Renungan Sejenak

Jumaat, 27 Mei 2011

Harga Minyak Naik, Rakyat Akan Naik Minyak

24 Jamadilakhir 1432H -

Saya menilai pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan BN tidak akan menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada ketika ini adalah satu dasar yang sangat janggal yang masih menampakkan tidak ikhlasnya kerajaan membela rakyat.

Lucunya dasar tidak menaikkan harga barang seperti diumumkan menjadi kebanggaan dan siulan pemimpin BN yang menggelarkan mereka prihatin dalam keadaan sudah berulang kali harga barang telah dinaikkan sejak mandat PRU ke 12 lepas.

Oleh itu saya mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berwaspada dengan permainan licik pemimpin BN untuk terus menipu rakyat dan jangan mudah lupa dosa BN yang telah berulang kali menaikkan harga barang sebelum dari ini.

PM Najib dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan amat prihatin terhadap beban yang ditanggung rakyat, walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang besar berikutan peningkatan jumlah subsidi.

Perdana Menteri mendedahkan kenaikan harga minyak global, kerajaan terpaksa menanggung subsidi langsung hampir RM20 bilion tahun ini, sedangkan peruntukan sebenar hanya RM11 bilion.

Namun tidak pula dia bercakap berapakah keuntungan berganda yang Petronas perolehi selepas berlaku kenaikan harga minyak yang boleh menampung kenaikan beban itu.

Keadaan ini ditambah pula dengan tidak adanya jaminan sehingga bila harga barangan tersebut tidak akan dinaikkan. Sehingga menjadi satu alasan kepada banyak pihak bahawa dasar tersebut adalah untuk menyelamatkan BN dari terus ditolak oleh rakyat.

Realitinya kerajaan takut untuk "naikkan harga minyak kerana rakyat akan naik minyak" dan menghukum BN dalam PRU akan datang.

Paling kurang saya melihat mereka sedang memikirkan apakah alasan yang paling munasabah untuk mengumumkan kenaikan harga barangan tersebut.. Tidakkah Najib sudah umumkan kerajaan terbeban dengan subsidi 20 billion sedangkan sepatutnya hanya 11 billion pada tahun ini. Kenapa masih tidak berani menaikkan harga barang kalau itu alasannya ?

Sesungguhnya rakyat Malaysia mendapat isyarat yang jelas bahawa mereka akan menghadapi masalah besar apabila terus menyokong BN dalam PRU ke 13 kerana BN akan terus menghimpit rakyat dengan isu kenaikan harga barang.

Dalam bahasa yang lebih canggih BN mengatakan berlaku penyelarasan subsidi sedangkan dalam bahasa lain sebenarnya kerajaan telah menarik hak wang rakyatnya sendirinya kepada unsur lain yang tidak diumumkan.

Saya hairan bagaimana BN sanggup menjadi penghisap darah dan penindas kepada rakyatnya yang menyumbang kepada hasil negara dalam bentuk cukai barangan perkhidmatan, bayaran lesen, cukai pendapatan dan sebagainya. Apalah salah hanya beberapa sen wang tersebut dikembalikan dalam bentuk subsidi dan mendatangkan manafaat secara merata kepada seluruh warga Malaysia.

Pemimpin BN secara berterusan mengungkitkan bebanan memberi subsidi dan menggambarkan bahawa wang itu milik BN sedangkan sebenarnya subsidi itu datang dari wang rakyat Malaysia keseluruhannya. BN cuma diamanahkan menjaganya.

Jika subsidi ditarik, yang rugi adalah rakyat dan lebih rugi sekiranya kenaikan barangan tertentu menyebabkan kenaikan berganda kepada barangan lain khsusnya bila harga minyak naik.

Sedangkan banyak lagi langkah dan usaha yang munasabah bagi memastikan kerajaan mempunyai wang yang lebih dengan antaranya melaksanakan dasar jimat cermat dalam berbelanja dan membenteras bil berganda dan rasuah seperti yang diumumkan oleh Ketua Audit Negara.

Bukti yang sangat jelas mampu dilakukan oleh Pulau Pinang walaupun baru setahun jagung telah mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak 88 juta pada tahun 2008 dan sebanyak 77 juta pada tahun kewangan 2009.

Kerana itu berwaspadalah rakyat Malaysia dengan lakonan terkini pemimpin BN ini.


Kenyataan Media

Drs. Khalil Idham Lim
Ketua Penerangan PAS Perak
Parit Buntar, 27 Mei 2011.


Artikel lain berkaitan isu ini :

Harakahdaily : BN Masih Minat Naikkan Harga Minyak



p/s : Perbandingan Malaysia dengan negara pengeluar minyak dunia yang lain, yang mana Malaysia negara ke 27 sebagai negara pengeluar minyak dunia, dan harga minyak kita ialah RM2.90 seliter.

Kita lihat negara pengeluar minyak dunia ke 28 dan 29 Oman dan Mesir, harga di Oman dan Mesir adalah lebih rendah.

Di Mesir, harga minyak ialah RM1.06 sen seliter dan Oman RM1 seliter. Malaysia RM2.90!!

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram

Petronas yang sepatutnya untung hasil kenaikan harga minyak dunia bagaimana pula?? Adakah rakyat didahulukan???



1 ulasan:

  1. itulah realiti pahit yang kita terima... hasil kecintaan kita pada negara...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...