Renungan Sejenak

Isnin, 28 Februari 2011

Saman Ekor : Rakyat Tidak Didahulukan Kerajaan!!


Setelah sekian lama kaedah saman ekor ini dipertikaikan oleh rakyat tetapi kerajaan BN masih melaksanakannya. Lebih mendukacitakan rakyat ialah belum ada Perdana Menteri yang sanggup mengambil tindakan "blakck list" ke atas rakyat kecuali Datuk Seri Najib.

Malahan Tun Mahathir di mana di zamannyalah saman ekor diperkenalkan tetapi beliau sendiri tidak mengambil tindakan blacklist (mungkinkah kerana waktu itu negara masih 'kaya' dan pendapatan negara masih stabil walaupun berlaku ketirisan dalam projek-projek mega?) Apakah kerana kerajaan pimpinan Najib benar-benar terdesak kerana menghadapi masalah kewangan yang kronik kini? Antara kelemahan saman ekor yang paling ketara kezalimannya ialah:

i. Saman dikeluarkan ke atas kenderaan bukan pemandu.
Keadaan ini boleh menyebabkan terjadinya penganiayaan. Kita sedia maklum banyak kenderaan di atas jalan yang dipandu bukan oleh pemiliknya. Contohnya suami memandu kereta milik isteri, anak memandu kereta ayahnya, adik memandu kereta kakak dan juga kawan memandu kereta kawan.

Kita ada terbaca bagaimana seorang ibu terpaksa bergadai bergolok untuk menyelesaikan saman anaknya bernilai ribuan ringgit yang memandu keretanya, dan kesannya kepada anaknya. Tiada apa-apa kerana yang menyelesaikan saman ialah ibunya. Malahan dalam keadaan sekarang di mana pembiayaan pinjaman kereta sehingga 9 tahun, Ramai yang menjual kereta melalui kaedah “sambung bayar” kerana bagi mengelakkan kerugian susut nilai. Bagaimana pula dengan kereta yang menggunakan plat kenderaan palsu. Malah ada individu-individu yang sengaja membuang 1 nombor pendaftaran keretanya bagi mengelakkan saman ekor. Dan terbukti setelah lebih 10 tahun dia memandu “kaedah”nya memang berkesan.

ii. Saman disampaikan secara postal bukan secara terus
Pemilik kenderaan yang mana kenderaannya melakukan kesalahan had laju akan menerima makluman melalui pos. Kelemahannya di sini ialah jarak tempoh yang lama dari tarikh kesalahan kenderaan dibuat dengan tarikh penerimaan surat saman. Ada yang menerimanya 2 atau 3 bulan setelah kesalahan dibuat dan ada yang selepas hampir setahun. Contohnya, ada yang terpaksa membayar sehingga RM3000-RM4000 apabila ingin melangsaikan saman yang bermula dari tahun 2008. Kerana sudah lama, bertahun-tahun baru 'dikumpulkan' jumlahnya kemudian. Lebih menghairankan, ada saman yang tidak masuk akal, kerana tempat yang didakwa saman itu dikeluarkan, si pemilik kereta itu langsung tidak pernah pergi ke sana dalam tempoh saman itu dikeluarkan. Jadi, timbul keraguan di situ.

Yang lebih parah, ada yang tidak terima sebarang makluman langsung. Tanpa sebarang makluman, tiba-tiba notis yang 'terbaru' baru dikeluarkan dan disampaikan kepada tuan empunya kereta misalnya. Ini menyukarkan pemilik kenderaan mengingati siapa yang memandu pada ketika kesalahan dibuat. Kaedah menamakan pemandu di keratan penghujung surat saman juga dilihat tidak praktikal kerana tarikh kejadian yang telah lama serta hanya akan menyebabkan pertengkaran sesama saudara atau dengan rakan.

iii. Jumlah saman yang dikenakan sama tanpa mengira had laju
Jumlah kompaun yang sama iaitu RM300 biasanya dikena tanpa mengira had laju yang di catatkan adalah amat tidak adil. Kalau kita lihat dalam undang-undang contohnya rasuah, denda yang dikenakan bebeza mengikut jumlah rasuah yang di ambil, begitu juga dalam pengedaran dadah. Justeru PDRM sewajarnya mengenakan jumlah saman yang bebeza bergantung pada had laju. Contohnya kereta yang dipandu melebihi had laju tetapi masih di bawah had laju kebangsaan iaitu 90km sejam dikenakan saman RM100. Seperti memandu 78km di kawasan had laju 60km. Mereka yang memandu melebihi 90km hingga 110km dikenakan saman RM200 dan yang memandu melebihi 110km barulah dikenakan kompaun maksimum RM300.

Rasionalnya ialah mereka yang memandu di bawah 90km ini bukan dalam golongan “kaki racing”, mereka cuma kadang tidak terpandang papan tanda hadlaju atau jalan yang lengang ketika itu. Tetapi mereka yang memandu melebihi 110km sejam memanglah boleh di kategorikan sebagai “kaki racing” yang boleh menyebabkan kemalangan dan wajar dikenakan kompaun maksimum.

iv. ‘Blacklist’ hendaklah dibuat setiap tahun bukan setelah 10 tahun
PDRM dan JPJ sepatutnya menyenarai hitam pemandu yang enggan membayar saman ini setiap tahun bagi mengelakkan ianya tertunggak telalu lama yang mana akan menyukarkan pemandu untuk membayar jumlah yang terlalu banyak seperti yang berlaku sekarang.

Walaupun kerajaan ada memberi insentif diskaun tetapi apabila jumlah yang terkumpul terlalu lama ianya pasti menjadi bebanan kepada rakyat untuk menjelaskannya dalam masa yang singkat. Bukan semua rakyat berkemampuan lebih-lebih lagi ketika ekonomi jatuh seperti sekarang. Kita tidak mahu natijahnya nanti lebih teruk di mana mereka akan mamandu kenderaan tanpa cukai jalan bagaimana nanti jika berlaku kemalangan? Dan lebih parah lagi ada yang maminjam along untuk menyelesaikan saman bagi memastikan mereka boleh memperbaharui cukai jalan.

