Renungan Sejenak

Rabu, 25 Mei 2011

Nik Aziz Dakwa Umno-BN ‘cipta’ Label Ulama, Profesional Dalam PAS!!

Umno-APCO Buat Hal Lagi!! Jangan Mudah Percaya, Semua ini Hanyalah Agenda Pihak Musuh!!



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak wujud dua kumpulan — ulama dan profesional, yang didakwa bersaing mahu menguasai barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.

Sebaliknya kata beliau, istilah golongan ulama dan profesional itu yang seringkali timbul ketika pemilihan parti, sebenarnya “dihidupkan” oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

Nik Aziz (gambar) berkata demikian menjelang pemilihan kepimpinan PAS pusat awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.

Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan sengit.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa cabaran.

Mereka yang mahu bertanding jawatan tertinggi PAS harus mengesahkan pencalonan mereka sebelum pukul 5 petang ini.

“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh Umno-BN.

“Jika pun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook malam tadi.

Oleh itu kata Menteri Besar Kelantan itu, barisan kepimpinan PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.

Justeru, tegas Nik Aziz, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.

“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.

“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai.

“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama dalam PAS itulah profesional.

“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular.

Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai.

Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.

Tambah Nik Aziz, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan PAS.

“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.

“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,” katanya.



p/s : Jangan mudah menghukum sesuatu perkara sebelum diselidik berita atau perkara tersebut terlebih dahulu, lupakah akan 'inzar' dan peringatan keras dari Allah dalam Al-Quran?? Oleh itu, bertaubatlah kita semua terutama bagi mereka yang menyebarkan berita palsu dari golongan tertentu, apatah lagi golongan fasik!!

Rujuklah ayat ke-6 dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman!! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu golongan kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.."



Lihat dan FAHAMI juga kenyataan media oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang saya sengaja sertakan dari facebook beliau sendiri, supaya semua dapat membaca realiti semasa di sini.. Jangan pecahbelahkan PAS dek kerana kita tidak memahami siyasah syar'iyyah dan situasi sebenar di medan perjuangan kini!!


Kenyataan media mengenai ulasan lengkap beliau di sini :

Kenyataan Media - PAS : Benteng Ombak Penyelamat Ummah



Artikel berkaitan boleh rujuk :

Konsep Kepimpinan Dalam PAS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...