Renungan Sejenak

Sabtu, 30 April 2011

Sumpah Eskay : Itu Kerja Orang Jahil, Kata Bekas Mufti Wilayah


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.

Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi,

Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.

“Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.

Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.

Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.

“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.

“Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.

“Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.

“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang kesan atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.

“Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.

“Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.

Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.

“Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya.


Selasa, 26 April 2011

Populasi Meningkat, Gagal Naiktaraf Sejak Sekian Lama Adalah Puncanya


ALOR SETAR - Bilangan populasi pelajar meningkat hampir sekali ganda dan kegagalan pengurusan Universiti Utara Malaysia(UUM) menaik taraf kemudahan infrastruktur dikenal pasti punca bekalan air universiti itu bermasalah.

Seorang jurutera perunding yang terlibat dalam pembinaan rekabentuk infrastruktur di UUM sekitar tahun 1989 berkata, objektif pembinaan universiti itu pada awalnya untuk menampung kapasiti pelajar tidak melebihi 18,000 orang, bagaimanapun peningkatan bilangan pelajar sehingga hampir 30,000 orang menyebabkan sistem bekalan air sedia ada gagal menampung keperluan mereka.

Beliau yang enggan dikenali berkata, UUM kini menggunakan lebih kurang 350,000 gelen air sehari untuk menampung keperluan pelajar dan kakitangan universiti, walhal jumlah itu sebenarnya kurang separuh daripada kapasiti ideal air yang diperlukan iaitu lebih kurang 750,000 gelen air sehari.

“Selain itu, kegagalan UUM menaik taraf sistem perpaipan, menambah kapasiti tangki air(reservoir), menambah rumah pam,menukar saiz paip penghantaran dan paip retrikulasi (perhubungan) kepada saiz lebih besar supaya mendapat tekanan air sekata dilihat penyumbang utama kepada permasalahan, bukan semata-mata berpunca Syarikat Air Darul Aman (Sada).

“Tindakan menyalahkan Sada tidak wajar kerana masalah bekalan air UUM berpunca daripada kelemahan sendiri dan ianya bukan sahaja dialami universiti itu sahaja, malah turut meliputi sebahagian besar institusi pengajian tinggi awam(IPTA) di negara ini,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Jurutera perunding itu berkata, sebelum pembinaan Loji Air Padang Sanai, Padang Terap, UUM terpaksa mendapatkan bekalan air daripada Loji Air Bukit Pinang dan mengalami masalah tekanan air rendah memandangkan ianya disalurkan dari kawasan rendah (Bukit Pinang) ke kawasan tinggi (Sintok).

Menurutnya, pembinaan loji air itu pada asalnya bertujuan mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan Changlun dan Sintok, bagaimanapun ianya masih tidak mencapai objektif di UUM kerana sistem bekalan air dan perpaipan lama membataskan kuantiti bekalan air diterima.

“Peningkatan bilangan populasi pelajar sepatutnya seiring dengan peningkatan kemudahan asas dan infrastruktur universiti itu demi keselesaan penghuninya.

“Dalam isu bekalan air di UUM, apabila kemudahan infrastruktur tidak dinaik taraf, saiz paip bekalan air sedia ada tidak cukup dan memerlukan paip bekalan air lebih besar untuk sesuai dengan tekanan air lebih tinggi. Tiada guna Sada meningkatkan penyaluran bekalan air ke UUM sekiranya kemudahan infrastruktur di takuk lama,” katanya.

Menurutnya, UUM bukan sahaja perlu menaik taraf sistem bekalan air, malah perlu meningkatkan kualiti sistem bekalan kuasa, telekomunikasi, perparitan dan pengurusan sisa kumbahan memandangkan penambahan lebih daripada 10 blok bangunan di universiti itu memberi kesan langsung kepada kesemua infrastruktur tersebut.

“Berdasarkan perkiraan saintifik yang dibuat, anggaran RM50 hingga RM70 juta diperlukan UUM untuk menaiktarafkan sistem bekalan air di seluruh kawasan universiti, termasuk kos penyelenggaraan, menambah paip saliran, reservoir dan rumah pam baru memandangkan jumlah sedia tidak mencukupi.

“Manakala, anggaran keseluruhan sebanyak RM150 juta diperlukan untuk membiayai kos menaik taraf keseluruhan kemudahan infrastruktur terbabit untuk memastikan UUM selamat dan selesa diduduki,”katanya.

Beliau turut memberi amaran UUM bakal berdepan dengan masalah bekalan air yang lebih buruk pada masa akan datang sekiranya usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur universiti dipandang sepi oleh pengurusannya.

“Hampir keseluruhan paip saliran air yang digunakan di UUM diperbuat daripada paip asbestos yang kurang tahan lama manakala reservoir yang sedia ada pula hanya mampu menampung separuh daripada kuantiti sebenar air diperlukan.

“Saya minta pengurusan UUM memandang serius perkara ini kerana ianya melibatkan keselesaan pelajar dan kakitangan, lebih-lebih lagi universiti itu dalam usaha menarik pelajar luar negara melanjutkan pelajaran ke sana,” katanya.


Sumber : Kedahlanie.info

Isnin, 25 April 2011

Pemuda Pas Kedah Bidas Kenyataan Naib Canselor UUM


ALOR SETAR - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak digesa memohon maaf terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri.

Desakan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) berikutan kenyataan lantang Dr Mohamed Mustafa yang menyifatkan Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (gambar) berkata, DPPNK memandang pandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berhak terima atau tolak permohonan rebat cukai tanah.

“Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Ustaz Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang institut pengajian tinggi.

“Dato' Seri Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, selain itu, beliau adalah antara pengasas Universiti Islam Antarabangsa dan menubuhkan Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42 program, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang lebih baik. [Sinar Harian]


sumber berkaitan :

Kedahlanie.info - Pemuda PAS Kedah Bidas Kenyataan Naib Canselor

Warta Kedah - Jangan Perlekeh Kepimpinan Negeri Pilihan Rakyat

Ahad, 24 April 2011

Kontroversi dan Provokasi : Perlu Bijak Tangani Persepsi

Penulis rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan ringan berkaitan analisa keputusan pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Penulis bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, tapi atas pertimbangan yang adil bagi semua pihak dan tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, bahkan mahu Pakatan Rakyat (PR) bergerak atas satu kumpulan yang bernama PR dan bukannya atas nama parti komponen sebagai persediaan ke Putrajaya.

Akhir-akhir ini, banyak pihak meletakkan pukulan maut atau terjahan kuat terhadap PAS sehinggakan keputusan pilihanraya Sarawak yang kurang memberangsangkan pun turut dipikul PAS berseorangan.

Sebenarnya semenjak menyertai pilihanraya, PAS tidak pernah merungut dan tidak dapat menerima kenyataan kekalahan kepada parti yang dikuatkan dengan segala bentuk jentera kerajaan termasuk segala bentuk bantuan kewangan dan kemudahan yang dimiliki kerajaan dipergunakan, iaitu Barisan Nasional (BN).

Ketika berseorangan atau secara berkumpulan (ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah, kemudian dalam Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat), PAS masih tetap dengan konsepnya (politik dakwah) samada menang atau kalah. Kemenangan dalam pilihanraya adalah perkara yang datang selepas kerja dakwah, dan bukannya capai kemenangan baru nak jalankan kerja dakwah.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, PAS bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan PKR bersama-sama menggembeleng tenaga berhadapan jentera BN dalam segala bentuk dan genap penjuru yang dipenuhi dengan pelbagai kemudahan termasuk jet hak milik kerajaan dan helikopter untuk jalankan kerja kempen.

Namun, itu semua tidak dipunyai oleh parti dalam PR. Namun masih lagi bersedia menghadapi perikatan BN di Sarawak yang penuh dengan cabaran dari segi kewangan dan bentuk geografi muka bumi yang memerlukan kesungguhan untuk jalankan kerja-kerja kempen sehingga sampai ke setiap buah rumah. Sarawak tidak seperti di semenanjung yang mudah untuk jalankan kerja kempen dari rumah ke rumah.

Parti Islam itu boleh dianggap baru bertapak di Sarawak dan menyertai pilihanraya di negeri itu, kini dipertanggungjawabkan dengan hanya lima kerusi untuk ditandingi, namun nasib tidak menyebelahi PAS apabila tewas kesemua kerusi walaupun ada peningkatan dari segi undi popular.

Banyak pihak telah melakukan bedah siasat dengan pelbagai andaian dan persepsi atas kekalahan PAS itu di samping meraikan kemenangan DAP dan PKR.

Kini dalam pelbagai medium massa termasuk media baru telah menjeling dan berpaling ke arah PAS dan kepimpinannya yang secara kebetulan sekarang ini sedang berhadapan dengan pemilihan parti yang dijangka diadakan pada Jun ini.

Banyak pihak telah menyalahkan PAS 100% atas kekalahan di Sarawak itu dan secara pukalnya, presiden PAS, Datuk seri TG Haji Hadi dikatakan bertanggungjawab dalam hal ini.

Sehinggakan ada pemerhati politik bertaraf profesional yang membuat penilaian hasil keputusan pilihanraya Sarawak baru-baru ini, dengan menyalahkan presiden PAS itu sebagai sebab kekalahan dan menjadi liabiliti terhadap PR dengan beranggapan, ramai pengikut PAS merasakan presiden PAS itu harus ditukarkan dalam realiti politik kini.


Kenapa Hadi Awang

PAS bekerja bukan atas kapasiti individu. Presiden sekadar ketua yang mengarahkan perjalanan sesuatu kerja yang dihasilkan secara bersama semua jawatankuasa. Bahkan PAS ada Majlis Syura yang memantau perjalanan organisasi PAS dan bukannya ditentukan oleh presiden secara berseorangan. Jadi tidak adil, kekalahan PAS di Sarawak harus dipikul Hadi Awang secara berseorangan.

Masa menang, tiada siapa memikirkan siapakah ketuanya, tapi bila kalah, semua jari menuju ke arah ketuanya. Adilkah itu? Padahal ini semua adalah asam garam perjuangan dan pertandingan. Menang kalah adalah klimaksnya.

Padahal, kini PAS mencapai banyak kecemerlangan di bawah kepimpinan Hadi Awang. PAS mengorak langkah dengan tertubuhnya Kelab Penyokong PAS, kini diangkat sebagai Dewan Himpunan.

Hadi Awang juga berjaya merelevankan PAS di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum dan agama dan membawa parti Islam itu begitu didekati dan disertai orang bukan Islam.

Pergerakan pemuda dilihat semakin aktif dengan program PAS bersama anak muda. Pelbagai program bagi menjinakkan anak muda bersama PAS terus dijalankan dengan jayanya.


Kenapa PAS bukan PKR

PAS yang bertanding 5 kerusi, tetapi PKR pula bertanding sebanyak 49 kerusi. Paling banyak dalam PR. Namun hasilnya adalah, PKR sekadar menang 3 kerusi.

Apakah ianya suatu kejayaan? Apakah ianya tidak perlu dibedah siasat dan tidak harus dipersalahkan? Apakah Anwar yang mengetuai PKR juga harus dipersalahkan? Kenapa hanya PAS yang lima kerusi tidak pula PKR yang 49 kerusi?

Kita perlu relevan dan positif dengan suasana dan keadaan. PAS berjuang di kawasan majoriti Melayu dan bumiputera yang dianggap menjadi satu talian hayat BN untuk kekal berkuasa. Boleh dikatakan, kawasan yang PAS bertanding adalah kawasan ’maut’ kerana berhadapan karenah pengundi Melayu yang dilihat begitu liat untuk berubah. Mudah digula-gulakan oleh yang berduit.

Namun bagi kedua-dua parti komponen PR yang lain (DAP dan PKR), mereka banyak bertanding di kawasan yang boleh dikatakan selamat dan ada peluang untuk menang mudah kerana tsunami politik PRU-12, pengundi di kawasan bandar yang rata-rata berbangsa Cina kelihatan terus menolak BN.

Namun dilihat, hanya DAP sahaja yang boleh dikatakan betul-betul berjaya kerana daripada 15 kerusi yang dipertandingkan, mereka mendapat 12 kerusi. Sekali ganda daripada apa yang diperolehi ketika pilihanraya negeri pada tahun 2006.

Tetapi, satu lagi parti komponen PR iaitu PKR, kelihatan masih lagi gagal untuk beraksi cemerlang walaupun meletakkan ramai calon PR dari kalangan mereka. Penulis bukan mahu mempersalahkan PKR yang meletakkan calon yang ramai dalam pilihanraya kali ini, bahkan itu kemampuan mereka. Tetapi penulis mahu mengajak pemerhati politik untuk mengukur kejayaan bagi keseluruhan parti dalam PR, bukan hanya PAS sahaja.

Jangan hanya PAS dipersalahkan dalam hal ini sehingga mahu mengundurkan presidennya, tetapi bagaimana PKR yang juga dilihat tidak berjaya memecah tradisi kemenangan BN di Sarawak.

Secara logiknya, kekalahan PR kepada BN di Sarawak kali ini perlu dilihat dalam banyak aspek dan perkara. Sebagai komponen PR yang bergerak secara kolektif dan kerjasama, masing-masing harus dipertanggunjawabkan atas kelemahan dalam aksi pilihanraya Sarawak kali ini.

Sepatutnya, perlu ada jawatankuasa atau penyelaras induk yang mewakili semua komponen dan bergerak secara selari agar PAS, PKR dan DAP tidak bergerak berseorangan dan memberi satu pandangan bahawa PR bergerak secara kumpulan bukan secara berasingan.

Ketua Umum PKR yang dilihat sebagai penyatu PR perlu memainkan peranannya atas jenama PR bukan parti komponen masing-masing. Dengan wujudnya jawatankuasa berkenaan, tidak kira kerusi yang ditandingi PAS, PKR atau DAP, mana-mana kerusi yang dilihat berpotensi, seharusnya komponen PR melakukan gerak kerja kuat secara bersama untuk memberi tumpuan kepada kerusi yang ada pontensi.

Tidak hanya, PAS hanya tumpu kerusi PAS, DAP tumpu kerusi DAP, PKR tumpu kerusi PKR – rakyat tidak nampak keserasian dan kerjasama padu sebagai bakal kerajaan jika menang pilihanraya.

Komponen PR perlu bergerak dan bekerja atas nama PR.


Mungkinkah Melayu takut dengan pengumuman Baru Bian sebagai KM

PAS dipertanggungjawabkan di kawasan yang majoriti Melayu dan bumiputera. Tidak dapat dinafikan, BN telah memainkan posisinya untuk menyerang calon PAS dengan melakukan provokasi perkauman dan menakut-nakutkan pengundi Melayu terhadap PAS.

DAP yang mengumumkan akan melantik pengerusi PKR negeri, Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri dilihat sebagai terlalu gopoh. Penulis bukan mempertikai kewibawaan Baru Bian sebagai calon yang sesuai tapi pengumuman tidak tepat pada masanya sehingga boleh memberi modal kepada BN untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Penulis tidak menafikan Baru Bian tetapi perlu berhemah untuk mengumumkannya agar pengundi Melayu tidak takut untuk mengundi PAS. Sedikit sebanyak ianya memberi kesan terhadap pengundian calon PAS.

Sudah tentu bagi BN, mereka akan provok, undi PAS bermakna setuju Baru Bian (Cina) sebagai KM Sarawak. Jika undi BN, Taib Mahmud (Melayu) sebagai KM. Sudah tentu pengundi Melayu merasa bimbang dengan isu berkenaan.

Bukan penulis mahu dari kalangan Melayu sahaja yang perlu diketengahkan sebagai calon KM tetapi seharusnya kita bijak membuat pengumuman agar tidak memberi kesempatan kepada BN memanipulasi isu sebelum pengundi tiba.


Semua ahli PAS atau segelintir sahaja

Berbalik kepada desakan ’brutal’ mahu menyalahkan PAS dan presidennya, sebagai seorang yang berkaliber, seharusnya ahli profesional itu menimbang dahulu pendapatnya untuk diluahkan. Bukan main serkap jarang dengan berpaksikan dengan segelintir sahaja (PAS Bukit Bintang yang baru sekarang nak timbul) yang mahu perubahan dalam kepimpinan PAS (ubah presiden) kononnya tak sesuai untuk zaman politik kini tanpa mengambil perhatian terhadap pihak yang mahu meneruskan kepimpinan sedia ada.

Dari segi peratusnya, mana lebih banyak – antara yang mahu mengekalkan atau yang mahu diubah? Ia perlu bukti yang sahih sebelum pendapat dilontarkan agar persepsi dan pandangan itu tidak dijadikan sebagai satu biasan kepada pemilihan PAS akan datang.

Tak mustahil dalam sebuah organisasi, sudah tentu ada pihak yang bukan seratus peratus suka dengan kepimpinannya. Dalam PKR, bukan semua suka dengan Anwar dan begitu juga dengan DAP, bahkan Umno-BN pun hadapi benda yang sama. Jadi ianya tidak memberi apa-apa masalah jika majoriti masih memerlukan kepimpinan sedia ada.

Sudah tentu majoriti mengalahkan minoriti, bukan majoriti beralah dengan minoriti.

Jangan kerana seorang dua yang mahu, semua mahu diubahnya. Di sini seolah-olah kita bertindak zalim terhadap ahli PAS yang masih mahu mengekalkan kepimpinan sedia ada.

Hadi Awang yang kurang mendapat kepercayaan ahli menyulitkan perkembangan PAS dan kegagalan menyerlah sebagai 'kapten' kepada PAS seperti yang dituduh ahli profesional itu sangatlah subjektif tanpa menyebut berapa ramai (peratus) yang bertindak seperti yang didakwa ahli profesional itu. Padahal dalam pemilihan lalu, Hadi Awang terus diberi kepercayaan untuk menerajui PAS tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

Kalau ya pun Hadi Awang bermasalah, sudah tentu Majlis Syuranya akan bertindak dan mengambil inisiatif terhadap perkara itu. Seharusnya, ramai pihak perlu tahu bagaimana perjalanan organisasi dalam PAS.


Husam tidak buat keputusan cekap?

’Keputusan’ dan ’pendirian’ - di sana ada perbezaan yang nyata. Jika berdasarkan ’keputusan’, memang apa yang disebut ahli profesional itu ada kebenarannya, Husam tidak cekap buat keputusan menolak pencalonan sebagai presiden tanpa mengambil kira terlebih dahulu dengan keputusan mesyuarat yang lain (kawasan lain).

Tapi bagaimana dengan ’pendirian’? Padahal, Husam dilihat mengisytiharkan prinsip dan pendiriannya. Husam mengaku yang dia lebih mengenali siapakah Hadi Awang dari kaca matanya, bukannya dari kaca mata ahli profesional berkenaan. Itulah sebabnya Husam cepat meleraikan kekusutan yang tiba. Itu hak Husam dan tiada siapa boleh pertikaikannya.


Tewas di Terengganu dijadikan alasan

Kalah adalah adat, lebih-lebih berhadapan dengan BN yang mempunyai ’penolong’ yang ramai (SPR, jentera kerajaan, wang ringgit) dan ramai tidak melupai bagaimana Terengganu jatuh semula di tangan BN dengan kuasa duit yang terlalu sial.

Semua sedia maklum, pengundi Melayu sangat alah dengan wang ringgit. Bukan kata RM1,000 atau RM2,000, bahkan RM100 atau RM200 pun dah cukup mengembalikan undi Melayu terhadap BN.

Tahukah anda, berapa banyak wang hasil royalti dilaburkan ketika itu semata-mata mahu merampas Terengganu daripada PAS. Setiap genap penjuru perlu diambil kira, jangan hanya kerana tewas, Hadi Awang terus dipersalahkan. Kalau tidak, apa gunanya berkerja dalam satu jamaah jika menang ianya dirai bersama, jika kalah ianya disalahkan seorang individu sahaja.


Melobi untuk pemilihan PAS

Apa yang penulis merasa kebimbangan, ada pihak tertentu yang menggunakan orang luar untuk melobi untuk mengubah kepimpinan PAS yang dipilih perwakilan seluruh negara.

Banyak persepsi tak betul yang dibiarkan berleluasa bermain di fikiran perwakilan agar agenda orang-orang tertentu dapat ditunaikan.

Sebelum ini, kedengaran ada pihak-pihak tertentu yang mahu melobi agar Hadi Awang digugurkan dari jawatan tertinggi PAS itu. Tapi ntah betul ntah tidak perkhabaran itu.

Yang paling dibimbangi, ada pihak luar di sebalik orang profesional yang cuba mengubah kepimpinan PAS sedia ada.

Mungkin orang profesional hanyalah sebagai jurubicara, tetapi di belakangnya ada individu luar atau dalam yang mahu Hadi Awang diundurkan atas sebab-sebab tertentu.

Tapi itu semua andaian penulis namun perwakilan harus bijak dan berjaga-jaga agar PAS tidak diresapi pengaruh luar yang cuba mengatur kepimpinan PAS yang diterap semenjak dulu lagi.

Penulis juga percaya, para perwakilan lebih bijak menilai sesuatu persepsi demi keutuhan jamaah. Mereka tahu membuat keputusan tepat demi jamaah.

Sabtu, 23 April 2011

Suapan RM 10 Ribu : SPR Didesak Gantung Keputusan Dun N52 Temin


SARAWAK : Laman portal Sarawak Report mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggantung keputusan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Temin kerana terdapat bukti bahawa calon Barisan Nasional (BN), Joseph Mauh telah ‘ditangkap’ kerana melakukan penipuan berganda.

Laman tersebut turut mendesak pihak polis segera bertindak menyoalsiasat Joseph, kerana dia bukan sahaja menjanjikan RM10,000 bagi meraih undi, tetapi suapan itu adalah dalam bentuk cek tendang.

“Jika buktinya didapati benar, maka suatu pilihanraya semula harus diadakan. Kesemua dakwaan mengenai jenayah rasuah yang dilakukan di seluruh negeri Sarawak harus juga disiasat.

“Kami bukannya bercakap mengenai ‘pembangkang pengacau’, tetapi kami ingin bercakap mengenai Ketua-ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan dihormati,” kata laporan tersebut.

Penyelewengan itu didedahkan oleh Kuching ak Moyan, seorang Tuai Rumah dari kawasan Tamin melalui pengakuannya yang dirakam oleh kamera dan video 5 minit 20 saat itu masih boleh dilayari di laman youtube dengan tajuk ‘Testimony of Tuai Rumah Kuching’.

Melalui seorang penterjemah, Kuching mendedahkan bahawa pada 13 April 2011, beliau telah diberikan tiga keping cek bernilai RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 oleh calon Barisan Nasional, Joseph Mauh supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.

“Saya telah menunaikan kedua keping cek yang pertama dengan jumlah RM5,000. Tetapi cek ketiga yang bernilai RM5,000 telah ditolak oleh pihak bank sebagai cek tendang,” kata Kuching.

Kuching turut mendedahkan, pada Pilihan Raya Negeri 2006 lalu, setiap seorang pengundi di kawasan itu diberikan hanya RM20, tetapi pada pilihanraya kali ini, nilainya telah dinaikkan kepada RM50 setiap seorang pengundi.

“Saya ingat semua kami di sini telah mengundi Barisan Nasional. Memanglah saya tahu bahawa duit yang diberikan oleh Barisan Nasional itu tidak bernilai jika kerajaan mengambil tanah kami. Tapi apakan daya kami, kami harus mengundi kerajaan kerana kerajaanlah yang memberi kami duit itu.

“Ya, saya tahu kita boleh mengambil duit Barisan Nasional dan kemudian kita mengundi pembangkang, tetapi memandangkan setiap orang di sini mengundi Barisan Nasional pada kali ini, saya juga turut serta,” kata Kuching.

Berdasarkan bukti tersebut, Sarawak Report menjangkakan ia hanyalah permulaan kepada penemuan-penemuan lain.

“Kita hairan dengan gelagat BN di KL yang kelihatan resah dan risau mengenai pilihanraya ini dan kemudian mereka kelihatan lega dengan keputusannya.

“Taib kelihatan bergegas di tengah malam minggu untuk mendapatkan Tuan Yang Terutama bagi mengangkat sumpah sebelum sesiapa sempat berteriak ‘tangkap pencuri itu!’ ulas laporan tersebut.

Dalam pada itu, Sarawak Report turut mempersoalkan sama ada wujud penafian hak mengundi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan tidak mendaftarkan setengah juta pengundi dari kalangan orang asli.

“Perkara ini yang meresahkan dan merisaukan BN. BN adalah sebuah kerajaan yang tidak sah yang telah menodai proses pilihanraya dan mereka seharusnya disiasat dan didakwa dan dijatuhkan hukuman seberat yang mungkin.

“Sarawak Report kini berada di Geneva, dengan kerjasama NGO yang lain telah dipelawa untuk mengemukakan segalanya di UN mengenai masalah yang berkisar kepada pelanggaran hak asasi manusia dan demokrasi di Sarawak.

“Kami akan mengemukakan kes Tuai Rumah ini dan juga kes-kes yang lain yang telah dan pernah ditipu semasa pilihan raya ini,” jelas laporan tersebut.

Kenapa PAS Dikritik??


TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

“Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

“Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih “menyayangi” (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

“Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.

“Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

“Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap, sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS,” terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

“Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan,” katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, ‘sekiranya itu dan sekiranya ini’ walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

“Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN,” ulasnya secara positif. - (harakahdaily)

Khamis, 21 April 2011

Kadar kehilangan air terlalu tinggi di UUM


ALOR SETAR, 20 April 2011 – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi menjelaskan bahawa SADA telah membekalkan sebanyak 15 juta liter air sehari ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ia sudah mencukupi untuk menampung keperluan air ke kampus tersebut.

Bagaimanapun, katanya, UUM adalah antara kawasan yang mengalami kadar kehilangan air (non revenew water) yang tinggi iaitu sekitar 43 peratus. Antara sebabnya ialah kerosakan saluran paip yang dipasang lebih 20 tahun lalu dan penyelenggaraan yang dilakukan UUM sangat minima.

“Logi air baru di Padang Sanai sudah siap akan akan mula beroperasi, kita mampu membekalkan air ke UUM sehingga 35 juta liter air tapi harus diingat dalam keadaan infrastruktur dalaman yang teruk di UUM, bekalan air sebanyak mana pun tidak akan menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Menurutnya, infrastruktur yang direkabentuk adalah untuk keperluan 10 ribu pengguna, sedangkan sekarang penghuninya sudah bertambah tiga kali ganda. Saluran paip dan kapasiti tangki yang ada tidak mampu lagi menampung keperluan yang begitu tinggi.

Dato’ Phahrolrazi menasihatkan UUM atau Kementerian Pengajian Tinggi supaya menyegerakan kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di UUM bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Itu (kampus UUM) adalah kawasan mereka, hak mereka dan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengatasi masalah yang timbul di UUM. Kerja kita ialah membekalkan bekalan air bersih yang mencukupi dan kita telah menyempurnakan kerja tersebut,” ujar beliau.

Tiada Masalah Jika UUM Dengar Nasihat SPAN


ALOR SETAR, 19 April - Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan menghadapi masalah bekalan air sekiranya pihak pengurusannya mendengar nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya mengstruktur semula atau naiktaraf infrastruktur pembekalan dan saluran paip air institusi berkenaan.

Infrastruktur bekalan air berkenaan seusia dengan pembinaan UUM 27 tahun lalu yang bukan sahaja tidak mampu menampung peningkatan jumlah penghuninya dari tahun ke tahun malah air itu mengalami kesusutan (non revenue water) sebanyak 43 peratus kerana kebocoran paip.

“Kemudahan air yang ada adalah yang disediakan semenjak universiti itu dibina di mana untuk penghuninya seramai 10,000 orang. Sebaliknya sekarang penghuninya meningkat kepada 30,000 termasuklah pelbagai kolej, fakulti, hotel dan padang golf,” kata Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada media di pejabatnya.

Tegasnya lagi, walaupun mereka membelanjakan RM100,000 sebulan, air yang diperolehi daripada tangki air Syarikat Air Darul Aman (Sada) adalah percuma dan mereka hanya belanja kos pengurusan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Profesor Madya Dr Mohd Amy Azhar Mohd Harif yang mendakwa UUM membelanjakan RM100,000 sebulan bagi menguruskan bekalan air bersih untuk kegunaan 25,000 pelajar dan 5,000 kakitangannya.

Menurut Dato’ Seri Ustaz Azizan, pihak pengurusan UUM sepatutnya mengambil contoh dari apa yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang menaiktaraf infrastruktur semula loji serta pembesaran saluran paip.

“Saluran paip lama sudahlah kecil bocor pula sepertilah tapak tangan kecil menadah air terjun,” katanya.

Ini kerana Loji Air Padang Sanai mampu mengeluarkan air sebanyak 50 juta liter padu sehari untuk bekalan ke UUM dan Bukit kayu Hitam sebanyak 35 juta liter padu, Durian Burung 10 juta liter padu dan sekitar Padang Sanai sebanyak 5 juta liter padu.

Justeru itu UUM tidak akan hadapi masalah air sekiranya mendapat nasihat pakar dengan menaiktaraf infrastruktur bekalan air di dalam kawasan mereka.

Selasa, 19 April 2011

Presiden PAS Dianugerah Tokoh Alim Rabbani Oleh Universiti Islam Yala


Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipakai jubah sebagai Tokoh Alim Rabbani oleh Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi. | foto Harakahdaily



YALA, Patani : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala semalam.

Abdul Hadi Awang satu-satu tokoh ulama di luar Thailand dan rantau nusantara menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani diperkenalkan Universiti Islam Yala (YIU). Gelaran tokoh itu sama taraf dengan ijazah kehormat diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Sebelum ini anugerah serupa diberi kepada tokoh ulama yang banyak berjasa dalam bidang dakwah di empat wilayah selatan Thailand, terutama pengasas pusat pengajian pondok. Pernah menerima anugerah itu Syeikhul Islam Negara Thailand dari Bangkok.

Penyampaian tokoh tersebut diadakan sempena program Multaqa Muslimat yang dianjurkan universiti itu di kampus Pattani, kelmarin. Multaqa berkenaan berjaya menghimpunkan Muslimat dari seluruh Thailand berserta wakil Malaysia dan Indonesia.

Turut serta Exco kerajaan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadhli Hassan, Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa Pas, Mohd Faiz Md Nawi.

Dekan Fakuliti Sastera dan Sains Kemasyarakat YIU, Profesor Madya Sukree Langputeh berkata, pemilihan tokoh tersebut bukan mudah untuk dilakukan pihak senat universiti berkenaan.

Katanya, tokoh yang diberi adalah pendakwah yang benar-benar menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian dan Abdul Hadi tokoh Islam disegani di Asia Tenggara yang menjadikan rutin hariannya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Selain itu beliau juga mengarang banyak menghasilkan buku mengenai agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya ketika membaca biodata Presiden Pas sebelum upacara memakaikan mislah (jubah) Tokoh Alim Rabbani pada majlis yang diadakan di universiti itu.

Pemakaian mislah dilakukan Rektor Universiti Islam Yala (YIU), Dr Ismaillutfi yang turut disaksikan Timbalan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Harapabara, Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul dan peserta.

Sabtu, 16 April 2011

PRN Sarawak : TI-M Gesa SPR Jamin Pengundian Bebas Dan Adil

KUALA LUMPUR — Ketika tinggal kurang 12 jam hampir sejuta pengundi bakal keluar mengundi untuk memberi mandat baru, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya negeri Sarawak esok diadakan dengan bersih dan bebas.

Ini kali pertama Sarawak menyaksikan pilihan raya negeri paling sengit dan kesemua kerusi dipertandingkan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini, TI-M berkata, integriti mesti digambarkan dalam pengendalian pilihan raya.
“TI-M mahu SPR (tegas) menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tanpa rasa takut atau memihak mana-mana pihak bagi mengelakkan insiden-insiden tidak diingini seperti politik wang dan beli undi,” kata TI-M dalam kenyataannya.

Katanya, kesemua parti yang bertanding mesti mematuhi undang-undang tersebut dan bersaing dalam keadaan yang adil.

“Sebagai sebuah institusi yang bebas, peranan SPR adalah penting dalam memastikan pilihan raya negeri Sarawak bebas daripada pelanggaran peraturan dan salah guna,” kata TI-M.

Malah katanya, SPR juga wajib untuk melaksanakan kesemua undang-undang dengan adil dan untuk mengelakkan rasuah pengundian, manipulasi dan salah guna kuasa dalam apa jua bentuk.

“Keyakinan orang ramai ke atas SPR akan terjejas jika proses pilihan raya tercemar,” kata TI-M yang turut kecewa dengan tindakan kerajaan negeri menghalang wakil badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memasuki Sarawak.

“Kehadiran pemantau untuk memantau dan memerhati perjalanan pilihan raya negeri dan ia adalah hak yang tidak harus dirampas oleh sesiapa,” katanya lagi.

Jumaat, 15 April 2011

PR Mampu Kurangkan Penguasaan BN di Sarawak Adalah Lebih Realistik


KUALA LUMPUR: Menjelang saat-saat akhir waktu kempen, Pakatan Rakyat (Pakatan) besar kemungkinan dapat menafikan dua pertiga BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini apabila maklumat dari dalam BN sendiri merasakan begitu.

Menurut sumber itu, BN hanya yakin mendapat 41 kerusi sahaja (kawasan putih) manakala Pakatan pula mendapat 19 kerusi (hitam) manakala 11 kerusi lagi kelabu dan sedang diperjuangkan oleh kedua-dua belah pihak.

Namun, kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies pula memberikan kemenangan kepada Pakatan dalam PRN kali ini apabila kajian mereka menunjukkan sokongan kepada PR sudah 40 peratus berbanding BN 39 peratus, Snap 17 peratus dan Bebas empat peratus.

Laporan Zentrum dalam SARAWAK ELECTION (SELECT 2011) - Prediction Period 3 yang dikeluarkan hari ini mendapati Pakatan akan menang 28 kerusi, BN 27 kerusi, Snap 13 kerusi manakala Bebas tiga kerusi.

Menurut laporan itu, PAS akan menang di tiga kerusi iaitu Beting Maro, Muara Tuang dan Tanjung Datu. Dua lagi kerusi PA iaitu Sebuyau dan Sadong Jaya didahului sedikit oleh calon BN.

Laporan itu juga mendapati, calon Bebas, Datuk Salleh Jafarudin mendahului Tan Sri Taib Mahmud di Balingian dengan majoriti yang kecil.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian juga mendahului calon BN di Ba'kelalan.

Pagi tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya yakin Pakatan bersama parti pembangkang yang lain akan berjaya menyekat kuasa dua pertiga BN dalam DUN Sarawak.

(Gambar: Anwar dengan wajah ceria selepas sidang medianya pagi tadi)

Pakatan yakin akan memenangi lebih daripada 24 kerusi yang diperlukan untuk meraih kemenangan moral ke atas BN, katanya dalam sidang media di hari terakhir kempen pilihan raya negeri Sarawak hari ini.

Katanya lagi, Pakatan optimis dalam peluangnya memecahkan monopoli kuasa BN di negeri berkenaan.

Namun, Anwar dilihat berwaspada dan mengakui bahawa ianya satu usaha sukar apabila ditanya sekiranya Pakatan mampu mengambil alih kerajaan negeri.

Katanya, masalah tidak akan timbul sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara bebas dan adil.

Namun begitu, kebimbangan diberikan oleh pengkaji politik James Chin apabila beliau menjangkakan BN akan melemparkan bom karpet (carpet bombing) menjelang hari mengundi esok.

Bom karpet adalah istilah yang diberikan kepada serangan besar-besaran terhadap pengundi dengan memberikan wang dan barangan untuk membeli undi.

Pensyarah Universiti Monash ini menjangkakan, Pakatan akan mendapat antara 12 ke 27 kerusi.

Ooi Kee Beng pula meramalkan, Pakatan akan mendapat sehingga 20 kerusi sahaja.


p/s : BN dari awal lagi sudah menabur janji-janji kepada semua pengundi. Berjuta-juta ditabur. PM dan TPM bersungguh-sungguh kali ini. Berdasarkan penelitian dan hasil dapatan dari sumber yang boleh dipercayai, penulis meramalkan keputusan yang realistik untuk Pakatan Rakyat ialah memperoleh 12 sehingga 19 kerusi untuk PRN Sarawak kali ini. Ini pun sebenarnya sudah dianggap kejayaan besar buat PR di Sarawak sebagai tapak asas untuk menghadapi PRU13 nanti. PAS perlu bekerja keras untuk menawan Beting Maro, Sadong Jaya dan Sebuyau. Dua DUN lagi PAS hanya boleh berharap keajaiban berlaku untuk menang. Tetapi dakwah PAS di Sarawak sudah membunga. DAP mungkin berjaya menawan 11 sehingga 14 kerusi daripada 15 kerusi mereka. PKR masih 'baru' di peringkat akar umbi dan jenteranya, sementelah 'baru' juga menjadi calon pilihan KM Sarawak dari PKR, Baru Bian. Persepsi positif sahaja belum cukup untuk mengalahkan pihak lawan. 5 kerusi untuk PKR sudah bonus. Ada harapan menang di kawasan bandar. Namun, kepada pejuang-pejuang kebenaran, teruskan berjuang di Sarawak untuk PRU13 dan PRN akan datang!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...