Selasa, 8 Mac 2011
Reseptif Kepada Kritikan, Mantapkan Strategi Pakatan Rakyat
Berlalunya PRK Kerdau dan Merlimau, sudah 3 PRK terus-menerus PAS 'gagal' untuk memenanginya. Tidak bermakna PAS gagal kerana jumlah undi PAS turut meningkat dalam 2 PRK tersebut, cuma gagal untuk menang, jadi ianya masih tetap dianggap gagal oleh pejuang kebenaran yang perlu menawan untuk menegakkan Islam.
Jika kita lihat keputusan dan mengkaji pula kaedah dan strategi yang digunakan oleh PAS, jelas UMNO tidak segagah yang disangka (mengharapkan jentera dan agensi kerajaan malah duit rakyat berjuta-juta yang disalahguna untuk peruntukan 'mee segera' di sana) tapi kelemahan strategi PAS yang kelihatan.
Sudah sampai masanya PAS Pusat merombak semula jentera pilihan rayanya dan melantik 'team baru' menggantikan team yang ada. Team yang ada merupakan team yang sudah hilang taringnya dan daya saing malah gagal menghadapi cabaran-cabaran di zaman dunia teknologi dan pantas ini. Buktinya, jentera PAS belum ada team perang saraf yang berstrategik malah juga dikatakan 'dingin' dengan bloggers-bloggers Pro Pakatan Rakyat akhir-akhir ini. Ini sangat merugikan pihak kita sebenarnya.
Sedangkan pihak BN yang diakui mempunyai sumber kewangan yang lebih kukuh telah mempunyai team-team perang saraf yang mereka sendiri memberi upah yang agak lumayan. Pendekatan berbaik-baik dengan bloggers-bloggers Pro Barisan Nasional pula umpama suatu kelebihan buat mereka. Perang media alternatif lebih dikuasai pihak BN buat masa sekarang, berbanding ketika mana tsunami politik melanda rakyat pada tahun 2008 yang lalu.
Team pilihan raya kita pula masih berada di kalangan orang lama yang agak terhad dengan idea-idea baru, dengan sasaran pengundi baru pula yang mahukan pembaharuan dalam usaha untuk memikat hati mereka. Jentera dari pelbagai peringkat perlu di'tamrin'kan dengan kursus-kursus dan strategi menghadapi pilihan raya, terutama berkaitan perang saraf dan gerak kerja yang berkesan untuk menawan hati rakyat.
Petikan-petikan analisis yang saya 'kepilkan' dalam blog ini, buat tatapan dan muhasabah untuk pembaca sekalian. Bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, namun untuk membuka minda kita, dalam proses penambahbaikan dan menjadikannya sebagai suatu kritikan membina bagi pihak yang memperjuangkan kepentingan rakyat.
Sebagai contoh di Kerdau, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengarah Pilihan Raya hendak membuat laporan polis oleh kerana organisasi pilihan rayanya dibolosi oleh 'mata-mata' dari UMNO. Sebenarnya intip-mengintip ni adalah aktiviti biasa dalam strategi perang dan gerak saraf, namun perkara berkenaan pun belum dapat ditangani dengan sebaiknya oleh pihak kita.
Jika pejabat pilihan raya PAS boleh dibolosi oleh musuh bermakna sistem keselamatan bilik pilihan raya PAS tidak cekap dan tidak sistematik. Tidak cukup ampuh untuk menangkis susupan susuk tubuh dari pihak musuh. Inilah contoh betapa kurang strategiknya jentera pilihan raya PAS dalam menghadapi pilihan raya seumpama ini.
Sekiranya PAS Pusat tidak mengatasi masalah ini, berkemungkinan besar dalam PRU ke13 akan datang, PAS akan kehilangan banyak kerusi kelak. Jangankan menambah kerusi, kerusi yang ada dalam genggaman pun kemungkinan akan terlepas ke tangan pihak lawan.
Kita melihat kerusi yang majoriti Melayu pun bukan boleh dijadikan taruhan atau kawasan target untuk dimenangi, maka ia menjadi satu amaran bermakna buat pihak PR. Pimpinan PR perlu sedar segera dari lamunan ini, sebelum ianya menjadi barah dan rakyat melihat pimpinan PR tidak mahu berubah, maka rakyat yang akan berubah angin dari meneruskan tsunami PRU 2008 yang lalu.
