Renungan Sejenak

Selasa, 31 Januari 2012

Politik Kedah Dan Kontroversi Ustaz Azizan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

BAHAGIAN PERTAMA

Berbanding nehttp://syababkualakedah.files.wordpress.com/2012/01/mbkedah5b15d.jpg?w=117&h=88geri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Kedah dilihat tidak begitu diserang media Umno-BN. Tentulah ia bukan disebabkan kerajaan negeri yang diterajui PAS itu akan diberi laluan mudah untuk melanjutkan tempoh penggal pertama pemerintahannya. Seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN tetap mengidam untuk menawan semula negeri Jelapang Padi.

Sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor diserang bertubi-tubi dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dilanyak habis-habisan, khususnya oleh Utusan Malaysia dan TV3, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah agak selesa menarik nafas lega. Namun ia tidak bermakna Umno membiarkan negeri yang pernah menyumbangkan dua perdana menteri itu terlepas begitu sahaja.

Ketika kerajaan negeri Perak ditumbangkan melalui pakatan jahat yang dirancang Najib Razak — tidak sampai setahun selepas memegang amanah rakyat — Kedah turut dilihat goyah. Usaha membeli wakil rakyat tertentu rancak dijalankan.

Pakatan Rakyat memiliki 22 kerusi, dengan PAS menguasai 16, BN (14), DAP (1) dan KeADILan lima wakil (termasuk seorang Adun Bebas yang kemudiannya menyertai parti itu).

Kiraan mudahnya, jika lima Adun Pakatan dapat “dibeli”, sepertimana berlaku kepada tiga Adun di Perak, kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan akan tumbang. Alhamdulillah, situasi genting itu berjaya dilalui dengan baik sekali.

Meskipun KeADILan terlepas dua Adunnya (dan dua ahli Parlimennya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas), hasrat BN untuk merebut Kedah dapat dipatahkan. Kini semua Adun KeADILan merupakan anggota Exco kerajaan negeri!

Sebenarnya asas kekuatan pengaruh PAS di Kedah — terutama selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan ramai tokoh utama Umno negeri itu kalah mengejutkan, seperti Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abd Rahman — hampir seimbang dengan Umno. Meskipun ada ketikanya PAS hanya mempunyai seorang wakil dalam sidang Dun dan langsung tidak mempunyai ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama, namun secara puratanya sokongan pengundi Melayu tidak merosot.

Faktor kemenangan BN lebih ditentukan oleh sokongan pengundi Cina dan India, yang mewakili hampir 30 peratus penduduk Kedah. Semasa era reformasi, yang dizahirkan secara terbuka dalam pilihan raya umum November 1999, lonjakan pengundi Melayu menyokong PAS begitu terasa di Kedah. Hasilnya, Parti Islam itu menang 12 kerusi Dun dan lapan Parlimen; semuanya di kawasan majoriti Melayu. Hanya di Kubang Pasu dan Langkawi, pengundi Melayu masih dilihat terikat dengan Umno, mungkin disebabkan faktor Mahathir

Melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2002, sebagai persiapan Umno untuk mengalahkan PAS dalam PRU11, kaedah gerrymandering diguna pakai secara menjolok mata di Kedah. Formula mudahnya, tambahkan jumlah pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen yang dimenangi PAS. Pengundi Cina, India dan juga Siam dianggap penyelamat BN pada 1999, serta diandaikan akan terus menyokong parti berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena (yang diwakili Mahfuz Omar), Baling (Ustaz Taib Azamuddin), Kuala Kedah (Mohamad Sabu) dan Yan (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) menjadi tumpuan perancangan licik Umno, yang menguasai sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerusi Dun yang menawarkan jumlah pengundi bukan Melayu agak ramai dimasukkan dalam kawasan Parlimen terbabit, misalnya Gurun di Yan (bertukar nama kepada Jerai) dan Kuala Ketil di Baling.

Terbukti perancangan Umno-SPR itu mencapai target apabila pada 2004, keempat-empat kerusi Parlimen itu berjaya direbut kembali BN.

Bagaimanapun, tanpa perlu menunggu lama, pada 2008, strategi itu memakan diri. Kerusi Dun di sebelah selatan Kedah, yang agak ramai pengundi bukan Melayunya itu, diisytiharkan lebih awal, tumbang satu demi satu.

Mungkin menyedari hakikat kemenangan PAS dan Pakatan di Kedah “agak rapuh” atau beliau sendiri suka memilih pendekatan “low profile”, Ustaz Azizan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengemudi bahtera kerajaan negeri. Beliau lebih gemar menjauhi pertembungan dan konflik terutama apabila berdepan kerajaan pusat.

Malah hubungan baiknya dengan bekas pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir (termasuk memberi anugerah), mengundang pelbagai tafsiran, terutama di kalangan aktivis PAS. Di kala bekas Perdana Menteri itu tersisih dalam partinya sendiri, termasuk di negeri kelahirannya, Kedah, bagi pemerhati politik, Ustaz Azizan bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

Susulan itu, agak sukar untuk media mendapatkan komentar Dr Mahathir yang agak negatif kepada pentadbiran Ustaz Azizan di Kedah. Bukan itu sahaja, Ustaz Azizan juga dikatakan tidak menjadikan zaman pemerintahan BN sebelum itu sebagai sasaran kritikannya. Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, kini Ketua Pembangkang di Dun, juga “terselamat” walaupun banyak isu boleh dikaitkan dengannya.

“Umno menunggu tindakan provokatif Ustaz Azizan sebaik menjadi menteri besar, tetapi impian itu tidak kesampaian,” kata seorang penganalisis politik semasa, yang dahulunya pernah aktif dalam Pemuda Umno.

“Dia pandai mengatur rentak dan membaca situasi di bawah. Umno gagal mengeksploitasi tindakan pembaharuan yang digerakkan kerajaan PAS di Kedah. Ternyata Ustaz Azizan cukup berhati-hati,” tambahnya, sambil menyifatkan kemungkinan ahli PAS sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Azizan.

“Mengapa pula?” tanya saya.

“Yalah … kalau orang PAS mengharapkan pembaharuan Islamik di Kedah sama seperti perubahan awal di Kelantan dan Terengganu semasa PAS mula memerintah dahulu, tentu mereka akan kecewa. Ustaz Azizan mungkin popular di kalangan rakyat tetapi akan ditafsirkan daripada pelbagai perspektif oleh rakan-rakannya sendiri,” ujar rakan saya itu, yang juga seorang blogger.

“Percayalah cakap saya, Umno Kedah tidak akan berjumpa satu isu besar dan kontroversi, yang boleh menggugat dengan mudah kedudukan PAS di Kedah. Lihat saja, dulu dimainkan isu balak, kemudian hilang begitu saja. Sekarang, isu perobohan Madrasah Salihiah, di Kanchut … lagi mudah dipatahkan dan akhirnya akan menikam Umno balik,” tambahnya.

“Hang balik tengok sendirilah, Lutfi. Pelik juga bila Catatan Hujung jarang sentuh perkembangan di Kedah,” katanya.

Beliau, yang juga anak Kedah seperti saya, menjangkakan isu personaliti calon dan kualiti servis wakil rakyat akan menjadi penentu dalam PRU13

Saya akui, memang kolum saya tidak pernah menyinggung isu-isu Kedah dari dekat. Semasa malam kemenangan, 8 Mac 2008, saya turut meraikannya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Bagaimanapun, saya hanya sempat sekali mengadakan wawancara khas dengan Ustaz Azizan, hampir empat tahun lalu, pada malam 17 Mei 2008, di rumahnya, di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dalam pertemuan itu, saya cuba menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran ahli-ahli PAS termasuk berkaitan soal perubahan yang nampak begitu perlahan berjalan di Kedah.

Mengenali wataknya semasa menjadi Pengarah Urusan Harakah dahulu, saya jangkakan Ustaz Azizan akan bingkas menyanggah, tetapi dengan tenang, beliau memberi respons: “Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dun, di antara wakil Umno dan PAS.

“Masa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka. Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat.

“Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

“Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai … Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran.”

Keuzuran membataskan saya untuk turun meninjau situasi akar umbi di Kedah. Namun, apabila seorang teman lama, sarjana sains politik terkemuka, membuat penyelidikan tentang perkembangan siasah di sebuah daerah di Kedah, dan melahirkan keyakinannya tentang kemampuan PAS mempertahankan kemenangan, saya teruja untuk melihat sendiri rencah peristiwa menarik di sana.

“PAS perlu cermat memilih calon. Ada wakil rakyat PAS yang tidak peduli masalah masyarakat bawahan. Rakyat marah, kalau calon itu juga bertanding, saya boleh bagi kepastian, PAS akan hilang kerusi,” katanya melalui telefon.

Semasa minum limau panas berdekatan Pekan Rabu, Alor Setar, jam 2 pagi, 22 Januari lalu, seorang rakan yang pernah belajar bersama saya 30 tahun lalu di Sekolah Teknik Alor Setar, turut mengemukakan isu sama: “Jangan pandang remeh isu-isu longkang tersumbat, jalan tak berturap, sampah bersepah hatta tempoh pendek lampu isyarat hijau. Semuanya boleh beri kesan kepada persepsi pengundi.”

Beliau mahukan pentadbiran kerajaan PAS dilihat cekap dan pantas bertindak menangani isu-isu rakyat. “Biar bandar-bandar di negeri-negeri Pakatan lebih bersih dan teratur berbanding negeri BN. Sikap antirasuah pemimpin PAS saya sanjung tinggi, tapi kadang-kadang rakyat awam tidak nampak atau tidak merasai kesannya dalam jangka pendek. Mereka mahu Adun atau Ahli Parlimen yang mesra rakyat, ambil berat masalah orang ramai dan tidak sombong,” katanya.

Rakan saya itu turut membawa seorang kawannya, yang banyak bercerita tentang Madrasah Salihiah. Kebetulan dia pernah tinggal berdekatan surau yang kini menjadi pejabat syarikat insuran.

“Dulu saya selalu main dekat kawasan tapak Kompleks Tunku Yaakob, yang terbengkalai lebih 30 tahun lalu itu. Sekarang dah tak ada orang Islam di kawasan itu, ramai yang berpindah. Surau yang ada pun hanyalah bilik solat di pejabat insuran. Satu waktu dulu orang yang gunakan stesen bas di Kanchut ada juga solat di situ, bila bas pindah ke Shahab Perdana, tak ada jemaah lagi. Lagipun, Masjid Zahir pun dekat,” ceritanya lancar.

Esoknya, saya “menziarahi” surau kontroversi itu, tidak jauh dari hotel penginapan. Segera saya faham mengapa isu ini tidak akan dapat dimanfaatkan — walaupun sedikit — oleh Umno Kedah. “Patutlah orang PAS Kedah dan Ustaz Azizan macam tak risau aja dengan isu surau ini,” saya berkata kepada Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah. “Sesiapa yang lihat sendiri madrasah ini dan kawasan sekitarnya akan segera faham manipulasi Umno Kedah,” tambah saya.

“Selepas waktu pejabat, surau atau yang sebenarnya pejabat insuran ini akan berkunci, takda siapa boleh solat di dalamnya,” pintas Azamin.

“Siap … kita pergi rumah Ustaz, pukul 8 pagi,” panggilan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid mengejutkan saya di awal pagi Isnin, 23 Januari. Beliau merujuk rumah Ustaz Azizan di Markas PAS Jerai.


Ahad, 15 Januari 2012

PAS, DAP, PKR Adalah ‘Kuda Perjuangan’

ALOR SETAR, 14 Jan: PAS, DAP dan PKR tidak pernah diperalat, diperkuda dan diperbodohkan antara satu sama lain, sebaliknya ketiga-tiga parti itu adalah ‘kuda-kuda perjuangan’ untuk merubah landskap politik tanah air.

Hanya dengan kuda-kuda perjuangan itu yang yang akan membolehkan politik kotor yang diamalkan oleh Umno BN di negara ini dibersihkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya melangkah ke Putrajaya pada PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu dakwaan Umno yang mengatakan PAS diperalatkan atau diperkudakan oleh DAP ternyata tidak berasas.

“Kita adalah kuda-kuda perjuangan dan kita tidak sekali-kali boleh diperbodohkan oleh sesiapa, insya Allah,” katanya ketika berucap pada sesi Penggulungan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah, di sini, hari ini.

Berucap pada sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah itu, beliau berkata, kerjasama erat antara PAS, DAP dan PKR ternyata amat mencemaskan Umno sehingga menyebabkan mereka sanggup membuat dakwaan seperti itu.

Bagaiamanapun, katanya, rakyat tahu realiti yang sebenarnya dan tidak lagi boleh diperbodohkan oleh Umno BN, sebaliknya ingin bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU Ke-13 nanti.

“Sejak berada di bawah pemerintahan BN, rakyat juga sudah tahu betapa tidak bertanggungjawabnya Umno BN dalam pelbagai perkara termasuk Bahasa Melayu sendiri sebagai bahasa rasmi negara yang dikerdilkan,” katanya.

Mereka juga, tambahnya, turut memainkan isu perkauman, pada hal kedudukan Malaysia sebagai negara yang didiami pelbagai kaum dan mempunyai pelbagai budaya boleh mendatangkan kekuatan kepada negara jika ditangani dengan betul.

“Begitu juga dengan permuafakatan yang diadakan oleh PAS dan DAP sebenarnya adalah atas perkara-perkara yang tidak berbeza yang boleh dimuafakati.

“Manakala dalam perkara-perkara yang berbeza pula, kita akan bertasamud,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.

Politik, tegas beliau lagi, adalah amanah Allah yang mesti dijaga dengan baik kerana ia adalah perkara yang baik dan bersih.

“Inilah yang dipraktikkan oleh PAS sejak dulu seperti yang dikehendaki oleh Islam, tetapi Umno BN tidak pernah mempedulikan perkara itu sehingga menyebabkan politik menjadi amat kotor di tangan mereka,” ujar beliau.


Rabu, 4 Januari 2012

Kesan Perbelanjaan Melampau PRU 13, Najib Laksana GST

“Sekiranya Umno-BN menang sekali lagi pada PRU akan datang, kerajaan akan menguatkuasakan GST, kepada warga kampung GST dalam bahasa mudah ialah cukai tambahan, sedia maklum hari ini semua benda bercukai, dan kita bakal dikenakan lagi dengan cukai tambahan.”

Dalam memastikan negara terus ditadbir oleh kepimpinan tradisi Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak terpaksa mengambil langkang melaburkan satu dana yang besar pada kempen Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Kenyataan tersebut dikuatkan lagi dengan pendedahan terbaru bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Selangor dengan memperuntukan RM2.71 bilion yang bertujuan mencetuskan ketegangan antara rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato Seri Najib Abdul Razak menyeru kepada pemimpin Umno Selangor untuk bekerja keras bagi menawan negeri itu menerusi apa jua cara sekalipun.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata atas tekanan ini, Najib secara semulajadi akan melepaskan beban tanggungan kerajaan itu kembali kepada rakyat dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Sekiranya Umno-BN menang sekali lagi pada PRU akan datang, kerajaan akan menguatkuasakan GST, kepada warga kampung GST dalam bahasa mudah ialah cukai tambahan, sedia maklum hari ini semua benda bercukai, dan kita bakal dikenakan lagi dengan cukai tambahan,” beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Umum di Dewan Batu 7, Sijangkang semalam.

Langkah melaksanakan GST ini dilihat oleh kerajaan sebagai menjana satu bentuk pendapatan baru kepada negara selain membantu kerajaan mengurangkan cukai korporat dan seterusnya akan meningkatkan daya saing perniagaan.

Matlamat GST antara lain adalah sebagai usaha mengurangkan defisit negara.

Dengan mengambil contoh pelaksanaan GST seperti yang diamalkan oleh negara jiran, Singapura, Malaysia boleh memperolehi RM13 billion setahun dengan hanya mengenakan 5 % cukai keatas rakyat.

Namun, pelaksanaan ini secara tidak langsung akan memberi tekanan hebat kepada golongan pertengahan, dan yang berpendapatan rendah meneruskan kehidupan dalam sebuah negara yang serba serbinya adalah cukai.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kehadiran pembangkang menerusi medan perbahasan di Parlimen membuatkan kerajaan berfikir panjang untuk melaksanakan cukai tambahan itu.

Salahuddin menambah, kini terpulang kepada rakyat untuk menentukan untung nasib mereka melalui pilihanraya dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara selepas PRU-13.

“Rakyat Malaysia tidak pernah rugi memilih jumlah ahli parlimen yang banyak dari kalangan pembangkang,”

“Barulah pemimpin BN sedar langit tinggi atau rendah (kuasa rakyat), belum sempat kita memerintah, hari ini kita telah mengajar mereka dengan menafikan majoriti 2/3 di parlimen,”katanya dihadapan seribu hadirin.

-Tvsnews

Selasa, 3 Januari 2012

Madrasah Salihiah Isu Emas Bagi PAS, Gunakan Sebaiknya!!

Oleh : Tok Non Changloon

Sejak PAS bersama rakan sekutu KeADILan dan DAP memerintah Kedah 9 Mac 2008, Madrasah Salihiah Kanchut adalah isu politik terbaik di Kedah yang mesti dimanfaat sepenuhnya.

Orang yang tidak faham manipulasi isu politik akan melihat PAS diserang tetapi hakikatnya pihak lawan yang akan menerima padah yang teruk… dengan syarat, PAS mesti menghangatkan isu ini dan jangan biarkan ia terpadam.

PAS berada di posisi selesa kerana UMNO, melalui kenyataan para pemimpin mereka serta sikap yang diambil oleh media utama pro BN; bersikap menentang bangunan tersebut dirobohkan (melalui kaedah istibdal) bagi dibangunkan Kompleks Aman Central.

Jadi lakukan serangan bersepadu terhadap BN sehingga akhirnya mereka pula yang kelihatan defensif dan kalah terus.

Selepas membuat pengamatan dan analisis, isu Madrasah Salihiah Kanchut dapat mendedahkan 6 perkara.

Jangan lupa dedahkan semua perkara tersebut.

1.UMNO kuat bohong

Antara pembohongan dalam isu madrasah ialah:

a)Madrasah ada nilai sejarah berusia 100 tahun, sebenarnya baru berusia 4 tahun

b)Tanah wakaf digadai pada pemaju Cina kapiaq, sebenarnya tanah itu dipindah wakaf (istibdal)

c) Di situ ada 200 ahli khariah, sebenarnya cuma ada 5 keluarga Melayu kat situ, tak mampu buat jemaah terutama waktu Maghrib, Isya dan Subuh

d)Semua bangunan itu adalah surau, sebenarnya hanya ruang atas untuk solat, sebahagian besarnya ialah pejabat syarikat insuran.

2.UMNO tolak ulamak Majlis Fatwa Negeri Kedah yangi ketuai Mufti dan 9 ulamak besar Kedah selepas bermuzakarah, bersetuju madrasah itu diroboh ikut kaedah istibdal. UMNO menolak pendirian yang dibuat oleh para ulamak Kedah. Depa berlagak lebih pandai dari ulamak majlis fatwa.

3.UMNO sanggah Tuanku SultanMajlis Fatwa di bawah Tuanku Sultan. Tuanku sudah dimaklum mengenai isu tersebut oleh Majlis Fatwa. Membantah keputusan majlis fatwa bermakna menderhaka kepada Tuanku Sultan.

4.UMNO bersikap hipokritKerajaan BN Kedah pernah roboh masjid Alor Malai untuk program penyusunan semula pembangunan Kompleks Al- Bukhary yang di situ juga terdapat pasaraya Giant. Depa buat halal, pihak lain buat haram. Itulah sikap hipokrit UMNO.

5. UMNO anti Cina?Antara sebab penentangan projek Aman Central ialah kerana ia dimajukan oleh Sunny Ho, seorang Cina (usahasama dengan PKNK). Ia memberi impak ‘positif’ kepada masyarakat bukan Melayu, khususnya orang Cina di negeri ini bahawa UMNO dilihat anti Cina.

6.UMNO gagal bangunkan ekonomi MelayuPembantah mengatakan projek itu hanya menuntungkan orang Cina kerana Melayu tidak mampu beli lot kedai di situ. Sapa kata? Bukanlah orang Melayu sudah kaya raya hasil pembelaan dan penjanaan ekonomi yang dibuat oleh UMNO selama 60 tahun. UMNOlah satu-satunya parti yang memperjuangkan Melayu… habis tu kalau lot kedai pun Melayu tak boleh beli, apa kejayaan UMNO dalam mengangkat martabat orang Melayu???

KedahLa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...