Renungan Sejenak

Khamis, 1 September 2011

Sekali Lagi Wang Rakyat Digunakan Untuk Kempen Tipu Rakyat

Tiga firma ditapis bantu kempen tenaga nuklear Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Kerajaan Malaysia sedang mencari sebuah agensi perhubungan awam untuk membantu membina sokongan orang awam terhadap usaha Putrajaya mengadakan tenaga nuklear — sumber tenaga alternatif menjelang tahun 2013.

The Holmes Report, yang diterbitkan di New York, melaporkan awal minggu ini bahawa Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, telah menyenarai pendek tiga firma untuk membantu menjalankan kerja-kerja perhubungan awam projek yang sensitif itu.

“Difahamkan pemilihan formal belum dilakukan. Satu sumber terlibat dalam proses berkata fi (juga) belum disahkan, tetapi dijangka mencecah tujuh digit,” katanya lagi.

Pelawaan untuk mendapatkan khidmat firma perhubungan awam antarabangsa dijangka mencetuskan kontroversi baru selepas laporan baru-baru ini menyebut Putrajaya telah membayar RM58 juta kepada FBC Media untuk membina imejnya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai saluran penyiaran antarabangsa.
Badan kawal selia Britain, Office of Communications (Ofcom) sedang menyiasat program-program dikendalikan oleh FBC Media bagi British Broadcasting Corporation (BBC).

Difahamkan Putrajaya telah menamatkan kontrak dengan FBC Media selepas didedahkan bahawa pemimpin-pemimpin Malaysia seringkali muncul dalam temu bual berbayar program televisyen global CNBC.

Usaha terbaru ini muncul di sebalik kontroversi krisis loji nuklear di Fukushima, Jepun Mac lalu ekoran malapetaka berganda gempa bumi dan tsunami.

Berdasarkan nota taklimat yang diperoleh oleh Holmes Report, khidmat runding perhubungan awam dikehendaki untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan boleh membuat satu keputusan berdasarkan pada fakta dan boleh diyakini mengenai loji disyorkan menjelang tempoh yang telah pun ditetapkan.

“Pokoknya: Malaysia perlu ada tenaga nuklear dan memperoleh mandat rakyat menjelang 2013, apabila kerajaan membuat keputusan akhir dan mengumumkan lokasinya,” demikian nota ringkas itu.

Menurut Holmes Report, mendapatkan sokongan awam lebih 50 peratus adalah keutamaan, selain menangani aspek kebimbangan dan isu-isu yang timbul.

Beberapa pihak telah pun membantah usaha mengadakan loji tenaga nuklear di negara ini.

Pada Mac lalu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Akhir Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan membina loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik kerana ia termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi.

Langkah itu katanya, juga merupakan satu daripada cara mentransformasi industri elektrik sebagai satu sumber tenaga yang stabil bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah pada masa akan datang.

Beliau berkata loji nuklear bagi menjana kuasa elektrik sudah lama menjadi pilihan beberapa negara luar berikutan kenaikan harga petrol dan diesel serta arang batu, yang boleh mempengaruhi harga bekalan tenaga elektrik hingga membebankan pengguna. -TMI

Rabu, 24 Ogos 2011

Pencarian Keberkatan Lailatul-Qadar Bermula, Ratusan Ribu Umat Islam Banjiri Masjidilharam

Ratusan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri Masjidilharam untuk mengerjakan ibadah umrah, menunaikan solat Tarawih dan qiamullail bagi mencari keberkatan malam Lailatulqadar.

Gambar: BEREBUT PAHALA: Ratusan ribu jemaah melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah, pada Sabtu lalu. Ditaksirkan hampir tiga juta umat Islam mengerjakan solat qiamullail secara berjemaah di masjid tersebut dan Masjid Nabawi di Madinah. -- Foto AP

Jabatan Pertahanan Awam di Makkah memberikan akhbar Arabnews peluang yang sangat jarang untuk merakamkan gambar Masjidilharam pada malam 21 Ramadan yang jatuh pada Sabtu melalui helikopter jabatan itu dengan inisiatif Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Muhammad al Harbi.

Helikopter Midel S92 yang tiba dari Jeddah dipandu juruterbang, Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Pertama Ziyad Al-Otaibi.

Jurugambar akhbar itu berjaya merakamkan imej keseluruhan Makkah dari pelbagai sudut termasuk Menara Wakaf Raja Abdul Aziz.

Helikopter juga melintasi kawasan Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya, kawasan yang sesak dengan kenderaan membawa jemaah dan orang ramai yang mahu beribadah.

Juruterbang membantu memaklumkan kepada kakitangan lapangan Jabatan Pertahanan Awam yang kesesakan berlaku di banyak tempat di bandar itu.

Kegunaan helikopter itu adalah untuk mencari, menyelamat, memadamkan kebakaran dan mengangkut pesakit. Ia boleh membawa 22 penumpang.

Sebaik saja Ramadan menghampiri fasa terakhir masjid di seluruh Arab Saudi mula menganjurkan ibadat qiamullail termasuk solat malam.

“Solat istimewa ini dilaksanakan pada malam 10 hari terakhir Ramadan mulai jam 1 pagi,” kata imam di Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah, Riyadh.

Tempoh 10 malam terakhir Ramadan lebih penting kerana al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatulqadar. Justeru, amalan baik umat Islam akan diberi ganjaran besar, kata imam itu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah mengeluarkan arahan supaya semua masjid dibuka untuk jemaah sepanjang malam pada malam 10 Ramadan terakhir.

Imam berkata masjid dibuka kepada orang ramai pada waktu malam untuk mereka membaca al-Quran dan melaksanakan solat sunat. – Agensi

Isnin, 22 Ogos 2011

Tumbangnya Regim Gaddafi Di Libya, Najib Perlu Buka Mata Seluas-luasnya

Trippoli, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Ahad, 14 Ogos 2011

Hati Rosak dan Ubatnya


Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?


Antara tanda-tanda hati yang sejahtera (qalb salim) adalah:

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.


2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.


3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.


4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.


5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.


6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.


7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.


Tanda-tanda hati yang rosak


1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.


2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.


3) Merasa seronok bergelumang dalam dosa.


4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.


5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.


6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.


7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.


8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.


9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.


10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Penyakit hati


1) Nifaq dan riya' (menunjuk-nunjuk).


2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.


3) Hasad dan dendam kesumat.


4) Sombong, bangga diri dan ego.


5) Bohong dan berputus asa.


6) Cinta mendalam kepada selain Allah.


7) Ikut hawa nafsu.


8)Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).


9) Takut kepada selain Allah.


10) Belot dan khianat.


11) Suka memaki hamun orang lain.


12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.


13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.


Kaedah rawatan penyakit hati


a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.


b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.


c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.


d) Khusyuk dalam solat.


e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.


f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.


g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.


h) Beriktikad dengan akidah yang betul.


i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.


j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.


k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.


l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.


m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.


n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.


o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.


p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.


q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.


r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.


Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah.


Ahad, 31 Julai 2011

Mengingati Semula Pesanan-Pesanan Penting Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan 2010 di Terengganu


Assalamua'laikum w.b.t.

Mafhum dari maksud hadis Nabi s.a.w bahawa dua perkara yang manusia sering kali terlupa atau ambil mudah terhadapnya malah tidak mensyukuri dua nikmat tersebut, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.

Saya telah melaluinya baru-baru ini. Dengan masa yang begitu mencemburui saya, hospital juga menjadi rumah kedua saya buat sementara waktu. Rezeki saya dimasukkan ke dalam ICU untuk diuji sejauh mana pergantungan diri saya kepada Allah.

Setelah melalui tempoh pemulihan, alhamdulillah saya semakin sihat. Jadi, setelah sekian lama saya tidak ‘update’ blog ini, hari ini saya kongsikan amanat penting ketika Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan suatu ketika dahulu sebagai ingatan kita bersama.

Segala pesanan dan amanat-amanat ini penting, untuk diteliti dan diamalkan mulai sekarang, dalam fasa menghadapi pihak musuh, untuk memenangkan ISLAM dalam PRU 13 akan datang. Mantapkan jiwa kita dengan bekalan tarbiyyah dan iman yang kental dalam perjuangan. Ikhlas dan istiqamah.

Semoga dengan keberkatan Ramadhan yang mulia, yang bakal kunjung tiba ini, kita doakan agar memperoleh taqwa selepas Ramadhan berlalu pergi, malah doakan juga dalam bulan mulia ini agar dapat menggamit pintu hidayah untuk membuka hati-hati penyokong pihak sana, akhirnya tertawan dengan perjuangan Islam yang kita mahu tegakkan. Kebenaran dan Islam akan menang dalam PRU-13 kelak. InsyaAllah.



