Renungan Sejenak

Selasa, 8 Mac 2011

Kalah 2 PRK : Masa Untuk PR Ubah Strategi

PAS-PR sepatutnya membuat kejutan di Kerdau. DUN Kerdau antara kawasan yang menjadi sasaran untuk dirampas dalam pilihan raya ke-13 berdasarkan kemenangan BN dengan majoriti kurang 1,500 dalam PRU 2008 lalu.

Benarkah BN bayar wang kepada peneroka undi mereka meningkat?


Kerdau juga berhampiran dengan kawasan yang pernah menjadi milik pembangkang seperti Jengka. PAS mempunyai penyokong dan jentera yang kuat di kawasan tersebut. Maka tidak sepatutnya keputusan yang buruk diperolehi parti itu sehingga Umno mendabik dada undi orang Melayu telah kembali menyokong mereka. Calon Umno walaupun dipertikai kelulusan agamanya tetapi terbukti berjaya mencapai kejayaan menambah majoriti BN lebih seribu undi berbanding PRU lalu.

Dua pilihan raya kecil yang BN menambah majoriti ini adalah petanda buruk kepada Pakatan Rakyat. Tidak dapat ditolak kemungkinan pada PRU ke-13 bukan PR yang akan menawan Putrajaya tetapi gabungan itu akan hilang negeri kecuali Kelantan. Pemimpin PR perlu sedar dari mimpi dan bulan madu. BN telah kembali kepada kekuatan asal.

Nasib yang bakal ditempuhi PR tidak akan jauh bezanya seperti PRU 2004 di mana BN menang besar menguasai 7/8 kerusi parlimen. Kelantan hampir tumbang dan KEADILAN ketika itu hanya tinggal 1 kerusi di Permatang Pauh.

Semua itu kerana pemimpin yang tidak mendengar amaran awal dari akar umbi. Abdullah Badawi masih segar ketika ketika pilihanraya 2004 berlangsung dan rakyat mengharapkan sesuatu dari kebijaksanaannya memimpin. Namun Barisan Alternatif (BA) waktu itu tersalah strategi mengekalkan impian ingin menakluk Malaysia, bukannya menumpukan kepada aspek kelemahan Abdullah. Akhirnya BA dimalukan pada pilihanraya April 2004. Situasi yang hampir sama berulang kini ketika Najib dianggap ‘nafas segar’ BN dan mencipta pelbagai cogankata dan ‘ubat ajaib’ tranformasi ekonomi

“Sekadar pemimpin PR turun padang dan bertemu rakyat masih tidak cukup, sedangkan kita dihentam pada setiap hari melalui propaganda media BN.

“Saya sudah beritahu pemimpin tertinggi PR sebelum ini, kita sudah hilang undi India tetapi mereka tidak mahu percaya. Mereka kata saya tidak tahu apa yang saya perkatakan. Susah untuk bercakap dengan mereka (pemimpin PR),” keluh Jennifer seorang penyokong komponen PR.

waktu pilihanraya paling sesuai minta ganjaran?


Menurut beliau, PR tidak memiliki media yang cukup bagi menjawab serangan BN kerana itu rakyat hanya melihat keburukan pembangkang tanpa PR mampu memperlihatkan sisi kebaikan perjuangan mereka.

“Orang DAP kata undi India bagi PR boleh dikira musnah. Ada yang meramalkan Selangor dan Kedah bakal tumbang,” ulasnya lagi

Krisis Asia Barat dan kejatuhan kerajaan Mesir serta Tunisia tambah merosakkan pemikiran pemimpin PR. Bagi mereka revolusi boleh berlaku dengan Twitter dan facebook. Mereka menganggap tidak perlu media cetak untuk menyerang balas.

“Facebook berkesan di Mesir kerana keadaan hidup rakyat terlalu daif. Rakyat Malaysia tidak sedaif di Tunisia dan Mesir. Malah pembangunan ekonomi di negara ini rancak. Pemimpin PAS dan PKR perlulah lebih realistik. Ketika Najib membandingkan Malaysia dengan negara maju Eropah dan Malaysia akan jadi seperti itu 9 tahun dari sekarang mengapa Anwar membandingkan dengan Leela dan Suzanne (isteri diktator Zin Abidin dan Mubarak) dengan Rosmah (isteri Najib). Ini perbandingan yang melangkah ke belakang,” kata seorang blogger yang tidak mahu dikenali.

Tambahnya, cara yang paling berkesan ialah membalas isu membadingkan negara maju dan kos hidup, hak asasi, kebebasan bersuara, kos rawatan perubatan, pendidikan, nilai realistik mata wang berbanding barang yang boleh dibeli dan sebagainya.

Rakyat tak peduli fakta apa pun janji dapat wang BN menang


“Tidak ada siapa yang ambil peduli mengenai diktator negara miskin atau perubahan politik di negara itu sedangkan rakyat di Malaysia tidaklah miskin, harga getah dan kelapa sawit memuaskan.

“Sebaiknya PR jumpa mereka bandingkan hidup mereka dengan rakyat di Eropah atau Jepun. Malaysia akan maju 9 tahun lagi adakah sama keadaannya. Tahun hadapan cukai GST akan diperkenalkan, setiap barang akan dicukai kecuali yang dinyatakan tidak dicukai. Sistem sekarang, barang tidak dicukai kecuali yang dinyatakan dicukai. Itukah harga yang perlu dibayar untuk menjadi maju?. Dan banyak hal lain yang boleh menggugat kepercayaan rakyat kepada BN selain membandingkan situasi politik negara Asia Barat yang miskin,” bidasnya.

PR perlu mengubah cara mendekati rakyat dan menarik sokongan mereka mulai sekarang jika tidak mahu dimalukan dalam PRU-13. Perlu wujudkan media PR sendiri, bukannya bergantung kepada media parti. Pendekatan mengedar risalah menjelang pilihanraya tidak lagi efektif. Sebaliknya perlu diedarkan risalah secara berkala pada setiap bulan.

Isu agak terhad kerana Najib masih baru memerintah. Kisah Altantuya telah dilupakan, skandal baru tidak wujud dalam masa 2 tahun kebelakangan ini yang melibatkan Perdana Menteri. Dalam situasi seperti ini rakyat mudah memberi peluang kepada PM yang baru dilantik untuk menerajui negara untuk penggal kedua.

Berbeza dengan situasi pada 2008, Abdullah yang diberi harapan pada 2004 mensia-siakan peluang dengan sering tertidur sewaktu mesyuarat. Koridor yang dibinanya pula gagal dijelaskan dari mana datangnya modal. Pertengahan 2006 menantunya Khairi Jamaluddin dikaitkan dengan kontroversi sering campurtangan dalam pemerintahan negara. Begitu juga beberapa skandal kewangan yang membabitkan keluarga Abddullah.

Semangat sahaja tidak cukup menghadapi BN, strategi mesti sesuai


Maka ketika itu rakyat melihat Anwar yang belum diuji kehebatan gagasannya dalam politik baru menyatukan rakyat Malaysia perlu diberikan kepercayaan. Namun selepas beberapa tahun PKR lebih kelihatannya banyak terlibat dengan pembelotan pemimpin daripada berita yang menggembirakan rakyat.

Di pihak pentadbiran Najib, isu perkauman tidak lagi dimainkan Umno sebaliknya Perkasa. NGO Perkasa membangkitkan pelbagai isu yang menggugat pemikiran orang Melayu apa perlu dikurangkan hak mereka untuk dikongsi kaum lain. Biarpun hak itu tidak digariskan perlembagaan dan hanya menjadi polisi pentadbiran BN bagi menguntungkan perlaksanaan dasar kapitalisme-kroni mereka.

Maka satu-satunya cara yang dilihat berkesan ialah membandingkan apa yang diberikan di negeri PR khususnya Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kepada rakyat. BN memberi pelbagai bantuan dalam polisi 1Malaysia namun kemudian menaikkan harga minyak dan barang keperluan, menuntut saman ekor, melaksanakan cukai GST dan sebagainya. Bermakna setiap satu sen bantuan yang diberi akan dikutip semula daripada rakyat melalui pelbagai kaedah. Sedangkan PR sebaliknya memberi air percuma, bantuan kepada warga emas, kanak-kanak sekolah dan skim khairat kematian tanpa menaikkan apa-apa cukai di bawah PBT kerajaan negeri.

Mengapa perbezaan besar polisi PR dan BN itu tidak dijadikan modal berkempen yang baik oleh pemimpin PR? Menyerang BN tidak banyak gunanya pada ketika rakyat kembali yakin kepada pemerintah sebaliknya tunjukkanlah PR lebih sempurna dan lebih perlu diyakini untuk diundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...