Renungan Sejenak

Rabu, 22 Jun 2011

Semua Jangan Cakap Banyak Lagi, 99% Sokong Himpunan BERSIH Diteruskan!


Reaksi positif yang diberikan rakyat Malaysia berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai depan jelas menunjukkan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) kini semakin didesak untuk mengkaji semula sistem pilihan raya di negara ini, kata pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah menurut ahli parlimen Kubang Kerian, bancian portal dalam talian The Star Online mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

"Saya yakin dan percaya ia sememangnya hasrat rakyat Malaysia untuk melihat wujudnya satu sistem pilihan raya adil dan bersih dan ia telah mencapai satu tahap yang begitu kritikal. Ini bermakna perjuangan BERSIH telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan ia telah melampaui batas-batas agama, kaum dan bangsa, " tegasnya ketika ditemui di sidang Parlimen semalam.

Tegasnya lagi, himpunan besar-besaran pada 9 Julai itu akan berlangsung secara aman tanpa sebarang kekecohan mahupun ketegangan dan ia merupakan janji penganjur BERSIH 2.0 kepada kerajaan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Bancian portal dalam talian The Star Online semalam mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

Bagaimanapun, bilangan responden sebenar tidak dapat disahkan kerana tinjauan itu dihentikan sejak tengahari semalam.


Berdasarkan paparan skrin yang disiar pengguna Facebook, bilangan responden mencecah 1.3 juta pada 12.25 tengahari, daripada 527,330 yang direkodkan pada 6.11 pagi semalam, yang dirakam dari google cache.

Berdasarkan pertanyaan ‘Apakah pandangan anda tentang cadangan perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini’, seramai 1,312,917 responden menjawab ‘Ia patut dibenar diteruskan’.

Manakala seramai 14,222 responden pula memilih untuk menyatakan “Ia patut dibatalkan’.

Tinjauan itu dibincang secara hangat oleh laman kumpulan Facebook ‘Curi-Curi Malaysia’ yang diwujudkan untuk protes perbelanjaan Kementerian Pelancongan sebanyak RM1.8 juta untuk kempen dalam laman sosial berkenaan.

Bagaimanapun mereka kecewa kerana tinjauan itu ditarik balik portal The Star.

Dalam pada itu ahli parlimen Batu, Tian Chua yang ditemui di luar sidang parlimen memberitahu sungguhpun bancian seperti itu tidak dilakukan, beliau yakin bahawa rakyat tetap akan turun ke jalan biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman.

Katanya, ini kerana rakyat Malaysia kini sudah sedar dan matang dalam memahami prinsip demokrasi yang menjadi tuntutan setiap masyarakat di negara ini.

"Perhimpunan BERSIH 2.0 disokong oleh orang ramai sungguh pun ada pihak mengatakan ia tidak berapa tepat (ini online sahaja dan bukan pungutan suara saintifik) tapi secara amnya ia menunjukkan bahawa rakyat rasa BERSIH adalah satu perhimpunan yang aman dan perlu diteruskan."

Manakala menurut ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula, himpunan BERSIH 2.0 kali ini merupakan maklum balas rakyat kepada kerajaan dan pihak polis supaya memberikan kerjasama dan kelulusan kepada pihak penganjur agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman.

Tambah Dr Hatta, rakyat tidak perlu gentar dengan ugutan-ugutan yang dilemparkan kerana apa yang lebih penting adalah hasil daripada himpunan itu nanti.

"Saya melihat ini merupakan satu maklum balas ataupun signal daripada rakyat yang mahu melihat satu sistem yang adil, bebas dan bersih dalam negara kita. Dan kerajaan perlu menghormati kehendak rakyat serta memberi kerjasama untuk memberikan ruang mereka berhimpun dalam menyatakan pandangan mereka tentang kempen Bersih ini," katanya Anthony Loke kepada TvSelangor.

"Rakyat sudah determine untuk turun, jadi kerajaan tidak perlu menimbulkan suasana kurang baik dengan menimbulkan kekecohan. Saya harap kerajaan dapat menghormati keputusan bancian yang dilakukan," tegas Dr Hatta. -tvsnews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...