Antara Isi-Isi Penting Yang Hendak Dikongsi Bersama :

**dari Ustaz Nik Zawawi, Setiausaha Majlis Syura dalam Forum Tarbawi.

Katanya : "..jangan ingat lepas kita dah kalahkan musuh kita iaitu UMNO dalam PRU-13 kita dah berjaya dan boleh bergembira, kerana bila kita memegang Malaysia, kita akan berhadapan dengan musuh yang lebih besar seperti Amerika dan sekutu-sekutunya. Maka persiapkanlah diri kita dengan tarbiyah untuk menghadapi musuh2 kita ini.."


**Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pesanan untuk pemuda supaya mengamalkan 3 perkara ini iaitu ;

1. Baca Al-Quran setiap hari

2. Qiyamullail

3. Solat dhuha


**Ustaz Yahya Othman, Murobbi PAS Pusat

Tarbiyah adalah usaha yang dilakukan oleh murobbi kepada murid-muridnya.

Pengisian tarbiyah adalah usrah, mukhayyam, qiyamulaill, durus khususi. Pemuda hendaklah :

1. Memastikan boleh membaca Al-Quran dengan betul dan menjadi imam solat.

2. Naqib memastikan anak buah solat dengan sempurna dan faham makna bacaan dalam solat, kerana selagi mana rakyat masih tak faham makna bacaan dalam solat, UMNO akan terus memerintah.

Pesanan kepada pemuda

1. Mesti berilmu

2. Mesti mengamalkan ilmu

3. Bercakap benar

4. Bermaaf-maafan

5. Baca Al-Quran

-Sertailah PAS dengan jujur, ikhlas, tidak khianat


**Ustaz Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden Pas

Kita hendaklah bangga menjadi orang mukmin yang duduk di dalam Pas

Pemuda hendaklah memastikan tidak ada satu hari berlalu tanpa membaca Al-Quran !

Kunci beramal dengan Al-Quran :

1) membaca Al-Quran

2) melihat terjemah Al-Quran

3) melihat tafsir Al-Quran

4) beramal dengan Al-Quran

5) istiqamah dengan Al-Quran


**Khalid Mesyal (pemimpin HAMAS, Palestin) berkata akan belajar dengan PAS atas penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), yang menaungi kaum bukan Islam tetapi yang menyokong perjuangan PAS


**Ustaz Nasrudin Hasan At-Tantawi, Ketua Pemuda PAS Pusat

Berintima’ dalam PAS ini ada kerana beberapa perkara. Antaranya :

1. syakhsi (peribadi) : contoh, kerana peribadi tokoh2 tertentu

2. gharawi ( kecenderungan) : contoh, kerana minat pada kopiah orang2 pas

3. istijali ( kebetulan ) : contoh, lahir dalam keluarga PAS


tetapi yang paling penting adalah kerana aqidi (aqidah)



**Ustaz Ahmad Yahya, Ketua Pemuda Pas Kedah

Tarbiyah adalah jantung, dan perlu diletakkan di tempat utama dalam organisasi.

Rahsia utama bagaimana Kedah boleh menang dalam PRU ke-12 kerana kita buat post mortem pada 2004 dan mendapati bahawa tarbiyahlah kunci utama untuk menang.

Soalan untuk semua,

apa yang dirasai selepas solat?

jika kita merasa lega kerana telah menunaikan kewajipan, ianya masih tidak mencukupi.


** Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Melaka

Pemuda PAS hendaklah menguasai :

1. fiqh marhali

2. fiqh aulawiyay

3. takzim al waqt (memuliakan waktu)

4. membelakangkan keuntungan peribadi , mazhab dan aliran serta pandangan peribadi untuk memastikan kepentingan jemaah diutamakan.


**Ustazah Nuridah Salleh, mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

Pemuda hendaklah memastikan isteri-isteri mereka tidak dibiarkan di rumah sahaja. Hendaklah memastikan isteri turut serta mengambil bahagian malah memegang jawatan dalam PAS.


**Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Abdullah bin Mubarak menulis surat kepada Fudhail bin Iyad, meminta supaya meninggalkan tempat beribadatnya dan pergi ke medan jihad.

Berjihad ialah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sanggup menghadapi dugaan/cabaran.

"Syura Didahulukan, Taqwa Diutamakan"
Hidup Islam, Hancur Jahiliyyah!

Khamis, 30 Jun 2011

BERSIH 2.0 : Perhimpunan Aman Rakyat

23 Jun merupakan tarikh perginya seorang pejuang rakyat, tokoh dakwah dan siyasah yang hebat. Jadi, saya akan menukilkan lagi sedikit cerita dan sejarah perjuangan beliau, kesinambungan dari artikel-artikel saya sebelum ini. Beliau yang saya maksudkan ialah Tuan Guru Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor atau lebih sinonim dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor.

Mengimbau Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan pada 5 November 2000 adalah satu perhimpunan aman anjuran aktivis yang menyokong Barisan Alternatif (BA) yang terbentuk dari PAS, KeADILan, DAP dan memberikan BA kemenangan memberangsangkan dalam PRU pada tahun 1999.

Perhimpunan aman ini mendapat sokongan padu daripada parti- parti politik, NGO dan pertubuhan Reformasi. PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor telah memberi sokongan dan komitmen seratus peratus untuk menjayakan perhimpunan aman ini.

Ustaz Fadzil Noor dilihat bijak membuat keputusan dan merencana strategi untuk menjayakan perhimpunan 100,000 rakyat tersebut. Ketika itu membenarkan setiausaha politiknya, Dr. Mohd Hatta Ramli, untuk terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Ustaz Fadzil Noor juga telah membuat tindakan segera dengan meminta Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Md Isa untuk mengeluarkan surat kepada setiap PAS Negeri untuk mengerahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk turun bagi menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Kesungguhan yang ditunjukkan serta komitmen Ustaz Fadzil Noor sendiri untuk hadir ke perhimpunan tersebut telah mengobarkan semangat pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik bersetuju untuk sama-sama menyertainya. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti KeADILan Nasional, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM turun bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Pada hari perhimpunan tersebut, laluan untuk ke tempat perhimpunan disekat oleh polis, maka keempat-empat pemimpin utama parti-parti politik Barisan Alternatif itu turun daripada kenderaan masing-masing dan berjalan bersama-sama puluhan ribu rakyat di atas Lebuhraya KESAS.

Keikhlasan dan semangat yang ditunjukkan oleh keempat-empat pemimpin BA itu berjalan di barisan hadapan perarakan, benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat tentang betapa mantapnya gandingan dan kerjasama BA.

Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor dan para pemimpin BA menunjukkan contoh semangat dan keyakinan yang tinggi apabila mereka berjalan sejauh hampir lima kilometer di atas lebuhraya yang sudah pasti tidak ada sebuah pun kenderaan boleh melaluinya. Mereka bukan sahaja diiringi ribuan malah puluhan ribu rakyat yang menyokong penuh perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sekatan polis dibuat menyebabkan akhirnya perarakan itu berhenti setelah laluan itu sudah tidak boleh dilalui lagi. Semua pemimpin diberi peluang untuk menyampaikan ucapan. Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor berucap di atas tembok pemisah lebuhraya dengan dikelilingi oleh kira-kira 100,000 rakyat. Dalam ucapannya yang penuh semangat itu, Ustaz Fadzil Noor menyeru agar semua rakyat bersatu untuk berjuang mengembalikan hak mereka yang sudah dicabul dan dirampas oleh Dr. Mahathir dan kerajaan UMNO-BN.

Apabila lebih seratus orang ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan aman tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah mengarahkan Dr. Mohd Hatta Ramli untuk mengendalikan urusan ikat jamin dan pembebasan mereka daripada lokap. Sokongan terhadap perhimpunan aman di Lebuhraya KESAS ini diteruskan oleh Ustaz Fadzil Noor dengan merintis penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

GMI ditubuhkan apabila pengerusi dan ahli-ahli serta penggerak utama Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat ditahan di bawah ISA pada 10 April 2001.

Demonstrasi aman seperti ini adalah suatu yang tidak asing bagi Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana masa mudanya lagi, iaitu pada tahun 1974, beliau telah pun terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling. Bahkan, pada akhir-akhir hayatnya pun beliau masih menggagahkan diri untuk hadir bersama rakyat dalam perhimpunan-perhimpunan aman.

Sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, PAS mengalami kejayaan paling besar pada pilihanraya tahun 1999, di mana PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN. Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut.

Menyingkap tabir sejarah, peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, dan Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang pada ketika itu. Kemudiannya pula Ustaz Fadzil Noor.

Manakala di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA). Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA.

Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Fadzil Noor telah hadir dalam perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur membantah tindakan Amerika mahu menyerang Iraq. Dalam perhimpunan aman tersebut, pihak polis FRU telah mengganas menyerang orang ramai membuta tuli dengan menembak gas pemedih mata dan menyembur air berkimia.

Ustaz Fadzil Noor terkena gas pemedih mata dengan teruk sekali. Sejak itu kesihatan beliau sangat terganggu. Menurut setiausaha politik dan doktor peribadinya, Dr. Mohd Hatta Ramli, sejak itu kesihatan beliau semakin merosot hinggalah beliau memerlukan pembedahan dan dengan takdir Allah, selepas itu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Itulah sebuah kisah, rentetan jalan perjuangan sebenar seorang pejuang rakyat, sehingga ke akhir hayatnya masih bersama-sama rakyat untuk menegakkan kebenaran dan menolak kezaliman. Dari siri-siri perhimpunan yang dihadiri atau dipimpin beliau sendiri, jelas perhimpunan aman seumpama ini adalah milik rakyat, seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara kita sendiri.

Perlembagaan tidak menghalang perhimpunan aman seperti ini. Malah ketika Malayan Union mahu ditubuhkan, para pejuang kemerdekaan dan rakyat membuat demonstrasi membantah penubuhan Malayan Union, sehingga ianya dibatalkan. Adakah kita buta sejarah?? Tidak! Tidak sama sekali. Jadi, ayuh kita semua menuju BERSIH 2.0 untuk kepentingan rakyat agar tidak dicabuli sewenang-wenangnya oleh pihak berkepentingan!!


Selasa, 28 Jun 2011

Subsidi RM74 bilion : Kerajaan Perdaya Rakyat, Kata Pakar

Kerajaan Persekutuan pimpinan BN telah “memperdayakan” rakyat apabila Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) menyatakan bahawa kerajaan menanggung bil subsidi berjumlah RM74 bilion pada 2010, kata seorang pakar ekonomi hari ini.

azlanBercakap pada dialog belanjawan Selangor 2012 di Subang Jaya, profesor pelawat Universiti Nottingham, Subramaniam Pillay berkata 54 peratus daripada bil itu adalah untuk pendidikan dan kesihatan yang sebenarnya adalah tanggungjawab kerajaan.

"Semua kerajaan di dunia beri subsidi untuk barangan berlainan untuk golongan rakyat yang berbeza. Tetapi bagi pendidikan dan kesihatan, yang dinamakan oleh pakar ekonomi sebagai 'public goods' dan ini adalah tanggungjawab kerajaan,” kata Subramaniam yang bersara daripada jawatan Ketua Sekolah Perniagaan Universiti Nottingham tahun lalu.

"Semua negara maju di seluruh dunia beri subsidi dalam jumlah yang besar untuk kesihatan, kecuali di Amerika Syarikat tetapi (Presiden Barack) Obama baru-baru ini membentangkan Rang Undang-undang Kesihatan.”

Jika dua barangan itu dikeluarkan, bil subsidi hanya berjumlah RM31.1 bilion dan daripada jumlah berkenaan, subsidi makanan yang secara langsung sampai kepada rakyat hanya bernilai RM3 bilion atau lebih kurang 2 peratus daripada bajet kerajaan persekutuan.

NONEKatanya, sebahagian besar subsidi RM23.7 bilion untuk bahan api dan tenaga yang dibayar pada 2010 disalurkan kepada subsidi gas yang kemudiannya diberikan kepada pengeluar tenaga bebas.

"Bagi infrastruktur, semua subsidi disalurkan kepada (konsensi lebuhraya) bukan kerana mereka memerlukannya tetapi kerana mereka menandatangani perjanjian (dengan kerajaan) yang bodoh. Ini bukan subsidi untuk rakyat,” katanya.

Perangkaan RM74 bilion yang dikeluarkan oleh PEMANDU seringkali digunakan oleh BN sebagai alasan bahawa pengurangan subsisidi petrol, gas asli, diesel dan barangan makanan yang lain adalah berpatutan kerana kerajaan menanggung bebanan yang berat.

Rabu, 22 Jun 2011

Semua Jangan Cakap Banyak Lagi, 99% Sokong Himpunan BERSIH Diteruskan!


Reaksi positif yang diberikan rakyat Malaysia berhubung perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai depan jelas menunjukkan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) kini semakin didesak untuk mengkaji semula sistem pilihan raya di negara ini, kata pemimpin Pakatan Rakyat.

Malah menurut ahli parlimen Kubang Kerian, bancian portal dalam talian The Star Online mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

"Saya yakin dan percaya ia sememangnya hasrat rakyat Malaysia untuk melihat wujudnya satu sistem pilihan raya adil dan bersih dan ia telah mencapai satu tahap yang begitu kritikal. Ini bermakna perjuangan BERSIH telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan ia telah melampaui batas-batas agama, kaum dan bangsa, " tegasnya ketika ditemui di sidang Parlimen semalam.

