Renungan Sejenak

Ahad, 24 April 2011

Kontroversi dan Provokasi : Perlu Bijak Tangani Persepsi

Penulis rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan ringan berkaitan analisa keputusan pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Penulis bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, tapi atas pertimbangan yang adil bagi semua pihak dan tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, bahkan mahu Pakatan Rakyat (PR) bergerak atas satu kumpulan yang bernama PR dan bukannya atas nama parti komponen sebagai persediaan ke Putrajaya.

Akhir-akhir ini, banyak pihak meletakkan pukulan maut atau terjahan kuat terhadap PAS sehinggakan keputusan pilihanraya Sarawak yang kurang memberangsangkan pun turut dipikul PAS berseorangan.

Sebenarnya semenjak menyertai pilihanraya, PAS tidak pernah merungut dan tidak dapat menerima kenyataan kekalahan kepada parti yang dikuatkan dengan segala bentuk jentera kerajaan termasuk segala bentuk bantuan kewangan dan kemudahan yang dimiliki kerajaan dipergunakan, iaitu Barisan Nasional (BN).

Ketika berseorangan atau secara berkumpulan (ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah, kemudian dalam Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat), PAS masih tetap dengan konsepnya (politik dakwah) samada menang atau kalah. Kemenangan dalam pilihanraya adalah perkara yang datang selepas kerja dakwah, dan bukannya capai kemenangan baru nak jalankan kerja dakwah.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, PAS bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan PKR bersama-sama menggembeleng tenaga berhadapan jentera BN dalam segala bentuk dan genap penjuru yang dipenuhi dengan pelbagai kemudahan termasuk jet hak milik kerajaan dan helikopter untuk jalankan kerja kempen.

Namun, itu semua tidak dipunyai oleh parti dalam PR. Namun masih lagi bersedia menghadapi perikatan BN di Sarawak yang penuh dengan cabaran dari segi kewangan dan bentuk geografi muka bumi yang memerlukan kesungguhan untuk jalankan kerja-kerja kempen sehingga sampai ke setiap buah rumah. Sarawak tidak seperti di semenanjung yang mudah untuk jalankan kerja kempen dari rumah ke rumah.

Parti Islam itu boleh dianggap baru bertapak di Sarawak dan menyertai pilihanraya di negeri itu, kini dipertanggungjawabkan dengan hanya lima kerusi untuk ditandingi, namun nasib tidak menyebelahi PAS apabila tewas kesemua kerusi walaupun ada peningkatan dari segi undi popular.

Banyak pihak telah melakukan bedah siasat dengan pelbagai andaian dan persepsi atas kekalahan PAS itu di samping meraikan kemenangan DAP dan PKR.

Kini dalam pelbagai medium massa termasuk media baru telah menjeling dan berpaling ke arah PAS dan kepimpinannya yang secara kebetulan sekarang ini sedang berhadapan dengan pemilihan parti yang dijangka diadakan pada Jun ini.

Banyak pihak telah menyalahkan PAS 100% atas kekalahan di Sarawak itu dan secara pukalnya, presiden PAS, Datuk seri TG Haji Hadi dikatakan bertanggungjawab dalam hal ini.

Sehinggakan ada pemerhati politik bertaraf profesional yang membuat penilaian hasil keputusan pilihanraya Sarawak baru-baru ini, dengan menyalahkan presiden PAS itu sebagai sebab kekalahan dan menjadi liabiliti terhadap PR dengan beranggapan, ramai pengikut PAS merasakan presiden PAS itu harus ditukarkan dalam realiti politik kini.


Kenapa Hadi Awang

PAS bekerja bukan atas kapasiti individu. Presiden sekadar ketua yang mengarahkan perjalanan sesuatu kerja yang dihasilkan secara bersama semua jawatankuasa. Bahkan PAS ada Majlis Syura yang memantau perjalanan organisasi PAS dan bukannya ditentukan oleh presiden secara berseorangan. Jadi tidak adil, kekalahan PAS di Sarawak harus dipikul Hadi Awang secara berseorangan.

Masa menang, tiada siapa memikirkan siapakah ketuanya, tapi bila kalah, semua jari menuju ke arah ketuanya. Adilkah itu? Padahal ini semua adalah asam garam perjuangan dan pertandingan. Menang kalah adalah klimaksnya.

Padahal, kini PAS mencapai banyak kecemerlangan di bawah kepimpinan Hadi Awang. PAS mengorak langkah dengan tertubuhnya Kelab Penyokong PAS, kini diangkat sebagai Dewan Himpunan.

Hadi Awang juga berjaya merelevankan PAS di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum dan agama dan membawa parti Islam itu begitu didekati dan disertai orang bukan Islam.

Pergerakan pemuda dilihat semakin aktif dengan program PAS bersama anak muda. Pelbagai program bagi menjinakkan anak muda bersama PAS terus dijalankan dengan jayanya.


Kenapa PAS bukan PKR

PAS yang bertanding 5 kerusi, tetapi PKR pula bertanding sebanyak 49 kerusi. Paling banyak dalam PR. Namun hasilnya adalah, PKR sekadar menang 3 kerusi.

Apakah ianya suatu kejayaan? Apakah ianya tidak perlu dibedah siasat dan tidak harus dipersalahkan? Apakah Anwar yang mengetuai PKR juga harus dipersalahkan? Kenapa hanya PAS yang lima kerusi tidak pula PKR yang 49 kerusi?

Kita perlu relevan dan positif dengan suasana dan keadaan. PAS berjuang di kawasan majoriti Melayu dan bumiputera yang dianggap menjadi satu talian hayat BN untuk kekal berkuasa. Boleh dikatakan, kawasan yang PAS bertanding adalah kawasan ’maut’ kerana berhadapan karenah pengundi Melayu yang dilihat begitu liat untuk berubah. Mudah digula-gulakan oleh yang berduit.

Namun bagi kedua-dua parti komponen PR yang lain (DAP dan PKR), mereka banyak bertanding di kawasan yang boleh dikatakan selamat dan ada peluang untuk menang mudah kerana tsunami politik PRU-12, pengundi di kawasan bandar yang rata-rata berbangsa Cina kelihatan terus menolak BN.

Namun dilihat, hanya DAP sahaja yang boleh dikatakan betul-betul berjaya kerana daripada 15 kerusi yang dipertandingkan, mereka mendapat 12 kerusi. Sekali ganda daripada apa yang diperolehi ketika pilihanraya negeri pada tahun 2006.

Tetapi, satu lagi parti komponen PR iaitu PKR, kelihatan masih lagi gagal untuk beraksi cemerlang walaupun meletakkan ramai calon PR dari kalangan mereka. Penulis bukan mahu mempersalahkan PKR yang meletakkan calon yang ramai dalam pilihanraya kali ini, bahkan itu kemampuan mereka. Tetapi penulis mahu mengajak pemerhati politik untuk mengukur kejayaan bagi keseluruhan parti dalam PR, bukan hanya PAS sahaja.

Jangan hanya PAS dipersalahkan dalam hal ini sehingga mahu mengundurkan presidennya, tetapi bagaimana PKR yang juga dilihat tidak berjaya memecah tradisi kemenangan BN di Sarawak.

Secara logiknya, kekalahan PR kepada BN di Sarawak kali ini perlu dilihat dalam banyak aspek dan perkara. Sebagai komponen PR yang bergerak secara kolektif dan kerjasama, masing-masing harus dipertanggunjawabkan atas kelemahan dalam aksi pilihanraya Sarawak kali ini.

Sepatutnya, perlu ada jawatankuasa atau penyelaras induk yang mewakili semua komponen dan bergerak secara selari agar PAS, PKR dan DAP tidak bergerak berseorangan dan memberi satu pandangan bahawa PR bergerak secara kumpulan bukan secara berasingan.

Ketua Umum PKR yang dilihat sebagai penyatu PR perlu memainkan peranannya atas jenama PR bukan parti komponen masing-masing. Dengan wujudnya jawatankuasa berkenaan, tidak kira kerusi yang ditandingi PAS, PKR atau DAP, mana-mana kerusi yang dilihat berpotensi, seharusnya komponen PR melakukan gerak kerja kuat secara bersama untuk memberi tumpuan kepada kerusi yang ada pontensi.

Tidak hanya, PAS hanya tumpu kerusi PAS, DAP tumpu kerusi DAP, PKR tumpu kerusi PKR – rakyat tidak nampak keserasian dan kerjasama padu sebagai bakal kerajaan jika menang pilihanraya.

Komponen PR perlu bergerak dan bekerja atas nama PR.


Mungkinkah Melayu takut dengan pengumuman Baru Bian sebagai KM

PAS dipertanggungjawabkan di kawasan yang majoriti Melayu dan bumiputera. Tidak dapat dinafikan, BN telah memainkan posisinya untuk menyerang calon PAS dengan melakukan provokasi perkauman dan menakut-nakutkan pengundi Melayu terhadap PAS.

DAP yang mengumumkan akan melantik pengerusi PKR negeri, Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri dilihat sebagai terlalu gopoh. Penulis bukan mempertikai kewibawaan Baru Bian sebagai calon yang sesuai tapi pengumuman tidak tepat pada masanya sehingga boleh memberi modal kepada BN untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Penulis tidak menafikan Baru Bian tetapi perlu berhemah untuk mengumumkannya agar pengundi Melayu tidak takut untuk mengundi PAS. Sedikit sebanyak ianya memberi kesan terhadap pengundian calon PAS.

Sudah tentu bagi BN, mereka akan provok, undi PAS bermakna setuju Baru Bian (Cina) sebagai KM Sarawak. Jika undi BN, Taib Mahmud (Melayu) sebagai KM. Sudah tentu pengundi Melayu merasa bimbang dengan isu berkenaan.

Bukan penulis mahu dari kalangan Melayu sahaja yang perlu diketengahkan sebagai calon KM tetapi seharusnya kita bijak membuat pengumuman agar tidak memberi kesempatan kepada BN memanipulasi isu sebelum pengundi tiba.


Semua ahli PAS atau segelintir sahaja

Berbalik kepada desakan ’brutal’ mahu menyalahkan PAS dan presidennya, sebagai seorang yang berkaliber, seharusnya ahli profesional itu menimbang dahulu pendapatnya untuk diluahkan. Bukan main serkap jarang dengan berpaksikan dengan segelintir sahaja (PAS Bukit Bintang yang baru sekarang nak timbul) yang mahu perubahan dalam kepimpinan PAS (ubah presiden) kononnya tak sesuai untuk zaman politik kini tanpa mengambil perhatian terhadap pihak yang mahu meneruskan kepimpinan sedia ada.

Dari segi peratusnya, mana lebih banyak – antara yang mahu mengekalkan atau yang mahu diubah? Ia perlu bukti yang sahih sebelum pendapat dilontarkan agar persepsi dan pandangan itu tidak dijadikan sebagai satu biasan kepada pemilihan PAS akan datang.

Tak mustahil dalam sebuah organisasi, sudah tentu ada pihak yang bukan seratus peratus suka dengan kepimpinannya. Dalam PKR, bukan semua suka dengan Anwar dan begitu juga dengan DAP, bahkan Umno-BN pun hadapi benda yang sama. Jadi ianya tidak memberi apa-apa masalah jika majoriti masih memerlukan kepimpinan sedia ada.

Sudah tentu majoriti mengalahkan minoriti, bukan majoriti beralah dengan minoriti.

Jangan kerana seorang dua yang mahu, semua mahu diubahnya. Di sini seolah-olah kita bertindak zalim terhadap ahli PAS yang masih mahu mengekalkan kepimpinan sedia ada.

Hadi Awang yang kurang mendapat kepercayaan ahli menyulitkan perkembangan PAS dan kegagalan menyerlah sebagai 'kapten' kepada PAS seperti yang dituduh ahli profesional itu sangatlah subjektif tanpa menyebut berapa ramai (peratus) yang bertindak seperti yang didakwa ahli profesional itu. Padahal dalam pemilihan lalu, Hadi Awang terus diberi kepercayaan untuk menerajui PAS tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

Kalau ya pun Hadi Awang bermasalah, sudah tentu Majlis Syuranya akan bertindak dan mengambil inisiatif terhadap perkara itu. Seharusnya, ramai pihak perlu tahu bagaimana perjalanan organisasi dalam PAS.


Husam tidak buat keputusan cekap?

’Keputusan’ dan ’pendirian’ - di sana ada perbezaan yang nyata. Jika berdasarkan ’keputusan’, memang apa yang disebut ahli profesional itu ada kebenarannya, Husam tidak cekap buat keputusan menolak pencalonan sebagai presiden tanpa mengambil kira terlebih dahulu dengan keputusan mesyuarat yang lain (kawasan lain).

Tapi bagaimana dengan ’pendirian’? Padahal, Husam dilihat mengisytiharkan prinsip dan pendiriannya. Husam mengaku yang dia lebih mengenali siapakah Hadi Awang dari kaca matanya, bukannya dari kaca mata ahli profesional berkenaan. Itulah sebabnya Husam cepat meleraikan kekusutan yang tiba. Itu hak Husam dan tiada siapa boleh pertikaikannya.


Tewas di Terengganu dijadikan alasan

Kalah adalah adat, lebih-lebih berhadapan dengan BN yang mempunyai ’penolong’ yang ramai (SPR, jentera kerajaan, wang ringgit) dan ramai tidak melupai bagaimana Terengganu jatuh semula di tangan BN dengan kuasa duit yang terlalu sial.

Semua sedia maklum, pengundi Melayu sangat alah dengan wang ringgit. Bukan kata RM1,000 atau RM2,000, bahkan RM100 atau RM200 pun dah cukup mengembalikan undi Melayu terhadap BN.

Tahukah anda, berapa banyak wang hasil royalti dilaburkan ketika itu semata-mata mahu merampas Terengganu daripada PAS. Setiap genap penjuru perlu diambil kira, jangan hanya kerana tewas, Hadi Awang terus dipersalahkan. Kalau tidak, apa gunanya berkerja dalam satu jamaah jika menang ianya dirai bersama, jika kalah ianya disalahkan seorang individu sahaja.


Melobi untuk pemilihan PAS

Apa yang penulis merasa kebimbangan, ada pihak tertentu yang menggunakan orang luar untuk melobi untuk mengubah kepimpinan PAS yang dipilih perwakilan seluruh negara.

Banyak persepsi tak betul yang dibiarkan berleluasa bermain di fikiran perwakilan agar agenda orang-orang tertentu dapat ditunaikan.

Sebelum ini, kedengaran ada pihak-pihak tertentu yang mahu melobi agar Hadi Awang digugurkan dari jawatan tertinggi PAS itu. Tapi ntah betul ntah tidak perkhabaran itu.

Yang paling dibimbangi, ada pihak luar di sebalik orang profesional yang cuba mengubah kepimpinan PAS sedia ada.

Mungkin orang profesional hanyalah sebagai jurubicara, tetapi di belakangnya ada individu luar atau dalam yang mahu Hadi Awang diundurkan atas sebab-sebab tertentu.

Tapi itu semua andaian penulis namun perwakilan harus bijak dan berjaga-jaga agar PAS tidak diresapi pengaruh luar yang cuba mengatur kepimpinan PAS yang diterap semenjak dulu lagi.

Penulis juga percaya, para perwakilan lebih bijak menilai sesuatu persepsi demi keutuhan jamaah. Mereka tahu membuat keputusan tepat demi jamaah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...