Maka boleh kita simpulkan di sini kaedah penyelesaian yang terbaik ialah pihak PDRM perlu mengkaji mekanisma baru bagi perlaksanaan saman ekor ini. Antaranya ialah seperti yang pernah PDRM lakukan sekitar tahun 1990-an. Di mana pada ketika itu saman ekor di buat secara “tembak, tahan dan tulis saman” (3T). Kereta yang dipandu melebihi had laju akan dikesan oleh seorang anggota polis lalu akan ditahan selepas 1 atau 2 kilometer dari tempat kejadian oleh 2 atau 3 orang anggota polis lain serta saman terus di beri kepada pemandu. Ini secara langsung akan menyelesaikan semua masalah. Sekiranya PDRM menghadapi masalah kekurangan anggota mohonlah pertambahan anggota bukannya menjadi pak turut untuk melakukan kezaliman kepada rakyat.

Justeru, rakyat Malaysia amat-amat berharap kempen anti saman ekor (KASE) yang dibawa oleh PAS ini, dapat terus diperjuangkan sehingga tercapai matlamatnya. LAWAN TERUS LAWAN! Kerajaan BN mesti diajar bahawa rata-rata rakyat faham akan rasionalnya penggunaan perangkap had laju, rakyat bersedia untuk membayar saman sekiranya perlaksanaannya teratur dan telus bukannya dengan cara menzalimi rakyat. Dan apa yang lebih jijik lagi ialah menjadikannya sumber pendapatan haram kerajaan.

p/s : mansuhkan saja saman ekor ni, bukan mendahulukan rakyat tapi menyusahkan dan membebankan rakyat!! Jangan sampai rakyat bangkit, baru mahu memikirkan kesusahan rakyat!! Carilah sumber pendapatan negara melalui cara lain. Negara pengeluar minyak, tapi minyak di negara sendiri pun mahal!!

nota tambahan : gambar-gambar Gelombang ke-2 KASE, bolehlah dilihat di laman rasmi Kempen Anti Saman Ekor@Facebook di

Husam : Tiga Dalil Dr M Pengkhianat Melayu

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mengemukakan tiga dalil bagi membuktikan dakwaannya bahawa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "pengkhianat Melayu".

Menurutnya, beliau sudah lama berpandangan sedemikian. Antara buktinya itu, termasuk pendaratan minyak dan gas ke Songkla dilakukan "secara sengaja dan terancang" bagi menafikan hak Kelantan yang majoriti penduduk Melayu mendapat apa sahaja peluang faedah berkenaan.

"Bila hak Kelantan ternafi sampai kini, hak rakyat Kelantan juga ternafi dan dikhianati. 95 peratus penduduk Kelantan adalah Melayu. Maknanya Tun M mengkhianati Melayu, Melayu Kelantan secara khusus," tulis Husam di blognya.

"Kawasan JDA (perdaratan minyak dan gas) hanyalah 150 km dari pantai Kelantan berbanding 270 km ke Songkla.

"Dari Songkla, terpaksa dibina saluran paip gas daratan sejauh 180 km lagi untuk gas tersebut dibawa semula ke Malaysia melalui Kedah untuk mengelakkan Kelantan tersentuh!" kata Husam.

pas muktamar 55 husam musa 050609Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata susulan itu, hak royalti Kelantan dan faedah industri hiliran turut dinafikan walaupun telaga itu paling hampir dengan Kelantan berbanding semua tempat lain sama ada di Malaysia atau Thailand.

"Namun sedikit pun faedahnya tidak dapat dikecapi oleh rakyat Kelantan, baik Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Ia adalah program politik untuk memencilkan Kelantan.

"Secara automatik Melayu Kelantan juga terpencil. Sebagai anak Kelantan, saya merasai bagaimana hak kami dinafikan. Dan saya adalah Melayu," coretnya lagi.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu juga mendakwa "lebih jelas lagi pengkhianatan" Dr Mahathir apabila beliau membatalkan pemberian royalti kepada kerajaan Terengganu yang diberikan selama 22 tahun selepas negeri itu terlepas daripada BN.

"95 peratus rakyat Terengganu adalah Melayu. Sekali lagi Tun M lupa kepentingan Melayu demi kepentingan kepartian Umno semata-mata. Melayu Terengganu juga dikhianati.

mahathir and malay people"Tun M sanggup membatalkan apa yang telah menjadi amalan selama ini demi kerana politik."Orang seperti ini meletakkan politik parti mengatasi segala-galanya dan soal Melayu dengan sendirinya adalah lebih kecil dari kepentingan politik," katanya.

Dalam tulisan itu juga, Husam berkata pilihan raya 1999 menyaksikan perubahan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri sehingga menyebabkan kuasa Umno tergugat.

"Pengundi bukan Melayu memilih untuk bersama BN pada waktu itu. Apa yang dilakukan oleh Tun M?

"(Beliau) mengubah sempadan pilihanraya dengan memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu ke dalam DUN atau Parlimen majoriti pengundi Melayu di seluruh negara supaya peratusan pengundi Melayu mengecil untuk menjamin kemenangan Umno/BN," katanya.

azlanDengan nada sinis, Husam yang juga ADUN Salor mempersoal angkara siapa yang menyebabkan hari ini pemimpin Umno melaungkan 'ketuanan Melayu' terancam.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk berdebat dalam diskusi ilmiah dengan bekas presiden Umno itu mengenai isu pengkhianatan Melayu oleh Umno

"Sementara itu, siapa sahaja yang mempunyai pandangan terhadap bagaimana Umno mengkhianati Melayu selama ini boleh berkongsi mengenainya dalam FB '54 tahun Umno Khianati Melayu'" katanya.

Islam Sederhana Umno Ditempelak Tuan Guru Nik Aziz

Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya, melahirkan rasa terkejutnya apabila membaca kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang membuat tuduhan liar ke atas gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Sambil menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai “sangat tidak manis”, beliau menasihatkan Najib supaya beristighfar banyak-banyak.

NONE“Saya kira Perdana Menteri Malaysia sudah lupa langit tinggi rendah sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, pemergian ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ.

“Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas perdana menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam, hari ini perdana menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia.

“Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru Umno,” tulis Nik Aziz.

NONEBeliau mengulas laporan berita dalam laman web National Review Online di mana Najib dilaporkan mengeluarkan kenyataan bernada kesal dengan keterlibatan Ikhwanul Muslimin dengan protes mendesak pengunduran Hosni Mubarak di Mesir yang berunsur keganasan dan melampau (violence and extremism).

Bukan Islam

Selain itu, pada ucapannya di Istanbul baru-baru, Najib juga dilaporkan menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan.

Sehubungan itu,Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan mengingatkan bahawa “tiada Islam sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.”

Syeikh Dr Yusuf Al-QardhawiSecara panjang lebar, Nik Aziz kemudiannya menyoal neraca mana nama ganas itu mahu ditampal dan mempersoalkan sama ada setiap perbuatan menuntut hak setelah dinafikan itu didakwa sebagai ganas.

“Dalam Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi tempat tumpah darah: Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan pernah dipulau selama tiga tahun di Syi'ib Ali.

Bersedia jadi pengganas!

“Mereka tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak berjawab, sapa mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum menadapat keizinan daripada Allah SWT.

NONE“Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah.

Jelas Nik Aziz lagi, di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka.

“Tiga belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas, apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia?

“Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat itu ganas? Suka saya nyatakan, jika Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua muslim seharusnya bersedia untuk menjadi pengganas!”

NONEMenurut Nik Aziz, Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun dan bila pilihan raya diadakan pula, diktator itu akan mendapat kemenangan hampir 99.99 peratus.

“Adakah menjatuhkan pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat sedangkan apa yang jelas berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat.

Palitkan getah kepada Ikhwan

“Tidakkah Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir. Muslim, Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun berdiri satu barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan, penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak, jangan pula getahnya dipalitkan kepada Ikhwan!”

NONEMenurut Nik Aziz, Islam tidak mengajar umatnya untuk melakukan keganasan, tetapi Islam tidak pula membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan perlakuan zalim ke atas diri mereka.

“Peliknya, ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula dilabelkan sebagai ganas.

“Demikianlah juga ketika Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan ganas.

Neraca senget

Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi“Apabila rakyat Palestin bertindak walaupun hanya dengan melontar batu, mereka sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan,” kata Nik Aziz.

Menurut Nik Aziz, Al-Qaradawi adalah ulama berjasa yang pernah dipenjarakan ketika perdana menteri Malaysia hari ini belum lagi lahir ke dunia.

Katanya, beliau telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu dan pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia bahkan kerajaan Malaysia sendiri menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada beliau.

najib egypt democracy crisis“Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu.

“Harapan saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas perdana menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan bekas perdana menteri itu,” akhiri tulisan Nik Aziz itu. -MalaysiaKini

Ada Kebenaran Najib Burukkan Ikhwan Muslimin dan Al-Qaradhawi?


Oleh : Mohd Sayuti Omar

NAJIB Razak menjawab dan menjelaskan tohmahan dan dakwaan kononnya beliau telah melemparkan kata-kata kurang cerdik ke atas Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Ikhwan Muslimin di Mesir dengan mengatakan Ikhwan Muslimin dan Al-Qaradhawi membantu keganasan. Najib menafikan yang beliau ada mengadakan Ikhwan Muslimin sebagai gerakan militan dan ekstremis.

Kata Najib apa yang berlaku ialah beliau menasihat Ikhwan Muslimin supaya membuang persepsi ganas dan militan yang dicapkan kepada gerakan tersebut dan menyertai pilihan raya demokrasi. Kata Najib persepsi itu adalah persepsi umum bukan darinya.

Semalam Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal atas kritikan Najib kepada Ikhwan Muslimin. Kritikan itu dikesani disiarkan dalam web National Review Online.

Dalam jawaban dan penjelasan di Kerdau siang tadi Najib tidak menafikan beliau ada berckap mengenai hal itu. Najib tidak kata yang laporan itu bertujuan untuk memburukkan Ikhwan Muslimin. Tetapi apa yang dijelaskan beliau tidak berkata seperti mana dilaporkan itu kemudian diulas oleh Nasharudin dan Anwar.

Baiklah... apabila Najib memperakui bahawa persepsi negatif itu persepsi umum kemudian beliau memberi nasihat berpandukan pandangan umum itu ini bermakna beliau menerima persepsi itu. Kalau Najib tidak menerima beliau tidak akan memberi nasihat kepada Ikhwan Muslimin itu seperti mana dijelaskan.

Salahnya Najib di sini secara tidak langsung beliau mengiktiraf pandangan umum. Soalnya pula pandangan itu dari pihak mana? Bukankah ianya datang dari Amerika Syarikat dan Israel yang sangat benci dan bimbang dengan kebangkitan Ikhwan Muslimin? Pandangan jahat terhadap Ikhwan Muslimim seperti itu tidak datang dari gerakan Islam dan negara Islam lain di seluruh dunia. Saya tidak tahulah kalau Umno pimpinan Najib turut mempunyai pandangan berkenaan.

Satu yang kena ingat kepada kewujudan Hizbul Muslimin sebuah parti yang bersemangatkan Islam di negara ini pernah diharamkan oleh penjajah British. Pengharaman itu disokong sepenuhnya oleh Umno yang merasakan parti pimpinan Abu Bakar Baqir itu dirasakan boleh mengugat Umno. British menggelarkan Hizbul Muslimin ini sebagai 'hubaya' dari gunung. Sikap Umno terhadap pengharaman Hizbul Muslimin itu menyebabkan Umno dianggap anti Islam atau parti sekular.

Seperkara lagi yang boleh dimusykilkan, penjelasan Najib yang konon beliau tidak beranggapan begitu kepada Ikhwan Muslimin juga akan dipertikaikan sejauh mana keikhlasan dan kebenarannya. Saya tidak pun ternampak pandangan dan ulasan Najib berhubung Ikhwan Muslimin itu disiarkan dalam mana-mana media massa negara ini. Beberapa agensi berita telah menyertai rombongan rasmi Najib ke Turki tempat di mana beliau mengeluarkan kenyataan itu tetapi tidak ada ulasan dan penyiaran ke atas kenyataan itu.

Apakah ianya sudah ditulis oleh wartawan tetapi ditapis untuk penyiarannya. Saya yakin kalau web bebas itu boleh dipengaruh kenyataan itu juga tidak akan disiarkan sebab ia memberi implikasi kepada perdana menteri Malaysia itu khasnya di negara Arab dan oleh gerakan Islam lainnya.

Kalau kenyataan dan pandangan Najib terhadap Ikhwan Muslimin itu tidak ada motif politik, atau positif kenapa ia tidak dilaporkan dalam media massa negara ini? Di sini menyebabkan saya merasakan tanggapan Anwar dan Nasharudin terhadap Najib yang menghina Ikhwan Muslimim itu semacam ada kebenarannya, atau ada asasnya.

Justeru permintaan agar Najib memohon maaf kepada Ikhwan Muslimin dan Yusuf Al Qaradhawi adalah dirasakan perlu. Bukan itu saja Najib juga perlu meminta maaf kepada umat Islam lainnya kerana penghinaan kepada Ikhwan Muslimin sebagai menghina mereka sama. Umum tahu Ikhwan Muslimin adalah gerakan Islam di Mesir yang sudah lama berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kerajaan diktator dan munkar pimpinan Mubarak yang disambung dari rejim sebelum ini.

http://msomelayu.blogspot.com

Jumaat, 25 Februari 2011

Pembangunan Ekonomi Berteraskan Rakyat


Renungilah hujah Dr. Dzulkefli Ahmad di bawah ini:


Ini sebahagian
dari sebab mengapa PAS mesti mengambil peranan menjelaskan kepada rakyat mengapa orang Melayu khususnya bahkan negara akan terus ketinggalan, andainya PAS/Pakatan Rakyat tidak dedahkan lantas segera menyelamatkan negara.

Kerana pengabaian dan pengkhianatan terhadap Melayulah maka PAS terpaksa mendepani kebejatan pengurusan kewangan pembangunan tempang ini. Umno mendodoikan Melayu dengan Ketuanan Melayu-Umno tetapi sebenarnya memperkayakan segelintir kroni dan memangsakan rakyat teramai khususnya orang Melayu.


Menurut Prof Dr Mohammed Arif, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), selepas 3 dekad perlaksanaan DEB dan penyelewangannya, 75% daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah paras RM2,000 sebulan ialah kaum bumiputera.


Sementara itu terdapat 40 peratus dari rakyat Malaysia yang mendapat pendapatan isi-rumah kurang dari RM1500 sebulan. Tegasnya, Melayu kaum yang menjuarai kelompok berpendapatan rendah.


PM Najib sendiri mengakui bahawa dari RM54 bilion saham yang diperuntukkan untuk kaum Bumiputera, pegangan saham itu menjunam kepada hanya RM2 bilion kerana kelompok yang diberikan saham ini menjualnya ke pasaran saham (The Sun, 30 Jun 2009: PM Frees Up Economy).


Dalam ucapan yang sama Najib mendedahkan bahawa yang menerima saham bumiputera ini bukanlah orang Melayu biasa tetapi Datuk Sri dan Tan Sri kata beliau.


Inilah secebis kisah tentang kebanggaan pegangan 30 peratus ekuiti Melayu yang diperjuangkan Umno sekian lamanya, yang antara lainnya menjadi punca mengapa ekuiti Melayu itu berada pada tahap 19 peratus.


Melayu manakah yang kaya-raya serta kelompok jutawan-bilionair dan bagaimana kekayaan mereka itu mereka perolehi?


Kepupusan tanah rezab Melayu, contoh pengkhianatan Umno kepada orang Melayu berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 hektar pada tahun 1995.


9 ribu hektar tanah rezab Melayu ditukar menjadi di Selangor ditukar menjadi bukan tanah rezab Melayu. Apakah nasib 39000 penduduk di Kampong Baru ketika Rancangan Pembangunan KL 2020 dilaksanakan?


Hutang awam (kerajaan Pusat) telah meningkatkan ke paras 53.7 peratus KDNK atau RM362 bilion, sementara hutang isi-rumah bagi menunjukkan tahap ’stress’ kepada rakyat awam telah sampai ke peringkat 76.6 peratus (RM 466 bilion) KDNK (2010) berbanding 63.9 peratus KDNK tahun lalu (2009), yang tertinggi di Asia.


Bagaimana pula dengan hutang tak berbaya (NPL) dalam waktu terdekat nanti? Peratus Melayu dan golongan bawah 35 tahun?


Defisit Belanjawan telah memasukki tahun ke 13 dan dianggarkan akan terus melebar tahun 2011 (5.6-6%) sekaligus menjadi risiko tentang penarafan negara dan risiko kebankrapan seperti negara Greece dan Ireland.


Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli dan pendapatan boleh berbelanja rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat.

Gaji purata bagi pekerja Malaysia hanya menokok sebanyak 2.6 peratus antara 2000-2010 berbanding gaji purata seluruh dunia yang meningkat pada kadar 3.2% (Sumber Bank Dunia).


Rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga kos barangan keperluan harian akibat inflasi samada dari luar (inflasi diimpot) mahu pun akibat dari tekanan inflasi akibat penarikan semula subsidi atas bahan bakar petrol dan diesel, gula dan gas. Subsidi RM9 bilion keal kepada IPP.


Paling mutakhir laporan Global Investment Integrity (GFI, 2000-2009) melaporkan sebanyak RM888 bilion mengalir keluar secara haram (illicit outflow) dan Malaysia duduk ditangga ke-5 teratas dalam pengaliran dana secara haram ini sekaligus menafikan negara menggunakan wang ini untuk pembangunan dan pelaburan untuk rakyat.


Sedikit waktu dahulu The Star melaporkan bahawa negara mengalami kebocoran sistem penghantaran akibat rasuah dan pengurusan timpang dan tiris sebanyak RM28 bilion setahun mengikut Laporan Ketua Audit Negara.


Pembabitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin Umno samada yang masih memegang jawatan mahupun telah menjadi mantan, tetap mengesahkan kritikan kami bahawa Umno sememang sarat dengan amalan rasuah seperti yang diakui sendiri oleh Tun Mahathir.

Senarai semakin panjang dan jumlah semakin meningkat pada setiap perlakuan. Begitu juga hal-hal projek terbengkalai ada-ada sahaja penglibatan orang politik yang memangsakan rakyat lemah. Dakwaan terhadap pimpinan tertingginya bersabitan komisyen perolehan kapal selam scorpene masih lagi dalam siasatan di Mahkamah Perancis. Apakah ini juga termasuk dalam statistik GFI?

Pembangunan ekonomi negara dalam kerangka pemikiran PAS (dan Pakatan) akan dipacu secara mampan dengan sentiasa menjadikan pengembangan ekonomi berteraskan rakyat atau ’people-centric development’ dan tidak sekadar projek mega yang mengutamakan kroni dan pihak tertentu atau ’crony-centric’
.


Khamis, 24 Februari 2011

Perlunya Enjin Dan Rekabentuk Yang Baru Dalam Pas

Ustaz Ahmad Yahya antara kepimpinan muda
Pas Kedah yang dekat dengan anak muda

Ust Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
antara kepimpinan muda Pas Terengganu yang
boleh diketengahkan sebagai teraju utama
dalam kepimpinan negeri akan datang

YB Dr. Mujahid (tengah) ikon perpaduan dalam
Pakatan Rakyat bersama YB Ust Nasir Zakaria (kanan)

YB Dr. Syed Azman mewakili anak muda di Terengganu

YB Dr. Dzulkefly Ahmad tokoh berwibawa Pas di Selangor

Ikon anak muda : YB Dato' Seri Ir. Nizar dan
YB Dato' Paduka Husam Musa perlu diberi peranan
lebih besar sama ada di dalam Pas dan Pakatan
Rakyat bagi mewakili aspirasi anak muda kini

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
tokoh berpengaruh dalam Pas,
turut kelihatan YB Ust. Nasharudin
dan YB Salahuddin Ayub




Berada dalam ‘mood’ semangat anak muda sejak akhir-akhir ini, dengan kebangkitan anak muda di Tunisia, Mesir, dan negara-negara Arab, kemudian pula berlangsungnya Himpunan 30 ribu pemuda di Kedah, ditambah lagi dengan realiti pilihanraya kecil akhir-akhir ini menemukan calon Pas dengan calon Umno, suka saya ingin ‘berbicara’ tentang angin perubahan kini.

Umpama sistem ekonomi akan runtuh setiap 7-10 tahun, kemudian pemutihan dengan yang baru, umpama pokok getah dan sawit, yang akan ditebang dan tanam semula, begitulah dalam sistem politik perlu sangat ada pemutihan untuk hasil yang asli, berkualiti dan lebih bernilai.

Rombakan yang bermakna, dengan menukarkan kepimpinan politik yang sedia ada kini, kepada yang lebih berkaliber, setia dan faham, sebagai syarat wajib perjuangan, adalah titik tolak kepada perubahan yang positif.

Yang pergi akan hilang dek zaman pasti akan diganti dengan yang baru, lebih bertenaga, diberi nafas baru ringkasnya. Patah tumbuh silih berganti bak kata peribahasa.

Setiap bidang pekerjaan pun, ada sahaja syarat-syarat dan had umur pencen dan sebagainya, tetapi kenapa blok kepimpinan yang sudah terlalu lama, namun tiada perubahan yang semakin baik yang dibawanya, perlulah ditukar kepada kepimpinan yang baru.

Jika prestasi dan kepimpinannya masih bertenaga, ada impak yang bagus, boleh sahaja mengekalkan beliau, namun jika sudah lama seseorang itu berada di sesuatu posisi kepimpinan, tetapi tiada perubahan yang semakin baik, masih sama dan setara seperti 2 tahun atau 3 tahun sebelumnya, lebih baik berikan peluang kepada yang lebih berkemampuan.

Peredaran zaman dan tahun, membuktikan pengaruh anak muda, memainkan peranan yang penting, tanpa menidakkan 100 peratus pimpinan veteran, dalam menentukan hala tuju kepimpinan sesebuah negara.

Dalam Pas sendiri, saya melihat, perlunya satu penambahbaikan dari aspek kepimpinan veteran yang masih mewarnai dalam kepimpinan parti. Bukan menidakkan kemampuan mereka, cuma mahu memberikan peluang kepada generasi pelapis untuk menerajui kepimpinan sedia ada, lantas membolehkan mereka diuji dalam pentas politik negara.

Kelibat mereka pada zaman mereka, sememangnya tidak dinafikan, merekalah nadi utama perjuangan Pas, merekalah tokoh yang menjadi sebutan di bibir anak muda pada ketika itu. Ucapan dan kritikan mereka menjadi inspirasi. Namun zaman mereka sudah berlalu.

Saya juga ingin mengulangi kenyataan saya sebelum ini, bukan semua veteran perlu ditukar dengan kepimpinan yang baru. Misalnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai Mursyidul Am Pas, walaupun usianya sudah hampir usia seabad, namun idea-idea beliau masih segar dan bernas, beliau masih lagi mengikuti isu-isu dalam negara dan setempat dengan baik, malah memberi respons kepada isu-isu yang sememangnya ditagih oleh ahli-ahli dan masyarakat dari golongan bawah yang sentiasa melihat dan menilai.

Saya juga suka mengatakan, orang muda juga, bukan semua boleh mengisi kepimpinan sedia ada jika jiwanya muda namun ideanya lesu, tidak mendepani massa, apatah lagi jika tidak mampu mencetuskan sesuatu untuk kebaikan parti, tambahan pula dalam laluan ke Putrajaya nanti.

Perjuangan Islam ada nilai dan prinsip yang tinggi, sama ada bagaimana seseorang itu layak untuk menjadi pimpinan, kaedah-kaedah untuk seseorang itu untuk berada di atas dan sebagainya. Jika layak dan kena dengan tempat dan masanya, seseorang itu perlu mengisi tempat tersebut walaupun mungkin sudah beberapa tahun bagi dirinya.

Pas bukan milik peribadi atau milik golongan tertentu, dan bukan juga milik legasi tertentu. Pas milik jemaah. Perjuangan Pas bukan hanya untuk memenangi pilihanraya, namun seperti mana pesanan Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Noor, perjuangan ini perlu diteruskan untuk menegakkan syariat Allah, usaha dan penat lelah kita hanyalah untuk Islam tertegak, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan menghapuskan kezaliman.

Sebagai contoh, di Terengganu saya melihat tokoh-tokoh yang ada sudah melalui zaman emasnya. Saya mengakui akan kehebatan tokoh-tokoh ini. Jasa dan budi mereka terhadap perjuangan Pas tidak boleh dipertikai. Sumbangan mereka kepada Pas Terengganu juga tidak dapat dinafikan. Namun, zaman mereka sudah berlalu sebagai pimpinan, mungkin sebagai murobbi adalah lebih sesuai dan sangat-sangat diperlukan.

Kepimpinan yang ada sekarang, masih ada mereka yang sememangnya mengisi kepimpinan Pas Terengganu dari tahun 1980an dan 1990an lagi. Jadi, Pas Terengganu perlukan satu perubahan jika tidak mahu mereka ditolak lagi dalam PRU yang akan datang. Lihatlah, pada PRU 12 yang lalu, gelombang perubahan rakyat berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan banyak tempat lain, namun Terengganu yang pernah diperintah Pas sebanyak dua kali, yang kali terakhir pada tahun 1999, namun hanya menang di beberapa Dun dan Parlimen sahaja di sana dalam PRU ke12 yang lalu.

Anak-anak muda Terengganu di perantauan yang mempunyai persatuan sendiri juga, melalui Setiausahanya Suhaimi Embong pernah mengutarakan pandangan perlunya kepimpinan muka baru diperkenalkan dalam pilihanraya yang akan datang. Suara anak muda dan pandangan mereka sama sekali tidak boleh diabaikan kerana mereka mewakili generasi anak muda yang semakin mahukan kepada perubahan yang positif.

Antara pimpinan Terengganu yang sudah ‘lama’, yang saya pastikan bukan dari pandangan peribadi saya semata-mata namun dari pandangan anak-anak muda di Terengganu sendiri malah ada juga penganalisis politik juga mengakui sengat mereka dalam pentas politik sudah pudar, antaranya Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong, Harun Taib, Husin Awang, Abu Bakar Chik dan beberapa orang lagi.

Beri amanah kepada orang baru dan berundurlah secara terhormat. Berilah kepada pimpinan muda berada di saf hadapan untuk membawa misi dan gerakan ini supaya lebih segar. Di Kelantan misalnya, ramai kepimpinan muda yang ada kini, mewarisi dari kepimpinan ayah atau ayah saudara mereka. Cubalah kaji dan lihat sendiri.

Oleh itu, saya melihat di Terengganu pun boleh sahaja menyerahkan amanah untuk meneruskan perjuangan di kawasan masing-masing kepada anak lelaki mereka yang layak sekiranya ada. Jika berkelayakan dan berkemampuan, Islam tidak melarang perbuatan tersebut. Yang penting, perlunya kepada kepimpinan baru di sana.

Di Terengganu secara umumnya, berilah peluang dan ruang kepada pimpinan muda seperti Ustaz Nik Zawawi Salleh, Dr. Syed Azman dan ramai lagi kepimpinan muda berbakat di Terengganu kerana mereka ini antara sumber inspirasi anak muda pada zaman ini. Namun harus diingat, mereka ini juga masih perlukan nasihat dan tunjuk ajar murobbi-murobbi yang lebih lama dalam kepimpinan di sana, terutama apabila dalam menghadapi situasi-situasi yang amat sukar.

Dalam kepimpinan Pas pusat juga, saya melihat perlunya sedikit rombakan bagi membuat persediaan untuk mengambil alih teraju negara dari Barisan Nasional dan Umno. Sebagai contoh, Pengarah Pilihanraya Pas pusat perlukan jiwa muda yang agresif , hebat dalam percaturan dan mempunyai pemikiran strategik untuk memacu Pas dalam keadaan lebih segar untuk memimpin kepimpinan negara suatu hari nanti.

Kita tidak mahu budaya assobiyah wujud dalam blok kepimpinan Pas. Kita tidak mahu ahli yang menganggotai dalam jawatankuasa tertentu di peringkat pusat sebagai contoh, hanya majoriti diisi oleh wakil negeri Kelantan. Ini hanya sebagai contoh. Kita tidak mahu melihat budaya cantas-mencantas seperti Umno sekiranya ada. Kita tidak mahu bakat anak muda dipersiakan begitu sahaja. Pimpinan veteran yang kaya dengan pengalaman dan ilmu perlu mencurahkannya kepada kepimpinan pelapis sedia ada.

Hakikat di luar sana, rakyat melihat dan menilai. Mereka bukan lagi seperti zaman dahulu lagi. Mereka kini boleh mendapatkan maklumat sepantas teknologi yang wujud. Medan blog, facebook, twitter, my space dan sebagainya menjadi penyebar maklumat penting. Sebarang kelemahan dan kekurangan pimpinan, boleh menjadi tatapan mereka sehari-hari.

Andai kepimpinan lama masih berkeras, rakyat dan anak muda boleh menghukum seperti mana yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Libya, Yaman dan negara sekitarnya juga sedang melalui skrip yang hampir sama. Mungkin KPI yang telus dan penilaian oelh ahli bawahan untuk kepimpinan sedia ada juga perlu diwujudkan, sebagai cadangan untuk mengukuhkan dan menguatkan perjuangan Pas.

Kita di Malaysia, perlulah mengambil ibrah dan iktibar sedari awal, sebelum rakyat menolak kita bukan kerana mereka tidak menyukai kita, sedangkan naluri mereka memang menyokong perjuangan kita, namun dek kedangkalan kita menyediakan alternatif yang tidak meyakinkan mereka, masih cetek pengamatan kita, masih bertongkat dengan kepimpinan lama tetapi lesu, pudar dan tidak bermaya, ternyata amat rugilah kita pada ketika itu. Wallahu’alam.


Selasa, 22 Februari 2011

Jika 'mayat' diremehkan, tunggulah kebangkitan siswa seperti di Mesir

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Agak lama kita tidak mendengar khabar menarik tentang gerakan mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan, sehinggalah tercetusnya beberapa kekecohan semasa proses penamaan calon pilihan raya kampus, Khamis lalu. Itu pun ia hanya membabitkan beberapa kampus utama dan "dewasa" di sekitar Lembah Klang, seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tambah panas apabila pada petang Ahad, 20 Feb, iaitu hari terakhir kempen, dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) UM, Masturah Abu Bakar, yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus. Dalam laporan yang dibuat rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor di balai polis Pantai, Masturah tidak dapat dikesan ketika membeli tambahan kredit telefon, selepas berkempen kepada pelajar UM yang tinggal di pangsapuri sekitar Pantai Dalam. Sebelum itu, Masturah pernah mendapat ugutan melalui SMS.

Rupanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terus mengongkong dan memenjara kehidupan anak-anak muda dan "membudaksekolahkan" mereka, ditambah teruk lagi dengan kuasa tidak terbatas Hal Ehwal Pelajar (HEP) dalam menentukan "apa yang boleh dan tidak boleh dibuat" di kampus. Rata-rata pentadbir universiti masih memandang rendah keupayaan mahasiswa untuk mengatur aktiviti dan melangsungkan fungsi gerakan pelajar secara berkesan dan matang, sekali gus membataskan "lingkungan operasi" mereka.

Tidak hairanlah apabila kita menyaksikan bagaimana seorang pegawai keselamatan UM bertindak menekup mulut seorang mahasiswa yang cuba mengadakan sidang media di hadapn para wartawan. Saya mencadangkan kepada rakan-rakan pelajar agar foto eksklusif penuh bermakna itu diedar dan dipamerkan secara meluas, sebagai bukti kebebasan bersuara di kampus kita sudah mencapai tahap kronik dan memalukan. Anak muda yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur jurucakap masyarakat patut berasa terhina dan terpukul dengan insiden berkenaan.

