Renungan Sejenak

Ahad, 30 Oktober 2011

Talian Hayat SPR-BN Untuk Menambah Undi BN

Selepas memberi kad pengenalan kepada berpuluh ribu warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU, kini BN merancang satu lagi strategi baru iaitu menambahkan undi pos dalam pelbagai sektor.




IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.

“Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat PRU-13 kepada 24 pegawai pengurus dan 105 penolong pegawai pengurus pilihan raya negeri ini di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.

“Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal dan cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.

“Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak,” katanya.

Beliau berkata, SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang.
-[Kosmo]

Sabtu, 29 Oktober 2011

Pakatan Rakyat Perlu Tangani Isu PATI

Oleh : Faris Zaini

Ancaman kepada rakyat dan negara

Sudah lama mahu saya perkatakan tentang isu ini. Sekarang ini, jika kita keluar ke mana-mana bandar atau pekan, pasti akan terserempak dengan warga asing yang bebas seperti mana warganegara kita juga. Malah di sesetengah tempat, di kampung-kampung juga wujud kelompok warga asing ataupun juga dikenali sebagai pendatang tanpa izin (PATI) ini.

Dengan masalah sosial yang semakin meningkat, jenayah membunuh, merompak, rogol dan ragut yang semakin berleluasa, tidak dinafikan lagi warga asing antara penyumbang utama segala masalah sosial dan gejala tidak sihat yang berlaku di negara kita.

Namun, kerakusan pihak kerajaan terbukti melalui projek 6P yang kononnya untuk memudahkan pengurusan berkaitan permit kerja, pengesanan dan proses pemutihan warga asing dan pendatang tanpa izin di dalam negara kita. Hasilnya, berjuta warga asing telah didaftarkan. Malah tempoh projek tersebut dilanjutkan bila jumlah sasaran kononnya tidak tercapai. Adakah kerajaan sengaja menjual nilai warganegara secara mudah kepada mereka? Ingin menjual negarakah jika begitu sekali tindakan kerajaan?

Kita tidak mahu suatu hari nanti, mereka semakin membanjiri negara kita, sehingga populasi jumlah mereka semakin bertambah dan bertambah. Jumlah mereka kini pun mencecah jutaan orang. Gaji mereka sendiri ada yang lebih tinggi dari gaji pekerja tempatan yang bekerja di sektor swasta. Malah, ada juga dari kalangan mereka yang sudah menjadi majikan kepada rakyat tempatan sendiri.

Mereka datang dari dahulu lagi,bukan sebab agen semata-mata. Sekarang kita dapat lihat, mereka pula yang menjadi agen, membuat kerja persendirian. Membuka kedai mencuci kereta, restoran dan kedai runcit. Jadi, sebenarnya adakah benar kita perlukan mereka sebagai buruh dan pembantu rumah? Sedangkan mereka boleh bekerja secara persendirian, bukan lagi sekadar mengisi kekurangan tenaga buruh dalam negara seperti yang digembar-gemburkan?

Pada saya, kita jangan risau seandainya tidak ada orang yang mahu menjadi pembantu rumah, kerana jika benar kita mahu mendidik anak-anak kita, kita sendiri ataupun orang tempatan juga mampu mengambil tanggungjawab tersebut. Mahukah kita anak-anak dididik dengan cara dan gaya hidup warga asing tersebut?

Realitinya, kita sahaja yang takut kononnya nanti tidak ada orang yang boleh membantu kita, tidak kira dalam sektor apa sekalipun, padahal kita tidaklah sampai tahap darurat tanpa kehadiran mereka. Ketiadaan mereka lebih baik dari kebanjiran mereka, pada pandangan saya.

Ancaman Buat Pakatan Rakyat

Sepanjang tahun 2010 sahaja, peningkatan pendaftaran pengundi baru meningkat mendadak, iaitu sehingga mencapai 300%. Nazri Aziz menjawab bagi pihak kerajaan, iaitu pada tahun 2010 sebanyak 820 156 orang telah didaftarkan sebagai pengundi baru berbanding 276 621 pada tahun 2009.

Pada akhir Julai yang lalu, situasi di Kedah setelah dipamerkan senarai daftar pengundi baru pada bulan April, Mei dan Jun iaitu melalui Daftar Pemilih Tetap 2 (DPT2), didapati terdapat penambahan 25000 orang pengundi berdaftar dan berlaku pindah masuk sebanyak 4000 orang. Sedangkan PAS hanya berjaya mendaftarkan sebanyak 3500 orang, iaitu hampir sama jumlahnya seperti DPT1 sebelum ini.