Tegasnya lagi, himpunan besar-besaran pada 9 Julai itu akan berlangsung secara aman tanpa sebarang kekecohan mahupun ketegangan dan ia merupakan janji penganjur BERSIH 2.0 kepada kerajaan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Bancian portal dalam talian The Star Online semalam mendapati 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyatakan sokongan supaya Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai diteruskan.

Bagaimanapun, bilangan responden sebenar tidak dapat disahkan kerana tinjauan itu dihentikan sejak tengahari semalam.


Berdasarkan paparan skrin yang disiar pengguna Facebook, bilangan responden mencecah 1.3 juta pada 12.25 tengahari, daripada 527,330 yang direkodkan pada 6.11 pagi semalam, yang dirakam dari google cache.

Berdasarkan pertanyaan ‘Apakah pandangan anda tentang cadangan perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini’, seramai 1,312,917 responden menjawab ‘Ia patut dibenar diteruskan’.

Manakala seramai 14,222 responden pula memilih untuk menyatakan “Ia patut dibatalkan’.

Tinjauan itu dibincang secara hangat oleh laman kumpulan Facebook ‘Curi-Curi Malaysia’ yang diwujudkan untuk protes perbelanjaan Kementerian Pelancongan sebanyak RM1.8 juta untuk kempen dalam laman sosial berkenaan.

Bagaimanapun mereka kecewa kerana tinjauan itu ditarik balik portal The Star.

Dalam pada itu ahli parlimen Batu, Tian Chua yang ditemui di luar sidang parlimen memberitahu sungguhpun bancian seperti itu tidak dilakukan, beliau yakin bahawa rakyat tetap akan turun ke jalan biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman.

Katanya, ini kerana rakyat Malaysia kini sudah sedar dan matang dalam memahami prinsip demokrasi yang menjadi tuntutan setiap masyarakat di negara ini.

"Perhimpunan BERSIH 2.0 disokong oleh orang ramai sungguh pun ada pihak mengatakan ia tidak berapa tepat (ini online sahaja dan bukan pungutan suara saintifik) tapi secara amnya ia menunjukkan bahawa rakyat rasa BERSIH adalah satu perhimpunan yang aman dan perlu diteruskan."

Manakala menurut ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula, himpunan BERSIH 2.0 kali ini merupakan maklum balas rakyat kepada kerajaan dan pihak polis supaya memberikan kerjasama dan kelulusan kepada pihak penganjur agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman.

Tambah Dr Hatta, rakyat tidak perlu gentar dengan ugutan-ugutan yang dilemparkan kerana apa yang lebih penting adalah hasil daripada himpunan itu nanti.

"Saya melihat ini merupakan satu maklum balas ataupun signal daripada rakyat yang mahu melihat satu sistem yang adil, bebas dan bersih dalam negara kita. Dan kerajaan perlu menghormati kehendak rakyat serta memberi kerjasama untuk memberikan ruang mereka berhimpun dalam menyatakan pandangan mereka tentang kempen Bersih ini," katanya Anthony Loke kepada TvSelangor.

"Rakyat sudah determine untuk turun, jadi kerajaan tidak perlu menimbulkan suasana kurang baik dengan menimbulkan kekecohan. Saya harap kerajaan dapat menghormati keputusan bancian yang dilakukan," tegas Dr Hatta. -tvsnews

Pandangan Bekas Mufti Perlis Mengenai BERSIH 2.0

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhT94fQqZJVDGorcefTKppZoqBFvSF6_AtDxHdrg82ni_uLan6r5W-Wj-_xNPqanDn2nJbm3AVi8iTyCFJwbeJdNjZqRxQBtkH88IEHvqS5APD_mArLh_bcdUEra4XD8L0vHU9Z6lnXzaiw/s400/asri-11.jpgBanyak pihak bertanya pendirian saya tentang kempen NGO 'BERSIH' menuntut Pilihanraya yang adil bagi negara ini. berikut adalah pendirian dan pandangan saya;

Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik.

Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.

Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan.

NONEJika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya.

Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.
Perkara haram

Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk.

Nabi Mohammad SAW dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

bersih rally 271207 05Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan.

Hak rakyat

Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

bersih rally 271207 01Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.

Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.

Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan.

Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

NONEPara peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan.

Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan.

Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai BERSIH merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan BERSIH itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...