KUALA LUMPUR, 8 Jun: Bukan sekadar perjanjian pembelian tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP), malah perjanjian konsesi tol juga akan dituntut supaya didedahkan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar).
"Sudah dua kali kerajaan berjanji hendak mendedahkan perjanjian konsesi tol. Pada Februari 2007, Menteri Kerja Raya pada masa itu, (Datuk Seri S) Samy Vellu mendakwa, kerajaan akan menerbitkan semua dokumen perjanjian konsesi tol bagi tatapan umum kononnya supaya orang ramai mengetahui keadaan sebenar sekali gus mengelakkan persoalan mengenai ketidaktelusan dalam isu tersebut.
"Pada November 2008 pula, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed yang menjadi Menteri Kerja Raya pada masa itu pula mendakwa kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Putrajaya, bersetuju untuk mendedahkan kepada umum perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat terbabit kepada umum.
"Beliau juga mendakwa perkara itu mendapat persetujuan kabinet dalam mesyuaratnya pada 17 Oktober 2008 kononnya untuk menangkis dakwaan banyak pihak yang menyifatkan perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol," katanya.
Bagaimanapun, kata Salahuddin, kesemua dakwaan itu tidak pernah menjadi kenyataan dan rakyat terus terbeban dengan tekanan bayaran tol yang ternyata sangat membebankan mereka.
"Jika Barisan Nasional (BN) menang lagi, kita menjangka bayaran tol akan meningkat dengan banyaknya di samping peningkatan harga minyak termasuk RON95, harga barang termasuk makanan akan bertambah, cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan dan pelbagai subsidi akan ditarik balik tanpa belas kasihan kepada rakyat.
"Sebab itulah, apabila ada timbalan menteri yang mendakwa perjanjian pembelian tenaga boleh didedahkan kepada Ahli Dewan Rakyat, kita mahu rakyat menuntut kerajaan menunaikan dahulu janji untuk mendedahkan perjanjian konsesi tol kepada mereka," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian yang akan membangkitkan perara itu dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Beliau juga berharap lebih banyak pihak menuntut perjanjian konsesi tol itu didedahkan sehingga kerajaan tidak ada pilihan lain selain mendedahkan.
"Jika rakyat tidak bersungguh-sungguh menuntut beramai-ramai, kita bimbang ia akan terjadi seperti perjanjian konsesi Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd).
"Pada Jun 2010, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi itu tetapi pada Februari 2011, tetapi akhirnya mahkamah rayuan memutuskan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain tidak mempunyai hak undang-undang untuk mengakses laporan audit dan perjanjian konsesi Syabas itu," katanya.
Lantaran itulah, Salahuddin yakin perkara itu hanya akan boleh diselesaikan dengan tuntutan beramai-ramai yang bersungguh-sunguh dari rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan