Renungan Sejenak

Rabu, 8 Jun 2011

Negara Berkebajikan : Umno Demam Panas, Kata Mahfuz


SHAH ALAM 8 JUN:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan laporan muka hadapan Utusan Malaysia kononnya parti itu mula berbalah berhubung perjuangan mendirikan Negara Berkebajikan sebagai fitnah terbaru media Umno.

Malah katanya, laporan itu juga memperlihatkan betapa gelabahnya kepimpinan Umno dengan azam PAS memperjuangkan dasar Negara Berkebajikan sepertimana yang dibentangkan pada Muktamar PAS ke 57, minggu lalu.

Mahfuz berkata, barisan kepimpinan Umno juga kini seolah-olah mengalami 'demam panas' apabila PAS menekankan keperluan mendirikan Negara Berkebajikan.

Jelasnya lagi, Utusan Malaysia juga sengaja menabur fitnah agar rakyat mudah terpedaya dengan laporan yang disiarkannya.

Utusan Malaysia hari ini mendakwa beberapa pihak dalam PAS telah mula mempersoalkan mengenai perjuangan PAS menubuhkan negara berkebajikan dan kononnya membelakangkan matlamat asal penubuhan parti itu.

Komen beberapa individu yang tidak dikenali di dalam Facebook dijadikan sandaran untuk laporan muka depan itu.

"Perkara (berbalah) tersebut tidak wujud. dan bohong sama sekali. Utusan Malaysia ini mana boleh percaya...Utusan Malaysia ini sengaja menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat," kata Mahfuz.

"Sebenarnya Utusan sendiri berada dalam keadaan gelabah kerana towkey dia (Umno) sendiri berasa tidak menentu sekarang ini dan ibarat pemimpin-pemimpin Umno ini sedang 'demam panas' kuat bila berhadapan dengan satu lontaran yang sangat menyentuh persoalan kehidupan masyarakat dan rakyat dalam negara kita yang dibawa oleh PAS iaitu 'Negara Berkebajikan," katanya kepada Tv Selangor.

Muktamar PAS ke 57 di Taman Melewar, Jumaat lalu sebulat suara menyokong ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperjuangkan serta membangun Negara Berkebajikan.

Dalam ucapan dasar muktamar, Hadi yang juga ahli parlimen Marang itu berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dihubungi Tv Selangor turut menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dasar yang berlaku berhubung perjuangan PAS melaksanakan ‘Negara Berkebajikan’ ini.

Menurut Khalid Samad, tafsiran ‘Negara Kebajikan’ yang diumumkan PAS pada muktamar lepas bukan tafsiran ‘suka-suka’.

“Istilah ‘Negara Berkebajikan’ ditakrifkan mengikut Perlembagaan. Kalau dalam Perlembagaan disebut ingin mewujudkan sebuah masyarakat dimana nilai-nilai dan hukum hakam Islam dilaksanakan yang menuju kepada keredhaan Allah, itu ada dalam Perlembagaan. Negara berkebajikan itu ditafsirkan berdasarkan perlembagaan. Bukan berdasarkan tafsiran masing-masing,” katanya.

Khalid membidas Utusan kerana mendakwa PAS menggugurkan dasar negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

Khalid menegaskan keutamaan PAS ialah membina negara berkebajikan mengikut lunas-lunas yang sudah ditetapkan dalam hala tuju PAS.

”Dasar parti bergantung kepada perlembagaan. Kalau ingin menukar sebarang dasar ianya perlu merujuk kepada Perlembagaan. Cogan kata adalah hanya cogan kata dan tidak ada kena mengena dengan soal dasar yang ingin diperjuangkan," kata Khalid.

"Kalau kita mengatakan ingin memperjuangkan negara yang adil, bukan bererti kita dah gagal atau kuburkan negara Islam. Kita memberikan tumpuan kepada aspek hasil yang ingin kita capai bukan kepada nama atau brandnya, tetapi kepada hasilnya iaitu sebuah negara yang bersifat berkebajikan' tambah beliau.

Tambah Khalid lagi, komen-komen negatif yang dibuat oleh segelintir pihak terutamanya di laman sosial Facebook adalah kerana mereka terpengaruh dengan laporan 'fitnah' media kawalan Umno ini.

“Kalau orang marah dan sebagainya di laman sosial, mereka-mereka ini terlalu dipengaruhi dengan tulisan-tulisan didalam Utusan Malaysia dan sebagainya. Tidak ada perubahan dasar bagi PAS sepertimana yang saya sebut, kalau nak nak ubah dasar, kena ubah Perlembagaan,” ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...