Renungan Sejenak

Memaparkan catatan dengan label selayang pandang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label selayang pandang. Papar semua catatan

Sabtu, 3 Mac 2012

Kedah Bakal Raih RM10 juta Hasil Bijih Besi

GURUN, 2 Mac: Kedah dijangka meraih pulangan berjumlah RM10 juta setahun hasil daripada pengeluaran bijih besi di tapak berdekatan Gunung Jerai yang telah memulakan operasinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, operasi perlombongan di tapak seluas 26.091 hektar itu dijalankan secara usaha-sama di antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn. Bhd.

“Sumber baru ini akan memberikan pulangan royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tidak termasuk keuntungan yang diperolehi PKB melalui kerjasama itu,” jelasnya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.

Menurutnya lagi, dianggarkan lebih satu juta metrik tan bijih besi di tapak yang pertama beroperasi, manakala di tapak berdekatan masih lagi menunggu kelulusan untuk dilombong.

“Sepanjang tiga bulan beroperasi, sudah tiga kali bijih besi di eksport ke China melibatkan jumlah sebanyak 100,000 tan dan nilainya bergantung pada pasaran harga semasa.

“Saya yakin kapasiti pengeluaran kita mencukupi bagi menampung permintaan berikutan operasi melombong yang dijalankan sepanjang masa,” katanya.

Azizan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti berbagai lagi hasil bumi lain yang bakal memberikan pulangan kepada Kedah.

“Beberapa tapak lain juga dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuart di Bukit Kachi di Sintok yang hanya menunggu kelulusan lesen pajakan melombong.

“Sudah ada pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan galian di atas tapak berkeluasan 405 hektar itu, dan saya gembira Kedah kini memperoleh rezeki yang melimpah dari dalam tanah untuk manfaat penduduk di sini,” ujarnya.

Turut hadir dalam lawatan kerja dan majlis pelancaran tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Dr Abdul Isa Ismail dan pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri Kedah.


Selasa, 6 Disember 2011

Statistik Era Paling Korup Dalam Sejarah Malaysia


Betulkah indeks rasuah di Malaysia semakin baik, seperti yang dicanang oleh sebahagian pihak kerajaan??
Atau benar kenyataan ini, 'Ranking rasuah Malaysia semakin teruk semasa PM Najib'?


azlanPrestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan dalam kajian terbaru Transparency International (TI) mendapati gejala rasuah semakin buruk semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berbanding dua perdana menteri sebelumnya.

Ranking itu bukan sahaja yang terburuk dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan oleh TI Malaysia tetapi menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, adalah kedudukan terendah yang diperolehi Malaysia dalam 17 tahun sejak ia diperkenalkan pada 1995.

Keputusan ranking 2011 yang diumumkan Khamis lalu menunjukkan terdapat kemerosotan dalam kedudukan Malaysia yang jatuh dari tangga 56 tahun lalu ke tangga 60 tahun ini daripada 183 negara yang dikaji.

Malaysia kali ini hanya mencatatkan 4.3 mata - kejatuhan berturut-turut kali ketiga sejak 2009. (Di bawah sistem pemarkahan, 10 adalah 'bersih' manakala 0 ialah 'amalan rasuah tegar'.)

Terjerumus

Lim dalam kenyataan akhbarnya, hari ini berkata, dalam tempoh sembilan tahun dari 1995 semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, markah yang dicatatkan oleh negara berlegar antara 4.8 pada tahun 2000 dan 5.3 pada tahun 1996. Ranking negara jatuh 14 kedudukan dari tangga 23 pada tahun 1995 ke tangga 37 pada tahun 2003.

Manakala sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, kedudukan negara terjerumus 10 lagi kedudukan daripada 37 pada tahun 2003 kepada 47 pada tahun 2008. Lim berkata markah markah CPI negara terperangkap di antara 5.0 dan 5.1.

Walau bagaimanapun, sepanjang dua tahun setengah pentadbiran Najib, ranking CPI Malaysia mencatatkan kedudukan paling buruk dalam pelbagai aspek.

http://media1-cdn.malaysiakini.com/419/1c326aaa7c0e3f4810bc5135837546fe.gif


Jumaat, 9 September 2011

Dr Asri Kecam Tindakan JAIS!!

Dr Asri kecam tindakan Jais

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) menyifatkan apa yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekarang adalah mengekalkan sistem penjajah untuk mengekang agama sendiri.

Sehubungan itu, beliau yang melahirkan simpati terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didakwa Jais semalam berkata, "jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama."

Asri mengulas tindakan Jais yang mendakwa Khalid semalam dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Klang 24 November depan kerana memberikan tazkirah di sebuah surau tanpa tauliah dari Jais.

Sebelum ini, Asri juga adalah menjadi mangsa Jais apabila beliau dikepong oleh penguatkuasa Jais ketika sedang memberikan kuliah agama seumpama penjenayah.

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam semalam dan dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"..simpati apabila ada ahli Parlimen yang diambil tindakan oleh Jais kerana memberi tazkirah..sekalipun tiada bukti ada kesalahan dalam tazkirah tersebut.

"Begitulah susahnya berdakwah..sistem penjajah dipakai untuk mengekang agama sendiri.. jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama," tulis Asri dalam Facebook.

Bagi beliau, tindakan Jais ini seumpama arahan Nabi s.a.w "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat" dimansuhkan.

Bagi Dr Asri, perkara ini berlaku kerana pihak yang tidak layak dan berilmu sewajarnya diberikan kuasa mkenjaga agama.

"Yang tidak layak menaungi agama diberikan kekebalan yang tidak diberikan kepada al-Khulafa al-Rasyidin sekalipun..apapun yang selamat HARD ROCK CAFE jua," tulis beliau.



Tazkirah: Jais dakwa Khalid Samad, tauliah Dr Rani dibatal

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sementara isu membabitkan serbuan ke atas gereja belum lagi reda, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah.

Turut menerima tindakan Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.

Khalid (gambar) dipanggil di pejabat Jais hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau.

Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.

Dr Rani, Adun Meru, menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

“Tauliah saya tamat Ramadan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais,” kata Dr Rani dipetik Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

“Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

“Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

“Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

“Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

“Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

“Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan,” cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya. -TMI

Rabu, 25 Mei 2011

Kepimpinan Nik Aziz Patut Dicontohi Semua Kaum

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diakui terbaik oleh kaum India dan patut dicontohi oleh semua kaum di negara ini.

Kepimpinan beliau ternyata penuh amanah, prihatin dan berpihak kepada rakyat sehingga menyebabkan semua rakyat Kelantan terutama yang miskin dan memerlukan pembelaan terbela tanpa mengira kaum.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam mengakui, kaum India ternyata amat senang berada di bawah kepimpinan Nik Aziz kerana beliau sentiasa turun padang untuk meninjau segala permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

Menurut beliau, selain itu, cara Nik Aziz yang penuh kesederhanaan amat disenangi oleh kaum India dan kaum-kaum lain sehingga menyebabkan beliau amat mudah ditemui dan didekati.

Katanya, kepimpinan Nik Aziz juga ternyata amat berhemah dalam membelanjakan wang kerajaan, sehingga terelak dengan pembaziran, sebaliknya benar-benar untuk kepentingan rakyat.

"Kepimpinan Nik Aziz sejauh yang dilihat oleh kaum India sendiri ternyata amat baik dan amat jauh berbeza berbanding kepimpinan para pemimpin Umno atau BN," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA), di sini, hari ini.

Pada sidang media di ibu pejabat MISA itu, beliau turut hadir untuk bersama para kepimpinan persatuan itu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh pihak Kerajaan BN mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya terhadap kaum India dan kaum-kaum lain di negara ini.

Menurut Raja Retinam, selain itu, Nik Aziz turut diakui oleh kaum India di Kelantan sebagai pemimpin yang mudah untuk dijumpai kerana tidak banyak protokol yang perlu dilalui untuk menemuinya.

"Malah saya sendiri juga turut mempunyai pengalaman tersendiri dalam hal ini. Untuk berjumpa Tuan Guru Nik Aziz, saya hanya perlu menulis surat dan selepas itu terus dapat menemuinya.

"Amat jauh berbeza kalau nak jumpa Menteri Besar Kerajaan BN. Amat susah. Malah bukan sahaja nak jumpa MB, nak jumpa exco dari Kerajaan BN pun amat susah," katanya.

Berdasarkan pengalaman beliau, bukti kepayahan untuk berjumpa menteri besar yang berada dalam Kerajaan BN, selain terpaksa melalui protokol yang bukan-bukan, mereka juga dimestikan berjumpa dengan pihak MIC terlebih dahulu.

"Kesemua itu melambangkan betapa berbezanya kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz yang menerajui kepimpinan PAS Kelantan berbanding kepimpinan BN.

"Kepimpinan Nik Aziz sememangnya diakui oleh kaum India dan kaum-kaum lain sebagai kerajaan yang benar-benar berpaksikan rakyat," tegasnya.

Disebabkan perubahan itu, beliau yakin Kerajaan PAS Kelantan akan terus bertahan, walaupun Umno BN telah melakukan pelbagai muslihat untuk merampas Kelantan dari PAS.

"Sememangnya ada tanda-tanda PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya di Kelantan, akan terus berjaya kerana perbezaan antara kepimpinan Nik Aziz dan kepimpinan BN sememangnya dapat dirasai sendiri oleh orang ramai termasuk dari kaum India," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh rakyat negara ini sedar dengan realiti itu dan menyokong PAS atau Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-13 nanti, bagi melakukan perubahan terhadap politik tanah air.

Ahad, 1 Mei 2011

Rakyat Kena Buat Perubahan, Jangan Asyik Jadi Tukang Angguk


SHAH ALAM, 30 April: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya mengingatkan seluruh rakyat Malaysia jangan terus menjadi seperti pokka yang asyik mengangguk sahaja kerjanya sepanjang hayat.

Datuk Hashim (gambar) berkata, rakyat negara ini mesti berani menggunakan kuasa mereka untuk membuat perubahan setelah lebih 50 tahun mengiyakan apa sahaja dilakukan oleh kerajaan.

"Jika rakyat negara lain seperti Tunisia menjadi pokka (sejenis haiwan yang suka menganggukkan kepala) lebih 30 tahun, Mesir juga lebih 30 tahun, rakyat Malaysia pula menjadi pokka lebih dari 50 tahun," kata beliau serius dalam seloroh.

Untuk makluman, binatang pokka atau sesumpah mirip mengkarung yang kerjanya hanya mengangguk sahaja tanpa sekali pun mengingkari perbuatan itu meskipun berlaku apa sahaja di sekelilingnya.

Bekas pensyarah UM dan UIAM berusia 72 itu berucap demikian ketika bercakap dalam Bicara Buku Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawy di Masjid Negeri, dekat sini, tengah hari tadi.

Turut serta adalah Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Jurnalis dan Editor Majalah Sabili Indonesia, Herry Nurdi dengan moderator oleh Ustaz Nazmi Karim.

Slot Bicara Buku anjuran Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) sempena mesyuarat agung pertama hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hashim kesal dengan tulisan Ulama Muda UMNO dalam sebuah akhbar harian yang dengan mudah menyimpulkan rakyat tidak mentaati kerajaan sekarang ini boleh dibunuh.

"Rakyat hanya wajib mentaati kerajaan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya," tegasnya sambil menghuraikan dengan lebih lanjut tentang duduk perkara sebenar.

Menurutnya, mereka yang membaca tulisan seumpama itu hendaklah berhati-hati jangan mudah terpengaruh dengan huraian yang jauh menyimpang dari kehendak dan pengajaran agama.

Sementara itu, ketika membahaskan isi kandungan buku Syeikh Yusuf, Datuk Hashim berkata, terdapat satu pengajaran besar yang terdapat di dalam buku itu.

"Setiap orang yang dilahirkan sebagai Muslim adalah seorang ahli politik yang boleh menggunakan kuasa mereka untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara ini.

"Rakyat Malaysia sudah memberikan masa kepada kerajaan yang ada ini melebihi lima puluh tahun dan kini sampai masanya untuk mereka menggunakan kuasa ini memilih parti yang berhasrat mengangkat perjuangan kebenaran," tegasnya sambil menunjukkan isyarat mengundi.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung pertama Salimah selepas itu, Datuk Hashim berkata, penubuhan NGO Islam ini tepat pada masanya kerana berlaku berbagai masalah dalam negara ketika ini.

Menurutnya, perjuangan untuk merubah keadaan ke arah penegakan kebenaran akan memakan masa, perlukan pengorbanan dan bersedia dengan cabaran menyentuh perasaan.
Turut berada di pentas adalah Penasihat-penasihat Salimah, Cikgu Azmi dan Mohideen Abdul Kader.

Sabtu, 23 April 2011

Suapan RM 10 Ribu : SPR Didesak Gantung Keputusan Dun N52 Temin


SARAWAK : Laman portal Sarawak Report mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggantung keputusan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Temin kerana terdapat bukti bahawa calon Barisan Nasional (BN), Joseph Mauh telah ‘ditangkap’ kerana melakukan penipuan berganda.

Laman tersebut turut mendesak pihak polis segera bertindak menyoalsiasat Joseph, kerana dia bukan sahaja menjanjikan RM10,000 bagi meraih undi, tetapi suapan itu adalah dalam bentuk cek tendang.

“Jika buktinya didapati benar, maka suatu pilihanraya semula harus diadakan. Kesemua dakwaan mengenai jenayah rasuah yang dilakukan di seluruh negeri Sarawak harus juga disiasat.

“Kami bukannya bercakap mengenai ‘pembangkang pengacau’, tetapi kami ingin bercakap mengenai Ketua-ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan dihormati,” kata laporan tersebut.

Penyelewengan itu didedahkan oleh Kuching ak Moyan, seorang Tuai Rumah dari kawasan Tamin melalui pengakuannya yang dirakam oleh kamera dan video 5 minit 20 saat itu masih boleh dilayari di laman youtube dengan tajuk ‘Testimony of Tuai Rumah Kuching’.

Melalui seorang penterjemah, Kuching mendedahkan bahawa pada 13 April 2011, beliau telah diberikan tiga keping cek bernilai RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 oleh calon Barisan Nasional, Joseph Mauh supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.

“Saya telah menunaikan kedua keping cek yang pertama dengan jumlah RM5,000. Tetapi cek ketiga yang bernilai RM5,000 telah ditolak oleh pihak bank sebagai cek tendang,” kata Kuching.

Kuching turut mendedahkan, pada Pilihan Raya Negeri 2006 lalu, setiap seorang pengundi di kawasan itu diberikan hanya RM20, tetapi pada pilihanraya kali ini, nilainya telah dinaikkan kepada RM50 setiap seorang pengundi.

“Saya ingat semua kami di sini telah mengundi Barisan Nasional. Memanglah saya tahu bahawa duit yang diberikan oleh Barisan Nasional itu tidak bernilai jika kerajaan mengambil tanah kami. Tapi apakan daya kami, kami harus mengundi kerajaan kerana kerajaanlah yang memberi kami duit itu.

“Ya, saya tahu kita boleh mengambil duit Barisan Nasional dan kemudian kita mengundi pembangkang, tetapi memandangkan setiap orang di sini mengundi Barisan Nasional pada kali ini, saya juga turut serta,” kata Kuching.

Berdasarkan bukti tersebut, Sarawak Report menjangkakan ia hanyalah permulaan kepada penemuan-penemuan lain.

“Kita hairan dengan gelagat BN di KL yang kelihatan resah dan risau mengenai pilihanraya ini dan kemudian mereka kelihatan lega dengan keputusannya.

“Taib kelihatan bergegas di tengah malam minggu untuk mendapatkan Tuan Yang Terutama bagi mengangkat sumpah sebelum sesiapa sempat berteriak ‘tangkap pencuri itu!’ ulas laporan tersebut.

Dalam pada itu, Sarawak Report turut mempersoalkan sama ada wujud penafian hak mengundi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan tidak mendaftarkan setengah juta pengundi dari kalangan orang asli.

“Perkara ini yang meresahkan dan merisaukan BN. BN adalah sebuah kerajaan yang tidak sah yang telah menodai proses pilihanraya dan mereka seharusnya disiasat dan didakwa dan dijatuhkan hukuman seberat yang mungkin.

“Sarawak Report kini berada di Geneva, dengan kerjasama NGO yang lain telah dipelawa untuk mengemukakan segalanya di UN mengenai masalah yang berkisar kepada pelanggaran hak asasi manusia dan demokrasi di Sarawak.

“Kami akan mengemukakan kes Tuai Rumah ini dan juga kes-kes yang lain yang telah dan pernah ditipu semasa pilihan raya ini,” jelas laporan tersebut.

Selasa, 19 April 2011

Presiden PAS Dianugerah Tokoh Alim Rabbani Oleh Universiti Islam Yala


Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipakai jubah sebagai Tokoh Alim Rabbani oleh Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi. | foto Harakahdaily



YALA, Patani : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala semalam.

Abdul Hadi Awang satu-satu tokoh ulama di luar Thailand dan rantau nusantara menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani diperkenalkan Universiti Islam Yala (YIU). Gelaran tokoh itu sama taraf dengan ijazah kehormat diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Sebelum ini anugerah serupa diberi kepada tokoh ulama yang banyak berjasa dalam bidang dakwah di empat wilayah selatan Thailand, terutama pengasas pusat pengajian pondok. Pernah menerima anugerah itu Syeikhul Islam Negara Thailand dari Bangkok.

Penyampaian tokoh tersebut diadakan sempena program Multaqa Muslimat yang dianjurkan universiti itu di kampus Pattani, kelmarin. Multaqa berkenaan berjaya menghimpunkan Muslimat dari seluruh Thailand berserta wakil Malaysia dan Indonesia.

Turut serta Exco kerajaan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadhli Hassan, Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa Pas, Mohd Faiz Md Nawi.

Dekan Fakuliti Sastera dan Sains Kemasyarakat YIU, Profesor Madya Sukree Langputeh berkata, pemilihan tokoh tersebut bukan mudah untuk dilakukan pihak senat universiti berkenaan.

Katanya, tokoh yang diberi adalah pendakwah yang benar-benar menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian dan Abdul Hadi tokoh Islam disegani di Asia Tenggara yang menjadikan rutin hariannya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Selain itu beliau juga mengarang banyak menghasilkan buku mengenai agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya ketika membaca biodata Presiden Pas sebelum upacara memakaikan mislah (jubah) Tokoh Alim Rabbani pada majlis yang diadakan di universiti itu.

Pemakaian mislah dilakukan Rektor Universiti Islam Yala (YIU), Dr Ismaillutfi yang turut disaksikan Timbalan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Harapabara, Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul dan peserta.

Isnin, 7 Mac 2011

Cerita Di Sebalik BN (3) – PR (0) Dalam Tempoh Sebulan


Oleh: BayangDiAir

http://zulhaidah.com/wp-content/uploads/2009/10/Bersih.jpg

"Penyakit biasa manusia yang mudah lupa. Apabila sudah menang besar pada PRU12, isu empat tuntutan BERSIH padam macam api pelita dipuput angin. Sebelum dan selepas PRU12, penulis sudah menyuarakan isu ini beberapa kali melalui TKO dan akhbar Harakah. Impaknya tidak kedengaran baik daripada pemimpin BERSIH, PAS mahupun Pakatan Rakyat. Masing-masing ghairah juga sibuk menguruskan pentadbiran negeri-negeri dan mengadakan majlis ceramah penerangan dan penyerangan. Isu dakwat, media, daftar pemilih dan undi pos bagai bukan faktornya lagi dalam merealisasikan hasrat mengambil alih Putrajaya. Pengundi hantu pula tidak wujudkah lagi?

Keputusan PRK Tenang, Kerdau dan Merlimau memberikan senyuman buat BN. BN boleh mengadakan PRU13 pada bila-bila masa sekarang. Kata Najib, PRU13 mungkin sudah hampir. Mungkin serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak dan mungkin sebelum November ini. Ya, maksimum tinggal 7 bulan lagi. Dalam tempoh ini, BERSIH baru hendak digerakkan semula. Itu pun macam kerja PAS sahaja. Seolah-olah PKR dan DAP tidak terkesan dengan gelanggang demokrasi yang tidak adil itu. Juga seolah-olah Pakatan Rakyat itu suatu pakatan yang longgar - sinikalnya masalah tuntutan BERSIH ialah masalah PAS, maka biarkan PAS uruskannya.

Cukupkah 7 bulan untuk SPR dan kerajaan melaksanakan transformasi demokrasi? Jawapannya, cukup bagi pihak-pihak tersebut jika ada kemahuan dan kejujuran. Namun berdasarkan kilat ikan di air, SPR dan kerajaan akan bertindak dalam pilhan tiga wajah iaitu, bertindak bagai lembu kenyang sambil mempertahankan amalan yang sedia ada. Kedua, bermain tarik tali dan sorong papan tarik papan yang akhirnya tidak akan ke mana-mana. Ketiga memberi sedikit sentuhan kosmetik yang boleh dijadikan alasan bahawa penambahbaikan telah dilakukan.

Kesimpulannya, Pakatan Rakyat ( bukan PAS sahaja) mesti memulakan desakan yang kuat meskipun telah agak terlewat. Kalau perlu, hantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong agar tidak memperkenankan pembubaran parlimen sehinggalah empat tuntutan BERSIH dilaksanakan. Sekiranya gerakan massa yang cintakan demokrasi lemah dan longlai, maka mulai saat ini janganlah lagi didegar-degarkan slogan “menuju ke Putrajaya”. Cukuplah jaga negeri-negeri yang dimiliki agar tidak jatuh satu-persatu."

Terima Kasih PAS Atas Jasamu

Oleh : tokpepijat

" Terima kasih PAS. Penyertaan PAS dalam PRK Tenang, Kerdau dan Merlimau mengundang banyak persepsi samada pro dan kontra.

Yang pro akan menyatakan penyertaannya adalah untuk dakwah. PRK adalah medan dakwah juga untuk menguji strategi dakwah dan politik.

Manakala yang kontra akan mengatakan ianya membazir wang, tenaga dan masa. Ini kerana perlawanan berlangsung dalam keadaan padang tidak rata dan UMNO mempunyai lebih 11 pemain iaitu PDRM, SPR dan Agensi Kerajaan yang lain. Lebih baik tumpu kepada PRU.

Mari kita ambil pandangan di luar kotak. Penyertaan PAS dalam "permainan padang tidak rata" sebenarnya adalah untuk menolong rakyat samada Melayu, Cina dan India. Lihatlah apabila berlaku PRK, yang paling beruntung adalah rakyat. Mereka mendapat "durian runtuh" dan kawasan mereka mendapat pembangunan pantas.

Rakyat tahu jika PAS menang dalam PRK pun, ianya tidak mengubah kerajaan berbanding dalam PRU. Oleh itu elok undi UMNO. Tetapi dalam PRU nanti, mereka akan mengundi PAS untuk tukarkan kerajaan.

Kalau selama ini, jika ada aduan maupun rungutan, semuanya dibuang dalam bakul sampah oleh UMNO. Tetapi jika ada PRK, inilah masanya rakyat berkuasa. Minta apa sahaja, pasti dimakbulkan.

Lihat bagaimana dalam satu perjumpaan di sebuah sekolah di Kerdau, PIBG minta bantuan, dengan pantas TPM luluskan bantuan jutaan RM.

Ini semua untuk mengatasi pengaruh PAS. Begitu berpengaruhnya PAS sehingga UMNO sanggup keluarkan duit jutaan RM untuk atasi pengaruh PAS dan agar rakyat tidak mengundi PAS.

Inilah antara jasa yang amat besar sumbangan PAS kepada rakyat. Tanpa penyertaan PAS dalam PRK, maka 'malap'lah kawasan PRK itu dan berjoget sakanlah UMNO kerana tiada saingan.

Barangkali selepas ini, PAS perlu kemaskinikan strategi dan ubah pendekatan dalam PRK. Katakan kepada rakyat di kawasan PRK, mintalah apa sahaja kat UMNO. Inilah masanya rakyat jadi tuan.

Katakan juga kepada rakyat duit RM yang UMNO kasi adalah duit rakyat. Hak rakyat. Duit itu adalah hasil kutipan cukai dan hasil mausul rakyat. Tanamkan kefahaman itu hingga rakyat sedar dan faham.

PAS selamanya tidak dapat tandingi UMNO dari segi kewangan, tenaga dan kepakaran. Ini kerana UMNO yang menguasai kerajaan.

Apa yang penting sekarang PAS mengajar rakyat bagaimana cara pemahaman rakyat daripada konsep UMNO membuli dan ugut rakyat kepada konsep Rakyat boleh membuli, menggugut dan mengertak UMNO supaya fahami perasaan jiwa rakyat marhein.


Terima kasih PAS atas jasa anda dalam PRK



Sambutan Dingin di Selangor, Apa Yang Tidak Kena..


Ramai dah mula dingin kerana tidak meyakinkan...?
Atau kempen kurang dekat di hati rakyat??


Selangor lancar Buku Jingga, sambutan ‘dingin’


SHAH ALAM, 6 Mac — Majlis pelancaran Buku Jingga dan sambutan tahun ketiga pemerintahan Pakatan Rakyat — PKR-DAP-PAS — di Selangor malam tadi tetapi hanya dihadiri sekitar 1,000 orang.

Pihak penganjur menyifatkan kehadiran yang berkurangan daripada tahun sebelumnya itu disebabkan dua pilihan raya kecil serentak yang pengundiannya diadakan hari ini.

Pengerusi penganjuran Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco kerajaan Selangor dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kehadiran yang kecil jumlanya itu adalah kerana kemuncak kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, Buku Jingga yang dilancarkan malam tadi merupakan janji Pakatan Rakyat yang akan dilaksana dalam tempoh 100 hari jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau berkata kerajaan negeri itu juga akan melancarkan Pelan Tiga Tahun Selangor yang dipanggil Agenda Selangor Untuk Rakyat (Arus) pada 26 Mac ini.

Buku Jingga yang terdiri daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan 10 inisiatif 100 hari pertama pemerintahan diperkenalkan pada konvensyen keduanya di Pulau Pinang Disember lalu.


Bakul PAS Sudah Penuh?



“Kita tidak kalah, cuma belum menang sahaja.” Kami ahli-ahli biasa PAS tidak mahu mendengar lagi ungkapan itu diulang-ulang. Entah bila ia bermula tetapi itulah ungkapannya setiap kali PAS kalah dalam pilihanraya. Ungkapan itu bukan diucapkan oleh ahli PAS biasa-biasa tetapi pimpinan PAS yang besar-besar.

Mungkin itu gurauan namun apa ertinya gurauan yang tidak membawa apa-apa manfaat. Ya, menyedapkan hati sendiri, mungkin juga. Apa pun yang pasti, gunalah ungkapan apa pun, sebenarnya PAS kalah.

Sudah lima kekalahan iaitu di Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Cuba perhatikan pula keputusannya, bukankah keputusan semua kekalahan itu, bukan sahaja kekalahan tetapi dengan peningkatan majoriti untuk BN.

Ada lagi, undi untuk PAS di saluran 3, 4 dan 5, saluran orang muda juga tidak memihak kepada PAS. Malah, dalam PRK sebelum ini pun dikatakan undi daripada bukan Melayu juga turut merosot. Maksudnya, kalau saluran 1 dan 2, saluran orang gigit mi tak putus tidak memihak kepada PAS ditambah dengan saluran 3,4 dan 5 serta bukan Melayu juga sama, bagaimana masa depan PAS dalam PRU 13?

Kita boleh menyalahkan BN, menyalahgunakan media, jentera kerajaan, ugut dan beli pengundi, provokasi dan banyak lagi, itulah namanya BN. Kalau masuk pilihanraya dengan penuh rendah diri dan tanpa taktik jahat, itu bukan BN namanya.

Kita tidak boleh hanya menjawab soalan yang bermula dengan apa, siapa dan dimana sahaja tetapi perlu berani menjawab soalan mengapa? Ya, mengapa.

Dan, seperkara lagi, adakah orang kuat PAS tahu bahawa ada penyokong PAS yang berkata begini, “Nasib baik PAS tidak menang.? Juga ada yang berkata begini, “Aku harap PAS tidak menang di ******.” Mengapa? Dia menyambung, “Memburukkan keadaan, menjatuhkan imej Islam.”

Saya boleh menjangkakan, tulisan ini akan mengundang dua persepsi. Pertama, “Hang hanya pandai komplen dalam blog, hang buat apa?” Kedua, “Tulisan hang ini mendedahkan keburukan PAS, apa untungnya PAS?”

Kalau ibarat perlawanan bolasepak, ‘bakul’ PAS sudah hampir penuh menampung hasil rembatan pasukan lawan. Dan, kalau ada lagi perlawanan selepas ini, mungkin ada orang berkata, “Siap bakullah…”

Sesuatu perlu dilakukan. Jangan harapkan keajaiban. Benar, doa adalah senjata tetapi senjata itu perlu diasah dan ditajamkan. Ia juga perlu berada di tangan orang yang bijak, bukan orang yang tidak tahu menggunakan senjata.


http://sauhdibongkar.blogspot.com

BN Menang Kerana Amal Politik Rimba??


Oleh
SAIDAH HAIRAN

KEMENANGAN besar BN pada pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan akhir tahun 2009 telah memecahkan kebuntuan BN setelah tewas enam kali pilihan raya kecil sebelum itu. Kegembiraan itu berterusan apabila kemenangan demi kemenangan diperolehi BN.

Komponen parti itu turut merampas kerusi PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas (Gua Musang), serta mengekalkan kemenangan di Dun Tenang. Manakala di Dun Kerdau dan Merlimau Pakatan Rakyat sukar untuk menembusi kawasan tradisi BN.

Selepas pilihan raya umum 2008, PRK berlaku di Kuala Terengganu diikuti Permatang Pauh; Bukit Selambau; Bukit Gantang; Sibu dan Manek Urai. Semua Dun dan Parlimen itu dimenangi PAS, DAP dan KeADILan kecuali Batang Ail, Sarawak dimenangi BN.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN kehilangan Kelantan; Perak; Kedah; Pulau Pinang dan Selangor. Kekecewaan BN terus bertambah apabila enam pilihan raya kecil dalam tahun 2009 disapu bersih oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kekecewaan BN terubat apabila memperolehi kemenangan besar di Dun Bagan Pinang sebanyak 8,013 undi menewaskan PAS. BN menang di semua lapan UPU termasuk tiga UPU yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Ekoran kemenangan besar itu banyak pihak mengatakan, pengundi dimulai dengan mereka yang berada di Bagan Pinang sudah boleh menerima konsep 1-Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Ditambah kemenangan Dun Galas; Tenang serta mengambil kira PRK Dun Kerdau dan Merlimau; Najib dikatakan berjaya mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat semua kaum terhadap BN.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran tanggapan tersebut. Apakah benar rakyat sudah mula memberi sokongan kepada BN atau rakyat terpaksa menyokong mereka disebabkan ugutan dan sogokan pada setiap kali berlaku pilihan raya kecil?

Mengulas tanggapan itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman tidak menolak dakwaan tersebut kerana BN terlalu banyak menggunakan jentera kerajaan dalam setiap siri kempen PRK.

Kata beliau, seolah-olah Pakatan Rakyat bertanding dengan jentera kerajaan yang digunakan sepenuhnya bagi memenangkan calon BN.

“Apa yang dilakukan oleh BN walaupun ternyata bercanggah dengan undang-undang langsung tidak dipedulikan oleh SPR dan pihak polis,” tegasnya.

Beliau berkata, contohnya, jentera BN mengganggu ceramah PAS sebagaimana yang dilakukan di Dun Tenang; Bagan Pinang; Kerdau dan Merlimau dan tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak polis.

Menurut beliau, di PRK Kerdau, PAS membuat laporan polis apabila BN telah menaikkan banner berunsur provokatif bersifat perkauman tetapi pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan.

“Saya dapati PRK semakin tidak adil dan tidak demokratik. BN sewenang-wenangnya menyogok pengundi dengan projek mi segera dan wang seolah-olah mereka tidak terikat dengan sebarang undang-undang,” tegasnya.

Jika begitu suasana PRK tambah beliau, BN meraih kemenangan palsu sebagaimana bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang menang apabila mendapat sokongan 98 peratus daripada rakyat tetapi dalam beberapa bulan digulingkan oleh rakyat yang sama.

Walaupun PM Najib mengatakan Mesir tidak sama dengan Malaysia, perlu diingat ketika Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali digulingkan, Hosni Mubarak mengatakan Mesir tidak sama dengan Tunisia, katanya.

Kemenangan BN di setiap kali PRK bermula di Dun Bagan Pinang katanya, bukan satu ukuran sebenar kerana ia tidak dilaksanakan di padang yang sama rata, ibarat pertarungan di hutan rimba (politik rimba).

“Saya yakin usaha yang dibuat Pakatan Rakyat untuk memperolehi satu bentuk pilihan raya adil dan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan secara demokratik, pengundi akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Justeru, tambah beliau, Presiden PAS mengumumkan satu himpunan Bersih perlu diadakan kerana ia sangat penting bagi memastikan pilihan raya umum dapat diadakan secara telus dan demokrasi.

Himpunan Bersih itu penting katanya bagi menjamin mana-mana parti yang bertanding mendapat hak yang sama rata.

Beliau menegaskan kejayaan BN di pilihan raya kecil kebelakangan ini bukan kerana mendapat sokongan rakyat tetapi disebabkan sogokan wang serta projek dan ugutan menakutkan pengundi.

Menurut beliau bukan sahaja agensi kerajaan melakukan ugutan terhadap pengundi bahkan Felda di Dun Kerdau di setiap blok dijaga oleh seorang Pengurus Felda dengan agensi lain.

Katanya, setiap rumah dipantau oleh seorang pegawai Felda dengan mengemaskini culaan undi setiap dua jam sekali.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut mendedahkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan melantik 200 petugas khas untuk memantau kawasan Felda.

Kata beliau, 200 petugas itu dibayar gaji sebulan RM3,000 serta elaun RM2,000 sempena PRK untuk memantau pergerakan pengundi di kawasan Felda serta tindakan lain yang menakutkan pengundi.


Jumaat, 4 Mac 2011

Jangan 'bakar' Tanjong Agas Seperti PKFZ


Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan bahawa projek Tanjong Agas bernilai RM8 bilion bakal senasib dengan PKFZ yang kononnya satu kabinet Malaysia ditipu oleh seorang bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy.

Kemungkinan tersebut dilontarkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu rakyat bahawa punca sebenar skandal Zon Bebas Pelabuhan Klanga (PKFZ) bernilai RM1 bilion boleh membelon melebihi RM4 bilion bukanlah disebabkan amalan rasuah serta kronisme dalam pentadbirannya.

Projek mega Tanjong Agas dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 4,7000 ekar dalam Parlimen Pekan yang diwakili Najib sendiri.

“Penipuan itu nampaknya begitu mudah berlaku. Ia telah berlaku dan mungkin berlaku lagi (di Tanjong Agas).

Projek ini seratus peratus versi PKFZ yang kedua. Kecuali jumlah kerugiannya yang mungkin lebih besar,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Menerusi blog peribadi “Cetusan Hati” hari ini, Husam turut mempersoal sikap Najib selaku Timbalan Perdana Menteri serta menteri kabinet lain yang sanggup berpeluk tubuh ketika Chan Kong Choy menipu Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah.

Ini kerana Najib dan kementerian yang lain nyata tidak berani mempersoal skandal di sebalik PKFZ sebelum ini.

“PM – berdasarkan kertas pendakwaan itu nampaknya tidak menggunakan nasihat kebinet dan jabatan-jabatan, unit dan sektor yang ada di JPM untuk melindunginya dari ditipu.

“Di mana TPM (ketika itu Najib), menteri kabinet dan para pengarah dan pegawai?

“Adakah proses penipuan itu begitu ‘simple’ (mudah) (iaitu) antara Menteri (Chan Kong Choy) dan PM (Pak Lah).

“Oleh kerana projek ini berada di Pekan, kawasan Parlimen PM, ada mana-mana menteri berani menanyanya (Najib),” soal Husam lagi.

Dari segi lain, beliau turut menyuarakan rasa ragu-ragu dengan rancangan Najib mahu menjadikan Tanjong Agas sebagai hub gas dan minyak.

Ini kerana, perancangan itu di atas Hutan Simpan Paya Laut Sungai Miang seluas 1,393.4 ekar yang mungkin tidak ada sumber gas dan minyak.

“Saya lebih berminat melihat bagaimana operasi mengaut wang dari khazanah negara menerusi projek Tanjong Agas (Hutan Simpan Paya Laut Sungai Miang) yang akan berakhir senasib dengan PKFZ berjalan,” ujarnya.

Tuntas dari itu, beliau mendesak Najib respons sebelum lebih banyak wang rakyat ’dibakar’ demi memelihara kepentingan kroni-kroni Umno BN.

Selasa, 1 Mac 2011

Hidupkan Istilah 'Wang Pembayar Cukai' Dalam Media Arus Perdana

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Seringkali kali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut 'kerajaan bermurah hati membantu'.

najib visit kerdau 270211 01Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka.

Maka di sini disebutkan beberapa perkara;

Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung.

Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai.

mee seller stall hawker 141006Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau Pakatan rakyat atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar.

Bazir wang rakyat

Istilah 'wang pembayar cukai' atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat. Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”.

klcc new year celebration fireworks 2Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat.

Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seorang-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari 'harta persendirian' tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik.

Peminta sedekah

Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau istiharkan dalam kempen politik mereka.

malaysia poor indian community poverty 230807Sesebuah kerajaan bukan dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat.

Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

Istilah 'taxpayer money', atau 'taxpayer funds' atau 'taxpayers dollars' sering digunakan dalam media negara maju apabia memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan.

Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.

Sabtu, 8 Januari 2011

Wahabi dan Syiah : Sekadar Pandangan Umum


Baru-baru ini negara kita juga dikejutkan dengan isu syiah. Ada yang mengaitkannya dengan fahaman Wahabi. Ada yang memberi pandangan mengenai isu tersebut dari pelbagai aspek. Ada yang mengkritik dan ada yang mengharmonikan isu tersebut. Jadi, saya akan berkongsi sebahagian dari maklumat sahaja berkaitan isu ini, manakala yang bakinya, carilah maklumat tambahan tentangnya sendiri.

Wallahu’alam.


Wahabi

Perkataan Wahabi adalah perkataan yang boleh mengelirukan bahkan ia digunakan untuk menakutkan atau menghina sesuatu perkara. Perkataan ini sering digunakan bermaksud mazhab Wahabi di Arab Saudi.

Pada hakikatnya, tidak ada mazhab Wahabi dalam sejarah Islam, yang ada ialah gerakan Islam anjuran Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab (1705-1787) pada abad 18M untuk mensucikan agama Islam daripada tambahan-tambahan dan khurafat.

Pada zaman ibn Abdul Wahab, kaum Arab di Semenanjung Arab berpecah belah, selalu berperang antara satu sama lain, berpuak-puak, dan agama mereka penuh dengan khurafat dan amalan bid’ah seperti amalan tawassul iaitu menerima sesuatu hajat melalui wali-wali Allah, membina Qubbah atas kubur dan tawaf mengelilingi kubur.

Kecurian dan pembunuhan sering berlaku, daan perjalanan mereka yang ingin menunaikan Haji di Mekah juga dipenuhi dengan bahaya. Maka pemerintah Saudi mahu membersihkan agama dari khurafat dan bid’ah ini serta mahu menegakkan hukum syariat berdasarkan Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Sheikh Muhammad ketika inilah dianggap mujaddid (membetulkan yang salah dan memperbaharuinya) agama yang mana telah mendapat kejayaan untuk menegakkan negara berdasarkan syariat Ilahi dalam abad ke-19 dan ke-20 ini.

Kelemahannya sememangnya ada, tapi sekurang-kurangnya Negara itu mengiktiraf syariat Allah. Sheikh Muhammad adalah pengikut mazhab Ahmad ibn Hanbal dan Kerajaan Saudi menghukum mengikut fiqh mazhab Hanbali.

Syiah

Kita perlu meneliti sejarah silam di zaman khalifah Islam yang ketiga, ketika pergerakan menentang khalifah dan usaha-usaha menggugat perpaduan umat di setiap wilayah yang dikuasai Islam pada ketika itu, sehingga Khalifah Uthman bin ‘Affan terkorban syahid.

Dari dapatan ahli-ahli ilmu menyebut, Abdullah Ibn Saba’ yang mengepalai ajaran Syiah permulaan suatu masa dahulu, adalah seorang Yahudi yang kemudian memeluk Islam dan membela Saidina Ali a.s. Semasa beliau beragama Yahudi, beliau berpendapat Yusya’ bin Nun merupakan wasi bagi Nabi Musa a.s secara ekstrim.

Setelah dia masuk Islam (secara pura-pura), dialah yang mula-mula mengisytiharkan kewajipan melantik Ali sebagai Imam, dan menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap musuh-musuh Ali malah mengkafirkan mereka. Bermula dari sinilah orang yang menentang Syiah mengatakan sumber bagi ajaran Syiah dan Rafidah ialah agama Yahudi. Wallahu’alam.

Namun pada hari ini, mudah ceritanya, ada syiah yang ekstrim dan yang sesat, misalnya yang mengatakan mereka akan beroleh syahid bila mana mereka melukakan badan mereka pada hari peringatan Saidina Ali karramallhu wajhah atau hari asyura.

Namun ada juga Syiah Zaidiyyah, syiah yang hampir dengan ahli sunnah wal jamaah, yang mana penganut syiah ini banyak berpusat di Yaman. Dari sejarah Imam Syafie sendiri menukilkan bahawa Imam Syafie sendiri pernah belajar di Yaman, sebelum berkelana dan menuntut ilmu ilmu ke Jordan dan kemudiannya ke Mesir.

Namun buat akhirnya, saya berharap kepada pembaca yang mungkin berfahaman syiah atau sunnah, kita perlu mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Bagi yang mendokong fahaman syiah, semoga syiahnya bukan syiah yang berorientasikan kapitalis atau syiah imamiyyah yang mana tergolong dalam syiah yang sesat, tetapi moga-moga mereka tergolong dalam syiah Zaidiyyah (yang sederhana).

Sebagai ingatan, umat Islam hari ini perlu menjadikan sejarah lampau sebagai pengajaran dan iktibar, supaya sejarah hitam tidak akan berulang lagi. Umat Islam yang berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah tidak boleh terperangkap dengan jerangkap-jerangkap yang telah dipasang oleh musuh untuk memecahbelahkan Islam. Waspadalah!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...