dan prinsip kebebasan, dan penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Negara polis adalah didefinisikan sebagai “sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang”.

Negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Kebangkitan rakyat yang ditekan di bawah sebuah negara polis dalam mengekalkan pemerintahan bersifat kuku besi ini dapat dilihat melalui kebangkitan kuasa rakyat di Timur Tengah yang dimulai di Tunisia, diikuti Mesir dan Syria.

Angin kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi ini masih bertiup kencang merentas benua, menyampaikan pesan keramat kuasa rakyat untuk terus bangkit menuntut hak dan kebebasan dari cengkaman dan penindasan pemerintahan yang tidak adil dan zalim.

Mesir, sebuah negara yang diperintah diktator Hosni Mubarak telah menyalahgunakan institusi polis sewenang-wenangnya di mana pada bila-bila masa sahaja polis-polis akan menangkap, menculik, menyeksa dan membunuh rakyat yang lantang bersuara menentang ketidakadilan pemerintahan Mubarak.

Rakyat Mesir, di bawah pemerintahan Mubarak sentiasa diselubungi ketakutan di mana polis pada bila-bila masa sahaja bebas untuk melakukan tangkapan yang tidak sah dan ugutan tanpa dikenakan sebarang tindakan meskipun tindakan polis itu sendiri jelas melanggar peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sebelum tercetusnya revolusi di Mesir pada tanggal 25 Januari 2011, satu kejadian yang segar di ingatan setiap rakyat Mesir tentang keganasan polis terhadap seorang pemuda bernama Khaled Said telah menjadi satu titik penting kebangkitan rakyat yang tidak lagi sanggup ditekan di bawah budaya keganasan polis.

Khaled Said, 28 tahun, telah ditangkap oleh beberapa orang polis di sebuah kafe internet di Alexandria di mana beberapa orang saksi telah menyaksikan Khaled Said dipukul, badannya ditendang, kepalanya dihentak ke dinding, rambutnya ditarik dan kepalanya dihentak bertubi-tubi di tangga.

Saksi-saksi selanjutnya menyatakan bahawa walaupun Khaled Said berhenti bergerak tetapi polis-polis tersebut masih lagi mencekik lehernya dan terus menendangnya tanpa belas kasihan sehingga Khaled Said menghembuskan nafas terakhirnya.

Kes keganasan polis seperti yang terjadi kepada Khaled Said di Mesir, dan di negara-negara polis di bawah pemerintahan kuku besi tidak asing jika hendak dibandingkan dengan kes keganasan polis di tanah air kita sendiri, Malaysia.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (Suhakam) Dato’ N Siva Subramaniam pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan kegansan polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kes Khalid Said di Mesir telah menjadi salah satu pencetus kebangkitan rakyat Mesir di mana satu gerakan yang menggesa keadilan ditegakkan untuk Khaled Said di internet telah mencabar rakyat Mesir yang cintakan keadilan dan ingin menamatkan budaya keganasan polis untuk keluar berhimpun dan mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak dijatuhkan.

Washington News dan ABC News telah melaporkan bahawa Khaled Said adalah “Wajah Pencetus Revolusi” yang mencetuskan perhimpunan kebangkitan rakyat Mesir mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak yang memperalatkan institusi polis dijatuhkan.

Malaysia, sebuah negara polis yang diterajui kerajaan Barisan Nasional yang terus-terusan memperalatkan institutsi polis hari demi hari, menyaksikan seorang demi seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa keganasan polis.

Kematian dalam tahanan, tembakan tidak mengikut peruntukan undang-undang, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan sudah menjadi budaya yang berakar umbi di mana polis-polis yang terlibat terlepas dari dihukum kerana undang-undang yang sedia ada hanyalah sekadar hiasan di atas kertas.

Keadilan untuk mangsa-mangsa keganasan polis terus-terus dinafikan, suara keramat rakyat yang dahagakan perubahan terus-terusan ditekan, hak dan kebebasan rakyat terus-terusan dicabul sewenang-wenangnya.

Sudah tiba masanya, kita rakyat Malasyia yang bebas merdeka bangkit untuk mengakhiri budaya keganasan polis yang hanya memanfaatkan kuasa pemerintahan kuku besi kerajaan yang sekian lama menghinjak dan menekan kita, rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan.

* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang peguam dan anggota kanan NGO Lawyers for Liberty.

Sumber

Kenyataan Najib tentang kematian Osama kurang tepat- PUM


KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kematian Osama Ben Laden akan menjadikan dunia ini lebih selamat dan aman, sebagai kurang tepat.

Yang Dipertua PUM, Dato Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (gambar) berkata, ini kerana Amerika Syarikat sendiri dianggap sebuah negara Imperialis yang sentiasa berusaha untuk meluaskan pengaruh mereka ke seluruh dunia, khususnya negara Islam dengan menaja keganasan.

“Kenyataan Najib itu mungkin kurang tepat kerana sebenarnya kuasa Amerika sendiri tetap akan meluaskan pengaruh imperialisme mereka ke seluruh dunia yang sebenarnya menggalakkan keganasan itu sendiri,” kata Sheikh Abdul Halim.

Beliau juga percaya bahawa keamanan dunia tidak hanya bergantung dengan kematian seorang Muslim yang sering dilabel pengganas seperti Osama.

“Keamanan ini asasnya adalah keadilan sebagai sebuah idea yang akan menghapuskan penindasan. ”

“Untuk memastikan keadilan ini mengambil tempat, ia memerlukan usaha bersama. Seorang individu sahaja tidak akan mampu untuk mewujudkan keadilan atau pun mencetuskan keganasan,” kata Sheikh Abdul Halim.

Menurut Sheikh Abdul Halim lagi, publisiti kematian Osama sebenarnya meningkatkan rasa ketakutan orang lain terhadap umat Islam yang sering diberikan gambaran salah oleh golongan yang tidak senang dengan gerakan Islam.

Ahad, 1 Mei 2011

Cadangan PAS Berpisah Dengan DAP Seperti Ketam Mengajar Anaknya


KUALA LUMPUR, 1 Mei: PAS menganggap cadangan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS berpisah dengan DAP seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul kerana parti ini tidak sehaluan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Najib perlu menyelesaikan masalah dalaman BN dahulu.

“Jangan cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA.

“Apa sudah jadi slogan 1Malaysia tiba-tiba lahir pula gagasan 1Melayu 1Bumi, seolah-olah Umno menduakan suami,” ujarnya.

Beliau mengulas alasan Najib bahawa PAS perlu jauh dengan DAP kerana PAS bekerja, yang menang ialah DAP dan PAS perlu berpisah dengan DAP kerana PAS tidak boleh melaksanakan agenda Islam.

“PAS hendak bertanya sejak bila pula Umno iktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam,” ujarnya.

Katanya, dengan kenyataan Najib sahlah teori yang mengatakan Umno akan bercakap Islam dan Melayu ketika orang Melayu menolak Umno.

“Ketika rakyat tolak Umno, baru mereka sedar, PAS parti orang Melayu. Selama ini merekalah membunuh kontraktor dan ahli perniagaan PAS, berapa ramai aktivis PAS diletakkan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya lagi.

Tambahnya, terbaru mereka menukar Cikgu Maaruf Mutalib, suami Cikgu Normala bekas calon PAS di Tenang.

“Siapa punya angkara?” soalnya.

Menurutnya, sekarang apabila lemas kerana pelampung Umno, iaitu pengundi bukan Melayu sudah meninggal mereka, baru mereka teringat kepada PAS.

PAS, ujarnya hendak mengingatkan Najib bahawa PAS membayar harga begitu mahal untuk berada bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, kejayaan PAS yang menjinakkan orang bukan Islam kepada Islam satu imbuhan yang cukup berharga.

“Hendak harap kepada Umno memberi kefahaman Islam kepada orang bukan Islam di negara ini amat jauh sekali,” ujarnya.

Malahan, menurutnya merekalah yang meliarkan orang bukan Islam dengan Islam.

Tambahnya, sikap hipokrit mereka dengan berjumpa pengundi bukan Islam supaya menjauhkan dengan PAS kerana mereka hendak melaksanakan agenda Islam, apabila berjumpa pengundi Islam mereka mendakwa PAS sudah tidak bercakap Islam kerana takut kepada DAP.


Rakyat Kena Buat Perubahan, Jangan Asyik Jadi Tukang Angguk


SHAH ALAM, 30 April: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.

Datuk Hashim (gambar) berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan oleh kerajaan.

"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun, Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari 50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.

Untuk makluman, binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun berlaku apa sahaja di sekelilingnya.

Bekas pensyarah UM dan UIAM berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari tadi.

Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.

Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.

"Rakyat hanya wajib mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.

Menurutnya, mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan pengajaran agama.

Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar yang terdapat di dalam buku itu.

"Setiap orang yang dilahirkan sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.

"Rakyat Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran," tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku berbagai masalah dalam negara ketika ini.

Menurutnya, perjuangan untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa, perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.
Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader.

Solat Hajat Senjata Tewaskan Kezaliman

Sebahagian gambar kehadiran rakyat ke Solat Hajat Perdana
pimpinan TG Hj. Hadi di Stadium Malawati baru-baru ini



BERKAT kita di dalam PR sering melakukan sembahyang hajat dan tidak putus-putus berdoa, maka hari ini kita dapat melihat kesannya ke atas musuh kita. Najib, Muhyiddin dan Umno kini kepanasan tidak tahu lagi arah haluan mereka.

Umno kini boleh diibaratkan sebagai kera sumbang. Di dalam Bn, Umno kini terpulau oleh MCA dan Gerakan akibat kelakuan Umno yang hanya pentingkan diri sendiri.

MCA dan Gerakan telah melihat sendiri betapa kaum Cina yang diwakili oleh mereka selama ini telah berpaling kepada DAP. Kebijaksanaan kaum Cina berpolitik amat merunsingkan Umno, justeru itu akhbar milik mereka Utusan Malaysia serta dibantu oleh PERKASA terpaksa memainkan isu perkauman.

Najib berada di dalam dilema untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bn. Maka, tanpa rasa segan silu mereka cuba mempengaruhi DAP untuk menyertai Bn akibat tidak lagi percaya kepada MCA dan Gerakan. Apabila DAP tegas menolak cubaan Bn yang penuh tipu muslihat itu, maka mereka terpaksa beralih arah kepada PAS pula.

Di Terengganu semalam, Najib dengan wajah penuh harapan menyeru agar PAS keluar dari PR. Beliau sedar, mustahil buat PAS untuk bersama dengan Umno yang sekular dan meredhai politik lucah itu maka Najib berkata tidak perlu PAS bersama Umno asalkan keluar dari PR. Hujah Najib kununnya DAP yang mengganti PAS kini, malangnya Najib gagal menyebut satu pun bukti di atas dakwaannya itu. Seperti biasa Najib hanya berani menyalak di gelanggang sendiri, dan saya percaya 110 % jika pemimpin PAS cabar Najib berdebat atas isu ini Najib pasti akan menyorok di belakang Rosmah.

Inilah yang dikatakan keberkatan solat hajat kita selama ini. Sikit demi sedikit Allah telah tunjukkan kepada kita betapa Umno kini kepanasan dan hilang arah. Umno tidak lagi tahu siapa sebenarnya kawan yang boleh dipercayai. Umno kini kera sumbang./wfauzdin.blogspot.com

Kronologi Najib 'mintak nyawa' untuk selamatkan Barisan Nasional:

UMCO Tebal Muka Pelawa DAP Sertai BN?

KUALA LUMPUR, 26 April: Setelah berjaya memecahkan PAS dengan isu kerajaan perpaduan, Umno kini dikatakan sedang mendekati DAP pula atas agenda membawa masuk parti itu ke dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, usaha ini diperhebatkan lagi ekoran kemarahan Umno terhadap MCA yang mengajak masyarakat memboikot lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia.

Ia juga dibuat selepas Umno mendapati pengaruh DAP semakin kuat khasnya selepas pilihan raya Sarawak baru-baru ini.

Pelbagai pihak dalam MCA termasuk presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek menyerang Utusan ekoran cadangan salah seorang editornya.

Antaranya MCA cadangkan agar Utusan diboikot oleh seluruh rakyat Malaysia. Ekoran itu, ada yang beranggapan langkah menjemput DAP ini adalah mesej Umno kepada MCA.

Tengah hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memanggil sidang media tergempar di pejabat DAP Pusat namun tidak diketahui apakah isu ini berkaitan.

Harakahdaily difahamkan, Umno telah menggunakan keluarga terdekat pemimpin DAP sebagai jambatan mereka namun tidak dapat disahkan maklumat ini.

Umno sebelum ini berjaya memecahkan PAS kepada dua kumpulan melalui agenda kerajaan perpaduan yang dicadangkan presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Yang dicadangkan Ustaz Abdul Hadi adalah kerajaan yang menggabungkan Pakatan Rakyat dan BN tetapi yang dispinkan oleh media Umno dan aparatus mereka adalah perpaduan antara PAS dan Umno yang sangat sensitif itu.

Kini selepas gagal menghancurkan DAP dengan pelbagai usaha menyerang, pendekatan baru dibuat dengan menghulurkan tangan persahabatan dengannya.

Dan ini jawapan DAP:

DAP tolak pelawaan Umno sertai BN

DAP akan menolak jemputan Umno untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) jika benar akan ada pelawaan seumpama itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Sehingga kini kita tidak tahu apa-apa lagi tentang hal ini sehinggalah kita diberitahu hari ini, namun kalau adapun kita akan kekal bersama Pakatan Rakyat," kata Guan Eng ketika ditemui sejurus selepas sidang medianya di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Bila usaha mempelawa DAP tidak berjaya, DAP menjadi anggur masam.... Najib beralih kepada PAS dan memperlekeh DAP!

Najib sekali lagi ajak PAS sertai BN

KUALA TERENGGANU, 30 April — Datuk Seri Najib Razak meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?“

Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat sini.

Pada hari yang sama, PAS bulat-bulat menolak pelawaan Najib yang sudah tenggelam-timbul kelemasan..

PAS tolak pelawaan Najib, dakwa Umno-BN terdesak

KUALA LUMPUR, 30 April – Sambil mengucapkan “terima kasih” kepada Datuk Seri Najib Razak, PAS dalam reaksi segera menolak sama sekali pelawaan terbaru Perdana Menteri agar parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN).

“Terima kasihlah atas jemputan, kami akan tetap setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan meninggalkan semangat kesetiakawanan yang sudah dibentuk dengan PKR dan DAP,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Dengan tebal muka, Najib meneruskan usaha untuk memecahkan perpaduan dalam PR

Jika PAS tidak mahu menyertai BN, Najib saran PAS keluar daripada Pakatan rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta Pas keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam. "Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang),” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 orang pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, Terengganu.

TG Nik Aziz jawab, "Itu cerita lama...."

Nik Aziz: Pelawaan kepada PAS sertai BN cerita lama

KOTA BARU, 30 April – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang konsisten menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik Umno-PAS menegaskan, pihaknya tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat sebagaimana diminta oleh Datuk Seri Najib Razak.

Najib menyentuh isu berkenaan dua kali di Kuala Terengganu sempena lawatan kerja ke negeri itu hari ini.

Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pandangan dilontarkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno itu adalah satu isu lama.

“Ini (meninggalkan Pakatan) adalah isu lama,” kata Nik Aziz di sini hari ini.

Malah TG Nik Aziz pernah memperkatakan perkara yang sama pada bulan September 2009 dulu lagi:

Rundingan dengan Umno, perkara lama

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sebarang rundingan dengan UMNO selagi parti itu masih memperjuangkan dasar kebangsaan dan tidak memperjuangkan Islam.

Nik Abdul Aziz berkata, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding dengan Pas demi kepentingan umat Islam di negara ini boleh dianggap sebagai 'cerita lama'.

“Ini cerita lama. Nak berunding apa lagi, nak runding apa. Kalau nak runding fasal petroleum Kelantan bolehlah. Kalau nak tentu tarikh bila MB Kelantan pergi Kuala Lumpur yang itu boleh runding,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim dekat sini, semalam.

Dan TG Haji Hadi memberikan pukulan maut kepada rayuan Najib

TGHH: Kami tetap bersama PR tegakkan keadilan, menentang kezaliman

Membalas kenyataan Datuk Seri Najib Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti teras BN itu untuk menyertai PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan bagi semua kaum.

"Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam laporan dibawa Harakah Daily hari ini, Presiden PAS itu menegaskan, seruan Najib semalam adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat.

Semalam, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Masa terus berjalan dan semakin menekan Najib, BN dan umno-umnonya.. Jangan mempermudahkan Solat Hajat yang dilakukan oleh umat Muhammad SAW yang teraniaya dan dizalimi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...