Renungan Sejenak

Sabtu, 11 Jun 2011

PAS Perlu Terajui Kebangkitan Rakyat!!

Menyingkap sejarah Kepimpinan Ulama’ dalam PAS, dari lipatan sejarah yang telah terukir, buat tatapan generasi muda pada hari ini, ianya diasaskan semasa kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua PAS dengan Tuan Guru Dato’ Hj Fadzil Noor sebagai timbalannya.

Semasa PAS berada di bawah kepimpinan TG Dato’ Hj Fadzil Noor, beliau menekankan agar golongan ulama’ hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama’ ini mesti disokong dan didaulatkan.

Saya begitu kagum, TG Dato’ Hj Fadzil Noor seorang tokoh yang berpandangan jauh, apabila beliau pernah mengatakan bahawa kepimpinan PAS akan lebih terbuka dan lebih banyak dipikul oleh golongan intelektual pada masa hadapan, namun konsep kepimpinan ulama’ akan terus menjadi teras.

TG Fadzil Noor meletakkan fokus supaya ahli-ahli PAS memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional, melalui tamrin (latihan) dan tarbiyyah yang mendasar. Amanat beliau menggambarkan bayangan beliau akan pimpinan PAS masa hadapan adalah seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang agama yang menambah ilmu pengetahuan profesional, atau seorang profesional yang menambah ilmu pengetahuan agamanya, melalui semua liku-liku dan jalan tarbiyyah yang dibentuk PAS.

TG Yusof Rawa yang mengasaskan Kepimpinan Ulama’ dalam PAS sendiri, latar belakang beliau juga berasal dari aliran Inggeris kemudian belajar agama di Mekah. Beliau jelas menguasai bahasa Arab, bahasa Inggeris, Farsi dan Perancis. Malah beliau juga adalah ahli perniagaan dan mempunyai kedai buku sendiri.

Beliau suka membaca dan mengkaji kitab-kitab rujukan Islam, dan turut membaca pelbagai bahan dari barat dan timur, menyerlahkan kesegaran ilmu beliau, idea dan pemikiran beliau sendiri dianggap ulama’ moden, yang berbeza pemikirannya berbanding pemikiran kebanyakan ulama’ seusianya pada masa itu, yang lebih menjurus kepada pemikiran tradisional.

Malah beliau berusaha menjernihkan konsep ulama’ pada tahun 1983 dengan idea mengubah nama Dewan Ulama’ kepada Dewan Ulama’ dan Cendekiawan. TG Yusof Rawa dipetik berkata,”Perubahan Dewan Ulama’ kepada Dewan Ulama’ dan Intelektual Islam, bertujuan untuk memadukan Ulama’ dan Intelektual Islam, sekaligus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka, dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing-masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisme yang memisahkan ilmu syariat dan ilmu aqliyyah itu dihapuskan!”.

Dua tokoh pimpinan PAS tersebut, bagi saya seakan-akan sudah mengetahui hakikat perlunya ahli PAS sama ada ustaz atau ulama’, perlu bersama-sama profesional, dan profesional juga perlu menghormati golongan agama, mereka merapatkan jurang yang ada, berkongsi ilmu, idea dan pandangan masing-masing untuk menggerakkan PAS mendepani masyarakat dalam negara. Lantas taraf ulama’ kembali kepada maksud sebenar, iaitu yang tinggi taqwanya, bukan sekadar berlatar belakang agama semata-mata.

Jika kita melihat Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami juga dipimpin oleh para intelektual dan ahli profesional. Mereka kebanyakannya terdiri dari yang berlatar belakang agama atau yang telah dilatih oleh jamaah untuk menjadi berjiwa ulama’. Tarbiyyah yang jamaah susun untuk ahli-ahlinya tanpa kira latar belakang, sememangnya menjadi tunjang kekuatan sesebuah jamaah.

Pemeringkatan tertentu dalam latihan tersebut terarah untuk melahirkan ulama’ kerana dalam jamaah Islam setiap ahli akan menjadi ulama’ bergantung kepada latihan pemeringkatan yang dilalui mereka. Maka, tidak hairanlah bila pimpinan Ikhwan dipelopori dari ahli profesional bercirikan ulama’ berbanding ahli agama atau pimpinan yang memang pakar dalam bidang agama.

Secara ringkasnya, PAS juga pada pandangan saya telah mengambil sedikit sebanyak semangat kejayaan Revolusi Iran pasa tahun 1979, meletakkan kepimpinan ulama’ diinspirasikan dalam perjuangan PAS di Malaysia.

PAS sangat perlu untuk terus laju mengorak langkah mulai sekarang, memperjuangkan Islam, memperjuang kepentingan rakyat, kebenaran dan keadilan untuk semua. Dakwah kepada non-muslim juga perlu dilebarluaskan melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang semakin diterima kaum cina dan india.

PAS tidak boleh menoleh ke belakang lagi. PAS perlu menjadi alternatif terbaik kepada rakyat Malaysia selain UMNO untuk bangsa melayu dan Islam umumnya, namun PAS perlu lebih ke hadapan untuk memperlihatkan Islam bukan memisahkan politik dan agama, tetapi Nabi Muhammad s.a.w juga meletakkan Madinah sebagai pusat pemerintahan Islam pertama dalam sejarah, yang mana kaum bukan Islam dan Yahudi sendiri, hidup aman harmoni di dalamnya.


Boleh juga dirujuk di laman, suara reformasi rakyat, detikdaily :

http://www.detikdaily.net/v5/




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...