Renungan Sejenak

Rabu, 14 September 2011

Janji-Janji Terdesak Barisan Nasional

Oleh Adil Mat Selamat

Kita sudah mendengar desas-desus tentang pilihan raya dan bermacam-macam kemungkinan https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjYec2SvCpICKUbdWmnj10FIkQOulqCM8KuL14zx2I2_4rc1p0m-iqp1ocqUr4G8fd0LPdiVs7F5Qi-g9xrdI_DHxB5dYNHDafSMomAfSpMzxuwe1mxGYutplRJ10kbKvboY1x9kO325YX6/s1600/gula-gula+bnlagi. Yang terbaru ialah ialah khabar angin kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ingin memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), demi memujuk hati rakyat yang sudah meluat dengan Barisan Nasional.

Jika benar khabar angin ini, kita sebagai warga yang merdeka menerima dengan senang hati. Kita amat mengalu-alukan apa jua perubahan ke arah kesejahteraan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi yang melibatkan hal-hal keselamatan dan hak kebebasan individu.

Tindakan tersebut boleh menjadi satu makna besar kepada satu realiti baru dalam negara kita bahawa sistem drakonian warisan penjajahan (walau pun ada orang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah), harus ditolak demi memartabatkan hak dan kemuliaan insan yang bernama manusia ini.

Jika langkah ini dapat dibuat dengan lebih awal lagi khususnya ketika Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara pada 1981 dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah dahulu, pasti banyak perkara dapat diselesaikan dengan cepat dan bersih. Malah, kerajaan, institusi awam seperti Polis khususnya tidak perlu memikul kesilapan oran-orang politik dalam mentadbir negara.

Wahyu atau mimpi?

Kalau pun betul desas-desus mansuhkan ISA itu, kita semua tahu Najib memerlukan kekuatan politik atau political will yang amat tegas untuk melakukannya.

Namun, jika kita melihat senario ketika khabar angin ini tersebar, ia berlaku ketika dekatnya tarikh pilihan raya, merudumnya populariti Perdana Menteri kes polis bertindak ganas terhadap pesereta perhimpunan aman Bersih 2.0 dan ditambah lagi dengan masalah dalaman UMNO yang serba tidak kena.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kekuatan dan imej politik Pakatan Rakyat yang masih bertahan di kalangan rakyat. Kesemua keadaan ini menimbulkan satu soalan penting dan paling asas.

Adakah keinginan Najib Tun Razak ini benar-benar ikhlas atas keinginan politiknya untuk melihat satu perubahan besar dalam sistem perundangan kita?

Sebelum ini tidak pula kita mendengar khabar angin yang pentadbiran Najib ingin mengkaji atau memansuhkan ISA ini. Jadi mengapa baru sekarang dengan tiba-tiba nak mansuhkan ISA? Adakah kerana Najib telah menerima wahyu dari langit? Atau Najib telah bermimpi kem Kamunting telah terbakar?

Demi kuasa

Sifirnya barangkali mudah sahaja, iaitu kerana faktor kelangsungan kuasa UMNO-BN yang semakin malap menjelang ujian getir dalam pilihan raya akan datang ini.

Dengan mudah kita dapat membaca bahawa ini adalah salah satu gula-gula pilihan raya UMNO-BN, terutamanya mahu memujuk kaum bukan Melayu yang sudah bulat hati untuk bersama Pakatan Rakyat. Tidak keterlaluan jika kita dapat fahami bahawa ia juga adalah rasuah paling licik digunakan oleh Perdana Menteri.

Rasuah ini tidak terungkap sepertimana rasuah wang atau kebendaan yang dapat dilihat secara zahir. Sebaliknya, rasuh seperti ini terhijab dalam imej atau slogan yang muluk-muluk iaitu ‘perubahan dasar’ atau polisi kerajaan.

Dengan maksud lain, dalam perubahan yang sedang dirancang ini jika berlaku kelak, bukanlah kerana kesedaran Najib atau kerajaan UMNO-BN kepada semua nilai-nilai yang disebutkan itu, sebaliknya ia adalah satu perubahan kosmetik untuk menang pilihan raya sahaja.

Yang pasti, jika akhirnya disahkan khabar angin itu sekali pun, ia akan datang dalam bentuk janji sahaja. Sebagaimana janji “1Malaysia” kononnya untuk keadilan bagi semua kaum, janji “rakyat didahulukan”, janji beri kelulusan stadium untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 dan bermacam janji lagi.