Saya melihat, tidaklah sampai perlu menukar Presiden PAS dan pucuk pimpinannya dalam masa terdekat seperti mana cadangan 'Tulang Besi' seorang blogger PR di alam maya, namun cukuplah dahulu merombak dan 'review' semula jentera pilihan raya PAS itu sendiri. Mungkin juga 'review' jawatan-jawatan penting yang dirasakan perlu bagi menerajui cita-cita PR ke Putrajaya. Kemudian buat kerja rumah tentang strategi pilihan raya secara efektif. Perkasakan jentera penerangan hingga ke akar umbi. Ianya sangat-sangat penting untuk mendepani pihak BN yang semakin menghargai bloggers-bloggers dan suara anak muda kini.
Kita perlu mendengar luahan dan rasa orang bawahan dan jangan melihat dari atas semata-mata, kerana sikap tersebut akan memakan diri sendiri. Suara ahli dari akar umbi penting bagi mengetahui realiti yang berlaku di peringkat akar umbi parti. Perpecahan dalam PKR pun dilihat berlaku dek kerana egonya pucuk pimpinan yang mengabaikan suara ahli bawahan. Kritikan membina ahli hanya dilihat sebagai melukut di tepi gantang.
Imej PKR misalnya sudah tercemar di kalangan sebahagian rakyat, jadi elakkan PR membincangkan isu-isu yang boleh memecahkan Pakatan Rakyat menggunakan media. Bincang secara dalaman berkaitan isu-isu sensitif. PAS perlu meraih semula undi Melayu yang semakin 'lari' kepada UMNO, PKR perlu membersihkan imej mereka sedikit demi sedikit dengan menaikkan imej PR di Selangor misalnya.
Kenyataan Timbalan Pres. PKR, Azmin Ali untuk perebutan kerusi di Sarawak, sangat merugikan PR. SNAP perlu didekati untuk menguatkan Pakatan Rakyat untuk mengalahkan BN di Sarawak. SNAP lebih lama dari PKR sendiri di sana. Mantapkan PKR sendiri dahulu sebelum menunjukkan gaya angkuh seperti itu. DAP dan SNAP dipercayai lebih kuat dari PKR di Sarawak. Bincang terlebih dahulu, sebelum keluarkan kenyataan kurang cerdik di media, yang pasti akan dimanipulasikan berhari-hari oleh media BN.
Sekarang ini, paling utama juga, isu-isu berkaitan anak muda dan kepentingan rakyat perlu diperhebatkan oleh PR, gunakan isu yang BN dilihat membebankan rakyat dan menyalahgunakan duit rakyat seperti saman ekor, saman trafik, pelaksanaan GST, kenaikan harga barang dan minyak petrol, kutipan tol, penyelewengan PKFZ dan sebagainya.
Bukti Buku Jingga boleh dilaksanakan secara berperingkat perlu dimaksimumkan PAS, DAP dan PKR di negeri-negeri PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Semua parti PR perlu berganding bahu memperkukuhkan kepercayaan rakyat di negeri-negeri PR sebelum meraih kepercayaan rakyat Malaysia umumnya untuk menawan hati rakyat dalam PRU 13 nanti.
Antara perkara yang paling penting juga, PR perlu mengabaikan provokasi isu oleh pihak BN untuk melambatkan gerak kerja PR sendiri. Banyak isu sengaja ditimbulkan BN untuk merencatkan gerak kerja dan fokus isu PR sebenarnya. Jadi, berhati-hatilah dalam menangani gerak kerja perang saraf dari pihak lawan.
Selain itu,saya amat bersetuju BERSIH 2 perlu dilancarkan segera untuk memastikan sistem pilihan raya yang ada bukan menjadi padang yang tidak rata sebagai medan demokrasi di negara kita. Cukuplah segala agensi kerajaan menjadi kuda tunggangan pihak mereka, jangan pula kuasa rakyat untuk menuntut keadilan SPR diabaikan. Jika tidak, tiada guna menggunakan pilihan raya kecuali menggunakan medan jalan raya seperti mana di Tunisia dan Mesir. Fikir-fikirkanlah.
Boleh juga merujuk di :
http://www.detikdaily.net
http://www.harakahdaily.net
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan