Renungan Sejenak

Selasa, 3 Mei 2011

Negara Polis Dan Kebangkitan Rakyat

“Dalam masa sehari semalam, Malaysia telah bertukar kepada sebuah negara polis”, itulah kata-kata yang diungkapkan Tunku Abdul Rahman berikutan Operasi Lalang yang berlaku pada tahun 1987 yang yang menyaksikan penangkapan pemimpin-pemmpin barisan pembangkang dan aktivis-aktivis yang lantang bersuara dalam mengkritik dasar pemerintahan Barisan Nasional.


Operasi Lalang 1987 yang didalangi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dengan menggunakan kuasa polis di bawah undang-undang tahan tanpa bicara, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyaksikan sebuah kematian demokrasi, pencabulan hak asasi dan prinsip kebebasan, dan penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Negara polis adalah didefinisikan sebagai “sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang”.

Negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Kebangkitan rakyat yang ditekan di bawah sebuah negara polis dalam mengekalkan pemerintahan bersifat kuku besi ini dapat dilihat melalui kebangkitan kuasa rakyat di Timur Tengah yang dimulai di Tunisia, diikuti Mesir dan Syria.

Angin kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi ini masih bertiup kencang merentas benua, menyampaikan pesan keramat kuasa rakyat untuk terus bangkit menuntut hak dan kebebasan dari cengkaman dan penindasan pemerintahan yang tidak adil dan zalim.

Mesir, sebuah negara yang diperintah diktator Hosni Mubarak telah menyalahgunakan institusi polis sewenang-wenangnya di mana pada bila-bila masa sahaja polis-polis akan menangkap, menculik, menyeksa dan membunuh rakyat yang lantang bersuara menentang ketidakadilan pemerintahan Mubarak.

Rakyat Mesir, di bawah pemerintahan Mubarak sentiasa diselubungi ketakutan di mana polis pada bila-bila masa sahaja bebas untuk melakukan tangkapan yang tidak sah dan ugutan tanpa dikenakan sebarang tindakan meskipun tindakan polis itu sendiri jelas melanggar peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sebelum tercetusnya revolusi di Mesir pada tanggal 25 Januari 2011, satu kejadian yang segar di ingatan setiap rakyat Mesir tentang keganasan polis terhadap seorang pemuda bernama Khaled Said telah menjadi satu titik penting kebangkitan rakyat yang tidak lagi sanggup ditekan di bawah budaya keganasan polis.

Khaled Said, 28 tahun, telah ditangkap oleh beberapa orang polis di sebuah kafe internet di Alexandria di mana beberapa orang saksi telah menyaksikan Khaled Said dipukul, badannya ditendang, kepalanya dihentak ke dinding, rambutnya ditarik dan kepalanya dihentak bertubi-tubi di tangga.

Saksi-saksi selanjutnya menyatakan bahawa walaupun Khaled Said berhenti bergerak tetapi polis-polis tersebut masih lagi mencekik lehernya dan terus menendangnya tanpa belas kasihan sehingga Khaled Said menghembuskan nafas terakhirnya.

Kes keganasan polis seperti yang terjadi kepada Khaled Said di Mesir, dan di negara-negara polis di bawah pemerintahan kuku besi tidak asing jika hendak dibandingkan dengan kes keganasan polis di tanah air kita sendiri, Malaysia.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (Suhakam) Dato’ N Siva Subramaniam pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan kegansan polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kes Khalid Said di Mesir telah menjadi salah satu pencetus kebangkitan rakyat Mesir di mana satu gerakan yang menggesa keadilan ditegakkan untuk Khaled Said di internet telah mencabar rakyat Mesir yang cintakan keadilan dan ingin menamatkan budaya keganasan polis untuk keluar berhimpun dan mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak dijatuhkan.

Washington News dan ABC News telah melaporkan bahawa Khaled Said adalah “Wajah Pencetus Revolusi” yang mencetuskan perhimpunan kebangkitan rakyat Mesir mendesak agar pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak yang memperalatkan institusi polis dijatuhkan.

Malaysia, sebuah negara polis yang diterajui kerajaan Barisan Nasional yang terus-terusan memperalatkan institutsi polis hari demi hari, menyaksikan seorang demi seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa keganasan polis.

Kematian dalam tahanan, tembakan tidak mengikut peruntukan undang-undang, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan sudah menjadi budaya yang berakar umbi di mana polis-polis yang terlibat terlepas dari dihukum kerana undang-undang yang sedia ada hanyalah sekadar hiasan di atas kertas.

Keadilan untuk mangsa-mangsa keganasan polis terus-terus dinafikan, suara keramat rakyat yang dahagakan perubahan terus-terusan ditekan, hak dan kebebasan rakyat terus-terusan dicabul sewenang-wenangnya.

Sudah tiba masanya, kita rakyat Malasyia yang bebas merdeka bangkit untuk mengakhiri budaya keganasan polis yang hanya memanfaatkan kuasa pemerintahan kuku besi kerajaan yang sekian lama menghinjak dan menekan kita, rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan.

* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang peguam dan anggota kanan NGO Lawyers for Liberty.

Sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...