Renungan Sejenak

Jumaat, 3 Jun 2011

Calon Baru Untuk Ketua Penerangan PAS Pusat

Selepas sahaja Ustaz Idris Ahmad, mantan Ketua Penerangan PAS Pusat menawarkan dirinya untuk bertanding taklifan Naib Presiden PAS, saya terfikir-fikir siapakah calon-calon yang sesuai untuk menggantikan beliau untuk terus membawa panji tugas penerangan PAS Pusat yang amat penting dalam fasa PRU 13 akan menjelang tiba, bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Tugas dan peranan Penerangan PAS amat penting untuk menangkis segala tohmahan-tohmahan pihak musuh. Segala perang saraf pihak musuh perlu hujah yang tepat dan pantas. Oleh itu, saya ternanti-nanti masa yang sesuai untuk mencadangkan sesuatu yang positif untuk PAS dan perjuangan Islam, malahan untuk menapak lebih laju bersama Pakatan Rakyat khususnya di bumi Malaysia ini.

YB Drs. Khalil Idham Lim Abdullah, yang dicalonkan untuk jawatan AJK PAS Pusat, merupakan seorang yang berbangsa cina, akan tetapi percaturan yang hebat dari Allah, beliau memeluk Islam pada usia 22 tahun. Beliau yang dilahirkan di Kelantan, bergelar ustaz selepas mendapat ijazah dari sebuah universiti di Acheh, Indonesia dalam bidang pengajian Islam setahu saya. Dengan latar belakang agama beliau, dengan berbekalkan pengalaman sebagai guru di Kementerian Pelajaran sebelum ini, setelah mengambil Diploma Pendidikan di UIA, ditambah pula dengan pelbagai undangan kuliah dan ceramah yang beliau penuhi, berdasarkan pengalaman dan ketokohan beliau, meletakkan beliau merupakan calon terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut.

YB Drs. Khalil Idham Lim yang memegang taklifan sebagai Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, merangkap Ketua Penerangan PAS Perak, yang juga Adun Titi Serong, bertanding sebagai calon PAS, biarpun beliau pernah tewas pada tahun 2004 tetapi pada tahun 2008, beliau berjaya merampas kerusi DUN Titi Serong dari BN, dalam PRU ke-12 yang lepas dengan majoriti 1149 undi.

Ketika saat Pakatan Rakyat (PR) diberi peluang memerintah di Perak suatu ketika selepas PRU 12 yang lalu, beliau juga diberi kepercayaan sebagai Timbalan Exco Agama dan juga diangkat memegang taklifan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak (BBC) di Dewan Undangan Negeri Perak. Pengalaman beliau selama memegang Ketua Penerangan PAS Perak dan jawatan-jawatan yang lain, membuktikan beliau layak diberi peluang untuk taklifan baru ini.

Beliau istiqamah dan konsisten dalam mengeluarkan kenyataan media dan menjawab segala isu-isu berbangkit dari pihak lawan, malah pantas menangkis tuduhan dan tohmahan dari BN, sama ada isu-isu di peringkat negeri ataupun di peringkat pusat. Walaupun berbangsa cina, beliau petah sahaja menjawab segala perang saraf yang dimulakan pihak lawan.

PAS perlu memanfaatkan tokoh muda yang berbakat seperti beliau. Tidak salah jika saya mengatakan beliau antara tokoh pelapis PAS di Perak mahupun pusat, pada masa akan datang. Pernah juga kaji selidik dibuat oleh penganalisis politik dan pusat kajian tertentu sebelum ini, mengakui beliau antara tokoh yang berpengaruh, mempunyai kredibiliti dan berpotensi untuk sama-sama berganding bahu dalam menguatkan Pakatan Rakyat terutamanya di Perak.

Beliau juga strategis terutamanya jelas beliau bijak menggunakan media alternatif dengan sehabis baik, sama ada melalui blog beliau Cina Islam, facebook dan twitter, malah menghargai tenaga anak muda untuk membantu perjuangan beliau. Percayalah, sekujur tubuh seperti kita ini, tidak mampu membuat segala kerja dan tugasan seperti mana yang beliau galas sekarang, kecuali setelah mempunyai pembantu yang komited untuk membantu meringankan segala tugasan.

Suka saya katakan, bila PAS meletakkan beliau di posisi Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru, para blogger Pakatan Rakyat akan berbesar hati menyambut keputusan ini, setelah ura-ura sebelum ini mengatakan Pakatan Rakyat sedikit meminggirkan blogger-blogger yang banyak menyumbang saham untuk kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU 12 yang lalu.

Saya yakin dan pasti, beliau akan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab, terutama dalam membentuk pasukan penerangan dan perang saraf PAS, malah bersama-sama dengan blogger-blogger Pakatan Rakyat yang lain, untuk menangkis fitnah dan tuduhan tidak berasas dari pihak musuh!! Media alternatif perlu diguna dengan sebaik-baiknya untuk menawan Putrajaya, kerana kita belum mampu untuk mendapat tempat di media arus perdana seperti televisyen mahupun akhbar-akhbar utama.

Strategi kempen dan penerangan juga wajib bergerak menembusi kawasan-kawasan luar bandar, yang majoritinya masih ramai yang tidak mendapat maklumat yang tepat tentang Pakatan Rakyat (PR). Sebarkan dengan meluas tentang tawaran Pakatan Rakyat untuk kepentingan rakyat, malah apa sahaja yang PR telah laksanakan di negeri yang telah berjaya PR perintah sekarang, ianya perlu disampaikan kepada golongan ini segera.

PAS kini perlu melihat jauh ke hadapan, dengan PAS perlu yakin untuk mendominasi kerusi-kerusi yang majoritinya Melayu dalam PRU 13 akan datang untuk memastikan PR menawan Putrajaya dan suara Melayu diganti oleh ahli Parlimen dan ADUN yang lebih berwibawa, malah meletakkan Islam pada tempat yang selayaknya.

YB Drs. Khalil Idham Lim yang berbangsa cina, berlatar belakang agama, dari sudut dakwah yang semakin luas mad’u dan sasaran kita, setelah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) wujud dalam PAS, beliau amat sesuai menggalas amanah penting ini, untuk melonjakkan PAS bukannya hanya sekadar parti politik biasa, namun ianya sebuah gerakan perjuangan yang tidak lekang dari aspek tarbiyyah, dakwah dan siyasah!! Penerimaan warga bukan Islam terhadap PAS mampu merealisasikan slogan ‘PAS Untuk Semua’ dan ‘PAS Ganti UMNO’. PAS harus berani menapak laju untuk memimpin perubahan rakyat Malaysia!!!



5 ulasan:

  1. Tuan diminta membaca blog Tulahan untuk mengetahui siapa sebenar orang yang tuan sanjung2

    BalasPadam
  2. kepada pemilik blog mohon berhubung dengan idham lim untuk tahu cerita sebenar yang berlaku di parit buntar.....

    BalasPadam
  3. tunggu masanya titi serong dan kuala kurau dan parlimen parit buntar jatuh ketangan umno kerana sudah bising cerita idham lim dinafikan untuk bertanding dalam pertahan titi serong...

    BalasPadam
  4. Salam..t.kasih byk2 atas pandangn semua..
    pertama, penulis tidaklah sampai menyanjung, ini hanya seorg calon dari calon2 cadangan..
    apapun, jika ianya berkaitan aib orang, saya mohon, ianya tak dimaklumkan di sini..
    jika pun bukan calon ini yg terbaik, PAS masih ramai calon yg berpotensi..
    Cuma hal yg lebih utama saya tekankan dalam artikel, PAS perlu FOKUS kpd kerja2 penerangan dan gerak kerja PRU selepas ini, memandangkan masih ramai belum mendapat mklumat sebenar tentang PAS dan PR..
    Akhirnya,TG Nik Aziz juga pernah berkata, boleh sahaja cina atau india menjadi pimpinan, asalkan ISLAM dan BERTAQWA..
    Apapun, sama2lah kita semua berjuang untuk PAS dan ISLAM!! Semoga PR berjaya menawan M'sia dlm PRU 13, slps usaha dan gerak kerja yg bersungguh2.. Ameen..(",)

    BalasPadam
  5. Tanpa nama 5.53 berhubung terus dengan PAS Parit Buntar bukan dengan Idham Lim sahaja. Untuk tahu cerita sebenar.

    PAS akan kalah kerana Idham Lim tak bertanding,silap tu PAS akan kalah kalau Idham Lim bertanding.UMNO sangat suka dia bertanding mudah menang Bro

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...