Sekarang kita amat risau dan khuatir, dengan penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan seperti SPR, JPN, KDN, Imigresen dan lain-lain, dalam menjayakan agenda pihak-pihak tertentu yang bersembunyi di sebalik agensi-agensi yang hanya sebagai boneka untuk memenangkan Barisan Nasional.

Seminggu sahaja tempoh untuk bantahan senarai nama pengundi baru yang dipamerkan, kadang-kadang ianya dipandang mudah oleh pihak Pakatan Rakyat. Bukan apa, sumber dalaman berjaya mendapati di sesetengah kawasan memang wujud warga asing yang telah dijadikan pengundi berdaftar secara diam-diam tanpa disedari penduduk tempatan sendiri.

Pernah di Langkawi, 79 orang warga Myanmar telah dibantah oleh PAS Langkawi. Di Perak dan Kelantan juga dilaporkan wujud usaha-usaha memasukkan warga asing sebagai pengundi. Malah ada antara mereka yang didaftarkan sebagai pengundi pos. Tahniah diucapkan bagi mereka yang telah melakukan kerja-kerja penelitian dan culaan pengundi baru di kawasan masing-masing. Namun, bagi mereka yang tidak membuat kerja, barangkali sudah ribuan warga asing sudah didaftarkan sebagai pengundi di kawasan anda, tanpa anda sedari.

Jika di Terengganu pada tahun PAS memerintah di sana sepenggal pada PRU 1999, selepas itu BN telah merampas kembali tampuk pemerintahan negeri dengan strategi licik, walaupun terdapat kawasan yang dimenangi PAS dengan majoriti ribuan undi pada PRU sebelumnya.

Semua jentera PAS dan PR perlu bersedia. Di Kedah, bilik gerakan PAS sama ada di UPU mahupun MTD perlu melakukan gerak kerja kemaskini data dan culaan agar dapat mengesan pengundi kawasan yang dipindah keluar, atau pengundi luar dibawa masuk ke kawasan, ataupun warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi baru.

Jangkaan dalam PRU ke-13 akan datang ialah masalah pengundi klon. Masalah ini lebih susah untuk kita tangani, kerana SPR dan JPN boleh berkomplot untuk menjayakannya. Contohnya, MyKad boleh dimiliki warga asing begitu mudah. Ada PATI yang baru menetap di Malaysia 3 bulan contohnya, boleh dimanipulasi pihak Imigresen dan JPN, dengan merekodkan maklumat PATI tersebut sudah 33 tahun menetap dan layak menjadi warganegara tetap, malah permohonannya diluluskan untuk menjadi pengundi berdaftar.

Sebelum ini, Malaysiakini dan PAS berjaya mendedahkan kes Mismah, kita sendiri dapat lihat, ramai lagi pengundi-pengundi yang diragui dengan menggunakan kod 71 di dalam kad pengenalan mereka, namun selepas pendedahan, rekod-rekod tersebut dikemaskini ataupun ada yang dihilangkan dari rekod.

Tidak mustahil, dalam PRU 13 akan datang, apabila kita datang lewat untuk mengundi, kita sudah tidak dapat mengundi kerana nama kita sudah dipotong, bererti ada orang lain yang sudah mengundi menggunakan kad pengenalan klon dan sebagainya. Ada pula yang akan terjadi, nama kita akan dipindahkan ke kawasan lain tanpa kita ketahui.

Apatah lagi jika diketahui kita antara penyokong Pakatan Rakyat, boleh sahaja nama kita dihilangkan, atau dipindahkan ke kawasan lain yang mungkin undian kita tidak memberi kesan kepada keputusan undi di kawasan tersebut. Tidak susah jika komplot ini berjaya, begitu mudah ‘jenayah terancang’ ini akan berhasil dalam diam. Pemindahan pengundi sekarang ini, tidak memerlukan mengisi boring SPR dan menukar alamat di JPN pun!

Ahli-ahli dan jentera Pakatan Rakyat terutama PAS di Kedah, perlu menyemak dan menyimpan rekod-rekod Daftar Pemilih. Ia penting sebagai bukti kemudian hari. Ada kes yang telah dikesan dan dibuat bantahan, namun SPR lebih cekap dengan memperbetulkan segera maklumat dalam simpanan mereka. Tanpa bukti kukuh seperti rekod Daftar Pemilih tersebut, kita akan kalah sebelum berjuang di medan PRU.

Cadangan dan saranan, pihak Pakatan Rakyat perlu membeli Daftar Pemilih, kemudian muat turun secara online data-data tersebut. Cetak Daftar Pemilih tersebut untuk diedarkan kepada penyokong PR untuk membuat semakan. Contoh, jika penyokong PR menyimpan Daftar Pemilih yang berakhir 31 Disember 2009 dan 2010, kemudian pada hari pengundian bandingkan dengan Daftar Pemilih yang dikeluarkan pada hari mengundi.

Ketika itu, jika terdapat pengundi baru Myanmar, Indonesia atau Nepal, kita sudah mempunyai bukti kukuh untuk membuat bantahan. Jika tiada bukti, kita mahu membuat laporan polis pun, kita tidak mampu mengemukakan bukti sebagai sandaran dalam kes tersebut.

Akhir sekali, suka saya mengutarakan Pakatan Rakyat amat perlu membuat tawaran baru yang berkesan dalam manifesto PRU ke-13 akan datang. Jika dulu, tawaran seperti “hari ini menang, esok hari minyak akan turun!”, namun kini PR perlu menawarkan sesuatu yang memberi impak sebegitu kepada rakyat. Tawaran kepada golongan muda, dalam Bajet 2012 PR juga amat mengecewakan. Ternyata amat mengecewakan.

Gerak kerja kempen kini perlu agresif, bukan bermakna menyerang UMNO. Mungkin perlu ‘menyerang’ secara fokus kepada agensi-agensi kerajaan yang membantu pendaftaran PATI sebagai warganegara dan pengundi. Isu ini perlu dicanang berterusan, di samping isu-isu besar yang lain. Undi BN, PATI Naik!! Undi PR, PATI keluar! Ataupun PR boleh tawarkan harga barang keperluan, semuanya turun jika PR menang.

Isu PATI ataupun warga asing hanyalah satu isu daripada banyak lagi isu-isu yang perlu ditangani segera! Jangkaan saya, jika SPR masih belum membersihkan senarai pengundi, BN tetap akan menang PRU ke-13 hatta dengan majoriti mudah. Namun, adakah ketika itu kemenangan BN adalah kemenangan yang ‘legitimate’? Pakatan Rakyat tidak boleh hanya berdiam diri dan melihat!!


Boleh juga merujuk laman berikut :

KedahLanie.info

Rakyat Marhaen


Jumaat, 28 Oktober 2011

Penting!! Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011

1. Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 (Julai hingga September), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.

2. Selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2011 akan dipamerkan mulai 27 Oktober hingga 2 November 2011 di 987 tempat pameran di seluruh Negara seperti berikut:

2.1 Pejabat Pilihan Raya Negeri - 15 tempat
2.2 Pejabat Pos Berkomputer - 477 tempat
2.3 Kompleks/Pejabat Kerajaan - 87 tempat
2.4 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah - 140 tempat
2.5 Majlis Daerah/Perbandaran - 48 tempat
2.6 Dewan Serbaguna/ Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan - 190 tempat
2.7 Lain-lain tempat - 31 tempat

3. Sehubungan dengan itu, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi adalah dinasihatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 yang dipamerkan itu. Dalam hal ini, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B. Borang tuntutan tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan.

4. Bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C. Borang bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan.

Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu.

5. Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya.

6. Dalam tempoh pameran ini juga, SPR akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan. Sebaliknya untuk tujuan pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan itu. Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenalpasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan dengan pendaftaran pemilihnya.

7. Jika mana-mana pihak ada apa-apa pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8885 6565 atau melalui Faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011.

Sekian, terima kasih


(SABRI BIN SAID)
Pegawai Perhubungan Awam
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Tarikh: .25 Oktober 2011


Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi SUKU KETIGA TAHUN 2011 mengikut setiap negeri. Tarikh pameran bermula dari 27 Oktober 2011 hingga 2 November 2011. Segala tuntutan dan bantahan yang ingin dibuat perlu mengikut Prosedur Membuat Tuntutan Dan Bantahan yang ditetapkan.


SEMAKAN RANG DPT SUKU KE-3 2011
(MENGGUNAKAN NO : KP / TENTERA / POLIS)


http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/JOHOR.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KEDAH.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KELANTAN.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/MELAKA.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/NS.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PAHANG.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PENANG.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PERAK.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PERLIS.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SELANGOR.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/TERENGGANU.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SABAH.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/SARAWAK.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/KL.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/PUTRAJAYA.zip
http://jitp.pas.org.my/4shared/dataz/rdpt/2011s3/LABUAN.zip




p/s : SEMAK SEGERA SENARAI DAFTAR PEMILIH DI TEMPAT ANDA SEBELUM TERLAMBAT!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...