Renungan Sejenak

Ahad, 5 Jun 2011

Sedikit Latar Belakang Timbalan Presiden PAS Yang Baru

Saya mencari maklumat latar belakang Timbalan Presiden PAS Pusat yang baru, iaitu Hj. Mohamad Sabu, untuk saya kongsikan kepada semua terutama bagi generasi muda yang tidak mengenali beliau sedari awal, dan akhirnya saya dapat mengumpulkan sedikit sebanyak latar belakang dan keterlibatan beliau dalam perjuangan PAS serta rencah dunia sepak terajang politik yang beliau telah lalui. Masih ada lagi maklumat tentang setiap demontrasi atau ‘event’ yang beliau sertai, namun mungkin saya tidak berjaya untuk mendapatkan maklumat tersebut. Inilah sekadar perkongsian kita bersama.

Penglibatan Awal

Penglibatan awal Hj. Mohamad dalam gerakan Islam ialah dengan menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1975 selepas dipecat dari Institut Teknologi Mara (ITM), institut pengajian yang sekarang ini lebih dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM), kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan menentang Akta Universiti.

Pada tahun 1978, Hj. Mohamad menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, sewaktu Dato’ Mustaffa Ali menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, dan Hj Subky Latiff menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat pada ketika itu, yang mana menyokong penuh kepimpinan ulama’ di saat bermulanya zaman kepimpinan ulama’ dalam PAS.

Pada tahun 1982, ketika baru berumur 28 tahun, beliau meletakkan jawatannya di dalam sebuah syarikat swasta untuk bertanding dalam pilihanraya. Beliau menjadi calon PAS di Kepala Batas menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga di DUN Penanti. Pada tahun yang sama juga beliau meninggalkan ABIM sebagai memprotes penyertaan presidennya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah mengisytiharkan dirinya menyertai Umno.

Pada tahun 1983, Hj. Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah tahun 1985. Dalam pilihanraya 1986 pula, Hj. Mohamad bertanding menentang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pertandingan “dua seteru politik yang sukar didamaikan” pada ketika itu.

Pada tahun 1989, beliau dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat hinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997. Beliau mula menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada tahun 1991.

Bermulanya Menjadi Ahli Parlimen

Semasa menjadi Naib Ketua Dewan PAS Pusat, beliau diarah kepimpinan parti untuk bertanding di Nilam Puri dalam Pilihanraya Umum 1990 yang penuh bersejarah di mana PAS berjaya menerajui semula kerajaan negeri itu. Dalam pilihanraya itu, beliau mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti lebih 10,000 undi, antara majoriti terbesar yang pernah direkodkan dalam pilihanraya umum di Kelantan pada masa itu.

Dalam Pilihanraya Umum 1999 pula, ketika masih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian, beliau menerima tawaran PAS Kedah khususnya atas permintaan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor sendiri, untuk bertanding di Kuala Kedah. Beliau memenangi kerusi Kuala Kedah dengan majoriti 991 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah untuk terus menyumbang baktinya kepada masyarakat di sana pula.

Manakala dalam Pilihanraya Umum ke 11 , pada tahun 2004 setelah beliau menjadi Ahli Parlimen sebanyak 3 penggal, beliau telah kalah bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah dengan kekalahan majoriti sebanyak 10,214 undi, selepas berlaku persempadanan semula oleh SPR sewaktu itu.

Tahun 2008 pula, di mana gelombang rakyat yang memenangkan Pakatan Rakyat (dalam gabungan PAS, PKR dan DAP) untuk memerintah di lima buah negeri, iaitu melalui Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 , Hj Mohamad telah mengalami kekalahan sekali lagi, selepas parti meminta beliau bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan kekalahan yang tipis sebanyak 628 undi sahaja, yang mana pertandingan tersebut melibatkan tiga penjuru, termasuk seorang nenek sebagai calon Bebas.

Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Operasi Lalang

Perjuangan Hj. Mohamad di dalam PAS menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1984 semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Selepas ditahan selama 60 hari di Kuala Lumpur, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah pada September 1984 hinggalah September 1986 dengan pergerakan terhad selama dua tahun. Sebelum ditahan di bawah ISA, beliau pernah dikurung di dalam lokap selama dua minggu pada tahun 1975 kerana penglibatannya dalam tunjuk perasaan pelajar ITM menentang Akta Universiti.

Dalam tahun 1987 pula, iaitu dalam Operasi Lalang, Hj. Mohamad sekali lagi ditahan di bawah ISA (penahanan kali kedua). Beliau dikurung di Kamunting sehingga Januari 1990. Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi Mohamad Sabu ketegangan itu berpunca dari memarakkan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA.

Walaupun dibebaskan dari Kamunting, beliau terus dikenakan perintah tahanan daerah di Shah Alam hinggalah April 1990. Beliau selalu mengulas penahanannya di bawah Operasi Lalang itu. “Umno berkelahi dengan MCA, aku yang ditangkap,” kata beliau.

Membela Buruh Setinggan, Orang Asli dan Petani

Setelah dilantik sebagai Ketua Lujnah Buruh dan Setinggan PAS, Hj. Mohamad mempertingkatkan lagi usahanya untuk membela nasib kaum buruh dan setinggan yang memang menjadi minat beliau.

Antara lain, beliau pernah berusaha untuk mendapatkan pam air dan janakuasa elektrik untuk penduduk setinggan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur setelah dikenakan tindakan zalim melalui pemotongan bekalan air dan elektrik untuk menghalau mereka. Dalam membela nasib setinggan, beliau sanggup bergaduh dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengambil sikap berlepas tangan dan memimpin rombongan setinggan untuk berhadapan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berusaha membela nasib Orang Asli di Tapah Perak sehingga akhirnya bantuan untuk mereka termasuk pakaian sekolah anak-anak mereka diberikan semula. Pada beliau, kejayaan yang paling manis ialah penglibatannya sebagai salah seorang peneraju utama perhimpunan rakyat untuk menentang pembinaan Jerai International Park yang melibatkan kawasan kira-kira 4,000 hektar termasuk sawah para petani. Perhimpunan itu disertai kira-kira 100,000 rakyat dan akhirnya projek tersebut dibatalkan.

Manakala jawatan tertinggi di dalam di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) , beliau telah menjadi Naib Presiden selama 2 penggal berturut-turut, iaitu Sessi 2005-2007 dan Sessi 2007-2009.

Pejuang dan Aktivis Rakyat

Sesi sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi & Mobilisasi (Penggerak Demokrasi) , beliau juga adalah antara salah seorang peneraju utama yang memainkan peranan dalam menggerakkan rakyat dalam himpunan BERSIH pada 10 November 2007 itu, di mana melebihi 100,000 orang hadir di sekitar tengah bandaraya Kuala Lumpur, malah turut terlibat dalam demontrasi membantah PPSMI, gerakan mansuhkan ISA dan banyak lagi.

Di peringkat antarabangsa, Hj. Mohamad pernah menyertai rombongan lapan Ahli Parlimen Islam dari seluruh dunia yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, menemui Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Boutros Boutros Ghali. Beliau juga menyertai pelbagai seminar di peringkat antarabangsa termasuk Seminar Buruh di Pakistan, Seminar Mengenai Bosnia Herzegovina di London dan Seminar Gerakan Islam di Afrika Selatan. Beliau juga pernah menjadi tetamu dan bercakap di Radio 786 di Afrika Selatan. Beliau juga aktif memperjuangkan nasib umat Islam Palestin, Acheh, Pattani, Selatan Filipina, Kashmir dan lain-lain.


Secara Ringkas Latar Belakang Politik/Pengalaman Beliau

-Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat 1981

-Ketua Dewan Pemuda Pulau Pinang

-Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat 1983-1985

-Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 1989 sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu pada tahun 1997

-Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bermula pada tahun 1991

-Ahli Parlimen Nilam Puri 1990-1995

-Ahli Parlimen Kubang Kerian 1995-1999 dan pernah menjadi YDP PAS Kubang Kerian sehingga 1999

-Ahli Parlimen Kuala Kedah 1999-2004

-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) 1995-2004

-Jawatankuasa ahli Parlimen untuk Pembebasan Palestin yang beribu pejabat di Beirut

-Naib Presiden PAS selama 2 penggal berturut-turut, iaitu sesi 2005-2007 dan sesi 2007-2009.

-Pengerusi Lajnah Buruh dan Peneroka Bandar PAS Pusat

-Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat


Isu-isu yang diperjuangkan semasa menjadi ahli Parlimen :


Isu Nasional :

-Isu elaun serta gaji polis dan tentera

-Pembelaan nasib nelayan

-Memperjuangkan hak-hak asasi manusia seperti kenaikan harga barang, tol dan lain-lain

-Membela nasib penduduk peneroka bandar (setinggan)


Isu Antarabangsa :

-Isu pembebasan rakyat Palestin, Acheh, Selatan Thai dan lain-lain

-Isu pembelaan rakyat Bosnia Herzegovina


p/s : semoga kita semua memberikan wala’ kepada kepimpinan baru PAS Pusat dan bersedia membantu perjuangan beliau dan rakan-rakan dalam PAS, seterusnya memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 akan datang!! InsyaAllah..



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...