Aksi-aksi protes dan gimik berani pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati dengan peraturan pilihan raya kampus, seperti mengusung "keranda" di UPM dan membaringkan "mayat" di UM, begitu menarik untuk diperhatikan. Luahan rasa mereka tidak boleh diremehkan; ada mesej besar yang mahu disampaikan. Apatah lagi dalam suasana politik dunia yang banyak "ditakrifkan" oleh orang muda, khususnya revolusi di Tunisia dan Mesir, yang kini menjalar di negara-negara Timur Tengah lainnya.

Mahasiswa membantah -- secara kreatif -- penolakan pencalonan beberapa calon Pro-Mahasiswa, atas alasan remeh HEP, yang dilihat bermotif jahat. Apabila merasa diperbodohkan, amarah mereka tidak dapat dikawal lagi sehingga pejabat Timbalan Naib Canselor HEP pun diserbu. Itu bukan reaksi kecil. Jika universiti dan pemimpin kerajaan terus-menerus memperkecilkan potensi mahasiswa, usah terkejut apabila tercetus gelodak rasa yang boleh menyamai fenomena anak muda di Mesir dan Tunisia.

Anak muda, apatah lagi yang berkampung di kampus, sentiasa dan begitu berminat mengikuti proses pembentukan sejarah baru di Timur Tengah itu. Dengan kepesatan teknologi maklumat, khususnya melalui media sosial seperti Facebook, mereka cepat berinteraksi dan bertukar-tukar idea tentang gelombang pendemokrasian di seluruh dunia. Mungkin mereka sudahpun mempunyai hubungan dengan aktivis politik atau penggerak sosial di kalangan anak-anak muda di negara-negara bergolak itu.

Malang sekali di negara kita, HEP (dan juga pegawai kanan universiti), yang sepatutnya bebas dan adil mengendalikan pilihan raya kampus, secara terang-terangan memihak calon-calon yang cenderung kepada Umno-BN. Peraturan pilihan raya dimanipulasi dan sering diperketatkan bagi menyukarkan calon-calon pro-M. Sikap diskriminasi atau pilih kasih jelas diamalkan, membeda-bedakan kumpulan pelajar atas pertimbangan sempit politik.

Bagi saya, isu kritikal bukannya pembabitan pihak luar, terutama parti politik, untuk mempengaruhi dunia kampus. Mahasiswa sudah cukup matang untuk menentukan kecenderungan politik mereka. Yang patut dibahaskan adalah sikap sembunyi tangan orang politik yang mendalangi pentadbiran universiti sehingga timbul peraturan (dan penguatkuasaan) pilihan raya kampus yang "berat sebelah". Selain itu, hak asasi yang diiktiraf sejagat, seperti kebebasan bersuara dan berorganisasi, tidak langsung dihormati pihak universiti.

Perjalanan pilihan raya, yang merupakan petunjuk penting amalan demokrasi, bukan sahaja tempang di luar kampus, malah lebih buruk dan pincang keadaannya di pusat intelektual. Universiti tidak lagi berfungsi sebagai medan terbaik menimba ilmu, mencanai bakat, bergelut dengan pengalaman baru, meluaskan interaksi khususnya dengan dunia luar terutama untuk mempengaruhi dasar-dasar awam. Pelajar yang lantang bersuara dan bersikap kritikal seolah-olah dimusuhi walhal mereka merupakan aset bermanfaat untuk semua.

Saya tertarik dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang dilihat konsisten mahu kongkongan Auku (membabitkan banyak seksyen 15 dan 16) dilonggarkan dan mahasiswa bebas berhubung serta terbabit dengan pihak luar termasuk parti-parti politik, tanpa perlu mendapat kebenaran Naib Canselor.

Dalam bukunya, Kalau Saya Mahasiswa, Saifuddin menjelaskan, program mahasiswa jenis "aktiviti" dan "bakti" memang tidak dihalang, tetapi yang berbentuk "advokasi" (yang membezakan mahasiswa dengan pelajar sekolah) dilarang Auku. Advokasi adalah proses pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan dasar. Ia dilakukan melalui memorendum, perundingan, melobi dan sebagainya. Ada masanya ia melibatkan proses mempengaruhi pandangan khalayak seperti melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan dan demonstrasi. Dan gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi itu.

Saifuddin, semasa mengulas perkembangan terkini pilihan raya kampus, mengingatkan agar pihak berkuasa dapat meraikan hak-hak asasi pelajar. Jika hak berkenaan dinafikan, jangan pelajar pula yang dipersalahkan sekiranya mereka dilihat bertindak balas secara radikal.

Justeru, insiden mengusung "keranda" dan "mayat" pada hari penamaan calon pilihan raya kampus baru-baru ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mesej dan amarah mahasiswa itu tidak boleh dipandang ringan. Ternyata rimas-gelisah Saifuddin itu tidak dikongsi rakan-rakannya dalam BN, termasuk menterinya sendiri.

Pimpinan muda Pakatan Rakyat -- seperti disuarakan Nurul Izzah Anwar bersama pimpinan muda lainnya, seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa, Anthony Loke dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam memorandum "Bersihkan Pilihan Raya Kampus" kepada Menteri Pengajian Tinggi -- harus lebih proaktif dan serius menangani krisis di menara gading ini. Jangan mengulangi kesilapan pemimpin Umno-BN, yang mahu terus memperbudak dan memperbodohkan mahasiswa kita.

Saya tetap konsisten, iaitu biarkan anak-anak muda kita di kampus melakukan eksperimen dalam proses pembelajaran yang menyeluruh. Bebaskan semua rantai belenggu yang mencengkam kreativiti mereka. Sewajarnya mereka sendiri diberikan hak untuk mengendalikan pilihan raya kampus. Dan usah risau dan panik dengan kecenderungan politik anak-anak muda ini ...

http://mindalutfi.blogspot.com



Kenapa Bob Lokman Sertai PAS


KUALA LUMPUR, 21 Feb: Pada 19 Februari lalu, pelakon dan penulis lirik terkenal Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman mengejutkan banyak pihak apabila menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30 ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.

Bob, penulis lirik lagu terkenal Isabella nyanyian Amy Search bukanlah artis pertama yang menyertai PAS. Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy, Ito daripada kumpulan Blues Gang dan Ringgo dari kumpulan Arrow telah menyertai PAS lebih awal.

Harakahdaily sempat bertemu beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan beliau itu.

Ikuti temubual beliau dengan wartawan Nazri Abdullah.

Harakahdaily:
Apa yang menyebabkan saudara Bob terdorong untuk memilih dan menyertai PAS?

Bob Lokman : Sebab saya rasa ada masalah dengan sistem kehidupan. Saya nak mendidik anak saya dengan jalan Islam tetapi dia ada masalah dengan sistem persekolahan, sistem pergaulan, dan sistem masyarakat.

Bila saya di rumah suruh dia sembahyang, di luar ada kumpulan yang suruh dia buat benda lagho. Masa saya muda dulu saya tak sedar, dan itu berlaku pada anak saya sekarang, dan sekarang sara rasa tanggungjawab pada anak.

Tengok anak kita tidak menjadikan Allah nombor satu... dia duk ikut ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, pada hal Allah nombor satu, takwa diutamakan tapi anak-kita tak tahu.

Harakahdaily:
Jadi adakah faktor anak saudara itu yang telah mendorong saudara menyertai PAS?

Bob Lokman : Ya.. Saya selalu merasa saya gagal mendidik anak saya dan rasa saya akan masuk neraka. Kerana itu saya rasa tidak ada tempat nak mintak bantuan, saya masuk PAS ini saya rasa ada jemaah yang boleh membawa saya ke jalan yang betul.

Menegakkan Islam itu adalah wajib, kalau saya tak terlibat, harapkan orang lain berjuang, apa akan jadi dengan anak saya nanti.

Harakahdaily:
Saudara tahu PAS adalah parti pembangkang. Jadi adakah saudara tidak risau ianya akan menjejaskan sumber rezeki saudara dalam kerjaya saudara.

Bob Lokman : Saya tahu risiko itu, tapi saya serahkan rezeki saya bulat-bulat pada Allah, yang penting saya dapat selamatkan kehidupan anak saya di dunia dan saya tak masuk neraka.

Harakahdaily:
Sejak kebelakangan ini, saudara dilihat banyak memegang watak-watak sebagai seorang alim berbanding watak lain termasuk pelawak. Adakah itu perubahan berterusan yang saudara akan lakukan.

Bob Lokman : Mengikut pandangan ustaz-ustaz yang saya belajar, sebab berlakon itu sumber rezeki saya, ustaz-ustaz kata boleh berlakon tetapi pilihlah watak-watak yang tidak menjadikan dosa bila kita dah tak ada nanti, pilih watak yang mendatangkan manfaat.



PAS Kelantan alu-alukan Bob Lokman

Sementara itu, di KOTA BHARU, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, mengalu-alukan kemasukan artis terkenal negara yang juga penulis lirik lagu 'berhantu' Isabella, Bob Lokman yang kini telah menjadi ahli PAS.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, ketika dihubungi juga turut mengucapkan tahniah di atas keberanian artis terkenal yang juga berasal dari Kelantan itu.

Sambungnya, penerimaan artis itu untuk bersama PAS cukup membuktikan parti yang memperjuangkan Islam itu tidak pernah menutup pintunya untuk mana-mana artis.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan keputusan yang diambil Bob Lokman, memandangkan latarbelakang artis itu merupakan cicit ulama terkenal Kelantan iaitu, Tok Kenali.

“Apapun tahniah kami ucapkan di atas keputusan yang diambil dan berharap beliau mempertahankan sebaik mungkin keputusan yang diambil.

“Kita juga berharap beliau akan menjadi ikon kepada generasi muda dalam memilih cara hidup yang baik,”ujarnya.

Semalam, Bob Lokman telah membuat kejutan besar pada majlis Himpunan Pemuda PAS 30k bersama pimpinan tertinggi Pemuda PAS.

Tidak cukup dengan itu beliau telah menyerahkan borang keahlian menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah. sumber di sini



Pengumuman artis terkenal, pengacara, penulis lirik dan bekas pengkritik tetap Raja Lawak 5 iaitu Bob Lokman menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) sesungguhnya sesuatu yang amat mengejutkan semua pihak.

Malah kehadirannya dalam beberapa program Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini banyak menimbulkan tanda tanya peminat hiburann tanahair. Namun, segalanya terjawab apabila Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai
Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut,Kedah semalam.

Pengacara rancangan
"Teksi Tunai" Astro itu menyerahkan borang keahliannya kepada YAB Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah. Kemasukan beliau ke dalam PAS menyebabkan ramai pemimpin UMNO "kecut perut" sebenarnya.

Ini kerana artis itu punyai ramai peminat yang terdiri dari kalangan generasi muda. Kemasukannya ke dalam PAS membuktikan parti itu kini mula diterima oleh golongan artis. Sebelum ini PAS mempunyai
Ustaz Akhil Hayy, kemudian Ringgo Arrow dan kini diikuti oleh Bob Lokman. Cuma yang masih dinantikan ialah pengumuman rasmi oleh Amy Search sahaja yang dipercayai telah bersama perjuangan parti PAS sejak kebelakangan ini.



kredit gambar di bawah ini kepada :
gambar : Paeh



Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan menyambut kedatangan Bob Lokman

Bob Lokman menyerahkan borang keahlian kepada Ustaz Azizan

Bob Lokman disambut dengan Laungan Takbir oleh pemuda-pemuda





selamat datang ke Medan Perjuangan PAS

Bob Lokman menyampaikan ceramah pertamanya bersama PAS

Isnin, 21 Februari 2011

Besarnya Harapan Bob Lokman Terhadap Pas

FI SABILILLAH
ALHAMDULILLAH

Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yg bertonggakkan Ulama' yg sangat ditakuti oleh pencinta dunia.

Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh DS Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yg dihulurkan oleh mereka. Aku menjadi insaf dikalangan anak2 muda PAS yg rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka. Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyanyang. Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yg pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yg tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Utk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH.

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH. Ini Kuasa ALLAH. kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.

Hari ini bila jiwa berada didalam PAS, ada satu semangat baru yg membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yg bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima utk bekerja oleh ALLAH. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yg fasiq. Belum ramai yg menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yg Islam dalam orang Melayu? Utk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS. Lepas ni kita akan baca ada yg marah dgn apa yg aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yg marahkan harimau membunuh lembu. Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.

Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH. Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur dipusat2 mengundi yg diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yg tidak mengikut suruhan ALLAH. Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yg mempunyai syahwat duniawi. Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik utk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia. Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH. Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan. YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...