Renungan Sejenak

Khamis, 30 Jun 2011

BERSIH 2.0 : Perhimpunan Aman Rakyat

23 Jun merupakan tarikh perginya seorang pejuang rakyat, tokoh dakwah dan siyasah yang hebat. Jadi, saya akan menukilkan lagi sedikit cerita dan sejarah perjuangan beliau, kesinambungan dari artikel-artikel saya sebelum ini. Beliau yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor atau lebih sinonim dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor.

Mengimbau Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan pada 5 November 2000 adalah satu perhimpunan aman anjuran aktivis yang menyokong Barisan Alternatif (BA) yang terbentuk dari PAS, KeADILan, DAP dan memberikan BA kemenangan memberangsangkan dalam PRU pada tahun 1999.

Perhimpunan aman ini mendapat sokongan padu daripada parti- parti politik, NGO dan pertubuhan Reformasi. PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor telah memberi sokongan dan komitmen seratus peratus untuk menjayakan perhimpunan aman ini.

Ustaz Fadzil Noor dilihat bijak membuat keputusan dan merencana strategi untuk menjayakan perhimpunan 100,000 rakyat tersebut. Ketika itu membenarkan setiausaha politiknya, Dr. Mohd Hatta Ramli, untuk terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Ustaz Fadzil Noor juga telah membuat tindakan segera dengan meminta Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Md Isa untuk mengeluarkan surat kepada setiap PAS Negeri untuk mengerahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk turun bagi menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Kesungguhan yang ditunjukkan serta komitmen Ustaz Fadzil Noor sendiri untuk hadir ke perhimpunan tersebut telah mengobarkan semangat pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik bersetuju untuk sama-sama menyertainya. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti KeADILan Nasional, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM turun bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Pada hari perhimpunan tersebut, laluan untuk ke tempat perhimpunan disekat oleh polis, maka keempat-empat pemimpin utama parti-parti politik Barisan Alternatif itu turun daripada kenderaan masing-masing dan berjalan bersama-sama puluhan ribu rakyat di atas Lebuhraya KESAS.

Keikhlasan dan semangat yang ditunjukkan oleh keempat-empat pemimpin BA itu berjalan di barisan hadapan perarakan, benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat tentang betapa mantapnya gandingan dan kerjasama BA.

Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor dan para pemimpin BA menunjukkan contoh semangat dan keyakinan yang tinggi apabila mereka berjalan sejauh hampir lima kilometer di atas lebuhraya yang sudah pasti tidak ada sebuah pun kenderaan boleh melaluinya. Mereka bukan sahaja diiringi ribuan malah puluhan ribu rakyat yang menyokong penuh perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sekatan polis dibuat menyebabkan akhirnya perarakan itu berhenti setelah laluan itu sudah tidak boleh dilalui lagi. Semua pemimpin diberi peluang untuk menyampaikan ucapan. Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor berucap di atas tembok pemisah lebuhraya dengan dikelilingi oleh kira-kira 100,000 rakyat. Dalam ucapannya yang penuh semangat itu, Ustaz Fadzil Noor menyeru agar semua rakyat bersatu untuk berjuang mengembalikan hak mereka yang sudah dicabul dan dirampas oleh Dr. Mahathir dan kerajaan UMNO-BN.

Apabila lebih seratus orang ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan aman tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah mengarahkan Dr. Mohd Hatta Ramli untuk mengendalikan urusan ikat jamin dan pembebasan mereka daripada lokap. Sokongan terhadap perhimpunan aman di Lebuhraya KESAS ini diteruskan oleh Ustaz Fadzil Noor dengan merintis penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

GMI ditubuhkan apabila pengerusi dan ahli-ahli serta penggerak utama Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat ditahan di bawah ISA pada 10 April 2001.

Demonstrasi aman seperti ini adalah suatu yang tidak asing bagi Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana masa mudanya lagi, iaitu pada tahun 1974, beliau telah pun terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling. Bahkan, pada akhir-akhir hayatnya pun beliau masih menggagahkan diri untuk hadir bersama rakyat dalam perhimpunan-perhimpunan aman.

Sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, PAS mengalami kejayaan paling besar pada pilihanraya tahun 1999, di mana PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN. Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut.

Menyingkap tabir sejarah, peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, dan Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang pada ketika itu. Kemudiannya pula Ustaz Fadzil Noor.

Manakala di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA). Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA.

Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Fadzil Noor telah hadir dalam perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur membantah tindakan Amerika mahu menyerang Iraq. Dalam perhimpunan aman tersebut, pihak polis FRU telah mengganas menyerang orang ramai membuta tuli dengan menembak gas pemedih mata dan menyembur air berkimia.

Ustaz Fadzil Noor terkena gas pemedih mata dengan teruk sekali. Sejak itu kesihatan beliau sangat terganggu. Menurut setiausaha politik dan doktor peribadinya, Dr. Mohd Hatta Ramli, sejak itu kesihatan beliau semakin merosot hinggalah beliau memerlukan pembedahan dan dengan takdir Allah, selepas itu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Itulah sebuah kisah, rentetan jalan perjuangan sebenar seorang pejuang rakyat, sehingga ke akhir hayatnya masih bersama-sama rakyat untuk menegakkan kebenaran dan menolak kezaliman. Dari siri-siri perhimpunan yang dihadiri atau dipimpin beliau sendiri, jelas perhimpunan aman seumpama ini adalah milik rakyat, seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara kita sendiri.

Perlembagaan tidak menghalang perhimpunan aman seperti ini. Malah ketika Malayan Union mahu ditubuhkan, para pejuang kemerdekaan dan rakyat membuat demonstrasi membantah penubuhan Malayan Union, sehingga ianya dibatalkan. Adakah kita buta sejarah?? Tidak! Tidak sama sekali. Jadi, ayuh kita semua menuju BERSIH 2.0 untuk kepentingan rakyat agar tidak dicabuli sewenang-wenangnya oleh pihak berkepentingan!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...