Menurutnya, beliau sudah lama berpandangan sedemikian. Antara buktinya itu, termasuk pendaratan minyak dan gas ke Songkla dilakukan "secara sengaja dan terancang" bagi menafikan hak Kelantan yang majoriti penduduk Melayu mendapat apa sahaja peluang faedah berkenaan.
"Bila hak Kelantan ternafi sampai kini, hak rakyat Kelantan juga ternafi dan dikhianati. 95 peratus penduduk Kelantan adalah Melayu. Maknanya Tun M mengkhianati Melayu, Melayu Kelantan secara khusus," tulis Husam di blognya.
"Kawasan JDA (perdaratan minyak dan gas) hanyalah 150 km dari pantai Kelantan berbanding 270 km ke Songkla.
"Dari Songkla, terpaksa dibina saluran paip gas daratan sejauh 180 km lagi untuk gas tersebut dibawa semula ke Malaysia melalui Kedah untuk mengelakkan Kelantan tersentuh!" kata Husam.
Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata susulan itu, hak royalti Kelantan dan faedah industri hiliran turut dinafikan walaupun telaga itu paling hampir dengan Kelantan berbanding semua tempat lain sama ada di Malaysia atau Thailand.
"Namun sedikit pun faedahnya tidak dapat dikecapi oleh rakyat Kelantan, baik Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Ia adalah program politik untuk memencilkan Kelantan.
"Secara automatik Melayu Kelantan juga terpencil. Sebagai anak Kelantan, saya merasai bagaimana hak kami dinafikan. Dan saya adalah Melayu," coretnya lagi.
Ahli jawatankuasa PAS pusat itu juga mendakwa "lebih jelas lagi pengkhianatan" Dr Mahathir apabila beliau membatalkan pemberian royalti kepada kerajaan Terengganu yang diberikan selama 22 tahun selepas negeri itu terlepas daripada BN.
"95 peratus rakyat Terengganu adalah Melayu. Sekali lagi Tun M lupa kepentingan Melayu demi kepentingan kepartian Umno semata-mata. Melayu Terengganu juga dikhianati.
"Tun M sanggup membatalkan apa yang telah menjadi amalan selama ini demi kerana politik."Orang seperti ini meletakkan politik parti mengatasi segala-galanya dan soal Melayu dengan sendirinya adalah lebih kecil dari kepentingan politik," katanya.
Dalam tulisan itu juga, Husam berkata pilihan raya 1999 menyaksikan perubahan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri sehingga menyebabkan kuasa Umno tergugat.
"Pengundi bukan Melayu memilih untuk bersama BN pada waktu itu. Apa yang dilakukan oleh Tun M?
"(Beliau) mengubah sempadan pilihanraya dengan memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu ke dalam DUN atau Parlimen majoriti pengundi Melayu di seluruh negara supaya peratusan pengundi Melayu mengecil untuk menjamin kemenangan Umno/BN," katanya.
Dengan nada sinis, Husam yang juga ADUN Salor mempersoal angkara siapa yang menyebabkan hari ini pemimpin Umno melaungkan 'ketuanan Melayu' terancam.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk berdebat dalam diskusi ilmiah dengan bekas presiden Umno itu mengenai isu pengkhianatan Melayu oleh Umno
"Sementara itu, siapa sahaja yang mempunyai pandangan terhadap bagaimana Umno mengkhianati Melayu selama ini boleh berkongsi mengenainya dalam FB '54 tahun Umno Khianati Melayu'" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan