Renungan Sejenak

Khamis, 8 Mac 2012

Belajar Dari Kemelut "Dalam Secawan Kopi"

Saya kira pendapat ustaz ini walaupun berlapik dan berkias mungkin, tetapi saya ambil yang mana baik, dan menolak apa yang kurang baik darinya tentang situasi politik di Kedah sekarang.
BELAJAR DARI KEMELUT “DALAM SECAWAN KOPI”

Oleh : Ust Ridzwan Abu Bakar

Alhamdulillah, Kedah – pimpinan, parti dan rakyatnya – telah berjaya keluar dari kemelut yang telah mengoncangkan negera, kesempatan ber”kemelut” ini telah disambut dan disambar oleh pelbagai pihak yang berkepentingan, musuh lama, media, parti lawan dan para “pengambil kesempatan” telah sepuasnya melihat kemelut ini dari pandang sisi masing-masing.
Kemelut dan manusia adalah perkara yang sentiasa berjalan seiring, dalam tasawwur al Quran, telah digambarkan bahawa makhluk manusia ini dicipta dengan ciri khas “halu’a هلوعا” yang ditafsirkan dengan pelbagai makna oleh para mufassirin, sebahagian dari para mufassir cenderung untuk menafsirkan perkataan ini sebagai kecenderungan manusia untuk ber”kemelut” dan ber”krisis” hasil dari sikap “gopoh gapah” yang diciptakan bersama dengan penciptaan manusia itu sendiri, Al Quran memberi pencerahan untuk manusia keluar dari sikap tersebut dengan memasukkan diri mereka di kalangan para “musollin – yang sentiasa mendirikan solat”.
Nota ringkas ini cuba ingin mengajak kita bersama untuk belajar dari lipatan kemelut ummat dan juga melihat bagaimana kita telah melayani kemelut ini dan bagaimana seharusnya kita ber”kemelut”. Nota ini akan disusun dalam bentuk point ke point.

1. Kemelut adalah satu “kemalangan” yang sudah tentu tak boleh direncanakan dari awal, kemelut berpunca dari rendaman rasa yang lama, perhatikan kemelut yang meletus dipenghujung zaman keemasan khulafa ar rasyidin yang kalau diteliti berpunca dari rendaman rasa di kalangan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan urus tadbir yang dilakukan oleh pihak atasan, apabila rendaman rasa ini tidak diberikan perhatian dan dibawa ke meja perundingan, sebenarnya ia hanya menunggu masa untuk meletup atau diletupkan. Memerhatikan kemelut di Kedah baru-baru ini, yang diperjuangkan oleh sebelah pihak adalah tentang beberapa isu “besar” yang telah direndam lama sehingga menjadi “jeruk” kepada sesetengah pihak, isu-isu “besar” ini menyentuh tentang bagaimana aspirasi jemaah itu dilayan, yang akhirnya apabila kemuncak rendaman rasa itu telah dilayan dengan “agak” kasar telah meletuskan amukan dan kocakan dalam jamaah yang sama-sama kita cintai ini.
2. Sebahagian sahabat pula berbicara tentang “timing”, mengapa sekarang atau yang lebih terkedepan bertanya “why now” (untuk lebih nampak intelik buat sebahagian orang perlu diselit dengan BI). Mereka seakan sepakat tentang rendaman rasa yang mengakibatkan krisis perlu diurus dengan baik (samaada dengan menebang punca masaalah atau memperbaikinya – itu soal lain), namun mereka bertanya “kenapa sekarang”, di saat muncung senjata perlu dihala kepada musuh, tiba-tiba kita berbicara sesama kita untuk mengurus rendaman rasa masing-masing, ya, saya katakana kerana ia berupa “kemalangan” yang lambat laun ia akan berlaku apabila segala sebab musababnya telah menunggu saat untuk diletuskan. Kadang-kadang dalam pengurusan masaalah manusia yang begitu rencah, yang boleh menjadi penyebab kepada penyelesaian masaalah hanyalah 3 timbun tanah, demikianlah manusia yang dapat kita pelajari.
3. Apabila kemelut berlaku, kita lihat bagaimana mereka yang berkemelut mengurus rendaman rasa mereka, dalam konteks yang telah berlaku; isu yang dipolemik adalah stail, gaya dan akhlak kepimpinan dalam mengurus tadbir negeri berasaskan aspirasi jamaah. Namun yang diperbincangkan oleh sesetengah pihak dikalangan penyokong kedua-dua belah adalah persoalan peribadi yang berkemelut, orang itu beli rumah, orang itu kawan dengan cina, orang itu cengei, orang itu sekian dan begian. Penyokong seolah-olah terlupa prinsip khilaf yang utama adalah memerhatikan “apa yang membezakan” mereka sehingga meletusnya kemelut ini. Pengajaran kepada kita bersama apabila berlaku kemelut di kalangan kita (berpunca dari sifat halu’a yang ada pada setiap manusia), maka yang perlu diurus dengan baik adalah punca kemelut, bukan dengan mencari “isu-isu hiliran” untuk mematikan syaksiah mana-mana pihak yang berkemelut.
4. Kemelut yang berlaku juga telah mengajar kita tentang double standard kita dalam menghukum, sebagai contoh; mengadu kepada media dianggap sebagai akhlak yang buruk dalam berjemaah apabila yang yang mengadu kepada media itu pihak yang tidak kita sokong, namun dalam masa sama untuk memuaskan hati kita, kita juga mencari media untuk memberi amaran, mendesak bahkan mengugut pihak yang berkemelut. (Sementera saya menghormati tentang keperluan untuk hidup dalam suasana semasa – yang menuntut kita untuk berinteraksi dengan media, saya juga amat berasa pelik apabila kita membina sikap yang double standard terhadap sikap yang ingin dibentuk dikalangan ahli jamaah).
5. Apabila rendaman rasa ini mula dilayan, perbincangan berlaku, proses “tanasuh – saling bernasihat” berlaku, fakta diperhatikan, tuduhan dan makar dipelajari, akhirkan pertemuan mahabbah diadakan, rendaman rasa dan jawapannya telah terungkap….. maka keputusan pun dibuat – yang sudah tentu tidak dapat menyenangkan semua pihak -, seharusnya keputusan syura ini diterima oleh kedua pihak yang berkemelut. Dan ternyata semua pihak bersyukur dengan keputusan ini.
6. Lanjutan dari penyelesaian yang berlaku – yang sudah tentu tidak dapat memuaskan semua pihak - , kita lihat masih ada lagi “penyokong” yang menimbulkan pelbagai “kemungkinan” bakal berlaku, ia seolah-olah “rencana” yang sedang diarahkan untuk memastikan “aku menang”. Ini bukan sifat anggota gerakan Islam – Dengan keyakinan dan husnuzzan kita yang kuat bahawa PAS adalah salah sebuah gerakan Islam - . Marilah kita mencantumkan semula retakan yang berlaku hasil dari kemalangan “kemelut” yang berlaku.
Saya tutup rencana yang tidak seberapa ini dengan mengigatkan kita bersama kepada jawapan Saidina Ali Karramallahu wajjah, apabila ditanya tentang pihak yang berkemelut dengan beliau. Penyokong Saidina Ali bertanya “a musyriku hum – apakah mereka yang berkemelut dengan kita adalah golongan musyrikin” Ali menjawab “Hum minasyriki farru – mereka adalah golongan yang lari dari syirik”, mereka bertanya lagi “A munafiqu hum – apakah mereka itu golongan munafiq?” Ali menjawab “al Munafiqun la yazkurullah illa qalila – orang munafiq tidak mengigati Allah melainkan sedikit”. “Kalau begitu siapakah mereka” Ali menjawab “ mereka adalah saudara kita yang telah melampau batas keatas kita”. Perhatikan akhlak Ali ketika berkemelut, tidak ditimbulkan sebarang usaha untuk membunuh syaksiah mereka yang berkemelut.
Ya Allah, terimalah tulisan ini sebagai amalan soleh yang tidak mengharapkan melainkan redhaMU.
UST. RIDZWAN BIN ABU BAKAR
Alor Setar. 7.3.2012, 11.26
Renungi kata-kata ini :
Pandangan saya betul tetapi berkemungkinan salah. Pandangan orang lain salah tetapi berkemungkinan benar - manhaj Imam As Syafie dalam berkhilaf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...