antara kepimpinan muda Pas Terengganu yang
boleh diketengahkan sebagai teraju utama
dalam kepimpinan negeri akan datang
YB Dato' Paduka Husam Musa perlu diberi peranan
lebih besar sama ada di dalam Pas dan Pakatan
Rakyat bagi mewakili aspirasi anak muda kini
tokoh berpengaruh dalam Pas,
turut kelihatan YB Ust. Nasharudin
dan YB Salahuddin Ayub
Berada dalam ‘mood’ semangat anak muda sejak akhir-akhir ini, dengan kebangkitan anak muda di Tunisia, Mesir, dan negara-negara Arab, kemudian pula berlangsungnya Himpunan 30 ribu pemuda di Kedah, ditambah lagi dengan realiti pilihanraya kecil akhir-akhir ini menemukan calon Pas dengan calon Umno, suka saya ingin ‘berbicara’ tentang angin perubahan kini.
Umpama sistem ekonomi akan runtuh setiap 7-10 tahun, kemudian pemutihan dengan yang baru, umpama pokok getah dan sawit, yang akan ditebang dan tanam semula, begitulah dalam sistem politik perlu sangat ada pemutihan untuk hasil yang asli, berkualiti dan lebih bernilai.
Rombakan yang bermakna, dengan menukarkan kepimpinan politik yang sedia ada kini, kepada yang lebih berkaliber, setia dan faham, sebagai syarat wajib perjuangan, adalah titik tolak kepada perubahan yang positif.
Yang pergi akan hilang dek zaman pasti akan diganti dengan yang baru, lebih bertenaga, diberi nafas baru ringkasnya. Patah tumbuh silih berganti bak kata peribahasa.
Setiap bidang pekerjaan pun, ada sahaja syarat-syarat dan had umur pencen dan sebagainya, tetapi kenapa blok kepimpinan yang sudah terlalu lama, namun tiada perubahan yang semakin baik yang dibawanya, perlulah ditukar kepada kepimpinan yang baru.
Jika prestasi dan kepimpinannya masih bertenaga, ada impak yang bagus, boleh sahaja mengekalkan beliau, namun jika sudah lama seseorang itu berada di sesuatu posisi kepimpinan, tetapi tiada perubahan yang semakin baik, masih sama dan setara seperti 2 tahun atau 3 tahun sebelumnya, lebih baik berikan peluang kepada yang lebih berkemampuan.
Peredaran zaman dan tahun, membuktikan pengaruh anak muda, memainkan peranan yang penting, tanpa menidakkan 100 peratus pimpinan veteran, dalam menentukan hala tuju kepimpinan sesebuah negara.
Dalam Pas sendiri, saya melihat, perlunya satu penambahbaikan dari aspek kepimpinan veteran yang masih mewarnai dalam kepimpinan parti. Bukan menidakkan kemampuan mereka, cuma mahu memberikan peluang kepada generasi pelapis untuk menerajui kepimpinan sedia ada, lantas membolehkan mereka diuji dalam pentas politik negara.
Kelibat mereka pada zaman mereka, sememangnya tidak dinafikan, merekalah nadi utama perjuangan Pas, merekalah tokoh yang menjadi sebutan di bibir anak muda pada ketika itu. Ucapan dan kritikan mereka menjadi inspirasi. Namun zaman mereka sudah berlalu.
Saya juga ingin mengulangi kenyataan saya sebelum ini, bukan semua veteran perlu ditukar dengan kepimpinan yang baru. Misalnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai Mursyidul Am Pas, walaupun usianya sudah hampir usia seabad, namun idea-idea beliau masih segar dan bernas, beliau masih lagi mengikuti isu-isu dalam negara dan setempat dengan baik, malah memberi respons kepada isu-isu yang sememangnya ditagih oleh ahli-ahli dan masyarakat dari golongan bawah yang sentiasa melihat dan menilai.
Saya juga suka mengatakan, orang muda juga, bukan semua boleh mengisi kepimpinan sedia ada jika jiwanya muda namun ideanya lesu, tidak mendepani massa, apatah lagi jika tidak mampu mencetuskan sesuatu untuk kebaikan parti, tambahan pula dalam laluan ke Putrajaya nanti.
Perjuangan Islam ada nilai dan prinsip yang tinggi, sama ada bagaimana seseorang itu layak untuk menjadi pimpinan, kaedah-kaedah untuk seseorang itu untuk berada di atas dan sebagainya. Jika layak dan kena dengan tempat dan masanya, seseorang itu perlu mengisi tempat tersebut walaupun mungkin sudah beberapa tahun bagi dirinya.
Pas bukan milik peribadi atau milik golongan tertentu, dan bukan juga milik legasi tertentu. Pas milik jemaah. Perjuangan Pas bukan hanya untuk memenangi pilihanraya, namun seperti mana pesanan Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Hj. Fadzil Noor, perjuangan ini perlu diteruskan untuk menegakkan syariat Allah, usaha dan penat lelah kita hanyalah untuk Islam tertegak, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan menghapuskan kezaliman.
Sebagai contoh, di Terengganu saya melihat tokoh-tokoh yang ada sudah melalui zaman emasnya. Saya mengakui akan kehebatan tokoh-tokoh ini. Jasa dan budi mereka terhadap perjuangan Pas tidak boleh dipertikai. Sumbangan mereka kepada Pas Terengganu juga tidak dapat dinafikan. Namun, zaman mereka sudah berlalu sebagai pimpinan, mungkin sebagai murobbi adalah lebih sesuai dan sangat-sangat diperlukan.
Kepimpinan yang ada sekarang, masih ada mereka yang sememangnya mengisi kepimpinan Pas Terengganu dari tahun 1980an dan 1990an lagi. Jadi, Pas Terengganu perlukan satu perubahan jika tidak mahu mereka ditolak lagi dalam PRU yang akan datang. Lihatlah, pada PRU 12 yang lalu, gelombang perubahan rakyat berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan banyak tempat lain, namun Terengganu yang pernah diperintah Pas sebanyak dua kali, yang kali terakhir pada tahun 1999, namun hanya menang di beberapa Dun dan Parlimen sahaja di sana dalam PRU ke12 yang lalu.
Anak-anak muda Terengganu di perantauan yang mempunyai persatuan sendiri juga, melalui Setiausahanya Suhaimi Embong pernah mengutarakan pandangan perlunya kepimpinan muka baru diperkenalkan dalam pilihanraya yang akan datang. Suara anak muda dan pandangan mereka sama sekali tidak boleh diabaikan kerana mereka mewakili generasi anak muda yang semakin mahukan kepada perubahan yang positif.
Antara pimpinan Terengganu yang sudah ‘lama’, yang saya pastikan bukan dari pandangan peribadi saya semata-mata namun dari pandangan anak-anak muda di Terengganu sendiri malah ada juga penganalisis politik juga mengakui sengat mereka dalam pentas politik sudah pudar, antaranya Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong, Harun Taib, Husin Awang, Abu Bakar Chik dan beberapa orang lagi.
Beri amanah kepada orang baru dan berundurlah secara terhormat. Berilah kepada pimpinan muda berada di saf hadapan untuk membawa misi dan gerakan ini supaya lebih segar. Di Kelantan misalnya, ramai kepimpinan muda yang ada kini, mewarisi dari kepimpinan ayah atau ayah saudara mereka. Cubalah kaji dan lihat sendiri.
Oleh itu, saya melihat di Terengganu pun boleh sahaja menyerahkan amanah untuk meneruskan perjuangan di kawasan masing-masing kepada anak lelaki mereka yang layak sekiranya ada. Jika berkelayakan dan berkemampuan, Islam tidak melarang perbuatan tersebut. Yang penting, perlunya kepada kepimpinan baru di sana.
Di Terengganu secara umumnya, berilah peluang dan ruang kepada pimpinan muda seperti Ustaz Nik Zawawi Salleh, Dr. Syed Azman dan ramai lagi kepimpinan muda berbakat di Terengganu kerana mereka ini antara sumber inspirasi anak muda pada zaman ini. Namun harus diingat, mereka ini juga masih perlukan nasihat dan tunjuk ajar murobbi-murobbi yang lebih lama dalam kepimpinan di sana, terutama apabila dalam menghadapi situasi-situasi yang amat sukar.
Dalam kepimpinan Pas pusat juga, saya melihat perlunya sedikit rombakan bagi membuat persediaan untuk mengambil alih teraju negara dari Barisan Nasional dan Umno. Sebagai contoh, Pengarah Pilihanraya Pas pusat perlukan jiwa muda yang agresif , hebat dalam percaturan dan mempunyai pemikiran strategik untuk memacu Pas dalam keadaan lebih segar untuk memimpin kepimpinan negara suatu hari nanti.
Kita tidak mahu budaya assobiyah wujud dalam blok kepimpinan Pas. Kita tidak mahu ahli yang menganggotai dalam jawatankuasa tertentu di peringkat pusat sebagai contoh, hanya majoriti diisi oleh wakil negeri Kelantan. Ini hanya sebagai contoh. Kita tidak mahu melihat budaya cantas-mencantas seperti Umno sekiranya ada. Kita tidak mahu bakat anak muda dipersiakan begitu sahaja. Pimpinan veteran yang kaya dengan pengalaman dan ilmu perlu mencurahkannya kepada kepimpinan pelapis sedia ada.
Hakikat di luar sana, rakyat melihat dan menilai. Mereka bukan lagi seperti zaman dahulu lagi. Mereka kini boleh mendapatkan maklumat sepantas teknologi yang wujud. Medan blog, facebook, twitter, my space dan sebagainya menjadi penyebar maklumat penting. Sebarang kelemahan dan kekurangan pimpinan, boleh menjadi tatapan mereka sehari-hari.
Andai kepimpinan lama masih berkeras, rakyat dan anak muda boleh menghukum seperti mana yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Libya, Yaman dan negara sekitarnya juga sedang melalui skrip yang hampir sama. Mungkin KPI yang telus dan penilaian oelh ahli bawahan untuk kepimpinan sedia ada juga perlu diwujudkan, sebagai cadangan untuk mengukuhkan dan menguatkan perjuangan Pas.
Kita di Malaysia, perlulah mengambil ibrah dan iktibar sedari awal, sebelum rakyat menolak kita bukan kerana mereka tidak menyukai kita, sedangkan naluri mereka memang menyokong perjuangan kita, namun dek kedangkalan kita menyediakan alternatif yang tidak meyakinkan mereka, masih cetek pengamatan kita, masih bertongkat dengan kepimpinan lama tetapi lesu, pudar dan tidak bermaya, ternyata amat rugilah kita pada ketika itu. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan