Renungan Sejenak

Khamis, 1 September 2011

Sekali Lagi Wang Rakyat Digunakan Untuk Kempen Tipu Rakyat

Tiga firma ditapis bantu kempen tenaga nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Kerajaan Malaysia sedang mencari sebuah agensi perhubungan awam untuk membantu membina sokongan orang awam terhadap usaha Putrajaya mengadakan tenaga nuklear — sumber tenaga alternatif menjelang tahun 2013.

The Holmes Report, yang diterbitkan di New York, melaporkan awal minggu ini bahawa Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, telah menyenarai pendek tiga firma untuk membantu menjalankan kerja-kerja perhubungan awam projek yang sensitif itu.

“Difahamkan pemilihan formal belum dilakukan. Satu sumber terlibat dalam proses berkata fi (juga) belum disahkan, tetapi dijangka mencecah tujuh digit,” katanya lagi.

Pelawaan untuk mendapatkan khidmat firma perhubungan awam antarabangsa dijangka mencetuskan kontroversi baru selepas laporan baru-baru ini menyebut Putrajaya telah membayar RM58 juta kepada FBC Media untuk membina imejnya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai saluran penyiaran antarabangsa.
Badan kawal selia Britain, Office of Communications (Ofcom) sedang menyiasat program-program dikendalikan oleh FBC Media bagi British Broadcasting Corporation (BBC).

Difahamkan Putrajaya telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas didedahkan bahawa pemimpin-pemimpin Malaysia seringkali muncul dalam temu bual berbayar program televisyen global CNBC.

Usaha terbaru ini muncul di sebalik kontroversi krisis loji nuklear di Fukushima, Jepun Mac lalu ekoran malapetaka berganda gempa bumi dan tsunami.

Berdasarkan nota taklimat yang diperoleh oleh Holmes Report, khidmat runding perhubungan awam dikehendaki untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan boleh membuat satu keputusan berdasarkan pada fakta dan boleh diyakini mengenai loji disyorkan menjelang tempoh yang telah pun ditetapkan.

“Pokoknya: Malaysia perlu ada tenaga nuklear dan memperoleh mandat rakyat menjelang 2013, apabila kerajaan membuat keputusan akhir dan mengumumkan lokasinya,” demikian nota ringkas itu.

Menurut Holmes Report, mendapatkan sokongan awam lebih 50 peratus adalah keutamaan, selain menangani aspek kebimbangan dan isu-isu yang timbul.

Beberapa pihak telah pun membantah usaha mengadakan loji tenaga nuklear di negara ini.

Pada Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Akhir Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi.

Langkah itu katanya, juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik sudah lama menjadi pilihan beberapa negara luar berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga membebankan pengguna. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...