Pesanan dari Almarhum Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Mohd Noor , mantan Presiden PAS, yang saya petik dari kertas kerja beliau,
Konsep Kepimpinan Dalam Parti Islam Semalaysia (PAS), “Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keislaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keislaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”.
Apabila melihat parti Islam yakni PAS juga sebagai sebuah jemaah Islam, sebuah harakah Islamiyyah yang bukannya sekadar sebuah parti politik semata-mata, maka pendekatan matlamat yang menghalalkan cara, bukanlah tindakan yang sewajarnya. Apatah lagi mengamalkan budaya yang tidak dibenarkan Islam.
Biarlah pertandingan sihat berlaku, selari dengan Perlembagaan PAS yang membenarkan pertandingan untuk memilih kepimpinan. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga berkata baru-baru ini, PAS memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan kepimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu (yakni PAS).
Maka dalam pemilihan dan muktamar PAS akan datang, jadikanlah ia sebagai medan muhasabah terutama untuk menghadapi PRU 13 dan bagaimana untuk menguatkan PAS untuk mengalahkan pihak lawan. Hindarilah dari ‘meniru’ cara yang berlaku dalam parti lawan, seperti melobi dan sebagainya, sama ada melobi untuk diri sendiri atau melobi untuk orang lain, kerana ianya hanya merugikan parti.
Kepimpinan dalam Islam merupakan tanggungjawab dan amanah, bukannya suatu “tasrif” (sesuatu untuk bermegah-megah atau dibanggakan). PAS perlu membuktikan kepada semua, mereka masih lagi berpegang dengan prinsip dan perjuangan yang sebenar. Jauh sama sekali untuk turut terikut-ikut dengan unsur politik murahan seperti parti lawan.
Berbalik kepada pesanan Almarhum TG Dato’ Hj. Fadzil Noor di atas, tidak wajar sama sekali menimbulkan isu ulama’ atau tidak, kerana ini bukan dinilai pada aspek luaran semata-mata seperti pakaian lahirnya (pemakaian luaran), juga bukan kerana dia mendapat pendidikan agama sejak awal.
Malah Almarhum TG Dato’ Hj. Fadzil Noor menyebut bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keislaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.
Saya melihat TG Dato' Hj. Fadzil Noor menekankan aspek kelayakan seseorang itu dinilai untuk menjadi pimpinan bukan kerana ulama' atau ustaz, tetapi mereka yang layak itu, hendaklah memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan, malah mereka juga layak atas faktor dan bakat kepimpinan diri mereka berdasarkan keperluan realiti politik semasa juga.
Diakui dalam PAS ramai juga lulusan dari timur tengah. Apatah lagi yang mempunyai latar belakang agama. Namun jangan diketepikan golongan profesional dalam PAS. Bagi saya, tidak boleh sama sekali mengatakan sama ada ustaz atau bukan ustaz yang lebih layak menjadi pimpinan dalam PAS. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan memainkan peranan penting dalam PAS. Itu istimewanya PAS.
Kekadang bukan ustaz lebih cemerlang kepimpinannya. Apabila kita menganggap hanya ustaz yang lebih baik maka mungkin kita sudah terperangkap dalam istilah yang kita sendiri cipta. Hatta Naib Presiden PAS sekarang, YB Salahuddin Ayub dan YB Dato' Hj. Mahfuz Omar, mereka telah buktikan individu yang bukan bergelar ustaz mampu mengetuai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan baik, suatu ketika dahulu.
Malahan kini mereka berjaya membuktikan mereka mampu melaksanakan amanah sebagai Naib Presiden PAS dengan baik walaupun mereka bukanlah dari golongan ulama’. Contoh lainnya, lihat sahaja Setiausaha Agung PAS sekarang dan juga Pesuruhjaya PAS Selangor, bukanlah dari golongan ulama’ dari kaca mata pengikut di bawah, namun mereka boleh sahaja diterima sebagai pimpinan tertinggi PAS.
Jadi, tidak wajar menimbulkan isu sedemikian lagi kerana pihak musuh hanya tertawa melihat kita berbalah dek isu-isu yang ‘dicipta’ tersebut. Hakikatnya semua golongan dalam PAS sama ada ulama’, profesional, pemuda, muslimat, dan sebagainya, semua ini merupakan pakej lengkap yang memantapkan PAS ibarat kata-kata Ustaz Hj. Ahmad Awang (gambar kiri), mantan Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Perak sebelum ini.
Khalid Al-Walid pernah digugurkan sebagai panglima perang selepas jelas terbukti kepimpinannya, dengan memenangi semua peperangan di bawah kepimpinannya. Sekian lama beliau berjaya sebagai panglima perang tentera Islam, namun apabila digugurkan, beliau redha dan terima dengan hati terbuka.
Semasa Usamah bin Zaid diangkat menjadi panglima perang oleh Rasulullah, ramai sahabat terikut dengan isu yang dimainkan pihak tertentu, yang mengatakan beliau ini masih muda, baru berusia 18 tahun ketika itu, belum terbukti lagi kepimpinannya seperti Khalid Al-Walid.
Namun Rasulullah menenangkan para sahabat dengan mengatakan beliau layak untuk memimpin kerana mempunyai kekuatan yang tersendiri dan ternyata beliau berjaya membuktikan kewibawaannya memimpin, dengan merempuh hebat pihak musuh Islam dan mengalahkan tentera Rom pada waktu itu.
Jelas kepimpinan itu diangkat kerana kelayakan dan kebolehan seseorang itu melaksanakan dan melunasi amanah dan tanggungjawabnya, bukan sekadar petah berkata-kata, namun tidak mempunyai gagasan serta lemah dalam aspek pengurusan dan ilmu kepimpinan seperti yang digariskan dalam Islam.
Jika ada yang masih lagi berdegil tanpa malu mahu terus bergayut dengan jawatannya, teringat dengan kata-kata Almarhum Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Noor berkaitan hal ini, ibaratnya “macam pelepah pisang yang payah nak luruh dengan sendiri, perlu kena rentap!!”.
Pelepah pisang yang tua, memang payah luruh atau gugur ke tanah dengan sendirinya, memerlukan kepada usaha kita juga dengan menarik pelepah tua itu dan merentapnya. Pelepah pisang yang tua sudah berakhir hayatnya walaupun dahulunya pernah hijau dalam perjuangan hidup pokok pisang itu. Dalam maknanya. Hebat sekali pemikiran beliau yang lazimnya idea beliau merentasi zaman dan mendepani masa. Beliau sememangnya seorang tokoh yang disegani malah dihormati kawan dan lawan dalam perjuangan.
Kesimpulan
Untuk muktamar kali ini, pilihlah pimpinan yang layak dan sesuai dengan keperluan massa, untuk membuktikan PAS sebuah parti terbaik untuk rakyat Malaysia, dengan memperbaiki kekurangan yang ada dalam kepimpinan semasa dan kelemahan dalam parti kerana muktamar ini adalah medan muhasabah untuk memenangkan Islam!!
Kita sayang kepada pemimpin kita tapi mereka harus sedar jika cadangan dan tindakan yang mereka buat walaupun pada anggapan mereka benar tapi merosakkan perpaduan parti dan kepercayaan orang ramai terhadap PAS, yang mana rakyat melihat PAS adalah parti alternatif terbaik untuk semua rakyat ‘PAS For All’ dan terbaru slogan ‘PAS Ganti UMNO’, maka mereka harus berundur atau diundurkan secara terhormat.
Ahli PAS harus ingat jika ada yang menawarkan diri sebagai pemimpin bukanlah tidak wala' atau melawan atau tidak mengenang budi. Perlembagaan PAS sendiri menyediakan wadah dan medan untuk ahli-ahlinya memilih yang terbaik dan layak, untuk menjadi pemimpin mereka. Cuma berilah amanah kepada yang layak dan mampu menggalasnya, terutama untuk menghadapi PRU 13 akan datang, seterusnya memenanginya bersama Pakatan Rakyat.
Sebelum akhirnya, kepada semua perwakilan atau ahli Pas, lihatlah ucapan penggulungan dan mulahazoh oleh mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Hj. Ahmad Awang dalam muktamar sebelum ini, sebagai peringatan kita bersama.
Video ucapan beliau di sini..
Boleh juga merujuk :
Moga Islam terus berkembang dibawah kepimpinanan Islam.
BalasPadam