Renungan Sejenak

Selasa, 21 Jun 2011

PAS Perlu Kempen Besar-Besaran Daftar Pengundi dan Ahli

Mengingati tarikh 23 Jun, tarikh pemergian Almarhum TG Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS sebelum ini, yang diakui antara seorang tokoh mujadid ulung dalam sejarah perjuangan PAS, melihat PAS dalam fasa pra PRU 13, pada pandangan saya perlu menyorot kembali sejarah perjuangan untuk memperkukuhkan jamaah dan parti.

Dato' Hj Fadzil Noor, selain beliau dan rakan-rakan berhujah di dalam Dewan Rakyat, menggunakan jalan demonstrasi dan memobilasi perhimpunan-perhimpunan aman, namun dalam masa yang sama, beliau bertindak bijak dengan pernah mengarahkan setiap peringkat dalam PAS menggempur ahli baru secara optimum, untuk memenangkan Islam di Malaysia khususnya.

Ini penting, kerana tanpa ahli yang ramai dan kompeten, bagaimana PAS mahu bergerak dan menyampaikan dakwah di semua kawasan tidak kira di bandar mahupun di kampung-kampung dan taman-taman perumahan. Sasaran dakwah perlu didekati secara berhemah dan berhikmah.

Dengan media utama menjadi kuda tunggangan satu pihak sahaja, PAS dan Pakatan Rakyat perlu ‘berkempen’ melalui ahli-ahlinya, yang mana ‘sentuhan peribadi’ atau personal touch selalunya lebih membekas di hati pengundi atas pagar misalnya.

Mengambil ibrah (pengajaran) dari tokoh gerakan hebat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau seorang pemimpin yang sangat menyantuni ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan juga masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka. Beramah mesra dan berdakwah di kedai kopi dan di ceruk-ceruk kampung adalah perkara biasa bagi beliau walaupun beliau seorang pemimpin gerakan terkenal sewaktu itu.

Jika kita betul-betul menyusuri sejarah, betapa ramai tokoh-tokoh hebat yang dicipta Ikhwan Muslimin di Mesir, yang mereka ini asalnya seseorang yang bukannya dari latar belakang agama, namun setelah menyertai Ikhwan, mereka mampu memahami agama dan membahaskannya dalam masyarakat, mendalami isu-isu semasa malah membincangkan isu-isu ekonomi, hasil terpikat dengan peribadi dan karektor yang ada pada diri Imam Hassan Al-Banna pada mulanya.

Betapa luasnya ruang lingkup dakwah dan hasil ledakan tarbiyyah yang melangkaui batas politik dan latar belakang sasaran dakwahnya, mampu membawa kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat dan masyarakat umumnya. Akhirnya di Mesir ketika itu, ahli-ahli Ikhwan yang ramai inilah yang menjadi agen-agen pendakwah di dalam masyarakat dan di ceruk-ceruk kampung sehingga Ikhwan berjaya menang dalam pilihanraya Mesir beberapa ketika selepas itu.


PAS Pernah Melalui Kempen Menambah 500,000 Ahli

Diungkap dari sejarah, setelah menjadi Presiden PAS, TG Dato’ Hj Fadzil Noor atau lebih mesra di kalangan rakyat Kedah dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor, menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, Ustaz Fadzil Noor melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum pilihanraya tahun 1995.

Dalam satu Ucapan Dasarnya ketika muktamar, Ustaz Fadzil Noor menyarankan supaya pemimpin-pemimpin di semua peringkat hendaklah memastikan agar ada cawangan PAS di setiap kampung, di setiap taman-taman perumahan dan di setiap lorong.

Ustaz Fadzil Noor menegaskan hendaklah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS dalam setiap rumah. Ustaz Fadzil Noor membuktikan arahannya itu dilaksanakan di kawasannya sendiri di DUN Bukit Raya, Kedah. Di Bukit Raya, cawangan-cawangan PAS jauh melebihi cawangan-cawangan UMNO.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000. Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim. Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.


PRU 13 Semakin Dekat

Dengan harapan kita letakkan kepada saf kepimpinan PAS yang baru, diharapkan dengan pimpinan yang berjiwa aktivis dan bersifat massa, mereka juga perlu gunakan peluang yang ada, dengan masa yang sangat suntuk ini, untuk memperhebatkan gempur penambahan pengundi muda dan pengundi atas pagar ke dalam PAS. Daftarkan mereka kepada SPR segera sebelum kita terlambat.

Tuan Guru Dato’ Seri Hj Hadi, yang dibantu pembantu-pembantu yang hebat, perlu menekan butang kecemasan segera, untuk mengimbangi salahguna pihak musuh dalam pentas demokrasi negara kini. Tanpa gerak kerja dan kempen besar-besaran penambahan ahli ini, mungkin sahaja kita akan kalah dek penambahan besar-besaran pengundi BN sejak kebelakangan ini yang entah datang dari mana, sedangkan jelas analisis semasa dari penganalisis politik mahupun pusat kajian politik, golongan anak muda menyokong Pakatan Rakyat.

Menyingkap dari sejarah, sememangnya Ustaz Fadzil Noor pernah merintis penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang mana telah dilancarkan di Taman Melewar pada 27 September 1998 yang didokongi pelbagai parti politik dan pertubuhan NGO termasuklah PAS, PRM, DAP, PUM, ABIM, JIM, SUARAM dan lain-lain. Malah ketika dilancarkan di Markaz PAS Taman Melewar, dilaporkan puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dalam dan luar negara menghadiri pelancaran tersebut.

Beliau juga pernah memimpin bersama pimpinan Barisan Alternatif yang lain pada ketika itu menjayakan Perhimpunan 100 ribu Rakyat di Lebuhraya KESAS, menubuhkan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) setelah ramai aktivis dan jawatankuasa Perhimpunan 100 ribu Rakyat ditahan ISA pada 10 April 2001, malah menyertai pelbagai lagi demonstrasi dan perhimpunan aman, namun beliau dalam masa yang sama terus menekankan aspek tarbiyyah dan kempen penambahan ahli-ahli baru.

Melihat hasil tindakan bijak TG Dato’ Hj Fadzil Noor suatu ketika dahulu, pada pandangan peribadi saya, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya menempatkan PAS sebaris dengan gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di peringkat nusantara mahupun antarabangsa.

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, suka saya menukilkan antara kata-kata bermakna beliau buat renungan semua, TG Dato’ Hj Fadzil Noor pernah menegaskan :

”PAS sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat, adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaati Islami di benua kecil India, Refah Party di Turki, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam”


Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Fadzil Noor..



Artikel ini juga boleh dirujuk di laman :

http://www.detikdaily.net/v5/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...