Seperti janji-janji Najib yang lain, terlalu banyak persoalan timbul berbanding jawapan. Misalnya, di mana janji mereformasikan institusi-institusi awam penting seperti Polis, Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan sebagainya?

Reformasi institusi awam

Tidak sukar untuk meletakkan institusi seperti SPR, SPRM, RTM, Bernama, polis dan banyak lagi bawah bidang kuasa Parlimen. Bukankah badan-badan ini sepatutnya bebas sebagaimana mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan? Mereka bukan kuda untuk ditunggang oleh UMNO-BN.

Jika di bawah Parlimen, kesan pertamanya, baik dari segi bajet atau peruntukan yang diperlukan oleh institusi ini, sumber manusia penyelidikan dan pembangunan, kepakaran atau teknologi dan sistem tadbir urus akan menjadi lebih efisen dan telus.

Kesan kedua, kredibiliti, profesionalisme dan tanggungjawab semua kakitangan akan terus berhadapan dengan Parlimen. Bukan lagi dengan Pak Menteri yang mudah menyalahgunakan kuasa.

Bukankah ini lebih konkrit dan lebih nyata keikhlasannya? Tetapi, tidak pula kita mendengar khabar angin yang seperti ini.

Tapi itu semua tak menjadi hal. Rakyat yang sudah kerap ditipu sudah mula pandai membaca gerak langkah Najib dan UMNO-BN.

Apabila isu komunis dibangkitkan pada masa ini, semua orang tahu ia hanya untuk mengalih pandangan tentang betapa tenatnya kerajaan yang sudah kehilangan arah. Rakyat semakin ditekan kesan ekonomi yang lemah, bayaran perkhidmatan melalui cukai terus dinaikkan, harga barang terus melambung.

Memang baik jika Najib hapuskan ISA. Tetapi lebih baik lagi jika rakyat menolak UMNO-BN dalam PRU akan datang. Bukan sahaja ISA dihapuskan, segala undang-undang zalim akan turut dimansuhkan.

Segala hak dan kekayaan negara akan disalur semula kepada rakyat melalui sistem yang lebih terbuka dan adil, dan bukan lagi kepada kroni yang menenggek di atas bahu UMNO-BN.

– Roketkini.com


Jumaat, 9 September 2011

Dr Asri Kecam Tindakan JAIS!!

Dr Asri kecam tindakan Jais

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) menyifatkan apa yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekarang adalah mengekalkan sistem penjajah untuk mengekang agama sendiri.

Sehubungan itu, beliau yang melahirkan simpati terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didakwa Jais semalam berkata, "jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama."

Asri mengulas tindakan Jais yang mendakwa Khalid semalam dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Klang 24 November depan kerana memberikan tazkirah di sebuah surau tanpa tauliah dari Jais.

Sebelum ini, Asri juga adalah menjadi mangsa Jais apabila beliau dikepong oleh penguatkuasa Jais ketika sedang memberikan kuliah agama seumpama penjenayah.

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam semalam dan dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"..simpati apabila ada ahli Parlimen yang diambil tindakan oleh Jais kerana memberi tazkirah..sekalipun tiada bukti ada kesalahan dalam tazkirah tersebut.

"Begitulah susahnya berdakwah..sistem penjajah dipakai untuk mengekang agama sendiri.. jangan hairan jika ramai orang murtad.. kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama," tulis Asri dalam Facebook.

Bagi beliau, tindakan Jais ini seumpama arahan Nabi s.a.w "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat" dimansuhkan.

Bagi Dr Asri, perkara ini berlaku kerana pihak yang tidak layak dan berilmu sewajarnya diberikan kuasa mkenjaga agama.

"Yang tidak layak menaungi agama diberikan kekebalan yang tidak diberikan kepada al-Khulafa al-Rasyidin sekalipun..apapun yang selamat HARD ROCK CAFE jua," tulis beliau.



Tazkirah: Jais dakwa Khalid Samad, tauliah Dr Rani dibatal

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sementara isu membabitkan serbuan ke atas gereja belum lagi reda, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah.

Turut menerima tindakan Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.

Khalid (gambar) dipanggil di pejabat Jais hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau.

Perbicaraan ditetapkan 24 November ini Mahkamah Syariah Klang.

Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu manakala Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam pula sebagai salah seorang timbalanya.

Dr Rani, Adun Meru, menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang merupakan Exco Kerajaan Negeri bagi hal ehwal agama sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

“Tauliah saya tamat Ramadan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais,” kata Dr Rani dipetik Harakahdaily.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Sebelum ini, Jais mendapat kritikan pelbagai pihak apabila didakwa membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.

Jais pula berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan bukannya serbuan di gereja itu atas dakwaan dan maklumat ada usaha mengkristiankan umat Islam.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semasa tazkirah Ramadan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.

“Saya memberikan tazkirah tentang cerita yang berlaku di zaman Saidina Ali menjadi khalifah Islam di mana semasa peperangan Sifin baginda dapati baju besi baginda hilang.

“Apabila pulang baginda dapati seorang Yahudi sedang menjual baju besi itu di pasar lalu baginda berkata itu baju besinya. Yahudi itu pula berkata, ini aku punya.

“Lalu kes ini dibawa ke mahkamah Islam ketika itu iaitu Qadhi. Qadhi bertanya Saidina Ali, apa bukti dan saksi bahawa baju besi itu baginda yang punya.

“Saidina Ali berkata, bukti tidak ada tetapi saksi ada iaitu Hassan dan Husein. Qadhi kata, kedua-duanya tidak boleh jadi saksi yang adil kerana mereka berdua anak baginda. Jadi kes ini ditolak oleh Qadhi dan jadilah baju besi itu milik Yahudi itu.

“Saya ingin beritahu kepada hadhirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam sahaja bahkan kepada Yahudi pun hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

“Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan,” cerita Khalid tentang tazkirah yang diberikannya. -TMI

Khamis, 1 September 2011

Sekali Lagi Wang Rakyat Digunakan Untuk Kempen Tipu Rakyat

Tiga firma ditapis bantu kempen tenaga nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Kerajaan Malaysia sedang mencari sebuah agensi perhubungan awam untuk membantu membina sokongan orang awam terhadap usaha Putrajaya mengadakan tenaga nuklear — sumber tenaga alternatif menjelang tahun 2013.

The Holmes Report, yang diterbitkan di New York, melaporkan awal minggu ini bahawa Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, telah menyenarai pendek tiga firma untuk membantu menjalankan kerja-kerja perhubungan awam projek yang sensitif itu.

“Difahamkan pemilihan formal belum dilakukan. Satu sumber terlibat dalam proses berkata fi (juga) belum disahkan, tetapi dijangka mencecah tujuh digit,” katanya lagi.

Pelawaan untuk mendapatkan khidmat firma perhubungan awam antarabangsa dijangka mencetuskan kontroversi baru selepas laporan baru-baru ini menyebut Putrajaya telah membayar RM58 juta kepada FBC Media untuk membina imejnya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai saluran penyiaran antarabangsa.
Badan kawal selia Britain, Office of Communications (Ofcom) sedang menyiasat program-program dikendalikan oleh FBC Media bagi British Broadcasting Corporation (BBC).

Difahamkan Putrajaya telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas didedahkan bahawa pemimpin-pemimpin Malaysia seringkali muncul dalam temu bual berbayar program televisyen global CNBC.

Usaha terbaru ini muncul di sebalik kontroversi krisis loji nuklear di Fukushima, Jepun Mac lalu ekoran malapetaka berganda gempa bumi dan tsunami.

Berdasarkan nota taklimat yang diperoleh oleh Holmes Report, khidmat runding perhubungan awam dikehendaki untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan boleh membuat satu keputusan berdasarkan pada fakta dan boleh diyakini mengenai loji disyorkan menjelang tempoh yang telah pun ditetapkan.

“Pokoknya: Malaysia perlu ada tenaga nuklear dan memperoleh mandat rakyat menjelang 2013, apabila kerajaan membuat keputusan akhir dan mengumumkan lokasinya,” demikian nota ringkas itu.

Menurut Holmes Report, mendapatkan sokongan awam lebih 50 peratus adalah keutamaan, selain menangani aspek kebimbangan dan isu-isu yang timbul.

Beberapa pihak telah pun membantah usaha mengadakan loji tenaga nuklear di negara ini.

Pada Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Akhir Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi.

Langkah itu katanya, juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik sudah lama menjadi pilihan beberapa negara luar berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga membebankan pengguna. -TMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...